BLOG DUKE AMIENE REV

Jumaat, Oktober 06, 2006

Adiputra, Sekolah Khas dan RMK-9

Dalam media cetak hari ini, saya mendapati sesuatu yang menarik. Mengenai hasrat kerajaan untuk mewujudkan sekolah khas yang berkaitan dengan talented dan gifted. Sekolah untuk kanak-kanak genius dan berbakat. Atau lebih tepat lagi sekolah untuk anak-anak yang telah menemui bakat terpendam dalam diri mereka. Anak-anak seperti Adiputra, Sofeah dan lain-lain. Anak-anak yang beruntung kerana memiliki ibu bapa yang peka, prihatin, rasional, terbuka dan berpandangan jauh ke hadapan. Ibu bapa seperti inilah yang kita mahu. Ibu bapa yang bukan ikut-ikutan. Mereka tidak ikut cara ibu bapa lain, tidak terpengaruh dengan tekanan sekeliling. Beruntung sungguh Malaysia jika ramai ibu bapa seperti ini.

Dahulu saya bercita-cita, apabila usia saya sekitar 40 tahun, saya akan membuka institusi khas untuk anak-anak seperti ini. Namun usaha dan hasrat kerajaan itu telah pun mempermudahkan cita-cita saya. Dahulu fikiran saya sering tercabar, jika kerajaan masih tidak sedar-sedar akan hal ini, maka negara kita akan rugi. Sayang benar anak-anak seperti ini tidak mendapat perhatian kerajaan pada masa dahulu. Dengan wujudnya sekolah khas seperti ini, anak-anak ini akan mampu maju ke hadapan, mengatasi rakan-rakannya yang lain (yang belum sedar-sedar dan yakin akan potensi diri)... terus maju, mematangkan diri, terus bangkit, melengkapkan diri untuk memberi sumbang kepada negara.

Mereka wajar diasingkan daripada anak-anak yang biasa. Kerana dikhuatiri akan menjadi ignorant. Apabila wujudnya anak-anak berbakat yang berstatus ignorant, maka saya boleh katakan betapa bodohnya golongan pendidik di Malaysia. Maaf, saya banyak menggunakan istilah Inggeris hari ini. Ini menunjukkan betapa masih kuranng berkuasanya, kurang kukuh dan berpengaruhnya istilah-istilah khusus yang berkait rapat dengan dunia dan permasalahan anak-anak berbakat atau genius ini. Sayang... sayang sekali. Betapa sunyinya anak-anak ini dahulu. Ada antara mereka telah menjadi dewasa begitu sahaja, tanpa dikembangkan atau dimotivasikan untuk mencapai tahap maksimum dalam menerokai kebolehan mereka. Negara kita telah rugi lebih 30 tahun... sepatutnya hari ini sudah ramai warganegara kita yang mampu melakukan sesuatu yang boleh melayakkan diri mereka mendapat Anugerah Nobel. Namun kita hidup dalam kekaburan. Saya kesal dengan hal-hal seperti ini.

Bukan maksud saya kita harus mengabaikan anak-anak yang kurang cerdas. Siapa kata? Siapa kata jika anak itu kurang cerdas, maka dia bodoh, bengap, lemah dalam segala hal? Ibu bapa apakah yang begitu jahil kerana tidak yakin akan potensi anaknya? Ibu bapa yang sanggup memandang rendah dan berfikiran sempit terhadap anaknya sendiri layak dipanggil binatang! Binatang yang terkutuk! Kerbau dicucuk hidung! Bodoh ibu bapa seperti ini! Anak adalah anugerah Tuhan, istimewa. Diciptanya anak itu ada manfaat dan hikmahnya. Tugas ibu bapa untuk mencari keistimewaan anaknya, membentuk dan memberi panduan kepada anaknya supaya berjaya menguasai keistimewaannya. Bodoh dan zalim ibu bapa yang mengabaikan ilmu dalam mendidik anaknya!

Maaf, kerana kesat bahasa saya hari ini. Namun sebab kelalaian ibu bapa, adalah salah satu faktor menyebabkan sebahagian besar anak-anak hari ini lahir sebagai manusia yang biadab! Malah Malaysia pernah diletakkan dalam tempat ketiga dalam senarai di mana warganegaranya ketiga di dunia paling biadap oleh Reader Digest.

Saya percaya, dengan adanya hasrat untuk mewujudkan sekolah khas ini, potensi anak-anak yang berbakat ini dapat ditingkatkan lagi. Mereka akan mencapai tahap yang lebih tinggi. Seharusnya perkembangan mereka dipantau, diteliti, dianalisis, mengambil kira aspek-aspek seperti minat dan bakat yang spesifik. Hasrat saya untuk mewujudkan institusi sendiri boleh dikatakan mungkin tidak begitu perlu lagi jika kerajaan sendiri sudah mengadakan sekolah-sekolah seperti ini. Sebelum ini saya pernah memikirkan kurikulum-kurikulum khas untuk anak-anak seperti ini. Sukatan pelajaran mereka. Cara pengajaran. Suasana pembelajaran. Tempat pembelajaran. Cuma satu yang saya risaukan. Adakah saya memiliki wang untuk membuka institusi itu. Siapakah penajanya nanti?

Anak-anak yang sudah menemui dan cenderung dengan bakat terhebat antara bakat-bakat atau kecerdasan terpendam dalam dirinya layak masuk Sekolah Khas. Anak-anak yang belum menemui bakat tersebut, wajar dipisahkan agar kelak tidak mempengaruhi anak-anak yang berbakat. Sering saya lihat, malah pernah saya lalui sendiri zaman, di mana anak-anak berbakat dicemburui, dibuli, disalahtanggap sebagai sakit jiwa, hiperaktif di sekolah. Soalan-soalan dan kata-kata pahit yang pernah dilontarkan kepada mereka:

"Awak kenapa pelik sangat?"

"Cara awak berfikir tak sama dengan orang lain!"

"Ish! Macam mana awak boleh terfikir macam tu? Saya tak terfikir pun!"

"Sebab awaklah, kita semua ni Cikgu anggap bodoh!"

"Awak anak emas cikgu! Kita tidak!"

"Kita tak mahu kawan dengan awak. Asyik kalah je dengan awak!"

"Boleh tak kalau awak tak masuk bertanding? Bagilah peluang kita menang pulak!"

"Kalau awak menang! Aku panggil geng-geng aku belasah kau!"

"Malu saya nak kawan dengan awak. Awak budak bijak, saya biasa je."

"Cikgu asyik puji awak aje. Sebab apalah awak ni bijak sangat!"

"Asyik-asyik awak jadi ketua!"

"Sebab awaklah, saya tak dapat jadi Ketua! Saya dah lama idamkan jawatan tu!"

"Saya tak tidur dua malam nak siapkan benda ni. Last-last awak juga jadi juara!"

"Tak fahamlah. Saya nak buat macam ni aje. Cara awak tu biarpun cepat tapi saya pening. Tak naklah. Saya nak cara ini juga."

"Awak jangan nak tunjuk bijaklah! Awak tu budak sekolah, bukan profesor!"

"Asyik-asyik awak yang jawab. Jangan la jawab. Diam aje. Sebab awak, cikgu tak suka kita semua! Awak serba tahu, kita lembap."

"Kalau boleh saya nak korek otak awak. Saya nak tukar dengan otak awak!"

Saya melihat bagaimana anak-anak genius dan berbakat ini diserang dengan kata-kata seperti ini. Namun saya bersyukur kerana kebanyakan anak-anak berbakat mampu mempertahankan diri dengan baik. Mereka boleh menghadapi rakan-rakan sekolah dengan bijaksana. Mereka selalunya mengalah kerana mereka tahu anak-anak ini masih tidak berfikiran matang.

Namun ada juga yang menjadi mangsa buli dan hasad dengki. Kasihan. Namun paling menderita. Kesunyian. Mereka tidak dapat menonjolkan bakat sepenuhnya di sekolah biasa. Rakan-rakan sekolah cepat pening dengan mereka. Guru-guru pula sentiasa sibuk dengan tugas harian, tidak ada masa yang banyak untuk diluangkan di dalam kelas. Jika diluangkan juga, ada pula timbul rasa cemburu dan dianggap pilih kasih. Saya harap sudah tiba masanya untuk mewujudkan komuniti anak-anak genius. Sekolah khas. Di sekolah ini ada guru-guru yang dilatih khas untuk mendidik anak-anak genius. Biar mereka membesar, menghayati sejarah negara dengan lebih berkesan, cepat dan matang. Biar fikiran mereka matang, bersih dari hasad dengki. Biar mereka berinteraksi sesama mereka, bertukar-tukar idea luarbiasa. Biar mereka belajar bekerjsama sesama anak-anak genius, mencipta pembaharuan dan idea luar biasa untuk disumbangkan kepada masyarakat dan negara.

Anak-anak yang biasa. Biasa? Tidak, semua anak adalah unik. Anak-anak yang biasa terus belajar di sekolah biasa. Mereka akan dicungkil bakat terpendam mereka. Biar mereka yakin mereka juga ada ciri-ciri genius. Mungkin bukan dalam bidang akademik atau intelek. Mungkin dalam muzikal, verbal, intrapersonal, logik matematik, spiritual, interpersonal, kinestatik, naturalis dan spatial. Maksud genius terlalu luas. Biar mereka terokainya sendiri dengan bimbingan guru. Apabila sudah ditemui, biar mereka asah lagi hingga capai tahap genius. Sesiapa yang menafikan kata-kata saya ini lagi, maka bukalah fikiran anda. Semua manusia mempunyai bakat terpendam yang tidak diterokai sepenuhnya. Ini satu kerugian. Satu kekesalan. Air mata saya mengalir dalam beberapa tahun ini kerana melihat tidak ada tindakan kerajaan untuk mencipta ruang khusus bagi membantu mereka yang dipanggil gifted and talented children.

Namun, hari ini saya boleh menarik nafas lega. Kerajaan telah bertindak. Tugas saya terasa ringan. Namun saya akan teruskan pembelajaran saya dalam bidang ini. Sebab saya percaya... ada sesuatu yang boleh disampaikan. Sekitar beberapa tahun akan datang. Sesuatu untuk disumbangkan buat anak-anak ini. Generasi bangsaku...