BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label ABAR. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ABAR. Papar semua catatan

Isnin, Disember 15, 2008

Himpunan Berita Berkaitan ABAR 2008

Untuk mengikuti sebarang informasi terkini berkaitan dengan ABAR 2008, SILA KLIK pada imej di bawah. Imej ini terdapat di bahagian kanan, blog ini. Anda juga boleh melayari ulasan-ulasan ABAR 2008 menerusi jaringan Pengkritik Blog yang terdapat di bahagian atas (jalur biru di atas) blog ini.

Sabtu, November 01, 2008

ABAR 2008 – Blog Seram Fazamania - Ulasan


Kategori Blog Seram
Fazamania - Melangkah Ke Alam Misteri
http://www.fazamania.com

Blog ini mempunyai pelbagai kisah menarik mengenai misteri , paranormal dan supernatural. Begitulah pengenalan yang dibuat oleh blogger yang menggelar dirinya sebagai Fazamania. Fazamania atau nama sebenarnya Fazarudin Basir, dilahirkan pada 4 November 1981 dan berasal dari Felda Chiku 03, Gua Musang, Kelantan ini sememangnya gemar mengumpul dan menulis jurnal berkaitan dengan kisah seram.

Gua Musang sememangnya banyak menyimpan kisah-kisah misteri. Saya pernah menjejakkan kaki ke Gua Musang dan peniaga-peniaga di sana pernah menceritakan mengenai pelbagai peristiwa aneh. Misalnya pada waktu malam, terdengar seperti ada orang menumbuk sesuatu dengan lesung batu. Apabila makcik tersebut membuka lampu dan pergi ke dapur, dilihat tidak ada sesiapa pun di dapur melainkan lesung batu dan kulit-kulit telur di dalam bekas lesung batu.

Perbuatan mengetuk lesung batu itu didakwa dilakukan oleh makhluk halus yang tinggal di sekitar kawasan gua. Kebetulan tapak perniagaan tersebut terletak betul-betul di bawah kaki gunung batu kapur di sekitar Gua Musang. Itu kisah saya, dan bagaimana pula dengan Fazamania?

Blog yang diberi nama Melangkah Ke Alam Misteri ini pasti mempunyai perkaitan yang rapat dengan hidup jurnalis yang bergelar Fazamania ini. Fokus blog ini yang konsisten dari segi isi kandungannya menyebabkan saya memilihnya sebagai calon untuk Anugerah Blogger Amiene Rev 2008 – kategori Blog Seram dan Misteri.

Blog ini menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Kebanyakan artikelnya adalah asli, ditulis atau disusun semula dengan struktur ejaan yang betul, kecuali entri-entri yang bersifat peribadi.

Fokus entrinya adalah terhadap cerita-cerita seram, pelik dan misteri dari seluruh dunia. Turut terdapat gambar-gambar foto dan video yang berkaitan yang diambil daripada pelbagai sumber di internet.

Cerita-cerita seram yang dimuatkan di dalam blog ini antaranya adalah karya bersiri Tamar Jalis yang amat popular suatu ketika dahulu iaitu Siri Bercakap Dengan Jin dan beberapa cerita yang pelbagai sumber dan ada yang ditulis sendiri oleh Fazamania.

Saya tertarik dengan artikel Fazamania berkaitan dengan Feral Children atau kisah anak-anak yang berkelakuan seperti haiwan. Mungkin ramai antara kita, khususnya budak pengakap pernah mendengar kisah Budak Serigala – Mowgli. Kisah budak yang membesar dengan binatang ini benar-benar wujud, dan anda boleh saksikan sendiri video mengenai seorang budak yang membesar dengan anjing, dan berkelakuan mirip anjing. Budak itu walau bagaimana pun telah dipelihara oleh manusia, dan sudah boleh bercakap seperti manusia normal.

Kisah-kisah bukti kewujudan makhluk asing dan UFO turut dipaparkan menerusi blog Melangkah Ke Alam Misteri. Antaranya termasuklah kisah-kisah UFO yang ditemui di Malaysia seperti peristiwa objek bercahaya yang berlegar-legar di ruang udara pada Mei 1999 di Seremban dan juga di Tanjung Sepat pada Oktober 1999. Kisah UFO sangat popular di Malaysia sekitar tahun 1999, berikutan dakwaan beberapa orang penduduk di beberapa tempat di negara ini seperti di Ipoh, Seremban dan Baling, bahawa mereka ternampak UFO di ruang udara di tempat masing-masing.

Artikel-artikel dan kisah-kisah pelik, misteri dan seram di blog ini disusun mengikut kategori-kategori yang khusus. Ini memudahkan para pengunjung di blog ini mencari bahan-bahan berkaitan.

Blog yang menggunakan Wordpress.com sebagai hosting ini turut memiliki fungsi Search bagi memudahkan para pengunjung memasukkan kata kunci bagi mencari artikel-artikel yang berkaitan.

Begitulah ulasan saya mengenai Blog Melangkah Ke Alam Misteri, milik blogger yang bergelar Fazamania. Anda rasa ada blog seram dari Malaysia yang menarik? Sila maklumkan kepada saya. Sekian dahulu ulasan blog saya untuk hari ini.

Sabtu, Oktober 11, 2008

Penilaian Blog Calon-Calon ABAR - Anugerah Blogger Amiene Rev Sedang Berlangsung


Beberapa buah blog yang telah disenaraikan di dalam pencalonan ABAR baru-baru ini sedang dinilai satu persatu. Ulasan mengenai beberapa blog yang terpilih akan disiarkan di blog ini. Blog-blog yang terpilih akan diulas dari segi kekemasan, keaslian penulisan, isi kandungan, penggunaan bahasa (ejaan) dan beberapa perkara lain.

Anugerah Blogger Amiene Rev ini diadakan sebagai satu cara:
  1. Menggalakkan penggunaan Bahasa Melayu atau bahasa asing dengan betul, terutamanya dari segi struktur ejaan.
  2. Menggalakkan blogger untuk lebih fokus terhadap isi kandungan yang bermanfaat seperti menyampaikan pandangan, tips, ilmu pengetahuan dan lain-lain kemahiran.
  3. Menjadikan blog sebagai medan pertukaran pandangan dan penyelesaian masalah di kalangan warga siber.
  4. Sebagai satu penghargaan terhadap blogger-blogger yang telah berusaha untuk melaksanakan ketiga-tiga perkara yang disebutkan di atas.

Pengawalan Kualiti Calon-Calon ABAR
Syarat Piramid telah diperkenalkan sebagai satu cara pengawalan kualiti calon-calon yang bertanding. Sistem Piramid ini bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan prestij ABAR tetapi juga sebagai satu cara menghargai blogger-blogger yang telah konsisten atau berkomitmen dalam memainkan peranan sebagai seorang blogger. Untuk tujuan itu beberapa syarat tertentu telah diperkenalkan.

"Syarat baru pengkritik blog yang dikenali sebagai Syarat Piramid akan menetapkan bahawa blog yang akan dikritik harus memiliki 300 entri atau post, dan aktif sekurang-kurangnya satu tahun. Berdasarkan Syarat Piramid, blog-blog diberi tiga peringkat iaitu unik, berkualiti dan biasa. Blog yang akan diulas selepas 3 September 2008 harus melepasi syarat unik dan berkualiti.
" - Amiene Rev (klik di sini untuk melihat kaedah penilaian sebelumnya).


Anugerah Khas ABAR
Namun begitu pihak penganjur ABAR juga telah mengadakan satu pelepasan bagi syarat-syarat di atas untuk blog-blog yang dianggap unik dan istimewa. Blog-blog ini telah dipantau sejak tahun 2006 dan didapati masih aktif sehingga ke hari ini walau pun bilangan pos atau entrinya tidak memenuhi syarat Piramid.

Blog-blog yang tersenarai dalam kategori khas ini merupakan blog-blog khusus untuk aktiviti-aktiviti tertentu yang memberi manfaat kepada masyarakat.



Pesanan Penganjur
Buat semua calon ABAR, ketahuilah bahawa Anugerah ABAR ini merupakan satu alat pengukur untuk mengiktiraf blog-blog yang telah memenuhi matlamat ABAR. Pihak ABAR tidak menjanjikan sebarang ganjaran seperti piala, wang tunai atau pun hadiah, sebaliknya penghargaan dan pengiktirafan terhadap blog-blog yang terpilih untuk menerima anugerah. Mana-mana blog yang tidak terpilih kali ini mungkin akan terpilih pada masa akan datang pula.

Selamat berblog.