BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Animasi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Animasi. Papar semua catatan

Ahad, Oktober 25, 2009

Ulasan Filem - Cloudy With A Chance Of Meatballs - Lagu Tema Yang Menarik

Cloudy With A Chance Of Meatballs
Genre: Animasi 3D, Keluarga
Ulasan Filem Oleh Amiene Rev (C) 2009

"Filem ini memberitahu saya, jika kita mahukan sesuatu, jangan pedulikan apa orang kata tentang kebolehan kita. Kita kejar sampai dapat dan tanggung sendiri risikonya. Runut bunyinya pula menjelaskan tentang potensi diri yang bangkit dari kegelapan rasa rendah diri. Juga tentang perasaan menjadi seorang bapa kepada seorang anak lelaki." - Amiene Rev

Filem animasi 3D "Cloudy With A Chance of Meatballs" mendapat sentuhan runut bunyi oleh Mark Mothersbaugh, yang amat terkenal di Amerika Syarikat. Soundtrack yang dihasilkan oleh Mark Mothersbaugh untuk filem Cloudy With A Chance of Meatballs barangkali merupakan unsur motivasi dan inspirasi yang terkuat dalam filem ini.

Sinopsis Filem Cloudy With A Chance of Meatballs
Filem ini mengisahkan seorang budak lelaki yang tinggal di Swallow Falls, bernama Flint Lockwood yang bercita-cita untuk menjadi seorang saintis yang mampu menghasilkan ciptaan-ciptaan hebat. Namun begitu, ciptaan Flint Lockwood sering menjadi bahan tertawa dan kadangkala menimbulkan masalah yang pelbagai kepada masyarakat setempat.

Ciptaan pertama Flint Lockwood ialah Spray-On Shoes, iaitu kasut yang akan terhasil dengan sendirinya apabila kaki disembur menggunakan penyembur cat. Namun, masalahnya, selepas disembur, kasut itu tidak akan dapat ditanggalkan buat selama-lamanya. Flint Lockwood membesar dengan kasut tersebut seumur hidupnya.

Flint Lockwood juga menderita dan merasa rendah diri dengan potensi dirinya. Namun begitu, ibu Flint Lockwood, iaitu Frant Lockwood sentiasa percaya dengan kebolehan anaknya. Apabila Flint Lockwood telah dewasa, ibunya meninggal dunia. Maka, tinggallah Flint Lockwood dengan monyetnya Steve, dan bapanya, Tim Lockwood.

Suatu ketika, pasaran sardin dunia merudum. Tidak ada orang lagi yang mahukan sardin. Maka penduduk di Pulau Swallow Falls terpaksa menghabiskan hidup mereka dengan memakan sardin. Masa depan penduduk di Pulau Swallow Falls semakin gelap.

Hal ini menyebabkan Flint Lockwood mencipta sejenis mesin yang dipanggil Flint Lockwood Diatonic Super Mutating Dynamic Food Replicator atau nama singkatannya ialah FLDSMDFR yang sangat susah disebut dengan lidah. Mesin Flint Lockwood Diatonic Super Mutating Dynamic Food Replicator atau FLDSMDFR ini mampu menukarkan air kepada makanan.

Boleh dikatakan mesin Flint Lockwood Diatonic Super Mutating Dynamic Food Replicator (FLDSMDFR) ini merupakan satu-satunya ciptaan Flint Lockwood yang berjaya mendapat sambutan ramai. Sejak itu Flint Lockwood mula menggantikan kedudukan Baby Brent (yang telah dewasa kini) dan menjadi selebriti baru di Shallow Falls.

Mayor Shelbourne pula tertarik dengan kehebatan mesin FLDSMDFR itu dan bercadang untuk menggunakannya bagi mempopularkan semula Shallow Falls. Dengan adanya Sam Sparks (Anna Faris), gadis pemberita cuaca, dan Manny (jurukamera), Shallow Falls menjadi destinasi pelancongan popular. Nama Pulau Shallow Falls ditukar kepada Chewandswallow.

Kegembiraan Flint Lockwood tidak lama. Mutasi telah berlaku terhadap makanan yang dihasilkan. Bukan sekadar lebih besar, malah makanan-makanan itu mula memiliki emosi dan pemikiran. Bencana makanan mula timbul. Puting beliung spagetti, hujan bebola daging dan banyak lagi bencana alam yang berpunca dari mesin FLDSMDFR telah menyerang Pulau Chewandswallow.

Lebih teruk apabila bencana alam itu mula merebak ke seluruh dunia. Maka, Flint Lockwood, Sam Sparks, Steve, Baby Brent dan seorang misteri memulakan misi untuk menghalang mesin FLDSMDFR dari terus menghasilkan mutant makanan. Namun tugas itu menjadi sukar apabila mesin FLDSMDFR telah dilindungi dengan ketat oleh pelbagai jenis makanan yang hidup seperti hulubalang ayam panggang, gummy bears dan pizza terbang.

Pada akhir cerita ini, akan didedahkan mengenai perasaan seorang bapa terhadap anak lelakinya. Tim Lockwood yang suka menggunakan metafora memancing, berkias kata, didapati sukar untuk menerangkan perasaan dirinya terhadap anak lelakinya. Namun Sam Sparks menggunakan mesin pembaca fikiran monyet yang dipakai oleh Steve, lalu memasangnya kepada Tim Lockwood. Maka terluahlah segala harapan sebenar seorang bapa terhadap anaknya, Flint Lockwood.

Ulasan Amiene Rev terhadap Filem Cloudy With A Chance Of Meatballs
Filem ini mempunyai mesej yang suci, tentang cita-cita seorang budak lelaki untuk menjadi seorang saintis terbilang. Namun apa yang mengharukan ialah penderitaan dan cabaran budak lelaki tersebut dalam usahanya untuk mencapai cita-cita itu. Flint Lockwood kelihatan seolah-olah tidak siuman di mata penduduk pulau Shallow Falls dan sering dijadikan bahan jenaka.

Bertemankan monyetnya, Flint Lockwood teruk berusaha untuk mencapai cita-citanya. Di sini, semangat Flint Lockwood dipaparkan menerusi babak-babak, dialog ringkas dan runut bunyi yang menarik dan bersemangat. Saya memuji runut bunyi "Introducing Flint" yang saya anggap paling memberi inspirasi dan motivasi untuk menonton filem ini.

Runut bunyi filem Cloudy With A Chance Of Meatballs seolah-olah memberitahu saya mengenai kesedihan, rasa terharu, ketabahan, semangat dan keazaman yang kuat yang dimiliki oleh Flint Lockwood. Runut bunyi yang hebat dan memberi inspirasi.

Jalan cerita Cloud With A Chance Of Meatballs pula sering diselitkan dengan lawak yang kelakar ala-ala filem Stephen Chow. Penonton sering bergelak ketawa apabila menonton filem ini.

Kesimpulannya, filem Cloud With A Chance Of Meatballs sarat dengan komedi dan pada masa yang sama tersirat emosi kasih sayang dan keazaman mencapai cita-cita, selain diiringi dengan runut bunyi yang hebat. Filem ini diterbitkan oleh Sony Pictures dan diedarkan oleh Columbia Pictures. Saksikan Trailer filem Cloud With A Chance Of Meatballs di bawah:


Sabtu, Ogos 25, 2007

Fourth Hokage - Yondaime - Yellow Flash Is Uzumaki Naruto's Father

Namikaze Minato (belakang) bersama tiga orang anak muridnya iaitu Rin (Ninja Perubatan), Uchiha Obito dan Kakashi Hatake (anak kepada Sakumo Hatake - White Fang, yang mempunyai keupayaan yang setara dengan Legendary Sannins).

Obito, meninggal dunia ketika berusia 12 tahun, setelah terbabit dalam satu pertempuran semasa menjalankan misi, dan mewariskan sebelah mata Sharingannya, dengan pertolongan Rin, kepada Kakashi. Kakashi kemudiannya menjadi Jounin terhandal di Konoha, dan menjadi guru kepada Uzumaki Naruto.

Bapa Naruto - Namikaze Minato:
Juga dikenali sebagai, Hokage Keempat (Yondaime) - Yellow Flash, merupakan bapa kepada Uzumaki Naruto, dan anak murid kepada Jiraiya - Legendary Sannin, The Frog Hermit. Di sebelah adalah gambar Minato yang mirip Naruto semasa remaja. Namikaze Minato sangat dikenali sebagai ninja paling berbakat pernah wujud dalam sejarah ninja. Bakat dan kebijaksanaan luar biasa yang dimilikinya menyebabkan Namikaze Minato dilantik menjadi Hokage keempat, dan merupakan Hokage termuda dalam sejarah Konoha.

Ibu Naruto - Uzumaki Kushina:
Emak Naruto, berasal dari negara Puting Beliung (Whirlpool Country). Uzumaki dan Naruto sendiri bermaksud pusaran, pusaran angin.

Kenapa Naruto dinamakan bersempena dengan Uzumaki Naruto, dan bukannya Namikaze Naruto? Rahsianya adalah berkaitan dengan 'root'. Asal-usul Naruto dirahsiakan atas sebab-sebab tertentu.

Sebagaimana Gaara, yang mewarisi Shukaku (Ichibi - Rakun Ekor Tunggal), selaku anak kepada salah seorang Kazekage, begitu juga Naruto, anak kepada salah seorang Hokage, mewarisi Kyuubi (Rubah Ekor Sembilan). Kyuubi dibelenggu ke dalam tubuh Naruto oleh Minato, sebagai satu cara untuk menyelamatkan Konoha dari terus diserang oleh raksasa berekor sembilan tersebut.

Akibat tindakan Minato itu, Minato hilang nyawanya, manakala Naruto pula membesar sebagai seorang budak malang, ditakuti dan dipandang serong oleh orang-orang kampung, kerana dia dianggap sebagai jelmaan Syaitan Rubah Berekor Sembilan itu.

Minato dikenali sebagai Yellow Flash atau Kilat Kuning, kerana kepantasan luar biasa yang dimilikinya menerusi Jurus Terbang Dewa Guruh. Minato berupaya menyeru Raja Kodok iaitu Gamabunta, dan merupakan pencipta jurus Rasengan. Jurus ini tidak berjaya disempurnakan oleh Minato. Jiraiya kemudiannya mewariskan jurus Rasengan kepada Naruto. Naruto berjaya menggabungkan jurus Rasengan dengan salah satu elemen semula jadi, iaitu angin menjadikan jurus Rasengan meningkat ke satu tahap yang menggerunkan, dikenali sebagai Fuuton Rasen Shuriken - Putaran Angin Shuriken. Jurus yang merbahaya ini tidak boleh dipakai sebarangan kerana akan membawa kerosakan terhadap badan penggunanya.

Naruto mewarisi rupa paras Minato, tetapi perangainya adalah sama seperti ibunya, Uzumaki Kishuna. Minato, seorang genius ninja yang terhandal dalam sejarah dunia ninja, merupakan seorang yang bijaksana, matang dan tenang, manakala Kishuna yang berambut merah, merupakan wanita yang berperwatakan tomboi.

Dua orang generasi muda terkuat di Konoha ketika ini ialah Kakashi yang memiliki mata Sharingan, dan Naruto. Kakashi merupakan calon Hokage paling utama selepas Jiraiya dan Tsunade. Ini kerana Kakashi memiliki kombinasi kekuatan, ilmu pengetahuan, kepantasan, kecekapan, kemahiran dan kebijaksanaan yang tinggi. Kakashi juga merupakan orang penting yang ditugaskan untuk mengawasi dan menjaga keselamatan Naruto, selain Jiraiya.

Gambar di bawah adalah gambar Naruto semasa berusia 12 tahun. Berdiri dari belakang, kiri: Kakashi (Guru Kumpulan Tujuh - Kumpulan Naruto), Iruka Umino (Guru Naruto semasa di Akademi Ninja), barisan depan, dari kiri, Uchiha (kipas kertas) Sasuke (Ketua Kumpulan Tujuh), Uzumaki (pusaran) Naruto dan Haruno (musim bunga) Sakura.

Kisah Keperibadian Naruto dan Sasuke

Uzumaki Naruto (kiri) dan Uchiha Sasuke (kanan)

Hari ini biar kita berbicara mengenai keperibadian Naruto dan Sasuke. Jika selama ini anda tersentuh hati dengan jalan ceritanya, dengan aksi watak-wataknya, dengan semangat dan azam Naruto, maka apa kata hari ini kita kenali pula Uzumaki Naruto dan Sasuke secara lebih mendalam. Saya, Amiene Rev, menerusi entri ini, akan membincangkan mengenai keperibadian kedua-dua watak kesukaan ramai ini.


Uzumaki Naruto adalah anak kepada Hokage Keempat, Namikaze Minato, yang bergelar Kilat Kuning (Yellow Flash).

Nama Uzumaki diambil bersempena keturunan sebelah ibunya, iaitu Uzumaki Kishina. Nama Naruto, diambil bersempena dengan sejenis bahan yang berbentuk pusar, yang biasanya diletakkan sebagai hiasan ramen (mi tarik), yang sangat disukai oleh Naruto. Uzumaki pula bermaksud pusaran atau putaran (spiral), yang mewakili puting beliung.

Kenapa bukan Namikaze Naruto dan sebaliknya Uzumaki Naruto? Untuk melindungi satu rahsia yang penting berkaitan dengan sejarah hidup Naruto dan masa depan Konoha, fakta ini dirahsiakan.

Naruto dilahirkan pada 10 Oktober, iaitu bersempena dengan tarikh Hari Kesukanan dan Kesihatan di Jepun yang dipanggil Taiiku No Hi. Tarikh lahir ini merujuk kepada sikap hiperaktif Naruto serta staminanya yang tinggi. Apakah hiperaktif? Hiperaktif merujuk kepada suatu kelakuan yang agresif dan sukar untuk dikawal.

Apa yang menyebabkan Naruto menjadi hiperaktif? Mungkin anda boleh katakan ini adalah kesalahan Namikaze Minato, yang mengurung Iblis Rubah Berekor Sembilan - Kyuubi, di dalam tubuh Naruto. Penduduk kampung telah tersalah anggap, mereka menyangka Naruto dan Kyuubi adalah satu jiwa yang sama. Mereka berfikir, Naruto itulah Kyuubi yang telah membuat kerosakan dan membunuh ramai saudara mara dan kawan-kawan mereka. Maka, Naruto dibenci dan sering disisihkan.

Kerana perasaan kesunyian, sentiasa dipinggirkan oleh orang ramai, Naruto berubah menjadi agresif. Dia berbuat nakal, mempermain-mainkan orang kampung, menimbulkan kemarahan Cikgu Iruka, dan melakukan vandalisme (menconteng dinding, patung dan sebagainya). Naruto tidak tahu kenapa orang ramai sentiasa menyisihkan dirinya, sehinggalah berlakunya pembongkaran asal-usul dirinya oleh Mizuki (tali barut Orochimaru).

Demi mendapat kembali perhatian orang ramai, Naruto berazam untuk menjadi Hokage. Dia tidak mahu dianggap lemah dan dipandang rendah. Untuk itu, Naruto telah berlatih dengan bersungguh-sungguh untuk menguasai ilmu ninja.

Naruto tidak faham kenapa semua orang membencinya, kenapa semua orang menganggap dirinya adalah Kyuubi, dan kenapa ramai orang suka melihatnya gagal. Naruto telah mengharungi penderitaan dan kesunyian kerana Kyuubi. Oleh kerana dia faham apa itu perasaan kesunyian, bagaimana rasanya disisihkan orang ramai, Naruto mula belajar menghargai persahabatan.

Cikgu Iruka dianggap sebagai ayahnya. Naruto suka makan ramen. Di gerai ramen, dia boleh berbicara dengan pak cik penjual ramen. Cikgu Iruka juga kadangkala belanja Naruto makan ramen. Gerai ramen ada kenangan manis untuk Naruto yang kuat makan. Dia boleh menghabiskan bermangkuk-mangkuk ramen.

Kerana pernah merasai betapa menderitanya kesunyian, Naruto sangat-sangat menyayangi kawan-kawannya. Dia tidak mahu kehilangan kawan. Dia sanggup mengorbankan nyawanya demi kawan-kawan. Kebenciannya terhadap kesunyian dan musibah Kyuubi, menyebabkan Naruto sentiasa mahu membela kawan-kawannya.

Naruto telah menganggap Uchiha Sasuke sebagai abangnya. Uchiha Sasuke yang bijak dan handal dalam ilmu ninja sentiasa menjadi matlamat kejayaannya. Naruto tidak mahu dikalahkan oleh Uchiha Sasuke yang dianggap sebagai Genin terhandal di Konoha pada ketika itu. Naruto juga berhasrat untuk mengalahkan Neji, Rock Lee dan Gaara.

Pengalaman yang dilalui Naruto sepanjang perjalanan hidupnya untuk memburu status Hokage, telah menjadikan Naruto seorang yang sedar erti menghargai kehidupan dan persahabatan. Naruto bertarung bukan untuk dirinya, tetapi untuk kebaikan kawan-kawannya.

Sasuke, juga menyedari kelebihan yang ada pada diri Naruto. Hal ini menyebabkan Sasuke, dalam diam, turut menyanjungi Naruto dan menganggap Naruto sebagai saudara kandungnya.

Sasuke dibesarkan dalam keluarga yang begitu mementingkan kejayaan. Ayah Sasuke sangat tegas dalam hal ini. Sejak kecil, Sasuke telah dilatih untuk sentiasa mencapai tahap kecemerlangan dalam ilmu ninja. Sasuke berlatih dengan tekun untuk mendapat pengiktirafan daripada ayahnya. Untuk menjadi seorang anak dalam keluarga Uchiha, Sasuke mestilah mempunyai potensi yang luar biasa dalam ilmu ninja.

Abang Sasuke, Uchiha Itachi telah meninggalkan sejarah hitam dalam dirinya. Sasuke memburu kekuatan dan kehandalan demi menewaskan abangnya. Apabila melihat Naruto dengan tiba-tiba mencapai kemajuan yang luar biasa dalam ilmu ninja, Sasuke mula berasa rendah diri dengan dirinya. Sekiranya Naruto pun tidak dapat dikalahkannya, bagaimana Sasuke boleh menewaskan abangnya dengan tangannya sendiri?

Sasuke tidak berhasad dengki dengan Naruto, sebaliknya merasa dirinya sudah merosot. Dipengaruhi rasa dendam terhadap abangnya, Sasuka mencabar Naruto. Sasuke mahu mengetahui sama ada benar dia lembab dalam ilmu ninja atau pun tidak. Hasil pertarungan di atas bumbung bangunan hospital itu sangat menggemparkan.

Sasuke teringat bahawa abangnya pernah memberitahu cara untuk menjadi kuat. Sesiapa yang berdarah puak Uchiha, mampu menguasai jurus Mangekyou Sharingan, iaitu jurus mata ninja yang terkuat dalam versi Sharingan. Tidak ada orang yang boleh berhadapan dengan jurus mata tersebut. Namun, syarat utama untuk menguasai jurus itu, adalah dengan membunuh saudara sendiri atau orang yang dianggap sebagai saudara kandung sendiri.

Sasuke sebenarnya tidak sanggup untuk berbuat demikian. Naruto bagaikan adik kandungnya sendiri. Oleh itu dia memutuskan untuk mencari Orochimaru sebagai jalan lain untuk membina kekuatan dan kehandalan bagi membunuh abangnya, Uchiha Itachi.

Peluang untuk menemui Orochimaru tiba apabila beberapa orang pengikut Orochimaru datang menemui Sasuke. Mereka memberitahu Sasuke, bahawa Orochimaru boleh memberikan kekuatan dan kehandalan dalam ilmu ninja kepada Sasuke, dengan syarat, Sasuke mesti bertemu dengan Orochimaru.

Namun, semasa dalam perjalanan menemui Orochimaru, Naruto dan kawan-kawannya telah datang dan menggagalkan usaha pengikut-pengikut Orochimaru. Naruto tidak mahu Sasuke mengorbankan dirinya, semata-mata untuk menjadi kuat.

Sasuke yang berasa geram dengan tindakan Naruto kerana mencampuri urusan peribadinya, bertindak melancarkan serangan balas terhadap Naruto. Sasuke beranggapan, sekiranya gagal menemui Orochimaru dan berguru dengannya, maka segala usahanya untuk membunuh Uchiha Itachi yang telah menyebabkan kematian semua ahli puak Uchiha termasuk ibu bapanya sendiri akan menjadi angin.

Sasuke tidak mahu membunuh Naruto

Tekanan dan dendam menyebabkan Sasuke bertindak mahu membunuh Naruto, namun pada masa yang sama hatinya tersentuh dengan semangat persaudaraan yang ditunjukkan Naruto. Naruto tewas kerana lembut hati. Sasuke tidak jadi membunuh Naruto. Masakan dia sanggup membunuh orang yang telah dianggap sebagai saudara kandungnya sendiri? Sasuke juga amat sayang kepada keluarganya. Keluarganya telah dibunuh. Sasuke tidak mahu membunuh Naruto.

Sekiranya dia membunuh Naruto, bermaksud dia telah mengikuti kehendak abangnya, Itachi. Sasuke tidak mahu mengikut telunjuk Itachi. Sasuke mahu mencari kekuatan dengan usahanya sendiri. Lalu dia pun meninggalkan Naruto, menjejaki Orochimaru.

Naruto tidak sedar, Sasuke sudah mempunyai rancangannya sendiri apabila menemui Orochimaru. Sasuke tidaklah bodoh mahu menyerahkan badannya untuk dirasuki oleh Orochimaru. Orochimaru mahu memindahkan rohnya ke tubuh Sasuke untuk menguasai jurus Sharingan. Ketika itu tubuhnya akan menjadi lemah. Sasuke akan mengambil peluang itu untuk membunuh Orochimaru. Tiga tahun kemudian, Orochimaru telah mati dibunuh oleh Sasuke, iaitu pada detik-detik Orochimaru mahu memindahkan rohnya ke tubuh Sasuke.

Sasuke tidak terus pulang ke Konoha, kerana dia tahu, dia pasti akan dijatuhkan hukuman. Sasuke menubuhkan Kumpulan Hebi atau Ular yang bermatlamat membunuh Uchiha Itachi. Undang-undang kumpulan itu ialah tidak boleh membunuh orang yang tidak berdosa. Hal ini telah terbukti, semasa berjuang di samping Orochimaru, Sasuke tidak pernah membunuh lawannya. Semua lawannya ditewaskan sehingga tidak mampu bangun, tetapi tidak mati. Orochimaru menegur kelembutan hati Sasuke.

Sasuke mahu membunuh Itachi. Dia tidak perlu membunuh Naruto untuk menjadi kuat. Sasuke tidak perlukan jurus Mangekyou Sharingan untuk mengalahkan Itachi. Naruto bagaikan adik kandungnya sendiri. Anda pula bagaimana? Adakah anda juga menghargai hubungan antara adik-beradik dan kawan-kawan? Naruto dan Sasuke, sama-sama menghargai hubungan persahabatan dan persaudaraan. Mereka tidak akan mengkhianati saudara dan kawan-kawan mereka. Ini adalah keperibadian yang sungguh menarik.

Khamis, April 19, 2007

Anime dan Manga: Tanggungjawab Berat Kartunis dan Animator Dalam Mendidik Anak Bangsa

Pernahkah anda dengar bagaimana kartun dan animasi dapat diaplikasikan untuk mendidik anak-anak kecil? Apa yang hendak dididik? Bagaimana cara mendidik? Anak-anak zaman sekarang kebanyakannya sudah bosan dengan cara didikan yang skema.

Mereka mahukan perubahan. Mereka suka mendekati perubahan dan pembaharuan. Namun, adakah itu bermaksud kita harus meletakkan unsur-unsur yang merosakkan di dalam karya kita? Bahasa kesat? Tingkah laku watak-watak yang biadab sebagai bahan lawak?


Animasi Jepun dan Animasi Tempatan

Pernahkan anda menonton animasi-animasi Jepun. Cuba hayati lagu-lagu tema mereka? Adakah mengenai percintaan? Tidak. Lagu-lagu tersebut kebanyakannya adalah mengenai mengenai motivasi.

Kata-kata seperti: "Jangan mudah putus asa. Mesti kuat berusaha. Perbaiki hubungan sesama manusia. Jangan ambil kisah dengan kegagalan lalu. Tidak ada manusia yang sempurna. Sekali gagal, apabila berusaha boleh berjaya lagi."

Lirik dan lagu yang menarik dan menyentuh rasa. Jepun membesarkan anak-anak mereka dengan animasi yang diselaraskan dengan modenisasi.

Dahulu kita ada animasi Keluang Man. Lagu tema animasi ini menarik juga. Tidak silap saya lagu ini adalah nyanyian Krisya.

Animasi Jepun kebanyakannya tidak muncul begitu sahaja. Animasi-animasi ini berasal dan bersumberkan manga yang ditulis oleh rakyat Jepun itu sendiri. Kita ada manga? Apa pelukis manga kita buat? Cerita apa? Cerita bermakna, dengan tema yang kritis dan mendalam atau kisah yang merapu? Cerita yang membicarakan persoalan-persoalan yang menjana minda atau perkara-perkara yang remeh-temeh?

Perhatikan manga Team Medical Dragon, Doraemon, Slam Dunk, Gundam, Samurai X, Full Metal Alchemist dan sebagainya. Susunan bahannya adalah menarik. Struktur sejarahnya jelas. Pemikiran penulis yang kritis dalam satu-satu perkara.

Bagaimana pula Naruto? Animasi popular ini memotivasikan kanak-kanak untuk memberi sumbangan terhadap masyarakat sekitar. Biar pun dicemuh, dihina dan dipandang negatif oleh pihak-pihak tertentu. Watak-watak utama dalam manga ini tidak bertindak negatif, sebaliknya mengambil langkah positif untuk memperbaiki diri dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

Barangkali Mat-Mat Rempit juga patut mencontohi watak-watak utama ini. Begitu juga dengan para pendatang asing di negara ini, mereka juga patut mengubah tanggapan orang ramai.

Oh, saya kasihan dengan nasib warga Myammar yang terlibat dengan kes kehilangan Yin tempoh hari. Moga Tuhan melindungi orang-orang yang benar dan menghukum orang-orang yang salah.

Animasi Jepun tidak mensasarkan kanak-kanak, tetapi juga warga dewasa. Namun tidak semua animasi atau manga Jepun itu baik. Manga Jepun terdiri daripada pelbagai kategori. Antaranya Shounen (manga untuk pembaca lelaki), Shoujo (manga untuk pembaca feminin, karektor-karektornya sentiasa kelihatan ayu) dan Hentai (manga untuk bacaan dewasa).

Bagi sesiapa yang pernah membaca animasi dan manga Naruto, cuba buat perbandingan antara animasi Naruto kelas filler (episod atau jalan cerita yang tidak terdapat di dalam manga) dengan berasaskan manga, mana lebih berkesan?

Kita dapati jalan cerita yang ditulis berasaskan manga, iaitu buah fikiran pelukis manga tersebut lebih berkesan. Ada jiwa. Ada rasa. Ada penghayatan dalam pergerakan dan ucapan kata-kata watak-wataknya.

Begitu juga di Malaysia. Kartunis harus bergabung dengan animator. Gabungan untuk menghasilkan animasi yang terbaik. Deria penglihatan dan deria pendengaran boleh digunakan untuk memberi kesan positif kepada anak-anak.

Animasi adalah unsur didikan. Jangan kata bakat melukis itu sia-sia. Tidak ada satu pun bakat itu sia-sia. Kalau anda berbakat melukis dan menyertai dunia lukisan, jangan pula anda penuhi hidup anda dengan kartun-kartun yang cuma mampu membasahkan gusi para pembaca anda. Gunakan bakat anda untuk mencipta jalan-jalan cerita yang menarik dan bermotivasi.


Teguran Buat Pelukis Kartun dan Manga Tempatan

Gunakan bahasa yang betul. Jangan jadi pelukis kartun dan perosak bahasa. Tidak berkat hidup anda kerana mengkhianati bangsa sendiri. Suatu hari nanti, apabila anda tekun menghasilkan cerita kartun-kartun yang baik, tidak skema dan bermotivasi, cerita-cerita kartun anda itu boleh dijadikan animasi yang menarik dan luas pasarannya.

Sudah tahu bukan? Kenapa Tuhan kurniakan bakat melukis kepada anda? Kenapa anda memilih untuk jadi pelukis? Jangan jadi pelukis semata-mata untuk kepuasan sendiri. Itu mementingkan diri namanya! Didik anak-anak bangsa kita supaya belajar untuk berbakti kepada masyarakat. Didik anak-anak bangsa kita kita supaya rajin berusaha.

Kartun remeh temeh untuk santai? Santai apa? Ketika anak-anak bersantai membaca kartun, isi cerita kartun itu pula berunsur merosakkan. Adakah anda sedar anda bertanggungjawab mewujudkan bangsa kurang ajar dan biadab menerusi kartun-kartun anda? Bahasa kesat, bahasa mencarut, bahasa kurang ajar memenuhi kotak-kotak dialog kartun-kartun anda?

Sanggupkah anda? Berdosa manusia-manusia yang menghasilkan karya-karya yang menjadi ikutan ramai ini. Sanggupkah anda membiarkan kartun-kartun dengan dialog yang sia-sia dan berunsur negatif itu menguasai minda anak-anak anda? Anda kata karya anda umum. Semua orang boleh baca. Semua orang ketawa. Semua orang ikut apa yang anda tulis.

Pelukis kartun tempatan mempunyai peranan dan tanggungjawab besar sebagai pendidik. Sedar peranan anda. Hargai diri anda. Anda juga adalah idola bagi sesetengah remaja. Jaga bahasa kartun-kartun anda. Perjelaskan pengajaran di dalam karya-karya anda. Olah biar menyentuh jiwa anak-anak muda kita. Itu tanggungjawab anda. Anda gagal laksanakan tanggungjawab anda sebagai kartunis, anda berdosa. Anda mengkhianati bangsa anda sendiri.

Pernahkah anda dengar kata-kata ibu atau bapa kepada anak-anak mereka?

"Baca buku kartun lagi!"

"Jangan beli majalah kartun lagi! Tak berfaedah!"

"Baca Majalah _________ (kartun) lagi!"

"Boleh tak baca buku yang berfaedah selain daripada buku kartun tu?"

Apa maknanya semua ini? Anda tidak dihargai. Karya-karya anda dipandang negatif kerana anda telah mengkhianati perjuangan bangsa kita. Anda serap unsur-unsur tidak sihat menerusi penggunaan bahasa yang tidak sopan, dan tema-tema yang tidak membawa remaja ke arah kebaikan.

Jangan kerana anda dipandang serong, anda terus tidak mahu berubah, merajuk, lalu bertindak menghasilkan karya-karya negatif. Lakukan perubahan. Ambil tindakan positif. Hasilkan karya-karya yang dapat membentuk identiti bangsa, budaya bahasa bangsa.


Karya Tidak Dinilai Dari Segi Temanya, tetapi Menerusi Mesej dan Cara Penyampaiannya

Kadangkala, suatu karya yang berbentuk fantasi dan tahyul itu lebih baik daripada idea yang berkaitan dunia nyata, sekiranya isi kandungan karya tersebut mengandungi pelbagai unsur pengajaran dan didikan moral. Cerita yang bagus mengandungi mesej yang bertujuan menjulang sifat-sifat kemanusiaan ke arah yang lebih positif ditekankan secara berkesan.

Contohnya filem Dorm atau Dek Khor dari Thailand. Ini adalah filem seram. Temanya mengenai hantu. Namun saya beranggapan cerita ini mempunyai moral yang baik. Cerita ini juga berkaitan dengan persahabatan dan sifat keprihatinan sesama kawan. Saling ambil berat antara satu sama lain. Fungsi sebenar persahabatan. Peranan ibu bapa dan penjaga. Garapan ceritanya menarik. Saya akan mengulas cerita ini pada masa akan datang.

Maafkan saya kalau kata-kata ini menyinggung perasaan anda sebagai kartunis. Ada kartunis yang baik, ada kartunis yang mengkhianati (sama ada secara sengaja atau tidak sengaja). Kadangkala mereka melakukan khianat secara terang-terangan. Kita tidak sedar. Tidak ada manusia yang sempurna. Oleh itu, kita wajar saling tegur menegur.

Sekian. Selamat berkarya!

Selasa, Mac 27, 2007

Voice Actor - Pelakon Suara

Salah satu cita-cita sampingan aku adalah untuk menjadi pelakon suara atau voice actor. Malang sekali, aku sendiri pun tidak tahu di mana saluran yang sesuai untuk memulakan kerjaya dalam bidang ini.

Antara tokoh-tokoh pelakon suara terkenal tanah air ialah
Erra Fazira dan M. Nasir yang berlakon suara untuk filem animasi Malaysia yang berjudul Putih. Oh, ya, jangan lupa dengan animasi televisyen pertama Malaysia, iaitu Usop Sontorian. Ciptaan kartunis legenda tanah air, Ujang.

Bercakap mengenai pelakon suara secara global. Aku tertarik dengan pelakon-pelakon suara dari Jepun untuk animasi mereka. Penghayatan yang sangat tinggi. Antara suara-suara yang aku cukup suka adalah suara
Gaara dan Shikamaru.

"Sabaku Sou Sou!" Wah! Menarik! Sebagai seorang pengkritik blog (=.="), aku memberi markah yang sangat tinggi untuk suara Gaara. Suara Shikamaru juga cukup bagus. Penghayatan yang sangat tinggi dan bersesuaian dengan watak.

Kebetulan suara
Gaara mirip dengan suara... ehem. ehem. Tidak-tidak, sebenarnya aku yang meniru suara Gaara. Mungkin sebab aku agak garang semasa melakonkan suara ini. Tidak, aku berbohong. Aku perlu merakam kembali suara aku. Barangkali aku syok sendiri. Ha. Ha. Kenapa hari ini perasaannya cukup tenang semasa menulis blog? Sebenarnya suara aku tidak sama seperti Gaara, tetapi campur tangan mentaliti yang mengabui pendengaran.

Jika aku ingin menjadi pelakon suara, aku mesti mengatasi sikap dan mentaliti sebegini. Kena lebih banyak
merakam suara dan mendengarnya kembali. Bosan, setiap kali aku cuba merakam suara, kedengaran seperti ada orang memerhati dan mencuri dengar. Bunyi tapak-tapak kaki berlalu di depan pintu bilik aku kedengaran. Manusia-manusia seolah-olah mengintai bilik aku menerusi tingkap bilik di bangunan seberang sana. Wah! Ini pengalaman aku merakam suara.

Bagaimana pun, aku sedar adanya perubahan suara untuk watak
Naruto. Suara Naruto adalah milik seorang pelakon suara wanita bernama Junko Takeuchi. Suara kanak-kanak yang nyaring "Are! Are!" dan suara remaja yang agak garau. "Ohm! Ohm!"

Sekarang Naruto sudah memasuki zaman remaja. Aku meramalkan, Naruto pasti akan terkorban pada suatu hari nanti. Atau, barangkali, Sasuke yang akan terkorban. Antara dua watak utama ini, cuma satu yang akan dapat hidup kekal. Bagaimana, jika... Shikamaru yang terkorban?