BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Barang Dapur. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Barang Dapur. Papar semua catatan

Isnin, Ogos 15, 2011

Barang Kawalan Sempena Musim Perayaan - Bawang

Bawang Disenaraikan Di Bawah Barang Kawalan

BERA: Bawang besar dan kecil serta bawang putih telah dimasukkan dalam senarai barangan kawalan sempena musim hari raya ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan barangan di bawah kawalan sempena musim perayaan kepada 20 jenis.

Barang dan item kawalan tersebut ialah daging tempatan, daging import, telur (gred A, B dan C), ayam hidup, ayam standard, ayam gred super, daging kerbau tempatan, daging kerbau import, kubis bulat import, cili merah, tomato, kelapa parut, kacang tanah import, ikan sardin dan kentang.

Tahun lalu, sebanyak 17 jenis barangan telah disenaraikan sebagai barangan kawalan sempena musim perayaan dan tahun ini jumlah tersebut telah ditambah sebanyak tiga lagi, ujar Ismail.

Khamis, Jun 30, 2011

1 Julai 2011 - Peraturan Pelabelan Sayur dan Buah-buahan Berkuatkuasa

Peraturan Pelabelan Sayuran Dan Buah-Buahan Berkuatkuasa 1 Julai Ini

PADANG BESAR, 28 Jun. Peraturan pelabelan sayur dan buah- buahan di bawah peraturan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) 2008 untuk pasaran dalam negeri, pengimportan dan pengeksportan akan berkuat kuasa pada 1 Julai ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Negeri Perlis, Sabry Ahmad berkata, peraturan pelabelan yang dikuatkuasa pada 1 Julai itu adalah berdasarkan peraturan 3P iaitu Penggredan, Pembungkusan, dan Pelabelan di bawah Akta 141 FAMA 2008 tetapi hanya peraturan pelabelan sahaja akan dikuat kuasa pada tarikh berkenaan.

Beliau berkata, terdapat 66 jenis keluaran pertanian perlu mematuhi peraturan 3P itu yang antara lain akan memudahkan masyarakat mengenal pasti tempat asal produk barangan itu dikeluarkan selain dapat meningkatkan kualiti barangan serta menjamin keselamatan pengguna.

“FAMA turut menyediakan buku panduan peraturan- peraturan FAMA sebagai rujukan bagi memudahkan pengimport dan pengeskport mengenal pasti jenis sayuran dan buah-buahan yang dibenarkan untuk dipasarkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis taklimat 3P kepada pengimport dan pengeksport sayuran dan buah-buahan di sini pada Selasa.

Menurutnya, para pengimport dan pengeksport di beri tempoh percubaan selama tiga bulan bagi melabel barangan mereka dan jika mereka gagal berbuat demikian surat amaran akan dikeluarkan diikuti tindakan penalti.

“Penali RM1,000 akan dikenakan kepada individu dan RM15, 000 untuk syarikat berstatus Sendirian Berhad bagi pengimport dan pengeskport yang gagal mematuhi peraturan,” jelasnya.

Sabry berkata, label pada barangan perlu mengandungi butir-butir seperti nama atau kod penanam, alamat keluaran, nombor kad pengenalan atau nombor pendaftaran, komoditi, gred, berat bersih, bilangan dan mengandungi perkataan “Produce of Malaysia” jika keluaran pertanian itu hendak dieksport.

Manakala bagi peruncit juga, mereka perlu melabelkan barangan mereka dengan komoditi, negara asal, gred, saiz dan harga.

Hal ini bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan keluaran pertanian tempatan supaya terus berdaya saing dan berupaya mengekalkan pasaran sedia ada atau meluaskan kemasukan pasaran di dalam dan di luar negara sejajar dengan perubahan perdagangan dunia.

“Selepas peraturan pelabelan dilaksanakan, kita akan teruskan dengan pembungkusan dan seterusnya penggredan,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Kanan Bahagian Regulatori FAMA, Ishak Abbas.

Sumber: BERNAMA

Rabu, Jun 29, 2011

Harga Ayam Naik RM1 Sekilo - Harga Ikan Turut Naik

Harga Ikan dikatakan naik sehingga sekali ganda berpunca daripada perubahan cuaca yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini. Memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu ini berterusan, harga ikan dijangka tidak akan turun dalam masa dua minggu yang terdekat ini, begitulah komen para peniaga ikan ketika dihubungi baru-baru ini.

Apakah pula faktor kenaikan harga ayam di pasaran? Adakah berpunca daripada musim perayaan yang semakin hampir?

Harga Ayam Naik RM1 Sekilo, Harga Ikan Turut Naik

KUALA LUMPUR: Sejak dua minggu lalu, kebanyakan peniaga bahan keperluan di beberapa pasar mendakwa berlaku kenaikan harga terutama barangan mentah di pasar khususnya ikan dan ayam.

Tinjauan ke Pasar Chow Kit mendapati, harga ayam meningkat 50 sen hingga RM1 sekilogram yang dijual pada harga RM8 atau RM8.50 sekilogram berbanding RM7.50 sekilogram sebelum ini.

Malah, lebih mengejutkan harga ikan kembung yang dijual pada harga RM6 sekilogram meningkat sehingga 100 peratus iaitu pada harga RM12 sekilogram sejak tiga hari lalu.

Peniaga, Ali Mahmud, 28, berkata, kenaikan harga berlaku sejak dua minggu lalu dengan kenaikan 20 sen hingga RM6 menyebabkan peniaga menerima pelbagai rungutan daripada pembeli.

“Kami menerima barangan daripada pemborong. Jika mereka menaikkan harga kami terpaksa menjual pada harga tinggi walaupun kadang-kadang keuntungan sedikit.

“Peniaga dalam dilema kerana setiap hari terpaksa menerima rungutan daripada pembeli jika berlaku keadaan sedemikian,” katanya.

Menurutnya, dia tidak pernah menaikkan harga ayam sesuka hati kerana sedia maklum bahan mentah berkenaan barangan kawalan.

Peniaga ikan yang mahu dikenali Hairi, 29, berkata minggu ini menyaksikan kenaikan beberapa jenis ikan seperti kembung, kerisi dan selar sehingga dua kali ganda daripada harga sebelum ini.

“Kekurangan bekalan ikan terutama kembung akibat keadaan cuaca tidak menentu menyebabkan harganya naik mendadak dan ini kali kedua harga ikan naik.

“Kami tidak dapat menjangka harganya akan turun dalam masa terdekat kerana tidak menunjukkan ia akan kembali normal dan bergantung keadaan semasa,” katanya.

Sumber: Harian Metro