BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, Oktober 10, 2006

Apakah Maksud atau Definisi Buli dan Bagaimana Buli Berlaku?

Apa pandangan mereka mengenai buli? Teks-teks berkaitan dengan buli ini disusun semula bersumberkan pandangan beberapa orang penyelidik tempatan dan luar negara. Teks-teks ini adalah berkaitan dengan punca-punca atau faktor-faktor berlakunya buli di kalangan pelajar sekolah khususnya golongan kanak-kanak dan remaja.

Prof Madya Dr Mastura Badzis, Pengarah Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara, Universiti Pendidikan Sultan Idris memberi pandangan seperti berikut:

Dari perspektif psikologi tingkah laku, memeras ugut rakan, adalah antara contoh buli yang berlaku di kalangan kanak-kanak.

Perlakuan itu adalah bentuk tingkah laku antisosial dan bila berlaku di kalangan kanak-kanak berusia tujuh atau lapan tahun berkemungkinan ia berpunca daripada tingkah laku agresif yang tidak dibendung dan ditangani dengan baik ketika kanak-kanak itu berada di peringkat pra sekolah lagi.

Buli adalah satu bentuk
conduct disorder yang dikaitkan dengan masalah tingkah laku dan gangguan emosi. Buli boleh didefinisikan sebagai suatu tingkah laku negatif dan berterusan yang dilakukan dengan niat sengaja untuk mengganggu mangsa, manakala mangsa selalunya dalam keadaan terganggu dan tertekan.

Buli biasanya membabitkan tiga pihak, kanak-kanak atau kumpulan kanak-kanak yang membuli, kanak-kanak atau kumpulan kanak-kanak yang menjadi mangsa buli dan kanak-kanak lain yang kadangkala menyaksikan proses buli itu berlaku.

Tingkah laku negatif ini selalunya ditonjolkan dalam bentuk fizikal seperti memukul, menendang dan sebagainya; atau dalam bentuk verbal (kata-kata) seperti memeras ugut, mengejek, mengutuk dan menjatuhkan maruah sehingga menyebabkan mangsa buli hilang rasa harga diri.

Beliau berkata, buli juga boleh berlaku dalam bentuk manipulasi sosial seperti mempengaruhi kawan lain supaya seseorang kanak-kanak itu merasakan dirinya dipinggirkan atau tidak diterima dalam sesuatu kelompok rakan sebaya.

Keadaan itu berkemungkinan berlaku khasnya jika di rumah kanak-kanak menjadi mangsa keganasan dan mereka terpaksa berkelakuan baik serta memendam apa yang terbuku di dada kerana takut pada keadaan. Sebaliknya bila di sekolah mereka mungkin akan melepaskan geram tersebut dengan ‘mengganas’ dan mencari mangsa untuk melepaskan dendam mereka.

Kanak-kanak seperti itu lazimnya dididik agar takutkan sesuatu bayangan atau seseorang sedangkan jiwa mereka memberontak dan bila orang yang ditakuti tiada, mereka seperti ‘bebas’ melakukan apa saja untuk mencapai kepuasan diri bagi menggantikan apa yang tidak dapat mereka kecapi di rumah,” katanya.


Buku Developmental Psychology Childhood and Adolescence (1996):

Menerusi buku ini, Pattterson (1982; Patterson et al 1989) menerangkan bahawa anak-anak yang bermasalah selalunya tinggal di dalam keluarga yang dianggapkan sebagai
breeding grounds kepada tingkah laku anti-sosial dan hostile.

Keluarga ini selalunya beratmosferakan
coercive home environment di mana anak-anak berinteraksi dengan ibu bapa dan sesama sendiri dengan menggunakan kekerasan ataupun dengan teknik-teknik anti-sosial yang lain.

Tekanan yang berterusan ini akan mengakibatkan anak-anak ini, secara tidak langsung, terpaksa mempelajari teknik-teknik tersebut untuk terus selamat di dalam keluarga mereka.

Anak-anak akan mulai berani menentang ibubapa dan keluarga sendiri untuk mengurangkan tekanan yang dirasai oleh mereka. Lama-kelamaan perangai dan tingkah laku akan sebati dengan jiwa mereka.

Patterson (1982; Patterson et. al 1989) mengatakan bahawa sikap anak-anak dan persekitaran keluarga yang destruktif ini tidak mungkin boleh dipulihkan jika mereka tidak mendapat bantuan daripada pihak-pihak yang bertanggungjawab.


Prof Datin Dr Noran Fauziah Yaakub, Presiden Persatuan Psikologi Malaysia yang juga bekas Dekan Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia,Universiti Pendidikan Sultan Idris pula pernah menjalankan kajian berkaitan dengan buli:

Menerusi tersebut, beliau mendapati ada beberapa faktor yang menyebabkan kes buli ini terjadi. Faktor utama ialah kerana si pembuli merasa puas apabila dia berjaya menyakiti mangsa secara lisan dan juga fizikal.

Dengan kata lain pembuli membuli orang lain sekadar untuk "berseronok". Kajian Dr. Noran juga mendapati kebanyakan mereka yang terlibat dengan buli ini tidak mempunyai hubungan kekeluargaan yang kukuh dengan ibu bapa dan kebanyakan mereka datang daripada keluarga yang tidak mengambil berat pendidikan agama.


Sumber ensiklopedia terbuka Wikipedia pula mengatakan, faktor-faktor atau punca-punca berlakunya kes pembulian di kalangan para pelajar khususnya golongan remaja adalah seperti berikut:
  1. Individu yang membuli ini mungkin ingin memperlihatkan rasa tidak puas hati mereka.
  2. Mereka pernah menjadi mangsa buli.
  3. Gangguan personaliti seperti antisosial golongan yang tidak pernah berasa bersalah apabila membuat kesilapan.
  4. Individu yang gagal mengendalikan emosi dengan baik. Golongan ini biasanya terdapat pada kanak-kanak hiperaktif atau cergas yang melampau yang sering bersikap tidak pernah mengambil peduli perasaan orang lain.
  5. Mereka yang tidak berjaya dalam pelajaran, nakal, dan mempunyai masalah disiplin.
  6. Akibat perceraian ibu bapa.
  7. Terlalu dimanja oleh ibu bapa.
  8. Sekadar mahu berseronok.
  9. Mereka bosan dengan sekolah dan membuli pelajar lain merupakan salah satu cara untuk menghilangkan perasaan bosan.
  10. Marah dan benci pada mangsa atas sebab disayangi guru atau gemar bercakap dalam bahasa Inggeris.
  11. Ingin menunjukkan kekuatan sendiri.

Berdasarkan Laporan American Medical Association (AMA) Council on Scientific Affairs (CSA). Kanak-kanak membuli kerana wujudnya pengaruh-pengaruh seperti berikut:

Pengaruh Keluarga/Ibubapa.
Kanak-kanak membuli mungkin kerana meniru tingkah laku agresif yang diperlakukan terhadap dirinya di rumah atau menyaksikan tindakan agresif yang diperlakukan ke atas ahli keluarganya. Contohnya ayah mendera ibu, atau adik-beradik lain didera di hadapannya.

Hidup dalam keluarga yang dipenuhi dengan keganasan rumah tangga akan mengajar kanak-kanak bahawa kekerasan dan keganasan adalah satu cara yang efektif dan sesuai untuk mencapai atau mendapat sesuatu yang dihajati apatah lagi jika mereka tidak mendapat bimbingan atau pembelaan daripada sesiapa.

Pengaruh rakan sebaya
Faktor utama mengapa kanak-kanak terbabit dengan gejala membuli dan tingkah laku antisosial yang lain. Kehadiran kanak-kanak lain yang menjadi ‘penyokong’nya menjadikan dia berasa mempunyai kekuatan kerana meraih populariti dan status.

Akan tetapi rakan sebaya juga boleh menjadi penghalang kepada popularitinya sekiranya mereka menyebelahi mangsa yang dibuli cuma selalunya mereka ini akan senyap dan tidak berani membuat tindakan apa-apa kerana takut dengan ugutan dan sebagainya.

Faktor sekolah
Tidak dapat dinafikan sekolah juga turut menjadi faktor yang mendorong kanak-kanak membuli. Amalan dan polisi sesebuah sekolah secara tidak langsung akan mempengaruhi cara pelajar berinteraksi, aktiviti yang dilakukan dan tingkah laku mereka.

Buli dan tindakan agresif kanak-kanak dikatakan mempunyai kaitan dengan sekolah yang gurunya acap kali bertukar-tukar, pentadbiran yang lemah, kaedah mendisiplinkan pelajar selalu tidak konsisten, garis panduan mengenai sesuatu perlakuan yang dianggap salah tidak begitu jelas dan pemantauan yang tidak dilakukan dengan sempurna.

Media:
Sememangnya filem atau aksi ganas yang dipaparkan di layar televisyen, cakera padat video (vcd), cakera video digital (dvd) dan sebagainya adalah antara faktor yang mendorong kanak-kanak melakukan aksi ganas seperti membuli.Kanak-kanak selalunya akan meniru dan cuba untuk merealisasikan apa yang dilihat di kaca televisyen di dalam kehidupan mereka seharian dan bila mereka sudah mula seronok melakukannya, mereka akan melihat keganasan sebagai satu sikap yang positif. Kesannya akan lebih ketara terhadap kanak-kanak yang menghadapi masalah emosi, bermasalah pembelajaran, mengalami gangguan tingkah laku dan sukar untuk mengawal diri.


Buli adalah satu bentuk penindasan

Apapun Islam tidak menganjurkan penindasan. Islam bererti sejahtera dan salah satu sifat orang Islam ialah dia tidak memberi masalah kepada saudara seIslamnya yang lain sebagaimana sabda nabi s.a.w yang bermaksud :

"Orang Islam ialah orang yang saudara seIslamnya merasa aman daripada gangguan lidah dan tangannya".

Dalam satu hadis Qudsi, daripada Abu Dzar Al-Ghifari r.a, daripada Nabi s.a.w bahawa Allah s.w.t berfirman:

"Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya Aku mengharamkan kezaliman atas diriKu, maka Aku mengharamkannya di kalangan kamu, maka janganlah kamu zalim-menzalimi".


Sekiranya anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai stres, tekanan perasaan, tekanan jiwa atau tekanan mental, anda juga boleh mendapatkan maklumat-maklumat berkaitan menerusi entri-entri yang dicadangkan di sini. Selain itu anda juga boleh menggunakan enjin carian Google yang terdapat di dalam blog ini. Pastikan anda menandakan bulatan pilihan dukeamienerev.blogspot.com yang terdapat di bawah kotak carian Google tersebut sebelum memulakan carian.