BLOG DUKE AMIENE REV

Rabu, Oktober 11, 2006

Mula Mengajar

10 Oktober 2006, bersamaan 17 Ramadhan, Nuzul Al-Quran:

Pagi tadi, saya bersahur dengan segelas air sejuk dan dua biji kurma. Hari ini Nuzul Al-Quran. Hari ini, di rumah anak-anak yatim itu, kelasku bermula. Bilangan pelajar SPM di rumah anak-anak yatim ini sedikit sahaja tahun ini. Jadi pengajarannya adalah ringan dan tidak membebankan. Saya boleh memberi perhatian terhadap anak-anak itu. Nampaknya anak-anak di sini bijak-bijak belaka.

Ya, si F agak diam sedikit. Sebelum itu F telah memberitahu saya akan keputusannya yang sangat teruk dalam Matematik. Saya masih menanti jawapan mengenai topik-topik panas Matematik SPM daripada sahabat baik saya, JC, guru berbangsa India yang kharismatik. Mengajar di Ulu Tiram. Harap dalam masa terdekat ini akan mendapat balasan e-mel daripadanya.

Si F bercita-cita mahu jadi tukang jahit, Si S pula mahu jadi polis, manakala si Y pula mahu jadi jururawat. Dia juga berminat untuk melibatkan diri dalam bidang katering. Si Y yang berkaca mata, adalah seorang gadis yang periang dan peramah, Si S pula berperwatakan agak tegas, manakala si F pula seorang yang pemalu.

Apabila ditanya mengenai soalan Matematik, si Y paling cepat menjawab, diikuti oleh si S. Si F selalunya mendiamkan diri atau teragak-agak dalam menjawab. Hm, nampaknya jika ada kelapangan, saya akan berangkat ke Sekolah Menengah Sultanah Aminah untuk mendapatkan maklumat mengenai si F. Apa kelemahannya? Apa ujian diagonistik yang pernah dijalankan guru, dan apa cara terbaik untuk membantunya. Jika ada kelapangan saya akan pergi. Masa semakin suntuk. Saya harap dalam beberapa minggu ini, ada peningkatan yang dapat dibuat.

Memandangkan hari ini adalah sesi berkenalan, saya cuma menguji kebolehan anak-anak ini dalam Matematik. Tidak mengajar sepenuhnya. Melihat reaksi dan minat mereka terhadap matematik. Motivasi untuk belajar. Fokus. Keupayaan dan tahap pembelajaran mereka dalam matematik.

Petang itu sekitar pukul 4 petang, saya berangkat pulang. Hari ini saya mencari laluan baru untuk ke pusat bandar. Berjalan di sekitar tapak pembinaan. Ada jalan kecil. Saya khuatir ada anjing liar di situ. Namun selepas berfikir semula, saya teruskan juga berjalan di jalan itu. Terus sampai ke kawasan perumahan flat. Penduduk di sini peramah orangnya. Mudah menegur dan memberi bantuan. Saya bertanya jalan pintas untuk ke City Square. Mak cik itu memberi panduan. Katanya ada dua jalan. Namun jalan yang satu lagi itu tidak digalakkan kerana ramai pencopet. Tiba-tiba saya teringatkan mimpi beberapa hari lepas.

Mak cik itu memberi panduan jalan yang satu lagi. Menerusi jambatan, kemudian terus ke bahagian Imigresen. Saya berjalan mengikut panduan yang diberikan. Jerebu agak kuat. Seterusnya saya pergi ke sebuah kedai buku. Meneliti buku-buku terbaik. Buku-buku ini akan semasa mengajar. Selepas tamat pengajaran nanti, apabila saya tidak lagi dapat berkunjung ke sini kerana membuat persediaan untuk peperiksaan akhir semester, buku-buku ini akan didermakan kepada anak-anak itu. Moga-moga sebagai perangsang motivasi mereka untuk terus belajar.

Semoga berjaya. Kalian teruskan belajar, dan gurumu ini, di sini, juga akan terus belajar. Syukur kepada Tuhan yang memberi kudrat luarbiasa kepada diri hamba-Mu ini. Sepanjang hari ini tidak ada rasa keletihan. Saya sempat tidur di dalam bas semasa dalam perjalanan pulang ke universiti.

Malam ini, saya akan mengulangkaji pelajaran bagi pihak diri saya pula, demi menghadapi peperiksaan selepas Hari Raya Puasa nanti. Otak terasa semakin ringan dan cerdas, sesungguhnya Allah akan menolong hamba-Nya yang menolong hamba-Nya...