BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, Oktober 10, 2006

Digigit Kucing

Pada petang itu, ketika itu aku sedang berbual dengan anak muridku di blok yang lain. Aku melihat ada kekecohan di satu blok yang lain. Seorang anak muridku bergelut dengan seekor kucing.

Marah dengan kucing itu kerana cuba membuang hajat di seluar yang tersidai di beranda, dia melibas kucing itu dengan kain. Kemudian dia cuba membawa kucing itu keluar dari dorm. Kucing itu membalas dengan mengigit tangannya. Luka. Berdarah.

Budak itu membalas lagi. Kali ini dia melibas kucing itu dengan agak kuat. Terpelanting kucing itu. Kemudian berjalan terhincut-hincut. Sampai di tangga terbawah. Kucing itu terbaring. Lemah. Begitulah cerita seorang anak muridku mengenai apa yang telah berlaku.

Bimbang melihat tangan anak muridku yang berdarah, juga simpati dengan nasib kucing malang itu. Aku lantas memanggil anak muridku itu, ke mari untuk memeriksa tangannya. Dia pelajar tingkatan empat dan berasal dari Pantai Timur. Budaknya sangat prihatin akan teman-temannya. Kucing itu mahu buang air besar di seluar salah seorang rakannya. Nasib baik sempat dihalangnya. Namun lantai di bilik dorm itu telah dicemari dengan air sisa haiwan itu.

Aku teringatkan kisah seorang sasterawan di negara ini, kakinya lumpuh akibat digigit kucing. Kucing mampu menyebarkan sejenis bisa dan virus menerusi gigitannya. Dikatakan berfungsi untuk melemahkan mangsa tangkapannya.

Seminggu selepas tamat percutianku, aku datang lagi seminggu kemudian dan kudapati tangan anak muridku itu sudah semakin baik. Menurutnya, beberapa hari sebelum ini, ibu jarinya yang luka tidak dapat digerakkan. Namun kini sudah semakin pulih. Mungkin kerana anak muridku ini masih muda, makan sistem imun dalam badannya masih kuat, berbeza dengan sasterawan yang sudah berusia itu.

Bagaimana pula kisahnya dengan kucing itu? Setiap hari anak-anak muridku akan memberikannya nasi, susu dan yogurt. Sisa-sisa makanan dari kantin. Salah seorang anak muridku sebelum ini memberi rawatan bulan sabit merah. Membalut kecederaan kucing itu dengan kain kasa.

Aku pergi menjenguk kucing itu, di bawah tangga di sebuah blok asrama. Kucing itu sudah tidak mampu berjalan lagi, buat sementara ini, barangkali. Moga-moga tidak lama lagi, kucing itu akan mampu berjalan semula.