BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label SKRIP SEBABAK. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label SKRIP SEBABAK. Papar semua catatan

Jumaat, September 25, 2009

Wanted - INT. OFFICE

SKRIP SEBABAK: Wanted
SKRIP FILEM OLEH AMIENE REV

INT. CONVENIENCE STORE

JAMES sedang membeli ubat anti-depressi. Ketika itulah dia terdengar bisikan ANGELINA JOLIE. James menyedari, mereka berdua sedang diekori oleh beberapa orang pembunuh upahan.
BISIKAN ANGELINA JOLIE
James, ayah kamu dulu hebat amat. Dia adalah anggota terhebat dalam organisasi rahsia kami. Kini, kami akan menarik kamu menyertai kami, kerana kamu ditakdirkan untuk membunuh Thomas Kretschmann, iaitu orang yang telah membunuh ayah kamu.

JAMES MCAVOY
Saya tak mahu terlibatlah. Bunuh-membunuh ni berdosa. Tak ingat Tuhankah?

(pause)

Tak boleh jadi! Kalau saya tak bunuh Thomas Kretschmann itu, nanti pengarah marah! Sebab ini cuma sebuah filem, bukan bunuh betul-betul pun. Baiklah Angelina Jolie, biar saya yang bunuh Thomas Kretschmann.
Lalu kedua-dua watak utama itu pun saling tembak-menembak. Lalu, setiap kali peluru yang dilepaskan mereka menembusi otak para pembunuh upahan, maka darah pun bertaburan dan isi daging dan otak di kepala setiap mangsa bertaburan mengenai lensa kamera. Darah merah, pekat mengalir sehingga penonton tidak dapat melihat apa yang telah berlaku. Kemudian tiba-tiba, keluar sebelah tangan yang memegang tuala putih, lalu mencuci lensa kamera sehingga bersih.
JAMES MCAVOY
Teruk! Teruk! Saya tidak sangka saya telah berlakon dalam sebuah filem yang begitu ganas! Filem seperti ini tidak akan lulus tayangan untuk kanak-kanak! Kalau begini, saya tidak akan ada peminat cilik!

BISIKAN ANGELINA JOLIE
Jangan jadi bodoh, James. Zaman sekarang ini semua yang mustahil adalah tidak mustahil. Kalau di Malaysia, filem ini pasti akan ditapis supaya boleh ditonton oleh semua peringkat umur. Ayuh, lari!
Mereka berdua pun lalu melarikan diri, meninggalkan THOMAS KRETSCHMANN yang masih memburu mereka di dalam kedai tersebut.

Khamis, September 24, 2009

Star Trek - INT. USS KELVIN – THE FUTURE

SKRIP SEBABAK: Star Trek
SKRIP FILEM OLEH AMIENE REV

FADE IN:

INT. USS KELVIN – THE FUTURE

CAPTAIN FARAN TAHIR lihat SEBUAH KAPAL ANGKASA YANG BENTUKNYA MACAM TONGKANG PECAH tiba-tiba memunculkan diri dari LOHONG HITAM.
CHRIS HEMSWORTH
Kapten, apakah kapten nampak apa yang saya nampak?

FARAN TAHIR
Apa yang saya nampak telah awak nampak?

CHRIS HEMSWORTH
Tuan, saya rasa, apa yang saya nampak itu adalah kapal musuh kerana hati saya berdebar-debar kencang tatkala melihat kehadirannya. Kini, hati saya semakin kencang dan uh, oh! Saya nyaris-nyaris terkena serangan jantung!
Entah bagaimana, tiba-tiba, ERIC BANA muncul di skrin komunikasi. Suara ERIC BANA kedengaran tersangkut-sangkut kerana adanya gangguan perisai medan magnetik yang kadangkala membolehkan skrin komunikasi memaparkan siaran televisyen dari planet-planet berdekatan secara tidak sengaja.
ERIC BANA
Aku ada satu permintaan. Sila serahkan kapten kalian kepadaku. Aku mahu dia dibawa sama ada secara sukarela atau pun dipaksa, naik kapal angkasa aku yang bernama TONGKANG PECAH ini. Kalau tidak, teruk kapal kalian semua aku kerjakan. Kau tahu apa itu tongkang pecah?

FARAN TAHIR
Nampaknya ini sudah lebih. Berani kamu mencabar saya! Saya pantang dicabar! Tunggulah ERIC, bila saya tiba di kapal angkasamu yang rupanya seperti tongkang pecah itu, saya pasti akan belasah kamu cukup-cukup.
FARAN TAHIR betul-betul MASUK KE KAPAL ANGKASA TONGKANG PECAH, dan sebaik-sebaik sahaja DIA muncul di kapal angkasa tersebut, ERIC membunuhnya.
CHRIS HEMSWORTH
Alamak, kapten kapal sudah terkorban. Mengikut undang-undang, setiap kapal mesti ada seorang nahkoda. Tidak boleh dua, tidak boleh tidak ada langsung. Oleh itu, sayalah kapten anda yang baru. Tepuk tangan! Tepuk tangan! Baiklah, sekarang, tolong selamatkan isteri saya yang sedang hendak bersalin itu. Tolong dia melarikan diri dari kapal ini kerana saya percaya Eric akan menembak dan menghancurkan kapal angkasa kita sekejap lagi seperti dalam skrip yang saya sedang baca ini. Jangan lupa, saya memiliki skrip Star Trek, oleh itu percayalah cakap saya!

ISTERI CHRIS HEMSWORTH
Chris, suamiku! Jangan! Jangan! Kita mesti selamatkan diri bersama-sama. Jika tidak saya takut anak kita tak kenal siapa ayahnya. Nanti anak kita kurang kasih sayang! Marilah Chris, marilah lari bersama-sama dengannku.

CHRIS HEMSWORTH
Tidak boleh isteriku. Sebab di dalam skrip ini mengatakan saya harus mati. Mati terkorban kerana merempuhkan kapal angkasa ini ke arah musuh. Apabila pelanggaran berlaku, pastinya kapal ini meletup dan kapal angkasa yang macam tongkang pecah itu pasti akan rosak teruk. Lagi pun, pasukan orkestra dan pemain lagu-lagu sedih sudah bersiap-sedia di luar sana untuk menghidupkan babak paling tragis dalam filem ini. Mereka sudah dibayar!

ISTERI CHRIS HEMSWORTH
Dinda sayang kanda!

CHRIS HEMSWORTH
Kanda sayang dinda, dan kalau boleh jangan kahwin lain. Sebab lepas tamat babak ni, kita kahwin betul-betul.
Semua kakitangan kapal angkasa telah melarikan diri menggunakan pod keselamatan. Kini, cuma tinggal Chris yang berani di dalam kapal angkasa itu. Chris lantas memandu laju secara berbahaya ke arah KAPAL ANGKASA TONGKANG PECAH milik ERIC dan satu LETUPAN BESAR berlaku. Chris TERKORBAN.

Rabu, September 23, 2009

Terminator Salvation - EXT. KEM PERUBATAN

SKRIP SEBABAK: Terminator Salvation
SKRIP FILEM OLEH AMIENE REV

EXT. DI BELAKANG PUSAT PERUBATAN

CHRISTIAN BALE cedera teruk dan sedang dirawat di atas sebuah katil, di dalam sebuah khemah yang tidak berpintu, tidak berdinding. BRYCE DALLAS HOWARD dan SAM WORTHINGTON menemaninya.
CHRISTIAN BALE
Jantungku telah dirosakkan oleh T-800. Aku gembira aku masih hidup sehingga kini, tetapi selepas ini, aku mungkin akan mati.

SAM WORTHINGTON
Tahukah kau, apa tajuk filem ini? Terminator Salvation. Salvation ini bermaksud memberi kehidupan infiniti kepada manusia seperti kau, supaya sifat kemanusiaan akan dapat diteruskan. Oleh sebab aku ini juga adalah Terminator, maka akulah watak utama dalam cerita ini yang ditakdirkan untuk melakukan 'salvation'. Bryce, belahlah dadaku, dan ambillah jantungku, demi nyawa Christian Bale ini.

BRYCE DALLAS HOWARD
Oh, tidak Sam. Tidak. Kau adalah robot, bukan manusia. Masakan kau memiliki jantung?

SAM WORTHINGTON
Sila baiki ayat dialog yang kau lontarkan kepadaku. Pertama-tama sekali, aku ialah robot organik yang pertama dalam cerita ini. Jika kau pernah lihat sekuel-sekuel sebelumnya, mana ada robot organik seperti aku ini? Jadi bedahlah aku cepat.
BRYCE berjaya menyelamatkan CHRISTIAN BALE tetapi kira-kira 10 tahun kemudian robot-robot telah menggunakan nuklear dan sinar radioaktif untuk menewaskan umat manusia. Tahun itu, kiamat menjadi kenyataan.

TAMAT