BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Suara Untuk Semua. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Suara Untuk Semua. Papar semua catatan

Selasa, April 01, 2008

Pemergian Amiene Rev

Kadangkala kita tidak sedar kematian begitu dekat menghampiri kita. Romantis Selatan memberitahu Amiene Rev, krisis kewangan yang dihadapinya semakin teruk. Hari ini, tidak ada sekeping kertas biru, merah atau hijau yang bernilai di dalam dompetnya.

Kemudian, dia mendapati perkataan Amiene Rev sebelum ini benar. Apabila kita meraih satu kejayaan yang lain, bermaksud kita sedang melalui satu peringkat yang lebih besar. Ramai orang silap dan bersenang-lenang, maka kegagalan pun datang menyerang.

Negara kita sudah merdeka, sudah membangun, dan jika dahulu rakyat selalu berwaspada, selalu mengambil berat antara satu sama lain, kini budaya hedonisme mula meracuni pemikiran kebanyakan warganegara Malaysia. Budaya yang digeruni, tetapi oleh kerana rakyat dilemaskan dengan hiburan secara terus menerus, mereka tidak ada pilihan selain tenggelam timbul di dalam lautan hiburan. Sama ada lemas, tertelan air, tenggelam terus atau pandai berenang, atau sekadar pandai mengapungkan diri. Dunia hiburan dianggap sebagai satu-satunya lambang kejayaan dan orang berjaya dalam bidang ini menjadi ikon.

Bagaimana pula bidang lain? Masih banyak bidang lain yang belum kita kenali sepenuhnya. Bidang hiburan dan orang-orang yang terlibat dalam bidang itu, habis diterokai sampai ke hal-hal peribadi. Betapa dunia hiburan mendapat tempat dan usaha untuk memperkenalkannya dibuat secara mendalam, daripada yang tunjang hingga ke saraf halus. Kontroversi, konflik dan pergaduhan. Undi sana, undi sini. Tangisan air mata. Artis-artis, tidak kira yang memberi sumbangan besar atau pun sekadar meraih populariti cukup makan turut mendapat tempat di media.

Bagaimana pula dengan dunia keilmuan? Tokoh-tokoh ilmuan yang membuat penemuan-penemuan penting untuk kehidupan. Kejayaan saintis-saintis negara kita di Geneva. Masih banyak bidang yang boleh didalami menerusi media-media utama.

Sejak akhir-akhir ini, rancangan berbentuk fakta, sains dan penemuan kelihatan hambar dan tidak ada pembaharuan. Kewujudan rancangan-rancangan realiti di televisyen juga seakan-akan sudah putus idea. Adakah musim realiti TV sudah tamat? Atau ada idea-idea baru sedang diperam untuk menghasilkan rancangan-rancangan TV yang lebih hebat?

Dunia seakan-akan sudah mati. Tidak ada perkara menarik. Mungkin dua atau tiga bulan lagi ada perkara-perkara menarik akan berlaku?

Penerbit-penerbit TV dan media-media massa seharusnya berinteraksi dengan para penonton. Masih banyak masalah yang belum selesai di negara ini. Rancangan-rancangan di televisyen seharusnya membantu menyelesaikan masalah semasa dan masalah yang belum selesai-selesai sejak dahulu lagi. Adakalanya satu-satu rancangan di televisyen itu mempunyai matlamat dan objektif yang sangat baik, tetapi cara persembahannya pula yang kurang menarik. Rancangan seperti ini perlu digilap lagi supaya dapat membantu menjaga kebajikan rakyat Malaysia.

Sekiranya dunia enggan berubah, maka kita perlu mengubahnya tetapi sebelum kita dapat mengubah dunia, kita harus mengubah diri kita dahulu.

Amiene Rev telah pergi...

Sabtu, Disember 22, 2007

Akan Kucari Penawar Bagi Racun Ini - Jika Tidak Kutemui, Maka Biar Kucipta Vaksinnya

PENTING: Terutama, kepada adik-adik yang ada menghantar puji-pujian kepada saya, harap jangan berkecil hati dengan penggunaan perkataan racun dan godaan di dalam entri ini. Saya menulis sedemikian rupa, sebagai memberi peringatan kepada diri saya supaya jangan mudah tenggelam dengan puji-pujian, jangan berhenti memajukan diri dalam bidang penulisan. Sesungguhnya masih banyak perkara yang perlu saya pelajari. Masih banyak perkara yang perlu saya terokai. Ilham dan idea itu datangnya daripada Tuhan yang satu.

"Kiranya anda mengirimkan racun dan bisa (puji-pujian) kepada saya, jangan lupa kirimkan penawarnya sekali (ulasan/kritikan yang membina dan dapat meningkatkan hasil penulisan saya)" - Amiene Rev, 1.49 pagi, 22 Disember 2007.

Baru-baru ini, jiwa saya mula makin serius dengan bidang penulisan. Ketika itu juga ujian (godaan) datang kepada saya. Ujian ini berbentuk racun (puji-pujian). Racun ini bukan untuk Tuhan, tetapi untuk manusia (hamba-Nya).

Telah datang beberapa anak muda (saya juga masih muda mentah), mereka membaca karya-karya penulisan saya, catatan saya, dan kemudian menggoda saya supaya menjadi pendeta, memberi tunjuk ajar dalam penulisan sastera. Lalu saya katakan, saya masih mentah, tidak memiliki tiket untuk bergelar guru, biarpun karya saya pernah disiarkan di dalam majalah, ketika usia saya masih belasan tahun.

Anak-anak muda ini mengirimkan pelbagai jenis racun:

  1. Racun tokoh terkenal - mengatakan karya-karya saya sudah seperti tokoh terkenal
  2. Racun legenda - mengatakan karya-karya saya sudah seperti karya sasterawan lagenda (Shakespear dan lain-lain).
  3. Racun perindu - mengatakan karya-karya saya sedap dibaca
  4. Racun-racun yang belum dikenalpasti
Anak-anak muda ini kemudian datang kepada saya untuk berguru kepada saya. Mereka memberi kepercayaan kepada saya, lalu mengirimkan karya-karya mereka kepada saya untuk diulas. Saya memasang niat, sekiranya saya menolak permintaan mereka, maka saya telah mengecilkan hati mereka, tidak berusaha membantu memperkasakan sastera, tidak mendorong mereka supaya meminati penulisan dan beberapa perkara yang tidak enak lagi.

Lalu, saya memutuskan, untuk meningkatkan lagi ilmu saya dalam bidang-bidang seperti ini. Kepada adik-adik yang belum mendapat balasan dari saya, jangan pula berkecil hati. Sejak akhir-akhir ini saya sangat sibuk mendalami ilmu penulisan, demi adik-adik semua, yang yakin dengan kebolehan saya.

Saya akan berusaha untuk memastikan karya-karya saya dalam bentuk puisi melakarkan dakwat dalam media-media tempatan. Ketika karya-karya saya mula diterima media (yang saya yakini, diusahakan oleh pakar dan ahli dalam bidang puisi), ketika itu saya pasti akan memenuhi permintaan adik-adik semua, memberi tunjuk ajar dalam bidang penulisan puisi.

Adik-adik sekalian, maafkan saya. Saya pada masa ini, belum layak untuk menjadi guru buat adik-adik. Saya belum mencapai tahap seperti yang telah adik bayangkan. Belum lagi ada pengalaman yang cukup dalam untuk terus merencanakan hasil karya adik-adik dalam bentuk ulasan dan tunjuk ajar. Sekiranya saya memberi tunjuk ajar juga, saya tidak jamin apa yang saya ajar itu dapat membantu adik-adik meniti di jambatan yang betul. Mungkin adik-adik akan terpijak papan reput, lalu jatuh ke dalam gaung.

Untuk itu, saya akan memajukan lagi diri saya supaya dengan adanya pencapaian, pengalaman dan pengetahuan yang luas dalam bidang penulisan, saya tidak lagi risau sekiranya tercipta mazhab palsu untuk adik-adik.

Saya akan mula mengisi sampul-sampul, setiap satu sampul dengan satu puisi, kemudian menampal setem, dan kemudian menunggu puisi-puisi itu tersiar di majalah dan akhbar. Sekiranya tidak tersiar, maka selagi itulah saya belum layak untuk memberi tunjuk ajar kepada adik-adik dalam bidang ini. Belum praktis.

Sekian, terima kasih.