BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Telefon. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Telefon. Papar semua catatan

Ahad, Februari 05, 2012

Panggilan Telefon Jauh Lebih Baik Berbanding SMS

Ibu bapa dan anak digalakkan untuk saling membuat panggilan telefon berbanding hanya menggunakan SMS. Ini kerana panggilan suara bukan sahaja menyentuh hati ahli-ahli keluarga, malah menyentuh deria-deria lain yang membantu menghilangkan tekanan. Nada suara mampu menyentuh jiwa anak dengan lebih tepat berbanding teks yang mungkin boleh disalah tafsir sehingga menimbulkan masalah lain.

MADISON: Satu kajian terbaru mengesahkan pemerhatian yang dilakukan sejak sekian lama iaitu kata-kata ringkas seorang ibu mampu memberi ketenangan kepada anak remaja mereka berbanding sekadar menghantar pesanan ringkas (SMS), kata satu kajian di Amerika.

Kajian mendapati seseorang yang menghantar pesanan ringkas (SMS) dengan harapan meredakan tekanan yang dialaminya, tidak akan memperoleh apa yang diingini. Sebaliknya tekanan akan bertambah dua kali ganda. Pakar antropologi Universiti Wisconsin-Madison berkata, kajian sebelum ini mengesahkan bahawa percakapan seorang anak melalui telefon atau berbual secara berhadapan dengan ibunya merangsang tindak balas hormon yang dapat meredakan tekanan berbanding hanya menghantar SMS. “Kajian menunjukkan kadar hormon cortisol yang dikaitkan dengan tekanan atau emosi tertekan berkurangan, manakala hormon oxytocin yang merangsang rasa gembira semakin meningkat, ketika seorang anak bercakap atau berbual dengan ibunya melalui telefon,” katanya.

Beliau berkata, dalam kajian terbaru itu, seramai 64 remaja berusia antara 7 hingga 12 tahun ditanya cara menyelesaikan masalah matematik di hadapan tiga orang dewasa yang tidak dikenali, suatu keadaan yang mencetuskan rasa tertekan.

Penyelidik mengukur perubahan kadar oxytocin dan cortisol selepas remaja perempuan yang tertekan dibenarkan membuat pilihan sama ada untuk menghubungi ibu mereka melalui telefon, berbual secara berhadapan atau menghantar pesanan ringkas.

“Kami mendapati paras hormon cortisol remaja yang menghantar pesanan ringkas kepada ibu mereka meningkat pada kadar tinggi berbanding mereka yang bercakap dengan ibu bapa melalui telefon atau secara berhadapan.

“Mereka didapati lebih tertekan dan ujian kami menunjukkan peningkatan lebih dua kali ganda paras hormon cortisol. Jelas, SMS yang dihantar tidak membantu memberi mententeramkan seorang,” katanya. – Agensi

Khamis, Ogos 11, 2011

Telefon Popular - Telefon Bimbit Popular Malaysia

10 telefon bimbit popular di Malaysia
SUMBER: UTUSAN

CURVE 8520 antara model BlackBerry yang mendapat permintaan tinggi.

MALAYSIA mempunyai prospek pasaran telefon bimbit pintar paling cepat membangun. Ia dibuktikan menerusi peningkatan jumlah pengguna telefon bimbit mobiliti pelbagai jenama di negara ini.

Dalam kegilaan masyarakat yang berlumba-lumba memiliki pelbagai gajet moden itu, syarikat enjin pencarian Yahoo! mengeluarkan statistik model-model telefon bimbit popular yang dicari pengguna menerusi inisiatif Yahoo! Search Trends.

Berikut adalah hasil pencarian 10 model telefon bimbit paling popular oleh Yahoo! Malaysia Search untuk sepanjang bulan Jun 2011 :

* iPhone 5
Apple memang tidak pernah mengumumkan tarikh pelancaran rasmi untuk model telefon bimbit pintar terbaru iPhone 5. Namun, disebabkan minat mendalam pengikut setia gajet itu, mereka telah mengeluarkan khabar angin bahawa Apple menyediakan 15 juta unit iPhone 5 yang dibangunkan di Taiwan sebagai persediaan memasuki pasaran menjelang September tahun ini.

* iPhone 4 i
Phone 4 merupakan telefon bimbit pintar berskrin sentuh dibangunkan oleh syarikat teknologi Apple. Generasi keempat iPhone itu hadir bersama keupayaan sokongan panggilan video dan kepelbagaian akses web serta multimedia. Ia didatangkan dalam dua pilihan warna iaitu hitam dan putih.

* Samsung Galaxy S
Telefon bimbit pintar Android ini telah diumumkan oleh Samsung pada bulan Mac 2010. Ia disempurnakan bersama pemproses Hummingbird 1 GHz, binaan memori Flash 6 hingga 16 gigabit (GB), skrin sentuh empat inci dengan resolusi 480 x 800 piksel Super AMOLED, kamera belakang lima megapiksel dan kamera depan.

* Samsung Galaxy SII
Samsung Galaxy SII merupakan telefon bimbit paling berjaya pernah dihasilkan oleh Samsung. Ketika ini, model tersebut diiktiraf sebagai telefon bimbit super pintar dengan pemproses berkembar kedua ternipis di dunia.

* Sony Ericsson Xperia
Xperia merupakan rangkaian telefon bimbit pintar dihasilkan oleh Sony Ericsson. Sejak 2010, syarikat itu banyak memberi fokus kepada pembangunan portfolio berkenaan dengan separuh daripada keuntungan Sony Ericsson disumbang oleh model-model Xperia.

* Nokia C3
Nokia C3 merupakan telefon bimbit mampu milik dengan spesifikasi cukup lengkap untuk menarik perhatian pengguna. Ia dilengkapi capaian Wi-Fi dan papan kekunci QWERTY.

* Nokia N8
Model telefon bimbit untuk siri N ini dipacu oleh sistem operasi Symbian 3. Ia merupakan peranti telekomunikasi Nokia pertama dilengkapi kamera beresolusi 12 megapiksel.

* Samsung Galaxy Ace
Samsung Galaxy Ace merupakan telefon bimbit pertama Samsung menggunakan sistem operasi terbuka daripada Android. Ia hadir bersama skrin TFT sentuhan pelbagai 320 x 480 piksel bersaiz 3.5 inci.

* Blackberry Bold
BlackberryBold 9000 atau lebih dikenali sebagai Bold 1 merupakan model Blackberry yang popular dengan fungsi pintar, mempunyai papan kekunci QWERTY serta keupayaan mesej berkesan.

* Blackberry Curve
BlackBerry Curve merupakan antara model awal yang diperkenalkan syarikat pengeluarnya, Research In Motion (RIM). Curve 8520 adalah peranti Blackberry pertama mempunyai kawalan pad trek.

Khamis, Jun 30, 2011

Cukai Telefon Mudah Alih Prabayar - Prepaid Tax

Cukai untuk telefon mudah prabayar atau prepaid tax mungkin merupakan antara satu berita yang kurang menyenangkan untuk para pengguna telefon bimbit. Namun cadangan untuk memindahkan cukai telefon bimbit prabayar sebanyak enam peratus ini kepada pengguna telefon bimbit prabayar kini sedang dalam proses pembincangan. Persaingan sengit antara syarikat-syarikat telekomunikasi memungkinkan bahawa idea cukai telefon mudah alih prabayar ini ini akan dimanfaatkan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi untuk memperhebatkan pengaruh dalam memenangi persaingan pelanggan. Mungkin ada syarikat telekomunikasi yang akan menyerap terus cukai enam peratus ini bagi menurunkan harga bil, dan seterusnya akan menarik perhatian pelanggan-pelanggan baru untuk beralih ke syarikat telekomunikasi yang menawarkan kos penggunaan prabayar pada kadar yang lebih rendah.

Cukai Untuk Telefon Mudah Alih Prabayar Masih Dibincang

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) — Perbincangan antara pengendali telefon mudah alih tempatan dan kerajaan untuk memindahkan cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus kepada pengguna masih berlangsung, kata Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang Gandum.

Keputusan untuk mengenakan cukai perkhidmatan prabayar akan diputuskan oleh Kementerian Kewangan kemudiannya, kata beliau kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Packet One Networks (Malaysia) Sdn Bhd (P1) dan China Mobile, pengendali mudah alih terbesar dunia di sini.

Dilaporkan syarikat-syarikat telekomunikasi sedia bertemu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membincangkan mengenai cukai perkhidmatan prabayar yang dirancang di Malaysia.

Sekiranya cukai perkhidmatan disalurkan kepada pelanggan prabayar di Malaysia, sebagai contoh tambah nilai RM10 akan hanya mengandungi RM9.40 nilai panggilan dengan 60 sen dikenakan sebagai sukai perkhidmatan.

Bagaimanapun, Joseph Salang berharap syarikat telekomunikasi akan terus menyerap cukai sebanyak enam peratus memandangkan ini akan sedikit sebanyak mengurangkan beban pengguna.

Sumber: BERNAMA

Khamis, Mei 05, 2011

Penipuan Panggilan Telefon Kad Bank

AWAS sekiranya anda menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa mereka adalah wakil Bank Negara Malaysia atau bank-bank tempatan yang meminta 16 digit nombor kad bank. Malah, orang ramai juga diminta berwaspada sekiranya dihubungi oleh sindiket yang sama, kononnya memaklumkan bahawa kad bank mereka sedang digunakan oleh individu lain.

Ini kerana semua panggilan itu adalah helah sindiket penipuan tersebut yang ingin mencuri wang simpanan anda.

Sindiket itu sebelum ini dikesan menghubungi mangsa dengan pelbagai alasan untuk mengetahui nombor kad bank.

Malah, ada di antara mangsa terkejut setelah dimaklumkan bahawa terdapat individu sedang menggunakan kad bank mereka dan meminta supaya penggunaan itu disekat serta merta.

Berikutan itu, si penipu yang membuat panggilan akan menyebut 12 digit pertama kad bank mangsa untuk memberi keyakinan bahawa mereka adalah wakil bank.

Kemudian panggilan kedua akan dilakukan oleh sindiket itu untuk meminta mangsa memberikan 4 digit terakhir kad bank.

Dengan memperoleh empat digit terakhir itu sindiket berkenaan berupaya memindahkan wang simpanan dari akuan mangsa ke dalam akaun mereka.

Pemindahan wang itu dipercayai dilakukan menggunakan rangkaian Internet.

Mengikut laporan yang pernah didedahkan akhbar tempatan sebelum ini, terdapat mangsa kehilangan wang simpanan berjumlah ratusan ribu ringgit akibat ditipu sindiket itu.

Oleh itu, bagi anda yang mendapat panggilan sama seperti di atas diharap mendapatkan nasihat dari bank-bank berdekatan terlebih dahulu bagi kejadian yang tidak diingini berlaku.