BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Tekanan Perasaan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tekanan Perasaan. Papar semua catatan

Isnin, Oktober 19, 2009

Menghilangkan Rasa Sedih - Mengatasi Rasa Sedih - Membuang Rasa Sedih

Bagaimana Amiene Rev Menghapuskan Rasa Sedih?
Penulis: Amiene Rev (C) 2009

Menghabiskan masa dengan orang-orang yang aku hargai sejak beberapa hari ini, sekurang-kurangnya dapat menghilangkan rasa sedih dan sunyi terhadap anak-anak didikku yang bakal pergi meninggalkan aku tidak lama lagi. Namun begitu, aku bagaikan terapung-apung dalam dunia yang lain, dan gagal menjejaki realiti. Realiti, dalam konteks hidup ini, bermaksud diri yang sebenar. Selama ini aku menganggap diri ini sentiasa berada di dalam balang kaca, yang dikawal dengan laser infra-merah dan sistem penggera keselamatan. Terkongkong dalam peradaban dan darjat kemanusiaan. Kini, aku bebas menyertai sesiapa sahaja, bergaul dengan sesiapa sahaja tanpa halangan. Maka, aku merasakan diri aku kini sebagai bukan aku.

Setiap hari, aku menghabiskan masa dengan mengunjungi rumah-rumah terbuka yang dianjurkan oleh teman-teman. Menghabiskan masa bersama-sama teman-teman memberi perasaan mendapat perhatian dan ini dapat membuatkan aku lupa akan kesedihanku. Hari ini, Hari Raya sudah tamat, Deepavali 2009, mengakhiri marhaban.

Kesedihan akan mewujudkan stres. Apabila apa yang kita harapkan tidak sama dengan kenyataan atau realiti, maka stres atau tekanan mampu wujud dan mencengkam emosi. Apabila hati dilanda perasaan sedih, fikiran manusia mugnkin tidak dapat berfikir secara matang. Fikiran negatif senang-senang sahaja timbul. Maka seeloknya semasa masih bersedih, jangan dibuat sebarang keputusan yang penting-penting atau yang besar-besar. Kerana kesedihan atau emosi ketika ini sedang mengepung akal supaya tidak dapat berfikir secara matang, rasional dan waras.

Sekiranya aku diserang perasaan sedih, maka selalunya aku akan mengadu kepada Tuhan. Berdoa dan berzikir. Namun, perasaan kehilangan atau memikirkan mereka yang bakal pergi meninggalkan kita memang amat-amat menyentuh hati. Maka aku menyerah sepenuhnya kepada Tuhan. Sesungguhnya Tuhanlah tempat pertama untuk aku sebagai manusia mengadu dan meluahkan segala kesedihan dan masalah. Kerana perasaan yang aku miliki ini, adalah diberikan oleh Tuhan, dan kehidupanku ini, adalah kehidupan yang diberikan oleh Tuhan.

Aku juga memiliki orang-orang kepercayaan yang menjadi tempat untuk aku berbicara dan meluahkan segala masalah aku sehingga puas. Kadangkala aku menulis segala luahan tersebut dalam bentuk tulisan. Dan kebanyakan tulisan tersebut memberi pulangan yang lumayan kepada diriku.

Kadangkala kesedihan dapat diatasi dengan cara menyertai kesibukan. Bukankah sebelum ini kita selalu dengar orang yang sibuk tidak ada masa untuk mengingati orang tersayang, sehingga dianggap lebih pentingkan karier dan mengejar kemewahan berbanding kemanusiaan. Ya, nilai-nilai kemanusiaan akan terhapus apabila manusia sentiasa berada dalam kesibukan. Dan, kesedihan aku kini kerana perasaan sayang dan rindu, maka kadangkala aku patut menjadi bukan manusia, menghapuskan nilai-nilai kemanusiaan dalam diri aku.

Sesetengah orang dapat menyibukkan diri dengan aktiviti seperti menonton wayang, bersukan, mendengar lagu yang dapat mewujudkan perasaan gembira atau bersemangat, meluangkan masa bersama teman-teman, memelihara binatang kesayangan, berjalan-jalan melihat dunia luar dan sebagainya. Namun aku selalunya ada satu cara yang mungkin unik untuk menghilangkan perasaan sedih.

Aku selalunya suka mendengar orang lain meluahkan kesedihannya, lalu aku bantu orang tersebut. Dengan mengetahui kesedihan orang lain, aku dapat membuat perbandingan dengan kesedihan diriku, dan seterusnya belajar untuk menghargai kehidupan yang telah diberikan Tuhan kepadaku. Cara ini juga dapat membantu aku untuk melihat kehidupanku dari sudut yang positif.

Banyak berfikir kadangkala boleh mendatangkan masalah, dan juga rasa sedih. Apabila kita memikirkan masa depan, tentang orang-orang yang akan meninggalkan kita, tentulah kita akan berasa sunyi lagi sedih. Kesedihan yang sedang aku alami sekarang ini adalah kerana aku terlalu memikirkan detik-detik perpisahan tersebut, sedangkan mereka kini masih ada di depan mata.

Semasa kecilnya, aku sering menghilangkan kesedihan diriku dengan berlari sejauh-jauhnya. Kepenatan kerana bersukan, akan mendatangkan rasa lelah, nafas yang tercungap-cungap dan keadaan ini mampu menghilangkan rasa sedih. Kerana itu, aku selalu menjadi atlet sprinter atau atlet olahraga yang hebat semasa usiaku masih amat muda. Namun kerana halangan ibu bapa yang tidak membenarkan anak-anaknya terpikat dengan dunia sukan, maka aku tidak dapat melibatkan diri dalam bidang sukan secara serius.

Satu lagi tingkah laku aneh yang sudah lama tidak aku lakukan untuk menghilangkan kesedihan ialah handstand atau berdiri dengan dua belah tangan. Taktik ini sering aku lakukan semasa usia kanak-kanak. Darah akan memberat ke kepala dan otak, lalu fikiran akal akan menjadi semakin aktif. Apabila akal menguasai diri dan emosi berjaya dibelakangkan, maka usaha untuk mengatasi rasa sedih menjadi lebih mudah.

Setiap kali aku berjaya menghilangkan rasa sedih, selalunya aku akan cepat-cepat mencari aktiviti yang berfaedah supaya kehidupan dan perasaanku tidak menyerap kesedihan itu lagi.

Sekiranya anda berminat dengan tulisan berkenaan kesedihan, kesunyian dan tekanan perasaan atau stress, anda juga mungkin berminat dengan tulisan-tulisan berikut:

Selasa, September 23, 2008

Stres: Cara Menghilangkan Tekanan Jiwa Dengan Berkesan

Beberapa Kaedah Berkesan Mengurangkan Stress - Siri 1
Penulis: Amiene Rev (C) 2008

Stres atau tekanan perasaan adalah sesuatu yang tidak disenangi dan boleh menjejaskan daya tumpuan kita terhadap aktiviti kehidupan seharian yang perlu kita tempuhi. Di sini terdapat beberapa panduan berkaitan dengan cara-cara untuk mengurangkan stres. Semoga entri ini akan dapat memberi manfaat kepada para pengunjung laman web ini.

Petua Selepas Bangun Pagi
Elakkan tidur pada waktu pagi. Tidur pada waktu pagi boleh mendatangkan tekanan perasaan. Sekiranya jam loceng anda berbunyi, pastikan anda tidak mematikan jam loceng tersebut semata-mata untuk menyambung tidur. Ini kerana usaha anda untuk tidur kembali selepas terjaga pada waktu pagi boleh menyebabkan tenaga anda semakin berkurangan akibat tekanan.

Udara segar pada waktu pagi seharusnya dimanfaatkan untuk menyegarkan kembali nafas dan minda anda. Tarik nafas sedalam-dalamnya untuk menghirup udara segar pada waktu pagi. Lakukan senaman ringkas dan mulakan aktiviti pagi anda dengan penuh rasa ceria dan fikiran yang positif.

Kurangkan Kafein Hindari Stres
Sebarang jenis makanan atau minuman yang mengandungi kafein seharusnya dielakkan daripada tersenarai dalam menu sarapan pagi. Sekiranya perlu, ambil makanan atau minuman berkafein dalam kuantiti yang sedikit sahaja. Pengambilan kafein yang terlalu banyak pada waktu pagi akan melambatkan kelancaran pemikiran anda, dan ini boleh menjejaskan daya tumpuan anda. Akibatnya, anda akan mengalami stres. Anda disarankan memakan epal pada waktu pagi untuk melancarkan lagi daya pemikiran anda.


Sarapan Pagi Baik Untuk Pengamal Diet
Badan dan otak anda memerlukan zat dan garam mineral yang secukupnya untuk memulakan pagi anda dengan sempurna. Oleh itu pastikan anda bersarapan pagi sebelum melakukan kerja-kerja rutin anda. Sekiranya waktu tidak mengizinkan anda untuk menyediakan sarapan pagi, maka makanlah makanan yang boleh dibawa bersama ke tempat kerja seperti snek lobak atau apa-apa makanan yang berkhasiat dan ringkas.

Makan pada waktu pagi juga dikatakan berkesan untuk pengamal diet. Jangan terkejut sekiranya anda dapati, orang yang tidak meninggalkan sarapan pagi akan memiliki berat badan yang lebih unggul berbanding orang yang selalu meninggalkan sarapan pagi. Berat badan yang ideal pasti akan memberikan satu perasaan positif terhadap diri anda dan secara tidak langsung boleh mengurangkan stres.


Kurangkan Stres Dengan Aktiviti Senaman
Senaman bukan sahaja bagus untuk memperbaiki stamina dan kelenturan anggota badan, malah boleh juga membantu menguatkan mental dan menghindari stres. Semasa anda bersenam, endorfin akan dibebaskan untuk meningkatkan tenaga anda. Ini akan menyebabkan anda berasa lebih selesa dan bersemangat.

Stres atau tekanan mental selalunya akan menyebabkan badan anda rasa lemah dan kurang bersemangat, maka senaman adalah salah satu cara untuk menyihatkan kembali fizikal dan mental anda.


Kemaskan Rumah dan Hiaskan Bilik
Sekiranya kita berasa stres, mengemas rumah atau bilik sewa yang menjadi tempat tinggal kita boleh memberikan perubahan kepada jiwa kita. Bilik yang ceria, kemas dan cerah akan dapat menimbulkan suasana yang damai.

Anda tidak perlu memberi barang-barang perhiasan yang mahal-mahal, cukuplah sekadar mempamerkan apa-apa objek yang dapat memberikan rasa diri anda dihargai. Contohnya barang-barang hadiah pemberian kawan, piala-piala, sijil, gambar foto bersama orang tersayang dan aliran udara yang baik.

Bilik yang pengap, panas dan lembab akan mendatangkan rasa resah kepada diri anda, maka pastikan anda mempunyai cara untuk mengatasi masalah ini.



Banyakkan Berinteraksi dan Berhubung Dengan Masyarakat
Hidup bersendirian akan menyebabkan anda rasa kesunyian. Warga tua yang tinggal berseorangan di rumah selalunya memelihara kucing atau anjing sebagai teman setia mereka. Orang muda juga tidak dapat lari daripada kesunyian. Apabila anda tidak ada teman untuk bercakap, maka carilah teman yang boleh memberi teladan kepada anda. Libatkan diri dalam aktiviti sosial dan pastikan anda sentiasa bertegur sapa dengan rakan-rakan di tempat kerja, jiran-jiran di sebelah rumah atau sesiapa sahaja yang anda selalu temui dalam kehidupan seharian anda.

Pernahkah anda berjalan dengan arah yang bertentangan dengan seseorang tanpa menegurnya? Pernahkan anda pergi ke kedai runcit, mencari barang keperluan, meletakkannya di atas kaunter dan kemudian membayar tanpa bertegur sapa atau bertanya khabar kepada penjaga kedai? Cuba ubah rutin tersebut. Agama kita, Islam menggalakkan kita mengucapkan salam kepada sesiapa yang kita temui, ini adalah salah satu cara untuk mengeratkan hubungan sesama manusia, selain membantu untuk menghilangkan stres.

Apabila kita merasai diri kita wujud dan diterima oleh masyarakat sekitar, kita akan berasa gembira dan ini akan dapat membantu mengurangkan tekanan perasaan atau stres yang sedang kita hadapai pada satu-satu masa.

Sumber: http://dukeamienerev.blogspot.com

Sekiranya anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai stres, tekanan perasaan, tekanan jiwa atau tekanan mental, anda juga boleh mendapatkan maklumat-maklumat berkaitan menerusi entri-entri yang dicadangkan di sini. Selain itu anda juga boleh menggunakan enjin carian Google yang terdapat di dalam blog ini. Pastikan anda menandakan bulatan pilihan dukeamienerev.blogspot.com yang terdapat di bawah kotak carian Google tersebut sebelum memulakan carian.