BLOG DUKE AMIENE REV

Rabu, Oktober 18, 2006

Budak itu didapati...

Hari itu sudah menjelang tengah hari. Para pelajar baru pulang dari sekolah. Bunyi bising tapak kasut menginjak tangga dan koridor memenuhi ruang asrama. Anak-anak ada yang bermain kejar-kejaran di sekitar koridor. Ada yang memetik gitar. Ada yang berjenaka. Ketawa. Bilik-bilik air pula dipenuhi dengan bunyi orang membasuh baju. Air pancuran dan perbualan budak-budak.

Aku tahu. Ada sesuatu akan berlaku. Aku meneliti setiap tingkat dan aras. Meneliti tingkah laku pelajar-pelajar. Kuteliti air muka mereka, mata mereka, memahami bahasa badan. Kemudian, itu dia! Aku berjalan perlahan-lahan, tanpa menimbulkan sebarang syak ke salah satu bilik air. Air muka budak-budak berubah. Bilik air itu tidak ramai orang yang sedang mandi. Pelajar yang di luar berasa serba salah. Dalam salah sebuah tandas, aku melihat asap berkepul-kepul. Seorang pelajar didapati sedang merokok.

"Salam sejahtera..."

Masalah pelajar menghisap rokok selalunya dikesan di asrama. Aku pernah menangkap beberapa orang pengedar rokok di asrama. Sumber-sumber siasatan dan bukti-bukti sahih diperlukan sebelum tindakan disiplin diambil. Itu peristiwa sebelum dua tahun yang lepas.

Pelajar-pelajar seringkali didapati menghisap rokok selepas waktu sekolah. Pada waktu tengah hari. Semasa waktu mandi tengah hari. Sebelum ke kelas prep. Selepas maghrib. Tengah malam. Ini waktu-waktu popular untuk merokok. Sebab aku mengetahui carta dan 'jadual waktu' merokok pelajar, maka dengan mudahnya untuk aku mencekup mereka.

Aku jarang mengambil tindakan tegas terhadap pelajar-pelajar yang merokok. Namun aku tidak boleh bertolak ansur terhadap pelajar yang berperanan sebagai pembekal rokok. Cuba bayangkan sebatang rokok dijual dengan harga empat ringgit, lima ringgit, malah enam ringgit! Asalkan tidak ada rokok, maka tidak akan ada pelajar yang merokok. Itu prinsipku.

Aku masih ingat selepas cubaan membersihkan gejala penjualan rokok di kalangan pelajar berjaya diselesaikan. Ramai pelajar yang merokok mengadu tidak mahu lagi bersekolah di situ. Tidak mahu masuk sekolah asrama lagi. Alasannya sebab tidak dapat tahan keinginan untuk merokok. Ada pula pelajar yang mengubahsuai kaedah merokok supaya boleh memuaskan ketagihan tembakau. Maaf, tidak dapat kuceritakan di sini sebab dikhuatiri akan dipelajari oleh orang-orang tertentu.

Aku mencadangkan mereka pelbagai cara untuk menghilangkan ketagihan. Ada yang berjaya. Ada yang memakan masa. Gula-gula berangin, pengalihan minda, kaedah mental dan kaunseling adalah kaedah yang mempunyai peluang untuk berjaya. Sayang sekali, ada di antara pelajar tersebut adalah pelajar pintar, namun sebab terpengaruh dengan rakan sebaya, dia turut ikut merokok. Sejak gejala penjualan rokok berjaya disekat, pelajar-pelajar tidak lagi merokok.

Sudah dua tahun, aku tidak tahu bagaimana keadaannya sekarang. Dalam tempoh 'percutian' ini, aku mengesan kembali pelajar-pelajar yang merokok. Namun ajaran PK HEM mengenai cara-cara untuk mengesan pelajar merokok dan baru lepas merokok masih boleh dipraktikkan.

Budaya merokok mesti dihalang sejak zaman anak-anak lagi. Kesannya akan menjadi makin teruk jika tidak dibendung. Rata-rata pelajar senior yang merokok menyatakan kekesalannya kerana mudah terikut-ikut. Susah mahu berhenti. Bakar duit. Ketagihan. Belenggu diri. Malah susah juga untuk dijadikan calon menantu.

Nota: Ini antara kisah-kisah percutian pada bulan September yang lalu.