BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Romantis Selatan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Romantis Selatan. Papar semua catatan

Rabu, Ogos 11, 2010

Berulangnya Kisah Romantis Selatan

Romantis Selatan adalah kawan baik saya semasa di universiti. Sejak beberapa minggu lepas, seorang pelajar saya yang kini berada di universiti menghadapi masalah dan kesusahan yang lebih kurang sama dengan Romantis Selatan.

Saya kurang pasti sama ada dorongan yang saya berikan terhadap Romantis Selatan sehingga Romantis Selatan akhirnya berjaya merangkul anugerah di universiti, boleh diguna pakai untuk pelajar tersebut.

Jumaat, Ogos 08, 2008

Novel Romantis Selatan - Surat Untuk Takdir - Catatan Penulis

Dalam banyak-banyak novel yang sedang diusahakan, yang paling sukar ditulis adalah mengenai kisah hidup Romantis Selatan, seorang sahabat merangkap saudara paling rapat kepada diri saya. Bukan mudah untuk menggambarkan perjalanan hidup Romantis Selatan menerusi perkataan, sebab gambaran-gambaran kehidupan yang dilaluinya adalah tragis dan penuh dengan rentetan kesunyian.

Bagaimana saya mengenali Romantis Selatan? Sebab kami belajar di institusi pengajian yang sama, dan berkongsi minat yang sama iaitu sastera, maka saya dapat mengenali beliau dengan lebih dalam. Romantis Selatan pernah berkata, Amiene Rev adalah inspirasi dan contoh teladan untuknya bagi meneruskan kehidupan dengan prinsip hidup tegas dan garang. Ini adalah kata-kata paling menyentuh hati daripada seorang sahabat yang akrab.

Kesunyian bagi Romantis Selatan bukanlah kerana dia terasing tanpa teman-teman, tetapi kerana hasrat, bakat dan cita-citanya diabaikan. Seorang doktor memanggil kesnya sebagai 'seorang berbakat yang terabai'. Di bawah ini adalah ringkasan kisah benar, kehidupan Romantis Selatan sebelum hari ini.

Sejak kecil lagi Romantis Selatan sering diabaikan oleh ahli keluarganya. Tidak dilayan seperti adik-beradiknya yang lain. Kesemua adik-beradiknya sering diberikan baju baru, dihantar ke sekolah dengan kereta dan dipenuhi hasratnya. Romantis Selatan pula selalu mendapat jawapan 'tidak boleh' oleh ahli keluarganya. Hal ini menyebabkan dia selalu merasa dirinya disisihkan, dan seperti bukan anak sebenar.

Kedua-dua orang abangnya selalu cemburu dengan potensi yang ada pada Romantis Selatan. Romantis Selatan pernah beberapa kali didera, disebat dengan ekor ikan pari, dicucuk dengan besi tajam semasa zaman kanak-kanaknya oleh abangnya. Barang makanan dirampas, buku sekolahnya diconteng dan dia tidak dibenarkan menyiapkan kerja rumah sehingga didenda di sekolah. Kerana hal itu, Romantis Selatan dianggap sebagai pelajar yang bodoh, sehinggalah dia membuat kejutan dalam peperiksaan di sekolah rendahnya. Ayat guru, "Walaupun dia bodoh tetapi boleh mendapat pencapaian tertinggi di dalam kelas paling pandai" itu diingatinya sehingga kini.

Semakin Romantis Selatan mendapat pencapaian cemerlang, semakin dia dicemburui dan dizalimi oleh abangnya. Hadiah-hadiah yang diberikan kepadanya sempena pencapaiannya dalam akademik dirampas oleh abangnya dan ada yang dirosakkan. Malangnya ibu bapanya tidak pernah bertindak adil kepada Romantis Selatan.

Kerana sering dikhianati dan dizalimi angkara hasad dengki abangnya, Romantis Selatan mula belajar untuk semakin dicabar atau ditekan, semakin gigih dia akan berusaha. Romantis Selatan sudah lali dengan kezaliman, tengkingan dan pengkhianatan yang dilakukan. Hal ini memberi tekanan semula kepada abangnya dan menyebabkan abangnya mula merusuh dan resah. Ekoran itu, abangnya terjebak dalam kegelapan dan kini menjadi gila.

Bermula daripada detik Romantis Selatan diumumkan sebagai pelajar terbaik di sekolahnya, dia dipaksa mengikuti bidang pengajian yang bertentangan dengan cita-cita asal yang dirancang sejak zaman sekolah lagi. Dia sendiri pernah meminta pengesahan daripada kaunselor sekolah tetapi pendapat kaunselor itu pula ditentang berat oleh kedua-dua orang ibu bapanya.

Romantis Selatan memulakan kehidupan di universiti dalam keadaan yang terkejut. Dia di kelilingi oleh cerdik pandai, lulusan daripada pelbagai sekolah elit. Kematian nenda yang dikasihinya menghilangkan salah satu sokongan hidup terpenting dalam hidupnya.

Romantis Selatan biarpun mengambil bidang jurusan yang berbeza dengan kehendak hidupnya, masih terus mencari ruang untuk menggapai cita-cita asalnya. Perjuangannya melibatkan sistem akademik yang harus ditentangnya, dan pada masa yang sama tidak memihak untuknya.

Romantis Selatan mengembang bakatnya dan dia mula dikenali kerana bakat dan kesungguhannya. Kemudian dia dikejutkan dengan berita kematian empat orang adiknya ketika dia berada di suatu program yang terpisah dalam dunia nyata. Kematian empat orang adiknya ini adalah satu perkara yang dianggap sebagai sudah jatuh ditimpa tangga. Sejak itu Romantis Selatan sering dihantui perasaan kesal, sunyi dan sedih.

Sepanjang dua tahun pertama dia di universiti, dia mencintai seorang gadis tetapi kemudian memutuskan untuk menjadi teman biasa sahaja. Ini kerana kemunculan kekasih lama si gadis itu yang sebelumnya sudah dikenali ketika masih kanak-kanak. Bak kata, cinta yang terpisah kerana perpisahan dua benua, kembali bertaut di universiti. Sesiapa yang pernah menonton Winter Sonata akan mendapati Romantis Selatan seperti Jia Jun Sang. Romantis Selatan menganggap kehadirannya sebagai tidak wajar lalu memberi laluan kepada cinta yang belum pernah terputus untuk dikembangkan. Sejak itu Romantis Selatan sukar menerima mana-mana cinta baru dan menyerahkan soal jodoh itu kepada Tuhan.

Hidupnya semakin sunyi, tetapi pada masa yang sama dia mendapati teman-teman rapatnya semakin ramai. Tetapi dia tetap sunyi kerana tidak mendapat semua benda yang dihajatinya.

Tekanan ibu bapanya semakin kuat. Romantis Selatan dimaklumkan bahawa dia tidak dapat menukar ke jurusan yang diminatinya oleh pihak universiti, dan dengan itu bermaksud dia harus menamatkan apa yang dia tidak rancang.

Romantis Selatan mula menerima hakikat dan berdikari untuk mengatasi masalahnya. Ketika ini hubungannya dengan Amiene Rev semakin rapat dan Amiene Rev bertindak sebagai kaunselor peribadinya.

Amiene Rev menyarankan Romantis Selatan membuka sebuah blog sebagai satu bentuk terapi. Nama Romantis Selatan dipilih kerana blog itu mengisahkan kehidupannya semasa berada di Selatan Semenanjung Malaysia. Menerusi pembukaan blog itu Romantis Selatan mengenali beberapa orang penulis terkenal yang berkunjung ke blognya.

Apabila menerima panggilan telefon daripada pihak penerbit, Romantis Selatan mula sedar di dunia ini masih wujud penerbit yang merendah diri dan mahu membantu penulis-penulis baru. Hajatnya untuk menjadi penulis walau bagaimana pun tidak mendapat restu ibu bapanya.

Romantis Selatan terus berjuang untuk menamatkan pengajiannya dan pada masa yang sama dia harus berdikari mencari wang. Maka Romantis Selatan mengamalkan kehidupan yang serba fakir dan membutakan mata terhadap kemewahan dan keseronokan hidup sebagai seorang mahasiswa.

Semakin lama, semakin ramai kawan-kawannya hilang kerana tamat pengajian atau gagal. Patah tumbuh hilang berganti, Romantis Selatan mula mendapat kawan-kawan baru dan dihormati kerana pendirian tegas dan garangnya.

Romantis Selatan diberi perhatian penuh oleh kaunselor, pensyarah dan lain-lain staf di institusi pengajiannya dan ini membuatkan dia merasa dirinya dihargai. Walau bagaimana pun ada juga seorang dua pensyarah yang memandang sinis, begitu juga ada pelajar-pelajar yang memandang hina dirinya. Rupanya yang seperti fakir, memikul beg koyak, dan kasut yang dijahit semula, dengan seluar koyak yang ditampal dan baju yang sudah berusia belasan tahun, dan dompet duit yang dikutip dari tong sampah. Berpeluh-peluh setiap hari untuk menyelesaikan urusan ilmu dan akademik, berjemur di tengah panas dan tidak berpeluang menghayati keseronokan 'enjoy' seorang mahasiswa.

Romantis Selatan melaluinya dengan tabah. Suatu ketika dia merantau ke Kuala Lumpur untuk bekerja semasa cuti, dan dari situ dia menyedari kepentingan memiliki ijazah. Semasa belajar di sebuah institusi (kelas tumpang), Romantis Selatan diserang penyakit ganjil.

Romantis Selatan menganggap ajalnya sudah hampir tiba dan merasakan deritanya akan tamat tidak lama lagi. Dia tidak dapat makan selama tujuh hari, kulitnya membiru dan dia hilang identiti diri. Romantis Selatan dimasukkan ke wad kecemasan dan dirawat. Beliau bagaimana pun berjaya lulus dalam peperiksaan akhir untuk subjek berat yang diambilnya semasa belajar di kelas tumpang tersebut. Romantis Selatan bersyukur kerana wang yang digunakan untuk belajar semasa kelas tumpang tersebut berbaloi dengan lulus 100% untuk subjek sukar yang diambilnya semassa di kelas tumpang walaupun dalam keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

Romantis Selatan kembali ke Selatan dengan kudrat yang lemah. Beliau diserang penyakit berterusan dan mengalami amnesia ekoran kecederaan otak. Sejak itu personaliti Romantis Selatan mengalami perubahan. Kesan buruk akibat kecederaan misteri itu membawa kesan sehingga ke hari ini.

Romantis Selatan melalui pelbagai lagi cabaran tetapi dia mencari jalan untuk menyelesaikan cabaran-cabaran tersebut. Antaranya kerana bosan ketiadaan kawan kerana mengikuti kelas hujung minggu, sambil bekerja, beliau menyertai pelbagai aktiviti di universiti. Hasilnya beliau menjadi seorang senior yang popular dan disayangi oleh junior-juniornya.

Romantis Selatan nekad untuk menamatkan pengajiannya dan baru-baru ini dia berjaya menamatkan pengajiannya dengan keputusan yang lebih baik berbanding rakan-rakan sepengajian yang sebelumnya.

Ramai orang sangka Romantis Selatan tidak akan berjaya dan berputus asa, tetapi Romantis Selatan dengan prinsip tegas dan garangnya membuktikan, daripada seorang yang memberontak, kemudian mensyukuri kebolehan dan menginsafi kelemahannya, dia berjaya menamatkan pengajian di universiti dengan kepujian.

Romantis Selatan walau bagaimana pun mendapat satu rahsia, iaitu identiti dirinya yang sebenar. Rahsia yang dirahsiakan. Kini beliau dalam usaha menyiasat asal-usul dirinya. Romantis Selatan mengingat kembali bagaimana dia dilayan semasa kecil dan sering tertanya-tanya kenapa dia dilayan sedemikian rupa. Sekarang dia mendapat jawapannya.




Jumaat, April 18, 2008

Kisah Seorang Kakak Yang Keguguran dan Kisah Seorang Pelajar Sarjana Matematik

Dan, di taman syurga itu,
mereka bakal menyambutmu.

Anak-anak tanpa dosa,

memegang erat tanganmu.

Menjejaki syurga
.



Episod 1: Kakak Itu Keguguran

Saat ini, sudah dirasai bahang peperiksaan akhir semester. Aku, tidak lupa juga mencoretkan sedikit kata-kata di sini. Sejak beberapa hari yang lalu, langit cenderung menghadirkan diri dalam kegelapan yang mengusutkan minda. Cuaca mendung, ribut petir dan titisan hujan yang tidak beritma sekali-sekala menjejaskan perasaan sayu.

Cuaca sebegini, tiba-tiba sahaja mengelirukan aku. Aku secara langsung tidak dapat merasai kesedihan seorang kakak. Kakak ini suka meminjam buku-buku novelku. Dia membaca dengan pantas. Satu hari sahaja dia boleh menghabiskan novel setebal 500 halaman. Dia baik hati. Siang, dia di pejabat menguruskan yuran dan senarai harga. Malamnya, dia membantu suaminya menguruskan premis iparnya.

Hari ini, aku berkunjung ke bistro, tempat biasa kakak itu berniaga. Tidak kelihatan bayangnya. Bistro agak sunyi tanpa kunjungan. Ramai pelajar yang belum pulang dari kampung, atau sedang khusyuk menelaah pelajaran pada saat akhir. Aku lantas bertanya kepada seorang staf di situ. Dan, aku mengetahui kakak itu telah mengalami keguguran dan dimasukkan ke wad. Lalu hari ini aku tumpang bersedih.

Aku pernah dengar mengenai gila meroyan. Aku juga pernah mendengar mengenai mabuk kepayang, kerana aku pelajar termuda di dalam kelasku, yang sentiasa kesunyian tanpa teman sebaya, kerana harus belajar bersama-sama pelajar yang lebih tua, lebih dewasa, dan lebih matang. Teman sekelasku ada yang sebaya ibuku. Ada pula yang datang dengan kereta mewah seperti Ferrari. Mereka orang berada, hidup dengan pendapatan yang tinggi.

Jadi, aku mahu mencatat sesuatu di sini. Panjangkah catatan ini? Wajarlah aku kembali mengulangkaji pelajaran selepas ini. Sebelum itu, ada satu kisah lagi.


Episod 2: Seorang Sarjana Menulis Novel

Sarjana ini sedang menulis novel. Dia sudah menyelesaikan urusan akademiknya dalam bidang Sarjana Matematik. Mungkin tidak lama lagi dia akan melanjutkan pelajaran di peringkat Doktor Falsafah pula. Aku rasa, Romantis Selatan pasti mengenali sarjana ini.

Dahulu, sarjana ini sekelas dengan Romantis Selatan. Romantis Selatan pernah memberitahu aku, bagaimana pada suatu ketika, dia menunggu berjam-jam di depan pintu bilik sarjana ini (yang ketika itu belum lagi seorang siswazah), semata-mata mahu mengulangkaji pelajaran bersama-sama. Sarjana ini terkenal pandai dalam bidang Matematik. Sarjana ini menganggap kehadiran Romantis Selatan sebagai satu bebanan, lalu membiarkan dia keseorangan di luar bilik. Kerana hal itu, Romantis Selatan berasa sangat kecewa, lalu, dia pulang dalam keadaan yang sangat sedih. Beberapa hari kemudian, sarjana ini menemui Romantis Selatan dan memberikan beberapa set skema soalan peperiksaan akhir subjek-subjek Matematik pada tahun-tahun sebelumnya. Kisah ini ada disebutkan di dalam salah satu catatan Romantis Selatan.

Petang kelmarin, aku sempat makan tengah hari bersama dengan sarjana ini dan seorang lagi kenalan yang juga merupakan seorang imam muda. Pertemuan ini tidak dirancang. Pada masa yang sama, aku sempat berbual dengan penyelia projek akademikku, dan aku berasa bersyukur kerana penulisan tesisku tidak ada apa-apa masalah.

Kali ini kami berbincang mengenai penulisan. Sarjana ini sudah menulis tujuh bab untuk novel pertamanya. Dia memberitahuku penulisannya itu sekadar suka-suka sahaja. Daripada perbualan kami, aku mengetahui dia sedang menulis jibunsyi. Dia belum bekerja tetap, barangkali dia berperanan sebagai seorang pembantu pengkaji. Oleh kerana tidak ada pekerjaan yang boleh dibuatnya sesudah selesai pengajiannya di peringkat sarjana, dia mula menjadikan penulisan novel sebagai hobi.


Episod 3: Kisah Seorang Kakak Yang Keguguran dan Kisah Seorang Pelajar Sarjana Matematik

Sarjana ini tidak begitu arif mengenai penulisan tetapi itu tidak memutuskan usahaku untuk mencungkil maklumat aktiviti penulisannya. Sebelum ini, aku pernah mengusulkan kepada kakak yang keguguran itu untuk menulis buku atau apa-apa novel. Aku tertarik dengan kemahiran membaca yang dimiliki kakak itu. Namun kakak itu sentiasa sibuk siang dan malam, menjadikannya sebagai alasan untuk tidak dapat menulis novel. Aku redha. Sekarang aku menemui seorang lagi bakal penulis yang boleh aku perkenalkan kepada salah satu penerbit. Kali ini seorang sarjana Matematik.

Sebenarnya, aku sentiasa tidak lupa untuk mencari prospek-prospek baru dalam bidang penulisan, untuk diperkenalkan kepada dua syarikat penerbitan yang aku sayangi. Kedua-dua orang ini, seorang kakak yang keguguran dan seorang sarjana Matematik, barangkali berpeluang menjadi penulis buku atau novelis. Siapa tahu?

Lalu, aku tamatkan catatanku di sini. Salam peperiksaan.

Jumaat, Mac 14, 2008

Hujan Setiap Hari 5 - Dalam Kedinginan Ada Keyakinan

Dalam dunia ini orang silap bila kata kamu akan sentiasa bodoh. Sifat bodoh bukan sifat yang kekal dalam diri manusia. Manusia belajar dan menjadi pandai. Hari ini mereka bodoh, dan jika mereka mengambil iktibar daripada kesilapan dan tindakan bodoh mereka, bermakna mereka telah mempelajari sesuatu dan berubah. Sekali kena, dua kali tahu.

Ada manusia sengaja jadi bodoh. Kenapa agaknya mereka sengaja jadi bodoh? Amiene Rev berpendapat, dua faktor yang menyebabkan manusia sengaja menjadi bodoh ialah emosi dan nafsu. Emosi dan nafsu boleh meracuni akal. Takut keterlaluan dan marah yang amat sangat boleh menafikan kelogikan akal. Begitu juga nafsu. Nafsu malas dan tidak sabar yang tidak terkawal memusnahkan segala harapan dan strategi akal.

Pada pandangan Amiene Rev, emosi dan nafsu kadangkala boleh menonjolkan kekuatan kenegatifannya apabila dipengaruhi oleh pengalaman atau tafsiran akal yang tertentu. Keadaan yang menimbulkan putus asa menghasilkan perasaan malas dan enggan bergerak. Begitu juga apabila adanya tekanan persekitaran yang melampau, atau tanggungjawab yang terlalu mencapah.

Contohnya, seseorang itu perlu belajar dengan tekun, pada masa yang sama dia perlu bekerja dengan konsisten untuk mendapatkan wang. Masalah hutang, masalah takut dihalau kerana tidak dapat membayar sewa, masalah bimbang gagal dalam pelajaran kerana terpaksa memberi komitmen kepada kerjaya, masalah takut menerima wang daripada orang lain dan sebagainya.

Apabila ini berlaku, maka penawar perlu dicari. Malangnya pada ketika ini, pesakit merasakan dirinya kurang berupaya untuk bermotivasi. Dorongan moral daripada orang lain sangat membantu. Pesakit perlu banyak berinteraksi dengan orang-orang yang berkaitan dengan bidang yang bermasalah. Ini boleh mengembalikan motivasi. Hidup keseorang, kesunyian tanpa teman yang selari dengan apa yang dikerjakan boleh mendatangkan rasa keliru, tidak jelas dengan matlamat kerja dan akhirnya individu itu gagal menyudahkan apa yang dikerjakannya.

Kesunyian menyebabkan seseorang itu berasa dirinya tidak dihargai. Apabila tidak ada orang cuba mengambil berat mengenai dirinya, sama ada kawan atau kenalan, sama ada pensyarah atau pelajar sekuliah, ibu bapa atau adik beradik, maka individu tersebut boleh keliru dengan matlamat hidupnya. Seolah-olah dia tidak penting lagi, mati pun tidak apa.

Adakalanya, setelah terhantuk baru terngadah. Ini merupakan cara yang berisiko. Ada sesetengah pesakit menganggap, apabila nasi sudah menjadi bubur, maka tidak ada maknanya untuk meneruskan kehidupan lagi. Mereka telah mensia-siakan masa yang ada sebelum ini, dan tidak berminat lagi untuk menyambung usaha tersebut. Kehidupan sudah dianggap sebagai bebanan, dan mereka memutuskan untuk menamatkan kehidupan.

Dalam keadaan ini, pesakit perlu berhati dingin. Dingin bermaksud, bersunyi-sunyian memikirkan suatu matlamat. Matlamat yang berkaitan dengan pekerjaan yang harus diselesaikannya. Lupakan pertalian, tanggungjawab dan janji yang mencapah dengan matlamat tersebut.

Sebagai contoh, si pesakit perlu tamatkan pengajian, bukannya bekerja untuk mencari wang. Dalam kes ini, pekerjaan yang berat itu telah mengganggu matlamat pengajiannya. Perasaan terhutang budi dan mahu membantu orang yang telah membantunya menyebabkan si pesakit hilang fokus utamanya. Si pesakit perlu mengabaikan perkara-perkara yang mencapah ini. Ini dipanggil berhati dingin.

Dalam hati yang dingin, fokus si pesakit cuma satu. Dia melupakan persekitarannya. Si pesakit perlu memanfaatkan ego yang ada dalam dirinya. Si pesakit perlu memanfaatkan emosinya, mengabaikan rasa bersalah kerana mementingkan dirinya. Si pesakit perlu memanfaatkan nafsunya, supaya perasaan mahu bersungguh-sungguh menamatkan pengajiannya itu menggerakkan segala enjin yang bersembunyi di setiap sendi badannya.

Maka si pesakit akan mendapat semula fokusnya, dan berusaha dengan gigih. Semoga berjaya, Romantis Selatan. Semoga berjaya.

Bagaimana sekiranya tidak ada orang pun yang dapat mendorong si pesakit. Si pesakit hidup dalam kesunyian, mustahil akan ada orang untuk berada di sampingnya untuk terus menerus menyokongnya, memberi sokongan moral dan mengucapkan kata-kata untuk mengembalikan semangatnya? Ini mustahil. Cuma ada, Malaikat di bahu kanan, Syaitan di bahu kiri, dan Tuhan yang sentiasa memerhati.

Maka Amiene Rev telah memanfaatkan ilham menerusi kesejukan pada musim hujan, kedinginan kerana hujan yang turun sepanjang hari, untuk menghasilkan suatu teknik terapi menghargai diri yang dipanggil Terapi Hati Dingin.

Bermula entri ini dan akan datang, Amiene Rev akan memulakan Terapi Hati Dingin menerusi blog ini untuk mengembalikan semula keyakinan Romantis Selatan terhadap kehidupannya. Harap-harap South membacanya. Entri-entri yang memanfaatkan ego, emosi dan pengalaman silam sebagai langkah untuk menghargai diri.

Khamis, Mac 13, 2008

Hujan Setiap Hari 3 - Hati Dingin Wajah Mendung Kerana Cita-cita Di Langit Tak Sampai

Suatu hari, Romantis Selatan datang lagi. Dia termenung, sedih. Dia berfikir mengenai masa depannya lagi barangkali. Amiene Rev diam, tidak berkata apa-apa. Setiap manusia ada masalahnya, ada kehendak dan hajat. Tidak semua benda boleh dicapai. Kadangkala terpaksa berkorban untuk mendapatkan sesuatu. Adakalanya kerana pengorbanan ini, kita dianggap mementingkan diri sendiri. Namun, sudah menjadi resam hidup, bukannya mudah hendak memahamkan orang lain, mengenai apa yang kita rasa, kita alami dan pelajari.

"Saya rasa sepanjang hidup ini, tidak akan ada kepuasan dalam diri. Saya barangkali akan menyesal seumur hidup," kata Romantis Selatan.

"Kenapa?" Amiene Rev cuma mampu menyebut sepatah perkataan. Pertanyaan. Dingin. Sejuk. Beku. Amiene Rev tidak selesa untuk menaip apabila jari-jarinya terasa kebas.

"Saya..." Romantis Selatan gagal meneruskan kata-katanya. Nampaknya dia sukar untuk menerangkan perkara yang mengganggu jiwanya.

"Cuba awak fikirkan. Kita belajar bersusah payah untuk sesuatu yang akan menjadi pekerjaan kita seumur hidup. Bukan mudah. Banyak masa, duit dan pengorbanan digunakan. Penderitaan, kesunyian dan kekecewaan untuk kemahiran-kemahiran yang langsung tidak dapat dipraktikkan pada masa akan datang!" Amiene Rev dapat merasai perasaan geram yang terpancar dari lubuk hati sahabatnya itu.

"Ini bukan apa yang saya pinta. Masa silam tidak dapat diubah lagi. Hendak salahkan siapa lagi? Cuma marah dan geram menguasai diri!" Luah Romantis Selatan lagi.

"Tidak ada sesiapa yang harus kita salahkan, South..." Dengan perasaan yang agak mendung, Amiene Rev membuka mulut.

"Cuma saya mahu tanya satu perkara, beranikah awak menjawabnya?" Amiene Rev memancing jawapan dengan soalan perundingan.

"Sekiranya saya pasti..." Romantis Selatan tidak dapat menghabiskan jawapannya. Kata-katanya terputus. Putus asa?

"Beranikah awak menghadapi semua ini. Sudah bertahun-tahun, South. Sudah bertahun-tahun awak menghadapinya. Sekarang, awak akan menempuh satu peringkat lagi. Apa yang awak lalui sekarang ini bagaikan penghujung sebuah ark. Awak akan menempuhi ark yang baru. Lebih mencabar. Kehidupan di universiti ini cuma satu permulaan sahaja. Dari langkah yang silap, awak menjejaki kebenaran. Mencari apa tujuan hidup dan maksud kehidupan. South, beranikah awak menjawab 'ya', untuk terus hidup?" Agak panjang lebar, huraian yang Amiene Rev berikan, sebelum mengemukakan soalannya.

Dalam keadaan kecewa dan hampir putus asa, tidak mustahil seseorang insan itu boleh mengambil keputusan untuk mati, atau mengharap dirinya cepat mati. Kadangkala kita lihat seseorang itu sihat, tersenyum dan gembira pada hari ini, tetapi adakah kita pernah menduga, kegembiraan itu benar atau palsu? Mungkin sekejap lagi, atau esok kita akan kehilangan seorang sahabat.

Amiene Rev sangat takut, sangat takut sekiranya Romantis Selatan tidak mampu menghadapi kehidupan yang semakin mencabar. Selepas tamat sebuah ark, akan bermula ark yang baru, lebih mencabar, lebih banyak pengalaman yang akan diperolehi.

Kita cuma berharap, agar kita semua dapat melalui segala cabaran ini. Kecewa. Putus asa. Geram. Kita semua mahu hidup. Kita semua juga mahu memperolehi apa yang kita hajati. Ada antara kita tidak bernasib baik. Terpaksa hidup dalam terpaksa. Kadangkala kita lihat sesuatu yang tidak kita miliki, lebih baik daripada apa yang terpaksa kita hadapi.

Cuma harapan. Cuma doa. Usaha. Supaya penamatnya kelak akan berakhir dengan kegembiraan. Hidup ini pasti tidak mudah bukan? Sebab manusia memiliki cita-cita. Akal yang sentiasa berfikir. Emosi yang menambah perasa terhadap setiap perkara yang kita alami.

Semoga tidak ada apa-apa yang berlaku. Semoga kehidupan ini sentiasa bahagia untuk semua orang. Alangkah bagusnya kalau semuanya pun begitu. Alangkah bagusnya.

Rabu, Mac 05, 2008

Amiene Rev Naik Ke Pentas, Romantis Selatan Bernasib Baik Di Ibnu Sina


Sebenarnya Amiene Rev tidak pasti sama ada Romantis Selatan membaca atau tidak segala tulisannya berkaitan dengan Romantis Selatan di sini. Pun begitu, dia telah dimaklumkan sebelum ini oleh empunya nama, bahawa tulislah apa-apa sahaja, kerana South memahami apa pun tindakan Amiene Rev, pasti bertujuan kebaikan.

Romantis Selatan enggan mengemaskini blognya, kerana dia mahu melupakan kisah silam, penderitaan dan kesunyian yang telah sekian lama membelenggu jiwanya. Sebab itulah, dia telah mengamanatkan Amiene Rev untuk menjaga blognya dan menulis kisah-kisah hidupnya dalam novel jibunsyi, pada masa akan datang.

Hari ini kedua-duanya berkongsi cerita lagi. Kisah pagi tadi. Amiene Rev secara tidak sengaja telah bertemu dan berbual-bual dengan seorang pensyarah. Pensyarah itu memberitahu Amiene Rev supaya bersiap-siap untuk naik ke pentas dalam satu majlis yang cukup besar untuk menghargai Amiene Rev.

"Saya tidak pasti sama ada saya telah berjasa besar atau pun tidak. Apa-apa yang saya lakukan tempoh hari masih jauh dari sempurna, masih lagi boleh dikatakan bersifat eksperimental, masih lagi boleh diperbaiki."

Amiene Rev tidak pasti, sama ada perlu atau tidak dia hadir ke majlis tersebut untuk naik ke pentas. Di depan ratusan, mungkin ribuan orang, untuk menerima suatu penghargaan bukan suatu perkara yang disukai. Amiene Rev sebelum ini berselindung dengan nama Dragonizer, untuk membuka ruang dalam bidang akademik. Usianya masih amat muda ketika itu, masih mentah dan fikirannya belum lagi sematang sarjana dan tokoh-tokoh intelek yang mashyur.

"Saya enggan hadir, tapi perbuatan itu pasti perbuatan biadab. Bukankah begitu?"

Romantis Selatan berfikir sejenak kemudian berbicara, "Menulislah. Menulislah untuk menyelesaikan masalah."

Mendengar kata-kata Romantis Selatan itu, Amiene Rev pun tersenyum sambil berbicara,"Nampaknya, kata-kata saya telah diubahsuai secara inovatif. Barangkali, bagus juga kalau saya naik ke pentas, tetapi perbuatan itu sama mendedahkan diri. Saya tidak mahu mendedahkan diri kepada orang. Biar perbuatan baik saya itu mendatangkan hasil, tetapi sama sekali, saya tidak mahu naik ke pentas. Namun, saya serba salah."

Amiene Rev diam seketika. Sebelum sempat Romantis Selatan menjawab, Amiene Rev lantas mengubah topik dan bertanya berita baik yang melanda Romantis Selatan pula.

"Saya juga ada berita baik. Seorang pensyarah Matematik dari Ibnu Sina telah bersetuju untuk mengajar saya, bermula Mei ini. Seorang hawa yang bijak dalam bidang logik matematik." Kegembiraan, terpapar menerusi serlahan cahaya pada wajah Romantis Selatan, tatkala dia memaklumkan berita itu.

"Dan Ketua Jabatan yang mengambil berat, juga gembira mendengarnya." Kata Romantis Selatan lagi. "Oh, ya, ada beberapa orang pensyarah yang bercerita tentang awak, Amiene Rev. Mengenai jasa besar yang telah awak lakukan."

"Begitu juga dengan awak. Syukurlah," Amiene Rev membalas makluman positif itu.

Sebenarnya, terlalu ramai pensyarah dan staf-staf universiti yang mengambil tahu hal-hal Romantis Selatan. Romantis Selatan boleh dianggap sebagai satu legenda di fakultinya.

"Alhamdulilah... Berita gembira, akhirnya untuk kita semua. Semoga selepas ini, kita semua akan dapat berbakti kepada masyarakat, membalas jasa ibu bapa dan mencapai cita-cita yang diredhai Allah, di dunia dan di akhirat." Kedua-duanya pun menadah tangan, berdoa yang baik-baik, kemudian sama-sama mengaminkannya. Selepas makan tengah hari bersama-sama, dua sahabat baik itu pun berpisah dan kembali ke kolej kediaman masing-masing.

Berita gembira tidak sekadar itu sahaja, Amiene Rev semakin sibuk dengan urusan akademik. Pun begitu, hatinya masih terdapat ruang untuk menghayati kegembiraan, apabila mengetahui berita baik yang turut berlaku di kalangan sahabat-sahabatnya.

Selasa, Mac 04, 2008

Jika Tidak Dapat Bercakap, Menulislah Untuk Menajamkan Akal


Sebentar tadi, Amiene Rev sempat bertemu dengan sahabat baiknya, Romantis Selatan. Panggilannya, South. Nampaknya South ada masalah untuk berbicara dan berbual-bual. Dalam beberapa minggu lagi dia perlu bercakap di depan orang ramai. Kerana sudah agak lama dia tidak dapat bercakap-cakap dengan orang lain, maka, dia kurang yakin untuk berbicara. Dia bimbang kerana sudah lama tidak bercakap, menyebabkan otot-otot pipinya terasa kejang, bibirnya terasa berat dan lidahnya terasa beku. Senyuman pun sangat sukar untuk diukir.

Amiene Rev mencadangkan beliau supaya menggunakan tulisan untuk menggantikan percakapan. Dengan menulis, otak akan terus berjalan dan akal akan semakin tajam dan jiwa akan semakin yakin untuk berbicara. Ini pasti akan membantunya dalam dua perkara penting yang memerlukan dia bercakap di depan orang.

"Gunalah laras bahasa yang betul supaya bahasa percakapan kita nanti, menjunjung Bahasa Melayu dengan betul."

South keberatan untuk menulis di blognya. Baginya, sudah tidak ada apa-apa cerita yang menarik untuk diceritakan di sana. Dia sedang menunggu masa untuk menerbitkan tulisan-tulisannya dalam bentuk novel. Amiene Rev telah diamanatkan untuk menulis kisah hidup Romantis Selatan. Ini, sebenarnya satu tanggungjawab yang berat. Beberapa persetujuan telah dibuat dan isi kandungan persetujuan itu cukup rahsia.

"Saya akan meninggalkan tempat ini tidak lama lagi. Jaga diri baik-baik..." Pesan Amiene Rev kepada South. Masa cuma tinggal beberapa bulan lagi, untuk Amiene Rev membawa diri.

Romantis Selatan juga, tidak tahu apa yang akan berlaku kepada dirinya nanti. Masing-masing akan membawa diri, mengejar cita-cita seterusnya. Barangkali akan ada sahabat baru. Dikatakan, setiap tempat yang dijejaki Amiene Rev, pasti berlaku perubahan. Sebab itu, 'Rev' yang dipikul di belakang namanya, membawa pelbagai maksud, terutama 'semangat' dan 'perubahan'.

Itu kisah beberapa bulan lagi. Amiene Rev akan kembali sibuk dengan perjuangan-perjuangan terakhirnya di sini. Maka entri ini dipaparkan lebih awal hari ini, untuk hari esok.

Rabu, Februari 27, 2008

Mengira Detik-detik Terakhir - Makin Hampir

Hari ini aku lihat, dia sudah semakin tenat. RS bakal menamatkan kehidupannya tidak lama lagi. Lebam di bawah matanya semakin tebal, kulitnya semakin pucat dan barangkali detik-detik terakhir itu sudah dekat benar.

"Kenapa tidak ingin, biar sebutir nasi pun untuk kau telan?"

Tidak ada sebarang jawapan. Terlalu lemah untuk insan ini berkata-kata. Dia hanya merenung jauh, jauh ke luar jendela, menyaksikan suria di balik tabir petang itu perlahan-lahan menyembunyikan dirinya.

"Kenapa begitu mudah untuk kau tinggalkan cita-citamu?"

Diam lagi. Senyap lagi. Tidak ada sebarang bicara pun. Perlahan-lahan dia mengunjukkan sebuah buku. Tertulis di atasnya, Kau Laksana Bulan.

"Aku terhutang budi kepada orang ini..."

dan kemudian dia mencapai sebuah buku lagi. Sebuah buku keluaran PTS.

"Juga penerbit buku ini. Dia menelefonku, tanpa kujangka."

RS sudah berminat untuk memulakan bicara.

"Aku masih ingat suatu ketika dahulu, dengan kedua-dua orang ini, sering kami bertukar-tukar SMS, dan... aku rasa cita-citaku bertambah cerah. Kemudian, aku membawa kamu kepada mereka berdua."

Ya. Kenangan itu pasti sangat manis bagi seorang yang terlalu teruja untuk bergelar penulis. Sayang sekali, pengalaman dan kisah silam tidak berpihak kepadanya.

Aku bersuara pula, "Ya. Semasa Kak Aina Emir memilih aku untuk menghadiri bengkel penulisan remaja untuk fiksyen sains, fantasi dan thriller, aku cukup gembira."

Kemudian aku membelek buku Kau Laksana Bulan. Tertera nama Romantis Selatan di bahagian penghargaan.

"Sayangnya, aku tidak dapat pergi. Seorang sepupuku, rumahnya sepatutnya aku tumpang, dan pak cikku sepatutnya menjadi penghantarku ke bengkel, tiba-tiba keluarga mereka dilanda misteri. Sepupuku itu diserang penyakit, dan penyakit itu telah meragut dua orang ibu saudaraku sebelum ini. Aku, tidak dapat hadir dan sampai sekarang aku rasa bersalah kepada Kak Aina."

Kak Aina Emir dan Puan Ainon, dua orang ini benar-benar berjasa. Kamu juga, Romantis Selatan, juga orang yang berjasa. Menerusi kamu, aku mengenali kedua-duanya.

"Sayangnya... aku barangkali ditakdirkan untuk tidak dapat bertemu mereka berdua."

BERSAMBUNG...

Hakcipta (C) Amiene Rev 2008

Jumaat, Januari 04, 2008

Jibunsyi Peribadi Terhebat

Seorang sahabat saya yang hidupnya sangat menderita tiba-tiba menghubungi saya sekejap tadi. Dia memberitahu saya, dia sudah bersedia untuk membungkus kemas-kemas kisah hidupnya yang sebelum ini dianggap sebagai memalukan, sejarah kegelapan yang penuh dendam, derita, kebencian dan dosa, sehingga menjadi sebuah novel.

Saya doakan agar novelnya ini akan menjadi satu karya sastera legenda yang kekal sehingga berabad-abad lamanya. Sudah lama benar dia menderita, nampaknya sekarang dia sudah bangkit semula. Saya sempat menjenguk blognya sebentar tadi, dan nampaknya sejak akhir-akhir ini dia sudah kembali rajin menulis.

Saya pula, kemungkinan akan berhenti menulis di blog selepas bulan Februari 2008. Jika saya menulis pun, barangkali dalam Bahasa Inggeris, kerana semester ini saya perlu mengambil satu subjek khusus. Besar harapan saya sekiranya lulus subjek ini, maka saya akan mempunyai masa depan yang cerah pada kemudian hari.

Hasrat untuk berangkat ke Eropah, menjejak sejarah silam, akan dapat dipenuhi. Kemungkinan, saya akan terus menetap di sana. Ketika itu, saya pasti akan merindui Malaysia.

Darah yang mengalir dalam badan saya, lebih banyak Melayunya berbanding darah orang di sana. Sedangkan, di Safa dan Marwah, bermulanya kisah manusia yang pertama di muka bumi, sebelum kedua-duanya ditemukan di Jabal Rahmah.

Bagi setiap orang, tidak ada yang lebih hebat selain kisah hidup peribadi. Kisah hidup yang romantis lagi menyayat hati. Menghibakan hati apabila mengingatinya, membangkitkan kesedaran, mempersoalkan takdir dan kemudian menyesali akan kesilapan lalu.

Semoga berjaya, sahabatku.

Dan telah aku kenali siapa dirimu, sejak bertahun-tahun dahulu. Ketika itu, duka sering mengiringimu. Dengan iringan perkataan 'nakama', menghidupkan ruang hati yang sepi, supaya kembali mengingati, jalan-jalan silam yang pernah kau lalui. Pasti, dengan tegas dan garang, kau hadapi semua pengalaman silam itu, demi mencari satu jawapan. Dan dengan jawapan itu, dunia yang kelihatan gelap itu, tiba-tiba disinari nur kesyukuran.

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah...

Khamis, November 01, 2007

Resolusi Terakhir Untuk Seorang Sahabat

Assalamualaikum,

Ada seorang penulis, mengirimkan ini kepada awak. Saya menghubunginya untuk meminta pandangan mengenai awak. Saya sudah menceritakan masalah awak kepada dia. Sebab saya rasa, kadangkala perlu menerima pandangan dan nasihat daripada orang yang lebih tua, lebih matang dan lebih berpengalaman dalam soal-soal kehidupan manusia.

"Dalam dunia penulisan atau bisnes, siapa merajuk dialah yang rugi. Hilang produktiviti, hilang masa beramal dengan karya, hilang pendapatan. Kalau merajuk tak ada sesiapa pun yang akan peduli. Awak pujuk-pujuklah diri sendiri. Tak ada istilah rajuk dalam diri saya. Saya menulis tanpa peduli pada komuniti, siapa yang dilayan, siapa yang tak dilayan."

Awak boleh menghantar e-mel kepada dia cuma dengan tajuk ini:

"NOVEL SAYA DAH TERBIT! atau SAYA DAH LULUS!"

Jadi macam mana sekarang, sahabatku? Hayati betul-betul maksud tegas dan garang. Awak sudah lembut hati sejak akhir-akhir ini. Kan saya dah kata, hati awak mesti tegas. Tak boleh belas kasihan. Awak tak boleh berkorban diri lagi.

Siapa datang dulu dia dapat dulu. Dalam kes ini, cita-cita awak hendak menjadi penulis, tetapi keluarga awak mahukan awak selesaikan dulu kes akademik awak tu.

Awak perlu ingat, hari ini, penerbit ketiga itu sudah menghubungi awak. Awak ada tiga orang penerbit sekarang! Saya rasa, dengan ketiga-tiga penerbit ini, sudah cukup masa untuk awak menghadapi krisis kewangan yang paling teruk pada tahun hadapan. Lupakan dulu soal krisis kewangan paling dahsyat itu. Belum berlaku, tetapi kita sudah ada strategi dan perlu kukuhkan persediaan.

Ketika itu, kita bergantung kepada strategi ini supaya awak dapat terus hidup! Strategi yang saya fikirkan untuk awak ini, cuma akan berjaya kalau awak tegas dan garang. Sekiranya awak berjaya mengikuti arahan-arahan saya, awak akan mampu untuk selamat semasa krisis kewangan paling dahsyat pada tahun 2008. Yakin pada diri awak, awak boleh buat!

Ingat bagaimana Sun Tzu memancung kepala dayang-dayang istana kerana ketawa yang remeh-temeh, dan bagaimana Zhuge Liang menjatuhkan hukuman bunuh kepada saudara angkat Liu Bei. Juga bagaimana dengan kisah seorang tentera muslim yang membakar jarinya semata-mata bertegas dengan nafsunya.

Ingat lagi jam randik yang pernah saya katakan dulu. Saya mahu... mengaktifkan... jam randik itu... sekarang.

Awak ada dua tugasan sekarang: Objektif perdana dan kedua. Tegas dan garang. Itu takdir awak. Sejak kelahiran Surat Untuk Takdir kepunyaan awak itu, ini adalah resolusi terakhir.

NOVEL SAYA DAH TERBIT! atau SAYA DAH LULUS!

Ini barangkali, bantuan terakhir saya untuk awak. Saya sudah penat memikirkan soal awak. Depresi saya kerana sukar mencari tenaga pengajar peribadi yang khusus untuk awak. Sekarang, masa untuk saya pula menyudahkan projek akademik saya. Hasil projek ini akan dapat membantu pelajar-pelajar universiti dalam bidang grafik. Ini kerja yang saya perlu lunaskan dalam tahun ini.

Kita sama-sama berjuang dalam mencapai matlamat masing-masing. Jangan banyak berfikir lagi. Resolusi terakhir dan dibuat. Jam randik dah dihidupkan.

Tik. Tik. Tik. Tik. Tik. Tik. . . . . .

TAMAT <--nampak ni, sudah tamat. Saya tak bergurau!

Ahad, Oktober 28, 2007

Surat Untuk Seorang Sahabat: Menjelang Peperiksaan Akhir Semester I

Assalamualaikum,

Aku harap, engkau sudah baca surat aku yang sebelum ini. Ini barangkali surat yang terakhir untuk semester ini. Kalau engkau menulis untuk takdir. Aku menulis untuk engkau. Menegur engkau.

Aku dah buat banyak benda untuk membantu engkau. Aku wujudkan program khas untuk bantu engkau. Aku dah buatkan KITAB untuk bantu engkau pulihkan keyakinan engkau. Aku dah buat program khusus untuk membantu orang-orang yang lemah macam engkau. Tapi, nak buat macam mana, sebab manusia sekarang begitulah, lebih pentingkan diri sendiri. Ada pula yang ego, dah tahu diri tu lemah dalam pelajaran, tak nak pula bagi kerjasama. Saat-saat akhir baru nak tanya aku itu dan ini. Masa tu, aku dah tak boleh bantu. Kita dah bagi peluang untuk belajar. Kita dah bagi peluang untuk cari tenaga pengajar khas untuk bantu golongan ini. Ego.

Sayang sekali ada syarat daripada pihak fakulti. Mana ada tutor nak mengajar percuma? Semua nak berbayar. Aku dah bincang dengan wakil daripada fakulti, supaya walau macam mana pun mesti nak tolong orang-orang yang lemah akademik. Berjaya juga dapatkan beberapa orang tenaga pengajar. Nak bantu orang-orang yang lemah dalam akademik. Nak bantu engkau. Tapi tak ada tutor yang boleh bantu engkau, sebab semua yang ambil subjek tu, budak tahun akhir. Yang pandai subjek tu semua dah tamat pengajian. Jadi macam mana? Terpaksalah engkau berdikari.

Aku faham kerja-kerja menulis novel yang engkau tengah buat bukan novel biasa. Macam nak siapkan satu projek akademik. Bahan rujukan kena ada. Sebab tu, untuk siapkan satu-satu novel tu, perlu makan masa yang banyak. Engkau perlu menjiwai setiap watak dalam novel engkau. Ingat, karya novel yang macam ini apabila keluar kelak, banyak faedahnya kepada pembaca engkau. Ada bahan rujukan. Ada konsep-konsep matematik dan sains.

Bukan semudah mengarang cerita fantasi. Menulis sebagai satu cara untuk mengajar. Aku setuju dengan konsep engkau. Kita menulis, bukan menulis kosong-kosong sahaja. Bukan perasaan sahaja. Bukan fantasi semata-mata, tetapi berdasarkan hujah-hujah yang berat. Ada teori yang dipraktikkan semasa-masa menulis novel. Sebab tu novel engkau lambat siap dan engkau tak dapat nak tumpukan dua perkara dalam satu masa.

Aku pun sebenarnya sama juga macam engkau. Sebab nak tumpukan pada program kemasyarakatan, program untuk bantu meningkatkan akademik mahasiswa, aku abaikan dulu penulisan novel aku. Sebab aku nak bantu engkau. Aku nak bantu budak-budak yang lemah dalam akademik tu. Itu paling penting. Dan, aku penat buat kerja-kerja ni semua.

Aku kena luangkan masa untuk belajar dan pada masa yang sama memastikan program-program ni bergerak. Utamakan akademik, sahabatku. Saudaraku.

Aku tahu, engkau adalah orang yang jenis determine. Sifu pernah kata macam tu. Selagi satu kerja tu tak siap, engkau takkan rasa senang hati untuk buat kerja lain. Selagi engkau tak lepas halangan engkau di universiti ni, selagi tu kau tak rasa senang nak menulis novel.

Aku faham. Aku tahu, macam mana orangnya engkau ini. Aku dah kenal engkau dekat tujuh tahun. Sejak engkau masuk ke sini. Junior-junior engkau pun aku pernah jumpa. Junior-junior engkau ada yang sambung belajar di peringkat lebih tinggi dekat sini. Aku pernah tanya dia orang mengenai engkau. Minta pendapat macam mana nak tolong engkau.

Jadi aku rasalah. Benda paling baik untuk engkau, habiskan apa yang patut engkau habiskan. Jangan main tarik tali lagi. Aku takut nanti masa engkau menulis jawapan untuk kertas peperiksaan akhir engkau nanti, yang keluar novel. Aku tengok manuskrip yang engkau tulis hari tu pun aku dah tahu. Betapa jelasnya watak-watak yang akan hidup dalam novel engkau.

Novel engkau tu, jalan cerita, suasana, watak-watak semuanya ada bahan rujukan. Novel kau berkualiti tinggi. Ada nilai. Sebab, bukan semua orang boleh luangkan masa berfikir macam engkau. Setiap satu perkataan yang kau tulis tu ada logik dan hujah-hujahnya. Ada kajian, ada teori dan fakta. Novel macam tu takkan siap dalam beberapa bulan.

Pernah dengar, bagaimana Stephen King membuang Bab 1 untuk novel Carrie ke dalam tong sampah? Tekanan yang cukup tinggi. Engkau pun sekarang tertekan untuk siapkan novel engkau. Bahan rujukan yang sesuai belum ditemui. Aku faham, cita-cita engkau untuk menulis sebab engkau hendak mengajar manusia mengenai pelbagai ilmu. Konsep-konsep sains, matematik, psikologi, fakta sejarah dan lain-lain. Bukan boleh ditulis sebarangan.

Juga aku tahu engkau tak mahu karya-karya engkau jadi macam segelintir karya-karya Faisal Tehrani. Ada sesetengah adunannya tidak kelihatan hidup. Tidak natural. Engkau sedang berusaha mencipta karya agung yang menggabungkan ilmu pengetahuan dan cereka. Bukan mudah tetapi boleh disempurnakan.

Kalau engkau ada masalah kewangan, tulis saja novel-novel biasa. Tapi ego engkau cukup tinggi. Pendirian engkau keras! Engkau berdegil nak tulis novel-novel yang berkualiti tinggi. Aku hormat pendirian kau.

Tapi engkau kena fikir, kalau engkau rasa perlu menggunakan dunia penulisan untuk menyara hidup engkau, maka jangan berdegil untuk hasilkan karya-karya biasa. Biarlah tak ada rujukan, biarlah cuma bergantung pada imaginasi engkau sahaja. Tak ada penerbit yang marah. Gunakan pengalaman engkau. Tak apa. Tapi bukan sekarang. Sekarang, engkau perlu bersiap sedia untu peperiksaan akhir engkau. Lepas habis peperiksaan. Cuba luangkan masa untuk tulis satu karya novel yang ringkas. Tak perlu bahan rujukan. Novel macam tu, aku yakin engkau boleh siapkan dalam masa satu bulan.

Kalau boleh. Kalau tak boleh, kalau kau tetap ego nak bermula dengan novel-novel berkualiti. Kalau engkau rasa masalah kewangan tak menjadi halangan. Tumpukan pada akademik engkau dulu. Tamat pengajian, baru tulis novel-novel yang kau idam-idamkan tu.

Orang macam engkau memang degil. Tegas dan garang. Tegas dan tabah. Selagi tak habis satu perkara, susah nak siapkan satu perkara yang lain.

Aku tahu. Engkau tidak mahu mengecewakan keluarga engkau. Jadi engkau tidak mahu menggagalkan diri engkau. Engkau bertahan selama 7-8 tahun ini, sebab engkau tidak sanggup mengecewakan ibu bapa engkau. Pada masa yang sama, engkau tidak mahu melepaskan cita-cita engkau. Apa kata, tangguhkan cita-cita engkau, untuk selesaikan satu perkara dulu. Tapi itu saja yang aku boleh kata, kalau kau rasa tertekan, sebab masalah kewangan dan engkau mahu menggunakan dunia penulisan untuk tujuan itu, hasilkan karya yang biasa-biasa sahaja. Tak perlu kerja rumah yang berat-berat. Tangguhkan sementara waktu. Cuma engkau yang boleh tolong diri engkau.

Minggu depan, peperiksaan akhir dan nak bermula. Semoga engkau berjaya. Semoga Tuhan murahkan rezeki engkau. Semoga Tuhan permudahkan urusan engkau. Semoga Tuhan berikan kejayaan dan kebahagiaan hidup kepada engkau di dunia dan di akhirat. Semoga Tuhan berikan engkau Jalan Yang Lurus. Ini doa aku. Engkau pun kena berdoa untuk diri engkau. Selamat berjaya!

Sahabatmu lagi,
Amiene Rev
28.10.2007

Sabtu, Oktober 27, 2007

Kata-kata Untuk Seorang Sahabat

Assalamualaikum,

Hari ini aku membaca blogmu. Nampaknya engkau dah kembali menulis. Aku sudah membaca catatan engkau dan mendapati apa yang engkau katakan itu benar. Engkau memang orang yang merugikan diri sendiri. Engkau tidak dapat melepaskan hasrat orang lain dan hasrat engkau sendiri.

Oleh sebab engkau bergantung kepada mereka, maka engkau tidak dapat lepas daripada dilema yang menjerat diri engkau. Kau akan dapat melepaskan diri kalau engkau menggagalkan hasrat orang lain dan engkau harus bersiap sedia untuk menanggung cemuhan, kutukan dan kekecewaan mereka semua.

Tetapi, aku tidak rasa engkau akan mampu berbuat demikian, maka engkau harus bersiap sedia untuk menderita untuk beberapa jangka masa lagi.

Memang benar, ada ramai manusia yang cuma suka memandang kejayaan orang lain. Sebab itu wujudnya idola. Patung yang dipuja. Sama ada engkau mahu menjadi idola atau pun ikon, itu terpulang pada diri engkau sendiri.

Aku pasti, asalkan engkau berani mengambil satu langkah drastik, maka engkau akan mampu menyebabkan orang-orang yang memandang remeh terhadap engkau, bagaikan terkena histeria, datang berjabat tangan dengan engkau. Engkau akan menjadi pesaing mereka. Ketika itu terpulanglah kepada engkau sama ada mahu menyambut tangan-tangan mereka yang kotor, atau, memijak kepala-kepala mereka. Jawapan aku ini adalah berdasarkan apa yang aku rasa setelah aku menghayati tulisan engkau.

Kalau engkau rasa dengan menggagalkan diri engkau dalam akademik yang telah engkau tabah mengharunginya selama hampir satu dekad, dan terus mencari peluang untuk menceburkan diri dalam bidang penulisan yang kau rindui itu, maka aku tdak dapat menghalang engkau lagi. Tetapi bersiap sedialah untuk mengecewakan orang-orang yang terdekat dengan engkau.

Tetapi kalau engkau dengan tidak sengaja memilih untuk 'mengecewakan' penerbit-penerbit dan penulis-penulis yang sedang menunggu engkau menyiapkan karya-karya engkau, sebab engkau rasa kepentingan untuk taat dan setia kepada orang-orang yang paling rapat dengan engkau. Maka aku juga tidak menghalang. Dalam dunia ini, terdapat banyak penerbit. Engkau tidak boleh rasa dengan mengecewakan penerbit-penerbit kesayangan engkau itu, dunia penulisan engkau sudah tamat! Bodoh engkau ini.

Kalau aku, aku akan menumpukan segenap masa yang ada untuk orang-orang yang paling rapat dengan aku. Keluarga aku. Ibu bapa aku. Sebab, mereka yang menanggung aku. Aku akan berusaha untuk menamatkan apa yang perlu aku tamatkan untuk memenuhi hasrat mereka. Aku rela mati semata-mata untuk menunaikan hasrat ibu bapa aku. Itu, kalau aku jadi engkau!

Tapi mungkin kau akan kata, cakap itu memang senang. Ya, cakap itu memang senang. Aku telah mengorbankan banyak masa aku untuk menolong orang lain. Aku tidak kutip satu pun hasil daripada orang-orang yang aku telah tolong. Malah kadang-kala ada orang yang tidak tahu berterima kasih, ada yang seperti diberi betis hendakkan peha, memaksa aku menolong mereka dengan lebih lagi.

Tapi aku biarkan itu semua. Sebab apa? Sebab. Aku tahu fitrah manusia memang begitu. Tidak semua manusia mudah untuk bersyukur. Sebab itu dalam dunia ini wujud persaingan, wujud hasad dengki dan dendam. Tidak boleh tengok orang lain senang. Tidak boleh tengok orang lain lebih hebat daripada dia.

Namun aku juga sekarang sedang mengejar cita-cita aku. Aku akan berangkat ke luar negara, tidak lama lagi. Aku ada sesuatu yang perlu aku cari.

Engkau macam mana? Beberapa minggu lepas, bila engkau kata, mahu meninggalkan dunia penulisan semata-mata mengejar hasrat bonda, aku sudah boleh tersenyum. Sebab, sebab apabila engkau sudah dapat membuat keputusan sendiri, aku rasa itulah masanya engkau akan menjadi manusia.

Engkau tahu apa yang perlu engkau lalui. Dunia ini ada banyak cabaran. Kalau engkau mahu senarai penerbit-penerbit yang boleh membantu engkau, aku boleh berikan kepada engkau. Aku boleh cari. Kita adalah nakama!

Kau boleh terus menulis lagi selepas berjaya menunaikan hasrat bonda. Kau boleh. Pasti boleh. Jangan bodoh lagi. Teruskan. Tunaikan hasrat bonda engkau itu. Dan kemudian, kita akan sama-sama mengejar cita-cita masing-masing.

Sahabatmu,
Amiene Rev
27.10.2007

Rabu, Oktober 24, 2007

Apabila Dia Mahu Mati - Kembali Ke Jalan Kegelapan

Agaknya, kenapa dia sudah berubah sikap sekarang? Kenapa dia begitu dingin, seperti tidak suka dengan semua orang? Aku keliru. Hujan dan angin tidak menentu. Sejak beberapa hari ini, cuaca tidak begitu baik.

Mesin basuh kolej rosak. Perkhidmatannya tidak memuaskan. Aku mengambil keputusan membasuh sendiri baju-baju aku. Malam tadi juga, sekumpulan budak universiti, bermain mercun di perkarangan asrama. Aku terdengar suara sekumpulan mahasiswa terkekeh-kekeh di aras atas.

Pun begitu, bunyi letupan dan gelak ketawa belum dapat menceritakan suasana yang agak lengang di universiti ini. Aku seolah-olah merasai ada orang mahu membunuh diri. Aku dapat merasai semacam ada perasaan yang sangat hiba, kecewa dan merana. Siapakah orang ini, dan kenapa perasaan negatifnya seolah-olah menusuk ke jiwa aku?

Ada orang cuba berhubung dengan diriku. Aku tidak pasti siapa. Ini kerana pancaran magnetk personalitinya seolah-olah asing, penuh dengan perasaan marah, geram dan memberontak. Aku terbayang-bayang darah, pisau dan tali gantung.

Dia? Sejurus itu juga, tiba-tiba pandangan visualku melaju, menjejaki seseorang. Titisan hujan terasa turun dengan sangat perlahan, seolah-olah detik masa telah diperlambatkan. Manusia-manusia yang kelihatan, berjalan, berbicara, ketawa, menggerakkan tubuh badan dengan sangat perlahan. Aku berpaling, mencari-cari dia.

Kenapa? Kenapa kau mesti kembali ke sikap itu! Aku melaung. Dia terpaku. Duduk dengan kedua-dua belah kakinya terlipat. Kedua-dua belah lengannya melunjur ke tanah. Tangan-tangannya menggenggam penumbuk. Dia tunduk. Dingin hujan membasahi tubuhnya. Wajahnya pucat. Rambutnya lentuk dibasahi hujan. Ada lebam di bawah matanya yang merah.

"Aku... aku benci manusia!" Dengan suara tersekat-sekat. Geram. Marah. Dia bersuara.

"Kenapa? Kenapa kau mesti benci manusia?" Entah kenapa? Perasaan terharu melintasi jiwaku. Aku mesti, mahu menyelamatkan dia dari kembali kepada kegelapan.

"Manusia cuma pentingkan diri sendiri. Manusia cuma tahu menganiayai orang!" Lantang sekali suara dia. Dia mengetap bibirnya. Dia memicingkan mata merahnya, memandang tajam ke arah aku. Terpancar kekecewaan pada wajahnya. Kebencian.

"Kau juga manusia!" Aku memperingatinya.

"Bukan!" Jeritnya. "Aku... bukan... manusia!" Suaranya agak garau dan lontaran nadanya sangat keras!

"Habis! Kau siapa?" Aku melaung dalam keributan hujan yang mencurah-curah. Pokok-pokok yang berada di persekitaran bergoyang-goyang seolah-olah mabuk dan mahu rebah ke bumi.

Dia diam. Matanya terbeliak memandang ke bumi. Dia menggenggam rambutnya dengan kedua-dua sikunya yang dibengkokkan. Seolah-olah orang yang menyerah diri kepada pihak musuh.

"Kau siapa?" Aku melaungkan pertanyaan itu lagi. Aku harap aku dapat menyedarkan dia.

"Aku... aku... Garuda! Aku musuh engkau... Naga!" Dia memandangku dengan penuh kebencian. Matanya yang terbeliak ganas. Barisan gigi putihnya yang tersusun rapat. Ekspresi mukanya yang penuh dengan kemarahan dan dendam.

"Aku benci engkau. Sebab kebenaran yang kau katakan itu tidak wujud! Cuma ada penganiayaan! Cuma ada kesengsaraan!" Garuda bangkit. Kedua belah lengannya diluruskan ke bawah. Dia menggenggam erat penumbuk-penumbuknya. Air hujan membasahi mukanya, seperti air mata tangisan yang mengalir keluar.

"Dunia ini mana ada keadilan! Engkau berdusta, Naga! Engkau bohong! Manusia ini haiwan! Segala-galanya binatang!" Garuda menjerit sekuat-kuat hatinya. Menengking, meluahkan perasaan kecewa dan marahnya. Geram!

"Engkau telah sesat, Garuda. Kembalilah. Kembalilah kepada kebenaran! Jika tidak, aku terpaksa menghapuskan engkau!" Aku menuturkan kata-kata itu dengan perasaan terharu. Kesal. Sedih. Dadaku bagai dicucuk semilu. Mataku seolah-olah bergenang mengenangkan seorang sahabat yang kini telah kembali sesat. Dia tewas dengan ujian kehidupan, tetapi dia belum gagal! Dia belum gagal sepenuhnya! Aku, aku mesti bawa dia balik! Kembali sebagai manusia!

Garuda merenungku. Matanya memerah. "Aku benci engkau, sebab sekiranya aku tidak menghapuskan engkau, aku takkan dapat kembali, ke dunia kegelapan. Cuma, dengan membunuh engkau, baru aku dapat, merasai semula kesesatan!"

Sebaik-baik sahaja menghabiskan perkataan-perkataan negatifnya, Garuda memecut laju ke arahku dengan sebelah penumbuknya menghala ke arah aku.

"Baik! Biar pertarungan ini, menjadi saksi, kebenaran itu wujud atau pun tidak. Kebenaran itu wujud, Garuda!" Aku bersiap sedia memasang kuda-kuda. Bersedia menyambut serangan Garuda. Aku ini Amiene Rev. Pernah digelar sebagai Dragonizer - Naga Unggul. Naga Unggul, Naga Terbilang, Naga Agung, Naga Disanjung. Dengan empat jurus keramat ini, aku akan menumbangkan Garuda!

"Kesunyian telah meracuni engkau, Garuda! Aku akan membawa pulang engkau dari jalan sesat itu!"

Pertarungan antara dua orang sahabat. Pertarungan yang akan menentukan wujudnya kebenaran. Pertarungan yang bakal mengubah pendirian. Kini meletus!

Aku cuma mampu berdoa. Agar kebenaran yang akan menang. Mengembalikan Romantis Selatan, dari jalan kesesatan. Dou adalah jalan yang salah, Sei itu adalah jalan yang benar!

Selasa, Oktober 09, 2007

Bertemu Kembali Dengan Romantis Selatan

Bertemu Kembali Dengan Romantis Selatan
Hakcipta Amiene Rev (C) 2007

Sudah sekian lama aku tidak bertemu sahabatku yang seorang ini. Seorang sahabat yang pernah sama-sama berjuang dalam satu arena yang sangat sukar, suatu ketika. Kami mula berkenalan sekitar tahun 2000, iaitu ketika aku mula-mula menjejakkan kaki ke sebuah institusi pengajian tinggi. Kami sama-sama mempunyai minat dalam bidang penulisan. Perkenalan ini menjadikan kami sahabat baik. Namun, sejarah hidup Romantis Selatan penuh dengan onak dan duri. Penuh dengan duka dan air mata.

“Rev...” Dia menegurku, memandangku dengan tidak berkelip-kelip. Matanya kelihatan redup, dan perwatakannya sudah berbeza berbanding dulu. Seolah-olah seorang insan yang sentiasa bermunajat pada waktu malam memohon ampun, agar Tuhan Yang Maha Penyayang Lagi Maha Pemurah akan mengampunkan dosa-dosa silamnya.

“South...” Dan selepas leka menganalisis perubahan pada dirinya, aku menegurnya kembali.

Tiba-tiba aku terimbas kembali, kenangan silam, iaitu pada zaman kegemilangan dalam persahabatan kami. Setiap masa dia menghabiskan masanya dengan menulis, menyatakan kebencian dan dendamnya terhadap takdir. Sehingga suatu hari, aku menemui tulisan-tulisannya yang kusangkakan sebagai tugasan.

“Ini kisah yang sangat menarik,” Aku memuji ‘tugasannya’ itu. Sebetulnya, aku sangat-sangat ikhlas dalam menutur pujian itu. Hasil tulisannya itu telah berjaya menambat kehibaan ke hatiku.

“Surat Untuk Takdir,” Romantis Selatan, atau South, kelihatan agak bergementar apabila mendapati aku mengusik hasil tulisannya itu. Dia tunduk lalu mengetik papan kekunci komputer peribadinya beberapa kali, mencari-cari fail-fail tertentu. Tanpa berpaling dia bersuara, “Aku sekadar menulisnya untuk suka-suka.”

Aku menghela nafas dalam-dalam. Aku sudah membuat kesilapan, mengusik hartanya tanpa kebenaran. “Maaf, setiap perjuangan hidup, selalunya akan menemui, api dan kezaliman yang kadang-kadang tidak boleh dipersalahkan.”

Aku menyusun ayat itu lambat-lambat. South tidak berpaling, dia masih melayan komputer peribadinya, seolah-olah sedang khusyuk mengemaskini fail-fail dokumen di dalam komputer. “Memang, aku sengaja mahu kau melihatnya. Tinggalkan komen supaya jalan ceritanya dapat menjadi lebih baik.”

“Jadi, biarlah aku menelitinya lagi.” Ayat-ayat yang tertulis dalam karya yang berjudul Surat Untuk Takdir itu berbaur pemberontakan. Kadangkala terluah rasa geram dan kesal yang amat dalam, seperti sedang mengira-ngira betapa dalamnya jurang di neraka. Tidak ada penamatan.

“Aku ada tiga patah perkataan yang boleh mengubah jalan cerita Surat Untuk Takdir untuk menjadi lebih baik.” Aku menghulurkan manuskrip Surat Untuk Takdir kepada South.

“Katakan, dan nescaya akan kupersetujui.” South tersenyum. Dia berhenti menaip dan berpaling ke arahku.

“Tegas dan garang.” Secara mendatar, aku meluahkan jawapanku. “Takdir tidak boleh dipersalahkan, juga tidak boleh dianggap sebagai rintangan. Kau mesti jangan berlembut dalam setiap perkara yang tidak menyebelahi diri kau.. Kau mesti bertindak garang, jangan takut-takut untuk membuat keputusan.”

Ingatanku terhadap masa silam berhenti setakat itu. Tiba-tiba, kedengaran tempikan guruh di langit. Langit yang sejak awal-awal tadi mendung, semakin pekat gelapnya. Tangisan yang mengharukan pasti akan tumpah tidak lama lagi.

“Aku dengar sudah lama kau berhenti menulis. Aku menanti-nantikan berita daripadamu.” Sejak Romantis Selatan menghilangkan diri, dan diri aku yang sentiasa sibuk dengan aktiviti di dalam dan luar kampus, aku tidak sempat menyampaikan apa-apa mesej kepada dia. Aku sibuk berurusan dengan anak-anak muridku, dengan anak-anak yatim di Bukit Cagar, dan dengan anak-anak di Desa Bakti.

“Aku ada alasan tertentu untuk meninggalkan dunia penulisan. Apa berita terbaru?” Aku yakin, South merujuk kepada seseorang.

“Dia sudah berkahwin, dua bulan lepas.” Aku merujuk kepada seorang gadis yang dahulunya merupakan teman rapat kami berdua. Gadis cantik yang merupakan cinta pertama Romantis Selatan di IPTA ini.

“Aku tidak dapat kad jemputannya.” Wajah Romantis Selatan kelihatan agak dingin.

“Aku juga, barangkali dia tidak mahu membuatkan kau menderita, sakit hati untuk hadir mengingati dia.” Aku harap kata-kata ini dapat meredakan perasaannya.

“Bukan jodoh aku dengan dia. Sejak kekasih lama dia datang empat tahun lalu, aku sudah menjangkakan hal ini.” Romantis tunduk memandang tanah. Badannya terpaku, memendam rasa.

“Mereka tidak pernah berpisah, cuma takdir menyebabkan mereka berjauhan seketika. Selama beberapa berbelas tahun. Faktor keluarga.” South mengalihkan pandangnya ke lain. Pastinya, dia tidak mahu aku membaca perasaannya. “Aku tidak sampai hati untuk menjadi orang ketiga.”

Soal cinta bukan keutamaan kini. Cinta yang berputik pada zaman kanak-kanak, kemudian tertangguh selama berbelas tahun kerana dua budak kecil yang masih mentah terpaksa mengikut keluarga masing-masing meninggalkan kota London. Berbelas-belas tahun kemudian mereka bertemu semula di IPTA ini, meneruskan kembali cinta silam yang belum pernah padam. Romantis Selatan yang baru hendak berputik cintanya terpaksa memadamkan hasrat itu, kerana dia tahu, gadis itu sehingga ke hari ini masih mengingati kisah silamnya.



Apabila aku mengingati kisah silam si gadis itu, aku tiba-tiba teringatkan si gadis kecil yang pernah sama-sama bermain hujan. Kisah gadis itu mengingatkan aku kepada kisah silamku juga.

“Jadi, apa alasannya untuk kau tidak kembali menulis?” Aku kembali mengubah ke topik asal.

“Hasrat bonda. Aku mengejar hasrat bonda. Jadi aku mengabaikan dunia penulisan untuk mengejar kejayaan dalam bidang yang satu itu.” Romantis Selatan mengetap bibirnya. Terbayang wajah derita, yang mungkin cuma aku, sebagai seorang sahabatnya yang dapat mengertinya.

“Aku doakan kejayaan kau. Aku tidak ada apa-apa lagi yang boleh membantu kau. You’re on your own. Jalan kita sama-sama sudah jauh berbeza.”

“Tegas dan garang...” Tiba-tiba Romantis Selatan mengucapkan tiga perkataan ajaib itu kepadaku.

“Ya, tegas dan garang. Kau telah lakukan satu pengorbanan besar, demi menghormati restu ibu, kau mengorbankan bakat. Moga-moga ahli-ahli syurga akan menyambut kau dan kau akan bersama-sama mereka.” Aku mengucapkan kata-kata terakhirku. Barangkali kami tidak akan berjumpa lagi selepas ini. Hari ini, Romantis Selatan akan berangkat ke suatu tempat yang jauh, untuk seketika.

Dia tidak pulang berhari raya seperti tahun-tahun sebelumnya. Dia tidak mahu mencacatkan suasana hari raya dengan air mata dan tangisan ibu dan ayahnya. Dia akan membawa diri ke suatu tempat lain, yang tidak akan menyebabkan dia mengingati kisah silam. Dia sudah berjanji tidak akan pulang dengan tangan kosong. Dia akan pulang hanya apabila kejayaan sudah berada di dalam tangan!

“Rev, dengar kata kau akan keluar negara tahun hadapan?” Nampaknya Romantis Selatan juga mendapat berita itu.

“Edinburgh, City of Literature.” Jawabku pendek. Aku tidak tahu kenapa hatiku sering menyebut-nyebut nama tempat ini. Ada satu jawapan misteri yang sedang menungguku. Barangkali berkaitan dengan darah keturunanku. Sesuatu yang takkan terpahat di dalam blog ini, sekadar kiasan dan catatan untuk mengingatkan aku apabila aku lupa.

“Itu cuma satu kemungkinan.” Tambahku lagi.

Ada jawapan yang masih belum selesai. Aku bukan bangsa Melayu sepenuhnya, nenek moyang aku tinggal di dua negara.

Rahsia keluarga ini telah dipendam sejak beberapa generasi, kerana dikhuatiri akan membawa malapetaka pada waktu dulu. Namun sekarang, permusuhan antara Eropah dengan Timur boleh dikatakan sudah tamat. Walau apa pun, orang Melayu itu berasal daripada tanah. Orang Inggeris itu juga berasal daripada tanah. Aku juga tetap berasal daripada tanah. Keluarga kami adalah Melayu, sebab kami berbahasa Melayu, sebab kami berpegang pada agama sebagaimana agama bagi kebanyakan orang-orang di Melayu di Tanah Melayu.

Adam dan Hawa pernah menderhakai Tuhan dan kemudiannya mendapat kemaafan. Kerana Tuhan itu Maha Pengampun. Maafkan nenek moyang kami yang pernah menjajah orang-orang Melayu. Manusia seperti kita, tidak ada seorang pun yang dapat lari daripada melakukan kesilapan.

Hujan mula turun. Rintik-rintik, bertitisan kecil. Air hujan yang mengenai rambut dan mukaku membuatkan aku mengingati semula kisah silam. Dua kanak-kanak kecil yang bercinta semasa di tadika. Senyuman gadis cantik itu tiba-tiba mekar, berbayang di mataku. Dua orang kanak-kanak yang baru beberapa tahun mengenali dunia sudah mula dilanda perasaan cinta? Oh, ya, mereka lupa, kami anak-anak Indigo. Kepintaran kami semasa kecil, sudah setanding dengan anak-anak pada zaman remaja!

Aku meneruskan langkah meninggalkan medan pertemuan sahabat lama. Romantis Selatan juga sudah tidak kelihatan lagi. Kami akan membawa hala tujuan kami masing-masing. Cita-cita dan matlamat hidup masing-masing.