BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Solat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Solat. Papar semua catatan

Ahad, November 04, 2012

Ada Warganegara Malaysia Tidak Tahu Solat Sempurna

1,396 pelatih Islam PLKN tak tahu solat sempurna
Disediakan oleh Berita Harian

Pasir Mas: Lebih 13 peratus daripada 10,137 pelatih beragama Islam dalam kumpulan tiga Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) tahun ini, dikesan gagal solat dengan sempurna.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, berkata 1,396 pelatih terbabit dikesan selepas diminta mengucap dua kalimah syahadah serta pengertiannya selain niat solat, bacaan al-Fatihah serta tahyat akhir.

Berikutan itu, katanya, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan JLKN berusaha membantu membaiki solat pelatih Islam supaya mereka dapat menunaikan rukun Islam itu dengan sempurna.

“Sebelum ini JLKN sudah melaksanakan program I-Smart kepada pelatih yang gagal membaca serta menulis dan ia berjaya memulihkan mereka daripada terus buta huruf. Melalui program Smart Solat pula, kami berusaha memperkemaskan pelatih Islam menunaikan solat,“ katanya selepas merasmikan Program Khidmat Komuniti PLKN Pelatih Kumpulan 3 Siri 9/2012 di Kampung Slow Machang, semalam.

Rabu, Ogos 29, 2012

Kelebihan solat lima waktu terutama Subuh

Kelebihan solat lima waktu terutama Subuh
Disediakan oleh Berita Harian

Daripada Jundub bin Abdullah, katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang bersolat Subuh (pada waktunya secara berjemaah) maka dia berada dalam jaminan (keamanan dan perjanjian Allah dengan itu janganlah sampai Allah menuntut sesuatu kepada kamu daripada jaminan - perjanjian). (Jangan sampai kamu meninggalkan solat Subuh) kerana sesungguhnya sesiapa yang dituntut oleh Allah daripada suatu jaminannya (perjanjiannya) tentu akan tercapai (berlaku), kemudian Allah menyembahkan mukanya ke dalam api neraka.” (Riwayat Muslim)

Orang Islam digalakkan solat lima waktu berjemaah kerana terdapat banyak fadilatnya. Orang yang menunaikan solat lima waktu khususnya solat Subuh maka dia tetap berada dalam jaminan (tanggungjawab) Allah sepanjang hari. Sesiapa yang menganiayai atau menghalang seseorang daripada beribadah, nescaya dia akan diazab oleh Allah SWT. Meninggalkan solat Subuh maka terbatallah jaminan yang diberikan Allah kepada hamba berkenaan.

Sesiapa yang menganiayai atau menghalang seseorang daripada beribadah, nescaya dia akan diazab oleh Allah SWT. Meninggalkan solat Subuh maka terbatallah jaminan yang diberikan Allah kepada hamba berkenaan. Dikhususkan (ditentukan) solat Subuh dengan kelebihan ini kerana solat Subuh lebih berat daripada solat lain disebabkan Subuh waktu sedang nyenyak tidur, pada musim sejuk pula sukar untuk berwuduk.

Rasulullah SAW bersabda: “Segerakanlah solat Subuh sebelum matahari terbit. Sebab ketika itulah para pengikut syaitan sedang keluar dari sarangnya. Ketika itu pula orang kafir tengah bersujud kepada matahari.” (Riwayat Muslim)

Kita hendaklah sentiasa berusaha untuk mengerjakan solat di awal waktu kerana di akhirat kelak, perkara pertama sekali disoal oleh Allah SWT adalah solat. Jika sempurna solat seseorang itu maka sempurnalah amalannya yang lain.

Seorang Muslim yang taat tidak akan melewat-lewatkan solatnya. Contohnya bersolat Zuhur apabila sudah hampir sampai waktu Asar, solat Maghrib menghampiri waktu Isyak, solat Subuh ketika matahari sudah terbit (subuh gajah).

Berusaha memperbaiki solat menjadi lebih sempurna bukan saja memastikan solat di awal waktu tetapi dilaksanakan secara berjemaah di masjid atau surau dengan menjaga kekhusyukan, bacaan, rukun dan kesempurnaan wuduk.

Rasulullah SAW bersabda: “Solat yang paling berat bagi orang munafik adalah solat Isyak dan Subuh. Seandainya mereka tahu apa makna di dalamnya, maka mereka akan mendatanginya sekalipun dengan merangkak.” (Muttafaqun Alaih)

Sumber: Koleksi hadis Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Rabu, Ogos 08, 2012

Rumah Jadi Surau Makhluk Halus

Pelik tapi Benar: Makhluk Halus Tumpang Solat

BATU PAHAT – Terkejut, pelik, tergamam dan banyak lagi persoalan yang bermain di fikiran empat sekeluarga yang menghuni rumah di Kampung Desa Penyayang, Sri Medan, apabila ruang rumah mereka dijadikan tempat untuk solat jenazah makhluk halus.

Kejadian berkenaan disedari apabila penghuni rumah berkenaan pulang setelah beberapa ketika mengosongkan kediaman mereka.

Mohd Amin Kamil, 46, berkata, kejadian pelik di rumahnya mula berlaku tiga tahun lalu, apabila isterinya, Rahimah Mohamed, 49, mengemas sejadah yang terbuka.

Katanya, pada mulanya isterinya menganggap anak mereka menunaikan solat dan terlupa melipat sejadah tersebut.

Bagaimanapun anak mereka menafikan dan memberitahu dia belum lagi menunaikan solat.

“Saya dan isteri mula berasa pelik dengan kejadian ini dan membiarkannya sahaja dan tidak berkata apa-apa. Kami beranggapan mungkin ada di antara kami terlupa mengemas sejadah berkenaan.

“Tetapi perkara itu berulang kembali dan ia berlaku tiga kali berturut-turut, di mana kejadian berkenaan berlaku apabila masuknya waktu solat Asar, Maghrib dan juga Isyak.

“Perkara ini juga akan berlaku ketika matahari sedang naik, dan ia hanya berlaku apabila awal Muharam, tetapi kami diamkannya sahaja dan menganggap ‘mereka’ hanya menumpang solat,” katanya kepada Sinar Harian.

Kain batik lepas terbentang sendiri
Menurut Mohd Amin, bagaimanapun sesuatu mengejutkan berlaku apabila dia pulang sahaja ke rumah Khamis lalu dan mendapati di satu ruang dalam rumahnya terdampar sejadah untuk solat berjemaah.

Katanya, lebih mengejutkan di hadapan sekali dia melihat bantal dan juga kain batik lepas dibentang seperti menutup seorang jenazah.

“Saya terkejut dengan kejadian berkenaan dan bergegas keluar memberitahu isteri.

“Isteri saya memberitahu, sebelum dia keluar, rumah dikunci. Lalu kami teringatkan perkara yang berlaku sebelum ini di rumah.

“Sebelum itu, awal pagi dan sehari sebelum ini, saya mendapati sejadah di rumah kami terbentang seperti selalu. Kami membuat andaian mungkin salah seorang daripada makhluk halus berkenaan telah meninggal dunia,” katanya.

Sebelum ini, katanya, dia berhubung dengan beberapa ustaz dan mereka menyatakan makhluk berkenaan hanya untuk menumpang sahaja dan tidak mengganggu isi rumah.

Sebelum ini katanya, kejadian seumpama ini tidak pernah berlaku walaupun mereka telah mendiami rumah tersebut hampir 19 tahun.

Sumber: SINAR HARIAN