BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, Oktober 08, 2006

Buku Rujukan

Awal bulan lalu, wang sakuku masuk lagi. Juga aku mendapat wang hasil sumbangan karyaku ke dalam buku-buku terbitan tempatan. Setelah mengira-ngira belanjawan untuk bulan September, aku lalu mengasingkan sedikit bahagian untuk anak-anak muridku. Tambang bas, buku-buku rujukan dan makanan 'orang darurat'.

Aku mencari buku-buku rujukan yang aku rasa bagus. Kebanyakan buku koleksi peperiksaan sebenar sudah habis, terutama buku matematik. Aku menelefon guru di sekolah itu. Ada? Tidak pasti. Sebab guru yang aku telefon itu tidak mengajar pelajar menengah rendah.

Aku menghantar SMS kepada salah seorang anak muridku. Ada? Tidak ada. Buku-buku rujukan yang lain ada. Aku melihat beberapa buah buku yang menyamai format peperiksaan menengah rendah yang terkini. Aku membelek-belek buku itu. Kulihat pada bahagian jawapan. Ada disertakan skemanya sekali. Buku itu terus aku cekup.

Dua hari selepas itu aku ke sekolah. Buku-buku itu kubawa bersama. Aku hanya membeli beberapa jenis buku soalan latihan dengan baki lebihan wang sakuku setelah dibuat belanjawan. Buku-buku ini untuk anak-anak muridku.

Awal pagi lagi aku telah berangkat. Aku mahu tiba awal di sekolah. Perjalananku memerlukan pergantian tiga buah bas. Aku akan singgah di dua buah bandar sebelum sampai ke sekolah itu.

Dalam perjalanan ke sekolah itu, di dalam bas, aku menggunakan masa yang ada untuk meneliti topik-topik penting. Ini topik-topik yang akan digunakan apabila berada di peringkat yang lebih tinggi. Apabila anak-anak ini melanjutkan pengajian mereka ke tahap yang lebih tinggi, selepas alam persekolahan. Aku harus tekankan topik-topik ini.

Bas berhenti seketika di bandar kedua. Aku menunaikan solat jamak di situ. Selepas ini aku memerlukan masa sekitar satu jam setengah sebelum sampai ke sekolah.

Sekitar pukul dua, aku tiba tiba sekolah itu. Selepas meletakkan beg di bilik warden, aku terus menemui anak-anak muridku di asrama. Mereka baru habis dua kertas percubaan pagi tadi. Aku bertanya keadaannya, ada yang beres, ada yang tidak beres. Tak apalah, masih ada waktu untuk meningkatkan pembelajaran. Jika kalian bersungguh-sungguh, kalian pasti mendapat.

Aku mengunjukkan buku-buku. Minta mereka menelitinya. Memandangkan mereka baru pulang dari sekolah, sekitar pukul tiga setengah nanti, selepas berehat-rehat, barulah aku akan mengajar mereka.

Petang itu perutku berkeroncong lagi. Aku meneguk segelas oat dan beberapa biji kismis.

Nota: Ini adalah kisah 'percutian' saya pada bulan September lalu sebagaimana yang telah dimaklumkan dalam entri-entri sebelum ini.