BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, Mac 13, 2008

Hujan Setiap Hari 3 - Hati Dingin Wajah Mendung Kerana Cita-cita Di Langit Tak Sampai

Suatu hari, Romantis Selatan datang lagi. Dia termenung, sedih. Dia berfikir mengenai masa depannya lagi barangkali. Amiene Rev diam, tidak berkata apa-apa. Setiap manusia ada masalahnya, ada kehendak dan hajat. Tidak semua benda boleh dicapai. Kadangkala terpaksa berkorban untuk mendapatkan sesuatu. Adakalanya kerana pengorbanan ini, kita dianggap mementingkan diri sendiri. Namun, sudah menjadi resam hidup, bukannya mudah hendak memahamkan orang lain, mengenai apa yang kita rasa, kita alami dan pelajari.

"Saya rasa sepanjang hidup ini, tidak akan ada kepuasan dalam diri. Saya barangkali akan menyesal seumur hidup," kata Romantis Selatan.

"Kenapa?" Amiene Rev cuma mampu menyebut sepatah perkataan. Pertanyaan. Dingin. Sejuk. Beku. Amiene Rev tidak selesa untuk menaip apabila jari-jarinya terasa kebas.

"Saya..." Romantis Selatan gagal meneruskan kata-katanya. Nampaknya dia sukar untuk menerangkan perkara yang mengganggu jiwanya.

"Cuba awak fikirkan. Kita belajar bersusah payah untuk sesuatu yang akan menjadi pekerjaan kita seumur hidup. Bukan mudah. Banyak masa, duit dan pengorbanan digunakan. Penderitaan, kesunyian dan kekecewaan untuk kemahiran-kemahiran yang langsung tidak dapat dipraktikkan pada masa akan datang!" Amiene Rev dapat merasai perasaan geram yang terpancar dari lubuk hati sahabatnya itu.

"Ini bukan apa yang saya pinta. Masa silam tidak dapat diubah lagi. Hendak salahkan siapa lagi? Cuma marah dan geram menguasai diri!" Luah Romantis Selatan lagi.

"Tidak ada sesiapa yang harus kita salahkan, South..." Dengan perasaan yang agak mendung, Amiene Rev membuka mulut.

"Cuma saya mahu tanya satu perkara, beranikah awak menjawabnya?" Amiene Rev memancing jawapan dengan soalan perundingan.

"Sekiranya saya pasti..." Romantis Selatan tidak dapat menghabiskan jawapannya. Kata-katanya terputus. Putus asa?

"Beranikah awak menghadapi semua ini. Sudah bertahun-tahun, South. Sudah bertahun-tahun awak menghadapinya. Sekarang, awak akan menempuh satu peringkat lagi. Apa yang awak lalui sekarang ini bagaikan penghujung sebuah ark. Awak akan menempuhi ark yang baru. Lebih mencabar. Kehidupan di universiti ini cuma satu permulaan sahaja. Dari langkah yang silap, awak menjejaki kebenaran. Mencari apa tujuan hidup dan maksud kehidupan. South, beranikah awak menjawab 'ya', untuk terus hidup?" Agak panjang lebar, huraian yang Amiene Rev berikan, sebelum mengemukakan soalannya.

Dalam keadaan kecewa dan hampir putus asa, tidak mustahil seseorang insan itu boleh mengambil keputusan untuk mati, atau mengharap dirinya cepat mati. Kadangkala kita lihat seseorang itu sihat, tersenyum dan gembira pada hari ini, tetapi adakah kita pernah menduga, kegembiraan itu benar atau palsu? Mungkin sekejap lagi, atau esok kita akan kehilangan seorang sahabat.

Amiene Rev sangat takut, sangat takut sekiranya Romantis Selatan tidak mampu menghadapi kehidupan yang semakin mencabar. Selepas tamat sebuah ark, akan bermula ark yang baru, lebih mencabar, lebih banyak pengalaman yang akan diperolehi.

Kita cuma berharap, agar kita semua dapat melalui segala cabaran ini. Kecewa. Putus asa. Geram. Kita semua mahu hidup. Kita semua juga mahu memperolehi apa yang kita hajati. Ada antara kita tidak bernasib baik. Terpaksa hidup dalam terpaksa. Kadangkala kita lihat sesuatu yang tidak kita miliki, lebih baik daripada apa yang terpaksa kita hadapi.

Cuma harapan. Cuma doa. Usaha. Supaya penamatnya kelak akan berakhir dengan kegembiraan. Hidup ini pasti tidak mudah bukan? Sebab manusia memiliki cita-cita. Akal yang sentiasa berfikir. Emosi yang menambah perasa terhadap setiap perkara yang kita alami.

Semoga tidak ada apa-apa yang berlaku. Semoga kehidupan ini sentiasa bahagia untuk semua orang. Alangkah bagusnya kalau semuanya pun begitu. Alangkah bagusnya.