BLOG DUKE AMIENE REV

Rabu, Oktober 11, 2006

Disangka Penghuni Rumah Kebajikan

11 Oktober 2006, 18 Ramadhan

Pagi ini, sekitar pukul 5 pagi aku bersahur. Sahur dengan sebiji kurma kering dan segelas air sejuk. Nampaknya sejak akhir-akhir ini aku kurang lalu untuk makan pada dingin hari. Barangkali, sebab terlalu banyak kerja yang hendak kufikirkan sepanjang hari. Tugasan, ujian yang bakal ditempuhi pada minggu depan. Semua ini buat aku kurang lalu untuk makan.

Jerebu masih menebal di luar tingkap. Matahari jarang-jarang memancarkan cahayanya. Hari kelihatan seperti mahu hujan, biar pun tidak. Petang itu sekitar pukul dua. Seperti biasa aku menaiki bas menuju ke bandaraya. Dari bandaraya aku terus menaiki teksi, menuju ke rumah anak-anak yatim. Pemandu teksi itu fikir aku ini penghuni rumah anak-anak yatim. Dia bertanyakan soalan-soalan berkaitan kehidupan anak-anak yatim. Aku hairan.

Lalu aku menjelaskan aku ini pelajar dari universiti dan tidak tinggal di sana. Sampai di depan tangga, teksi itu berhenti. Aku lihat Puan Hendon duduk di depan tangga. Dia menegurku. Seketika aku bercakap dengannya, kemudian terus ke pejabat. Anak-anak yatim berusia sekitar 12 tahun menyambutku. Itu Mus dan Syafiq. Syafiq yang petah berbicara denganku. Mus agak malu-malu.

Seorang lagi Ali. Budaknya pintar. Juga sekelas dengan Mus dan Syafiq. Namun Syafiq bukan calang-calangnya. Dari seragam Sekolah Agamanya yang berwarna biru, sudah kutahu jawatan yang dipegangnya dalam sekolah agama. Petah dia berbual dan berbicara denganku. Aku melayannya. Mus pula sekali sekala bermain dengan ikan di akuarium. Kupanggil berbual sekali. Aku rasa Syafiq berpotensi untuk melibatkan diri dalam bidang pidato dan sastera. Apabila berbual-bual tangannya ikut bergerak sama menjelaskan lagi percakapannya.

Ali kulihat mempunyai potensi dalam bidang pelajaran. Satu ketika dia melihat surat khabar hari ini, ada rencana mengenai Tongkat Ali. Lalu dia bertanya kepadaku,"Kenapa pokok itu dipanggil Tongkat Ali. Sebab orang yang buat teh tu nama Alikah?"

"Buat teh?" Aku tersenyum di dalam hati. "Kopi..."

Nampaknya Ali tertarik dengan nama Tongkat Ali. Sama dengan namanya. Aku meneliti surat khabar itu. Kemudian aku menceritakan asal usul nama Tongkat Ali diberi. Ali memandangkanku tidak berkelip. Dia memberi tumpuan sepenuhnya. Budak ini mempunyai daya fokus yang tinggi. Fikirku. Nampaknya budak ini mempunyai potensi untuk dimajukan dalam bidang akademik.

Pengajaran hari ini, budak-budak SPM kelihatan lebih bersedia. Pelajaran hari ini, aku mengajar satu topik sahaja. Kuberikan latihan juga. Di situ aku mengesan beberapa kelemahan. Aku menyediakan langkah demi langkah. Meminta mereka menerokai sendiri konsep matematik dengan ajaranku. Budak-budak ini cepat betul pemahamannya. Namun si F masih kurang yakin untuk menjawab. Aku banyak memberi tumpuan kepada si F. Si F paling lemah antara mereka bertiga. Si S pula kulihat cepat juga dia menangkap. Sekali ajar sudah boleh terima. Si F pula sekali-sekala tersalah konsep. Namun akhirnya aku berpuas hati dengan peningkatannya selepas berkali-kali diuji. Namun si F... dia perlu banyak latihan.

Hari ini sudah selesai konsep untuk topik Satah. Pada sesi yang akan datang, aku akan mengajar topik kebarangkalian pula. Terima kasih kepada JC, kerana maklumat yang dihantar segera menerusi e-mel itu telah banyak membantuku untuk menolong anak-anak ini meningkatkan pencapaiannya. Boleh kata kejayaanku hari ini adalah jasa JC, sahabatku yang berlainan agama dan bangsa. Sahabat sejati... yang sedang berkhidmat di Ulu Tiram.

Sekitar pukul 5, aku pulang melalui kawasan pembinaan, kemudian melalui kawasan rumput tebal menuju ke rumah flat, dan sekali lagi melalui kawasan pembinaan, merintangi jalan keretapi dan terus sampai ke City Square.

Hari ini... aku berbuka puasa di masjid. Hidangan hari ini, adalah kegemaranku, nasi ayam.