BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, Oktober 03, 2006

Kisah Seorang Pendidik

Beberapa minggu yang lalu, cuti semester bermula. Pelajar institusi pengajian tinggi kebanyakannya pulang ke kampung, ada juga yang mengadakan aktiviti sendiri. Sebenarnya sebelum cuti semester bermula, aku sering juga mengharung jarak kira-kira 100 kilometer dari bandaraya, berkunjung ke sekolah, melihat perkembangan anak-anak muridku. Ada kenangan di situ, dan ada tanggungjawab juga cita-cita yang seharusnya kujaga dan kujayakan.

Memandangkan aku kesibukan waktu, selepas tamat kelas hari Selasa pada waktu pagi, aku akan terus ke sana untuk melihat mereka setiap minggu, dan kembali semula ke universiti pada petangnya. Aku kunjung risau melihat prestasi mereka merosot sejak akhir-akhir ini. Mereka terlalu aktif dalam bidang sukan. Potensi mereka ada dalam bidang itu,sehingga mengabaikan prestasi akademik. Sebaik-baik sahaja sampai ke universiti, aku akan mencatat rekod-rekod anak-anak muridku. Meneliti aktiviti pembaik pulih yang boleh aku lakukan apabila aku ada masa untuk kembali dan mengajar mereka di sana.

Perjalanan ulang alik akan melibatkan jarak 200 kilometer, enam jam dan sejumlah wang sekitar RM30 wajib dikorbankan untuk itu. Sebaik-baik sahaja tiba di sekolah itu, aku tidak ada masa untuk rehat, kerana aku cuma ada masa satu ke dua jam untuk berada di sana, untuk bertanya khabar, meneliti perkembangan, permasalahan dan keadaan anak-anak muridku. Kesibukan di pusat pengajian tinggi menyebabkan aku tidak boleh kekal di sana pada waktu itu. Jadi, pada waktu cuti seminggu itu, aku korbankan waktu untuk pulang ke kampung jauh di Timur. Aku kembali ke sekolah itu, menghirup udara segar di kawasan bukit-bukau.

Aku tidak ada masalah penginapan. Semua guru, pengawal, warden, malah mak cik kantin mengenali diriku. Boleh menginap di mana-mana sahaja. Aku mengatur jadual mengajarku sebaik-baiknya. Pada waktu siang, akan ada waktu untuk penulisan dan pengkajian, petangnya pula waktu untuk beriadah. Pada waktu malam, aku menghabiskan sepenuhnya masa yang ada untuk mengajar anak-anak muridku.