BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Telefon Bimbit. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Telefon Bimbit. Papar semua catatan

Isnin, Julai 16, 2012

Pelajar Dibenar Bawa Telefon Bimbit ke Sekolah Pada Sesi Tahun 2012

Menerusi pos atau entri ini, beberapa tulisan dan pandangan sekitar tahun 2006 dahulu berkenaan dengan isu membawa telefon bimbit ke sekolah disentuh semula. Pelbagai kerisauan mula timbul apabila penggunaan telefon bimbit dibenarkan dibawa ke sekolah. Antaranya ialah kes-kes kecurian, pergaduhan akibat kecurian, penglibatan pihak polis, kelalaian, video lucah dan ugutan akan menyebabkan sekolah bukan lagi tempat yang selamat. Penggunaan telefon bimbit memungkinkan peningkatan stres di kalangan warga sekolah.

Pelajar sekolah di seluruh negara - mungkin dibenarkan membawa telefon bimbit ke sekolah, pada sesi persekolahan tahun depan.
Sumber: www.tv3.com.my

Perkara itu antara yang terkandung dalam Draf Peraturan Pendidikan Displin Murid 2012, yang kini di peringkat akhir, sebelum dibawa kepada pejabat Peguam Negara dan diluluskan.

DATUK DR WEE KA SIONG / TIMBALAN MENTERI PELAJARAN: "Sesuatu trend dilihat lebih realistik pada waktu sama perlu ada sekatan pengunaan supaya tak ganggu gugat perjalanan dalam kelas itu prinsip kita dapat pelawa pandangan semua pihak".

Inisiatif itu mengambil-kira pandangan pihak berkepentingan ibu-bapa dan guru, pelajar serta pentadbiran sekolah.

Rasional penggunaan alat komunikasi di luar waktu kelas membabitkan faktor termasuk keperluan keselamatan murid dan persekitaran pembelajaran secara maya.

Peraturan yang digubal di bawah Akta Pendidikan 1996, tidak memerlukan pindaan di Parlimen.

Hukuman bagi murid yang melanggar displin peraturan baru itu ditetapkan perlu menjalani aktiviti bersifat pendidikan termasuk khidmat masyarakat.


Penggunaan Telefon Bimbit Di Sekolah Dibantah: Jangan cetus masalah -- Pelbagai pihak bantah pelajar guna telefon bimbit di sekolah.
Sumber: Utusan Malaysia. 14 Jan 2006

KUALA LUMPUR 13 Jan. - Pelbagai pihak daripada ahli politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh pendidik meminta Kementerian Pelajaran menarik balik kebenaran bersyarat pelajar menggunakan telefon bimbit di sekolah kerana ia membawa lebih keburukan berbanding kebaikan.

Mereka berpendapat, penggunaan telefon bimbit oleh pelajar di sekolah tidak akan membantu meningkatkan mutu pendidikan, sebaliknya menyumbang kepada masalah disiplin di sekolah-sekolah.

Jika keadaan ini dibiarkan, kata mereka, dasar pendidikan negara yang bertujuan melahirkan pelajar berkualiti dari segi ilmu dan moral tidak akan tercapai.

Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras, Senator Datuk Syed Ali Alhabshee berkata, penggunaan telefon bimbit boleh menyebabkan salah laku moral yang akhirnya menjejaskan dasar pendidikan negara.

``Sebagai contoh, pelajar mungkin akan menghendap dan merakam gambar pelajar atau guru perempuan di dalam tandas.

``Lebih dibimbangi sekiranya gambar ini disebarkan oleh pelajar yang tidak bertanggungjawab menerusi telefon bimbit,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Ahamad Sipon semalam mengenai kebenaran menggunakan telefon bimbit di kalangan para pelajar.

Kebenaran itu yang akan berkuat kuasa secepat mungkin tertakluk kepada syarat-syarat dalam Garis Panduan Penggunaan Telefon Bimbit Oleh Murid Sekolah yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran, semalam.

Sehubungan itu, Syed Ali yang juga Ketua UMNO Bahagian Cheras mencadangkan supaya pihak sekolah membenarkan pelajar menggunakan telefon di pejabat sekolah sekiranya ingin menghubungi ibu bapa.

``Sekolah perlu membenarkan pelajarnya yang mempunyai hal kecemasan untuk menggunakan telefon di pejabat,'' katanya.

Bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Abdul Rahman Arshad pula percaya, pelbagai masalah akan timbul sekiranya para pelajar dibenarkan membawa telefon bimbit di sekolah termasuk kes kecurian.

Selain itu, katanya, penggunaan telefon bimbit oleh pelajar di sekolah akan menimbulkan jurang pemisah antara pelajar miskin dan kaya hingga mencetus suasana yang tidak harmoni.

Setiausaha Agung Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Awang Mohamad melihat implikasi buruk mungkin tercetus sekiranya perkara itu dibenarkan.

Menurutnya, para pelajar lebih banyak terdedah kepada penyelewengan penggunaan alat telekomunikasi tersebut.

``Teknologi canggih yang menjadi perisian setiap telefon bimbit berupaya membawa minda para pelajar ke alam lain selain di bilik darjah,'' ujarnya.

Beliau berkata, meskipun pelajar hanya dibenar menggunakan telefon bimbit sebelum waktu persekolahan bermula, semasa waktu rehat dan selepas sesi persekolahan tamat, tanpa disedari teknologi itu `membunuh' masa depan para pelajar.

Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM), Mohd. Firdaus Abdullah turut melahirkan kebimbangan terhadap penggunaan telefon bimbit di kalangan pelajar di sekolah.

``Telefon bimbit boleh menyebabkan masalah pencemaran bahasa, penyebaran gambar-gambar lucah, perhubungan bebas melalui telefon dengan orang tidak dikenali yang seterusnya boleh menjurus kepada keruntuhan moral.

``Malah, dengan menggunakan telefon bimbit semasa waktu rehat, kemungkinan besar para pelajar akan menggunakannya untuk bermain `game' atau SMS dan semua ini mampu menjejaskan tumpuan mereka terhadap pelajaran,'' katanya.

Wajarkah Penggunaan Handphone di Sekolah dikalangan pelajar?
Pelajar dibenar guna telefon bimbit di sekolah
Oleh Mustafa Kamal Basri

KUALA LUMPUR 12 Jan. - Para pelajar kini dibenar menggunakan telefon bimbit di sekolah, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Ahamad Sipon.

Bagaimanapun katanya, kebenaran tersebut yang akan berkuat kuasa secepat mungkin tertakluk kepada syarat-syarat dalam Garis Panduan Penggunaan Telefon Bimbit Oleh Murid Sekolah, yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran.

Menurutnya, pelajar hanya dibenar menggunakan telefon bimbit sebelum waktu persekolahan bermula, semasa waktu rehat dan selepas sesi persekolahan tamat.

``Kementerian Pelajaran tiada halangan membenarkan penggunaan telefon bimbit oleh murid atas desakan ibu bapa bagi memudahkan mereka memantau dan memastikan keselamatan anak-anak mereka,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, sejak sembilan tahun lepas, semua pelajar dilarang membawa dan menggunakan telefon bimbit di sekolah.

Larangan tersebut mula dikuatkuasakan pada 13 Mei 1997 semasa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Menteri Pendidikan.

Ahamad memberitahu, garis panduan itu juga menetapkan:
  • Semua telefon bimbit perlu dimatikan sewaktu aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta kokurikulum.
  • Penggunaan telefon bimbit termasuk Khidmat Pesanan Ringkas (SMS), permainan, nada dering, kamera dan lain-lain hanya boleh digunakan di kantin, koridor dan ruang legar sekolah.
  • Telefon bimbit boleh dirampas oleh pihak sekolah jika murid-murid tidak mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.
  • Murid-murid diingatkan bahawa membawa barangan yang berharga ke sekolah adalah atas risiko sendiri.
Menurut Ahamad, Kementerian Pelajaran telah mengarahkan semua Jabatan Pelajaran Negeri segera menyampaikan garis panduan tersebut ke sekolah-sekolah bagi membolehkannya dilaksanakan secepat mungkin.

Beliau juga menjelaskan, Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.11/2005 bertarikh 23 Disember 2005 yang membenarkan penggunaan telefon bimbit oleh murid sekolah tidak ditarik balik.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan PIBG Kebangsaan (Permuafakatan), Prof. Madya Mohd. Ali Hassan berkata, kebenaran itu perlu dilaksanakan secara berperingkat-peringkat, membabitkan pelajar sekolah menengah terlebih dahulu.

``Jika dasar itu didapati berkesan, barulah kita perluaskan kepada murid sekolah rendah pula,'' katanya.

Beliau juga mengingatkan ibu bapa, guru dan pentadbir sekolah supaya memantau dan memastikan garis panduan itu dipatuhi.

Pihak sekolah juga, katanya, perlu menyediakan tempat untuk menyimpan telefon bimbit bagi memastikan ia hanya digunakan pada waktu yang ditetapkan sahaja.

``Kita bimbang pelajar menyalahgunakan kemudahan itu atau pihak tertentu mengambil kesempatan ke atas pelajar dengan menggunakan telefon bimbit kepunyaan mereka,'' katanya.

Mohd. Ali berkata, pemantauan juga perlu dibuat bagi mengelakkan pelajar terlalu asyik menggunakan telefon bimbit, menghantar SMS dan Khidmat Pesanan Multimedia (MMS) sehingga menjejaskan tumpuan mereka kepada pelajaran.

``Kita juga bimbang wujud budaya tidak sihat di kalangan pelajar apabila mereka bersaing membeli telefon bimbit berjenama,'' katanya.

Mohd. Ali berkata, dasar itu juga boleh mendatangkan keburukan termasuk pelajar terdedah dengan pencemaran bahasa dan penyebaran gambar lucah jika tidak dipantau.

Setiausaha Agung Kesatuan Profesion Perguruan Kebangsaan, Lok Yim Pheng mengalu-alukan langkah tersebut kerana ia akan mendedahkan pelajar kepada teknologi maklumat (IT).

``Pada zaman ini, kita tidak boleh membataskan pelajar menggunakan telefon bimbit.

``Jika kita sekat pelajar menggunakan telefon bimbit, bermakna kita menghalang pelajar terdedah kepada IT,'' katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, murid sekolah rendah terutama di tahun 1, 2 dan 3 tidak digalakkan menggunakan telefon bimbit kerana umur mereka yang masih rendah.

Ahad, Oktober 23, 2011

Telefon bimbit bukan punca barah: Kajian

Isu mengenai bahaya telefon bimbit kepada pengguna sudah lama dicetuskan. Namun, baru-baru ini, satu kajian saintifik berkenaan bahaya telefonn bimbit menunjukkan hasil yang berbeza. Telefon bimbit didapati tidak memberikan kesan berisiko untuk mendapatkan kanser atau barah pada penggunaan yang normal. Bagaimana pula dengan iPhone dan sebagainya?

Telefon bimbit bukan punca barah: Kajian 

LONDON: Telefon bimbit tidak meningkatkan risiko barah, lapor penyelidikan yang membabitkan lebih 350,000 responden oleh penyelidik Denmark yang disiarkan semalam. Kajian yang didedahkan dalam laman web Jurnal Perubatan British, mencelah siri kajian lain yang memperoleh kesimpulan serupa. Saintis Institut Kajian Epidemologi Kanser di Copenhagen melihat mereka berusia sekurang-kurangnya 30 tahun yang melanggan talian telefon bimbit dan membandingkan kadar ketumbuhan dalam otak dengan mereka tidak melanggan antara 1990 hingga 2007. “Kajian ini menyokong penyelidikan yang gagal mencari kesan memudaratkan penggunaan telefon di bawah pendedahan normal,” kata Pengarah Perubatan Fizik Hospital Britain Royal Berkshire dan Felo Institut Fizik dan Kejuruteraan Perubatan, Malcolm Sperrin. Pada Mei, Agensi Penyelidikan Kanser Pertubuhan Kesihatan Sedunia memutuskan telefon bimbit dikategori sebagai kemungkinan mendedahkan barah, meletakkannya sama kategori dengan plumbum dan kloroform. – Agensi

Sabtu, Oktober 22, 2011

Kaedah baru caj telefon bimbit mengunakan air mendidih

Kaedah baru caj telefon bimbit mengunakan air mendidih 
Sebuah syarikat Jepun memperkenalkan kaedah terbaru mengecas telefon bimbit di luar rumah selepas bencana alam melanda iaitu dengan memanaskan sebuah periuk di atas unggun api. Periuk terma elektrik tersebut yang dikenali sebagai Hatsuden-Nabe menukar haba air mendidih kepada tenaga elektrik yang kemudian disalurkan ke peralatan seperti telefon pintar, pemain muzik dan sistem pengesan kedudukan global. SEORANG kakitangan syarikat TES NewEnergy menunjukkan sebuah periuk yang menindih air boleh mengecas sebuah telefon bimbit dalam satu demonstrasi baru-baru ini. Syarikat TES NewEnergy yang beribu pejabat di Osaka, mula menjual periuk itu di Jepun pada harga AS$299 (RM907) bulan ini sebelum ia dipasarkan di negara-negara membangun tidak lama lagi. Periuk berkenaan dilengkapi bahan seramik termaelektrik yang menghasilkan arus elektrik melalui perbezaan suhu 550 darjah Celsius di dasar periuk dan air mendidih di dalamnya pada suhu 100 darjah Celsius. Syarikat berkenaan menyatakan, gajet itu mengambil masa tiga hingga lima jam untuk mengecas sebuah iPhone dan para pengguna boleh memasak makanannya pada sama yang sama. “Saya mendapat idea mencipta periuk ini apabila melihat rakaman televisyen yang memaparkan mangsa-mangsa gempa bumi membuat unggun api untuk memanaskan badan mereka,” kata Ketua Pegawai Eksekutif TES NewEnergy, Kazuhiro Fujita. – AFP 

Britney Spears dilarang ada telefon bimbit 
Penyanyi Britney Spears, 29, telah dilarang daripada memiliki telefon bimbit sendiri untuk mengawal tingkah lakunya. Larangan tersebut dilihat sebagai salah satu langkah yang diambil oleh individu terdekat dengan penyanyi itu bagi mengelak dia mengulangi kesilapan-kesilapan pelik sebelum ini. “Orang yang paling rapat dengan Britney sentiasa memerhati gerak-gerinya bagi memastikan dia berada pada trek yang sepatutnya. “Salah satu pendekatan yang diambil adalah melarangnya daripada memiliki telefon bimbit kerana ia membantu orang lain untuk mengawal dirinya,” kata satu sumber seperti dipetik akhbar Sun. Pada tahun lalu, bekas pengawal peribadinya Fernando Flores, 30, mendakwa penyanyi itu telah mengirimkan beberapa keping gambar bogel yang diambil sendiri menggunakan telefon bimbit. 

Padah guna telefon bimbit semasa petir: 
Remaja perempuan maut dalam bangsal Seorang remaja perempuan maut akibat dipanah petir, dipercayai ketika menggunakan telefon bimbit milik ibunya di sebuah bangsal berhampiran rumahnya di Kampung Belimbing dekat sini semalam. Dalam kejadian pukul 5.50 petang itu, mangsa, Siti Munirah Nordin, 13, meninggal dunia di tempat kejadian dengan kesan terbakar di sebelah kanan muka, telinga, kepala dan punggungnya. Sebelum kejadian, mangsa dikatakan sedang bercakap dengan seseorang menggunakan telefon tersebut ketika cuaca agak redup dan petir sedang berbunyi. Remaja berkenaan hanya ditemui oleh abangnya, Mohd. Firdaus, 16, sudah meninggal dunia di bangsal kira-kira pukul 9 malam tadi. Ini berikutan ahli keluarga mencarinya setelah tidak pulang ke rumah untuk berbuka puasa sejak keluar pukul 4.30 petang. Menceritakan kejadian itu, ibu mangsa, Rosnah Dollah, 49, berkata pada mulanya dia menyangka anaknya berbuka puasa di rumah rakannya yang terletak berhampiran rumah, namun terkejut apabila mendapat tahu anaknya tidak pergi ke situ. “Sebelum kejadian, dia ada bercakap menggunakan telefon bimbit saya di dalam rumah. Kemudian saya menegurnya menyebabkan dia keluar dari rumah. “Saya beritahu dia masih bersekolah dan tidak patut berbual lama-lama di telefon. Saya tidak tahu pula dengan siapa dia berbual,” katanya ketika ditemui di rumah bapanya di Kampung Manal hari ini. Tambahnya, setelah mencarinya merata-rata dan bertanyakan kawannya, dia kemudian mencari anak keenam daripada tujuh beradik itu di bangsal tersebut. “Saya teringat untuk mencari di situ kerana pernah ternampak dia dan kawannya duduk di bangsal sambil bercakap menggunakan telefon bimbit sehari sebelum kejadian,” katanya. Rosnah merupakan seorang ibu tunggal setelah kematian suami lima tahun lalu akibat sakit kencing manis. Dia kini menyara tujuh orang anak dan bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan RM25 sehari. 

Bahaya Telefon bimbit, boleh menyebabkan kanser. 
Pengguna-pengguna telefon bimbit berisiko menghidap kanser otak dan mereka dinasihatkan menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan alat pendengaran telefon, kata beberapa pakar barah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Menurut WHO, penggunaan SMS dan alat pendengaran telefon itu akan mengurangkan si pengguna terdedah pada gelombang telefon bimbit. Medan frekuensi elektromagnetik radio yang dibebaskan telefon bimbit berisiko menyebabkan kanser pada manusia,” kata kenyataan Agensi Antarabangsa untuk Penyelidikan Kanser (IARC) selepas persidangan lapan hari diadakan di Lyon Perancis kelmarin. Pakar-pakar membuat rumusan itu berdasarkan penelitian ke atas kajian melibatkan manusia dan kajian epidemiologi yang menunjukkan peningkatan berlakunya glioma iaitu sejenis kanser otak,” kata Presiden IARC, Jonathan Samet. Dua kajian utama menunjukkan mereka yang paling kerap menggunakan telefon bimbit lebih berisiko dijangkiti kanser otak, katanya dalam satu sidang akhbar melalui telefon. Beberapa individu berisiko tinggi yang dipantau dalam kajian-kajian tersebut telah menggunakan telefon bimbit mereka pada kadar purata 30 minit sehari selama 10 tahun. “Kami tidak dapat meramalkan apa yang akan berlaku sekiranya orang ramai menggunakan telefon bimbit untuk tempoh masa yang lebih lama dan sepanjang hayat mereka,” kata Samet. Terdapat sekitar lima bilion telefon bimbit berdaftar di dunia dan jumlah itu serta masa penggunaannya semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Jelas IARC, bukti saintifik menunjukkan telefon bimbit berpotensi menyebabkan kanser tetapi ia masih perlu dibuktikan. – AFP

Jumaat, Oktober 14, 2011

Hukum Al Quran Dalam Telefon Bimbit Bila Ke Tandas

Hukum Al Quran Dalam Telefon Bimbit Bila Ke Tandas
 
SOALAN: SAYA ada kemusykilan mengenai aplikasi al-Quran di dalam telefon bimbit. Saya baru menggunakan telefon bimbit Samsung Galaxy dan ada memuat turun aplikasi al-Quran dari perisian Andriod Market. Aplikasi al-Quran itu percuma. Adakah menjadi kesalahan jika saya meletak telefon saya di dalam poket seluar dan sering membawa telefon berkenaan ke dalam tandas?

JAWAPAN: HUKUMNYA adalah harus untuk mempunyai telefon bimbit yang mempunyai aplikasi al-Quran. Bagi menjaga kesucian al-Quran, aplikasi al-Quran tidak dibuka ketika berada di tempat kotor seperti tandas. Membawa telefon berkenaan bersama-sama ke dalam tandas dibenarkan apabila ia tidak dibuka atau diakses ketika itu. Ini kerana aplikasi al-Quran dikira tidak wujud ketika masa itu. Kita boleh ibaratkan ia seperti seorang hafiz memasuki tandas, tidak menjadi kesalahan asalkan dia tidak membaca al-Quran dalam tandas kerana perbuatan itu boleh menjejaskan kesucian al-Quran. 

Khamis, Ogos 11, 2011

Telefon Popular - Telefon Bimbit Popular Malaysia

10 telefon bimbit popular di Malaysia
SUMBER: UTUSAN

CURVE 8520 antara model BlackBerry yang mendapat permintaan tinggi.

MALAYSIA mempunyai prospek pasaran telefon bimbit pintar paling cepat membangun. Ia dibuktikan menerusi peningkatan jumlah pengguna telefon bimbit mobiliti pelbagai jenama di negara ini.

Dalam kegilaan masyarakat yang berlumba-lumba memiliki pelbagai gajet moden itu, syarikat enjin pencarian Yahoo! mengeluarkan statistik model-model telefon bimbit popular yang dicari pengguna menerusi inisiatif Yahoo! Search Trends.

Berikut adalah hasil pencarian 10 model telefon bimbit paling popular oleh Yahoo! Malaysia Search untuk sepanjang bulan Jun 2011 :

* iPhone 5
Apple memang tidak pernah mengumumkan tarikh pelancaran rasmi untuk model telefon bimbit pintar terbaru iPhone 5. Namun, disebabkan minat mendalam pengikut setia gajet itu, mereka telah mengeluarkan khabar angin bahawa Apple menyediakan 15 juta unit iPhone 5 yang dibangunkan di Taiwan sebagai persediaan memasuki pasaran menjelang September tahun ini.

* iPhone 4 i
Phone 4 merupakan telefon bimbit pintar berskrin sentuh dibangunkan oleh syarikat teknologi Apple. Generasi keempat iPhone itu hadir bersama keupayaan sokongan panggilan video dan kepelbagaian akses web serta multimedia. Ia didatangkan dalam dua pilihan warna iaitu hitam dan putih.

* Samsung Galaxy S
Telefon bimbit pintar Android ini telah diumumkan oleh Samsung pada bulan Mac 2010. Ia disempurnakan bersama pemproses Hummingbird 1 GHz, binaan memori Flash 6 hingga 16 gigabit (GB), skrin sentuh empat inci dengan resolusi 480 x 800 piksel Super AMOLED, kamera belakang lima megapiksel dan kamera depan.

* Samsung Galaxy SII
Samsung Galaxy SII merupakan telefon bimbit paling berjaya pernah dihasilkan oleh Samsung. Ketika ini, model tersebut diiktiraf sebagai telefon bimbit super pintar dengan pemproses berkembar kedua ternipis di dunia.

* Sony Ericsson Xperia
Xperia merupakan rangkaian telefon bimbit pintar dihasilkan oleh Sony Ericsson. Sejak 2010, syarikat itu banyak memberi fokus kepada pembangunan portfolio berkenaan dengan separuh daripada keuntungan Sony Ericsson disumbang oleh model-model Xperia.

* Nokia C3
Nokia C3 merupakan telefon bimbit mampu milik dengan spesifikasi cukup lengkap untuk menarik perhatian pengguna. Ia dilengkapi capaian Wi-Fi dan papan kekunci QWERTY.

* Nokia N8
Model telefon bimbit untuk siri N ini dipacu oleh sistem operasi Symbian 3. Ia merupakan peranti telekomunikasi Nokia pertama dilengkapi kamera beresolusi 12 megapiksel.

* Samsung Galaxy Ace
Samsung Galaxy Ace merupakan telefon bimbit pertama Samsung menggunakan sistem operasi terbuka daripada Android. Ia hadir bersama skrin TFT sentuhan pelbagai 320 x 480 piksel bersaiz 3.5 inci.

* Blackberry Bold
BlackberryBold 9000 atau lebih dikenali sebagai Bold 1 merupakan model Blackberry yang popular dengan fungsi pintar, mempunyai papan kekunci QWERTY serta keupayaan mesej berkesan.

* Blackberry Curve
BlackBerry Curve merupakan antara model awal yang diperkenalkan syarikat pengeluarnya, Research In Motion (RIM). Curve 8520 adalah peranti Blackberry pertama mempunyai kawalan pad trek.