Terima Kasih Kepada Kalian
Terima kasih kepada kalian. Baru saya tahu rupa-rupanya blog saya ini masih dikunjungi orang. Sudah lama saya tidak melihat rupa luaran blog saya."Semua ini bermula apabila server di tempat pengajian PB telah menyekat laluan ke mana-mana weblog. PB telah mula menulis hikayat dirinya. Untuk sementara waktu, PB telah bertukar daripada Pengkritik Blog menjadi Pembimbing Bangsa. Pembimbing Bangsat pun tak mengapa, moga-moga bangsat itu menjadi baik."
Baru-baru ini saya mendapati laman web Msjbox boleh dibuka. Kemudian terlintas dalam fikiran saya, jika laman web Msjbox boleh dibuka, kenapa tidak saya pindahkan sahaja kod Msjbox, Shoutbox dan apa-apa sahaja yang berkenaan dengan maklum balas pembaca ke laman web lain?
Oleh itu, saya mencipta satu fail html khusus untuk membuka kekotak Msjbox dalam blog ini. Bagi komen pembaca pula, saya telah berjaya menerapkan sistem Haloscan untuk memantau komen-komen yang disiarkan. Sayang sekali saya tidak tahu komen itu untuk entri apa. Cuma agak-agak sahaja...
Justeru, jangan terkejut jika komen anda sebelum ini tidak saya jawab atau beri maklum balas. Ini kerana saya memang tidak dapat buka blog saya dan baca komen dan maklum balas anda semua dalam komen entri dan kotak mesej Msjbox. Cuma dapat pecah masuk ke sistem untuk memasukkan bahan sahaja.
Agaknya pihak pengurusan server di tempat saya tidak mahu para pelajar membuka blog yang kini amat dibimbangi berpotensi menjadi penyebar fitnah atau penghasut. Barangkali itu puncanya. Juga disebabkan ada blog-blog yang bebas menyiarkan bahan-bahan yang tidak sepatutnya, oleh itu kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.
Saya juga mendapati ada sesetengah budak pembaca yang kelihatan anti-pengkritik blog walau pun saya tidak pernah mengkritik blognya. Biarlah dia dengan kebudak-budakannya. Apa yang buat saya rasa bersyukur adalah apabila mendapati ada juga pembaca dan blogger yang mengakui mendapat ilmu dan sesuatu yang berguna menerusi blog ini. Terima kasih. Tercapai juga matlamat saya mengasaskan blog pengkritik blog ini.
Salam Hormat daripada saya. Salam Ramadhan...
|