BLOG DUKE AMIENE REV

Rabu, Oktober 11, 2006

Keajaiban Ini Tandanya Tuhan Itu Maha Penyayang Lagi Maha Pemurah

Saya masih ingat bagaimana saya membahagi masa belajar dan mengajar semasa di Kota Tinggi dahulu. Nampaknya hikmah dan keajaiban yang hadirnya dari kekuasaan Tuhan telah tertunjuk pada minggu ini. Semoga Tuhan akan terus memberkati usahaku, semoga Tuhan akan sentiasa menetapkan hatiku, pada sifat yang telus ikhlas, jujur, tegas dan penyayang. Maha Kuasa Tuhanku yang menentukan segala sesuatu. Kita yang berusaha, Tuhan akan menentukan hasilnya. Sudah pasti, setiap perbuatan baik itu akan dibalas dengan baik juga...

Saya masih ingat pada hari itu, abang dan kakak seguru di dalam dewan kuliah (saya paling muda dalam kelas itu), telah bersepakat untuk membatalkan ujian. Pada mulanya pensyarah bersetuju dengan cadangan ini, lalu semua orang berasa sukacita. Namun, seorang kakak membantah. Maka ujian terpaksa diadakan pada hari itu juga. Sebenarnya masing-masing belum cukup genap belajar. Saya juga baru menguasai satu bab daripada dua bab yang akan disoal dalam kertas ujian pada hari itu. Masing-masing berasa hampa, terus menjawab soalan dengan ilmu yang ada. Saya anggap markah yang akan saya dapat tidak begitu baik hari itu. Sebab semasa di Kota Tinggi, saya cuma mengulangkaji satu bab sahaja. Bab yang satu lagi tidak. Lebih malang lagi soalan yang ditanya adalah soalan berkaitan bab yang kedua. Bab itu belum saya ulangkaji. Ramai kakak dan abang seguru yang berasa kesal dan marah kerana sikap kakak yang seorang itu. Namun saya rasa tidak perlu menyalahkan kakak itu, kerana sememangnya telah dijadualkan untuk diadakan ujian pada hari itu.

Beberapa minggu kemudian, kertas dipulangkan. Syukur! Markah yang kuperolehi lebih tinggi daripada rakan-rakan seguru.

"Eh, Amien dapat tinggi!" Kata seorang kakak.

"Amien, kau kata kau tak study. Tapi apasal kau dapat tinggi?"

Bagaimana saya mampu menjawab soalan ini? Saya cuma mengingati apa yang telah saya pelajari semasa menghadiri kelas. Apa yang pensyarah ajar di dalam kelas, itulah yang saya usahakan dalam menjawab ujian itu. Itu saja. Saya tidak sempat ulangkaji bab itu.

Dan... kakak itu matanya berkaca-kaca, menanyakan markah ujianku. Saya tahu kakak itu berasa bersalah kerana membantah pada hari itu. Fikirnya aku akan mendapat markah rendah, kerana ramai juga yang mendapat markah rendah kerana tidak bersedia pada hari itu. Bila dia mengetahui markahku, sekurang-kurangnya akan lega hatinya. Segalanya berakhir dengan baik.

Tuhan akan menolong orang yang menolong orang lain... Setiap kebaikan itu akan dibalas dengan kebaikan. Saya pasti, anak-anak muridku di Kota Tinggi akan gembira mendengar kisah ini. Sebab ketika itu aku sedang mengajar mereka di sana. Semoga mereka berjaya dalam peperiksaan.

Ingatlah, tidak ada guru yang mahu melihat anak muridnya gagal...

Dan ingatlah anak-anak muridku, betapa pentingnya memberi perhatian di dalam kelas, walau pun ketika itu bukan Cikgu Amien yang mengajar. Ingatlah... dan tetapkan dalam hati.