BLOG DUKE AMIENE REV

Jumaat, Ogos 29, 2008

PCS 011 - Hotel Berhantu Hujan Malam

PCS 011: Parodi Cerita Seram - Siri 11
Sebuah Hotel Dihuni Hantu
Penulis: Amiene Rev (C) 2008
Sumber: http://dukeamienerev.blogspot.com

Hayakallah dan salam sejahtera. Saya memaklumkan kepada para pembaca setia semua, bahawa siri Parodi Cerita Seram ini akan dihentikan sempena bulan Ramadhan. Maka ini adalah siri terakhir yang akan dapat anda saksikan untuk hari ini. Siri kali ini adalah kesinambungan daripada siri sebelumnya yang boleh anda baca di sini: Hotel Hantu Hantu Hantu

dan sambungannya pun bermula...

Di sebuah kawasan hutan yang terpencil, terdapat sebuah hotel mewah bak istana raja, yang hanya akan muncul setiap kali titisan hujan turun melebati bumi. Dan pada hari itu, tiga kumpulan manusia entah bernasib baik, entah tidak, kerana mereka berpeluang merasai pengalaman seram untuk tinggal di hotel berhantu itu.


Encik John, Puan Maya dan dua orang anaknya.

Keempat-empat ahli keluarga itu terus masuk ke dalam hotel yang serba seram itu. Hotel ini tidak ada sebarang debu, cukup klasik, dengan hiasan sepasang patung singa bersayap yang bertindak seolah-olah pengawal pintu.

Krekk.... "Selamat datang. Sila masuk," kedengaran satu suara menyapa, tetapi tidak ada sesiapa pun di dalam bangunan hotel itu.

"Masih dibuka untuk penginapan?" tanya Encik John, kepada siapa pun dia tidak pasti.

"Ya, sila datang ke kaunter." Tidak ada orang. Tidak kelihatan pun empunya suara. Namun kedengaran bunyi tapak kasut mengetuk lantai kayu di serata tempat di dalam bangunan itu.

Keempat-empat ahli keluarga itu berasa agak pelik. Seram. Misteri. Mistik.


Gloris Yam dan Chow Eng Kiat. Pasangan kekasih berdarah panas.

Gloris Yam leka di dalam bilik mandi. Seronok sungguh dapat merasai air pancuran panas ketika cuaca begitu sejuk di luar sana. Chow Eng Kiat mengetuk pintu bilik mandi, katanya:

"Gloris, gue mahu berjalan-jalan sebentar. Loe mandilah puas-puas. Gue mahu melihat-lihat.

Chow Eng Kiat terus membuka pintu bilik hotel, lalu berjalan menuruni tangga. Bangunan Hotel itu sungguh besar, seperti sebuah istana di Barat, bentuknya.

Hotel itu lengang tanpa orang, tetapi Chow Eng Kiat merasa sungguh aneh. Bagaikan terdapat orang lalu lalang, di segenap penjuru hotel itu.

"Apa khabar Encik Chow. Bergembiralah," tiba-tiba satu suara menyapa Chow Eng Kiat.

Chow Eng Kiat melihat ke sekeliling, tidak ada sesiapa pun. Dia cuma terasa seperti ada angin yang meniup di kiri, kanan, depan dan belakangnya. Dia tidak dapat melihat satu apa pun.

Sementara itu, satu makhluk kelihatan muncul di depan pintu bilik mandi. Gloris Yam terdengar suara orang memanggilnya.

"Chow?"

"Tidak, Puan. Saya cuma mahu menghantar beberapa kelengkapan, Puan."

Dan suara cuma tinggal suara. Tidak kelihatan satu jasad pun.


Vasantini. Pemberita Yang Baru Dipecat.

Vasantini tiba di hotel yang serba gelap itu. Dia melihat ada dua buah kereta diletakkan berhampiran hotel itu. Selepas meletakkan keretanya di tempat yang sesuai, Vasantini melangkah masuk ke dalam hotel.

Tang! Tang! Tang! Bunyi jam dinding cukup kuat.

"Merdeka! Merdeka! Merdeka!" Tiba-tiba bayang-bayang manusia semakin lama semakin jelas kelihatan. Kesemua mereka sedang melaungkan perkataan "Merdeka" sekuat-kuat hati.

Melihatkan keadaan yang aneh itu, Vasantini berasa sangat takut. Dia pun menjerit sekuat-kuat hatinya.

"Hantu! Hantu! Hantu! Hantu!"

Encik John, Puan Maya dan dua orang anaknya turut berasa terkejut melihat kehadiran orang ramai yang secara mengejut di hotel itu.

"Hotel apakah ini?" Jerit Encik John dengan pelat lidah Inggerisnya.

Malam itu, bunyi jeritan manusia diselang-seli dengan jeritan merdeka di rumah hantu itu. Apakah yang berlaku kepada mereka sekeluarga. Dan bagaimanakah pula nasib Chow Eng Kiat dan Gloris Yam?

Seorang lelaki berpakaian seperti detektif, dengan kot berjubah hitamnya, dan topi koboi lebar hitamnya, dan kaca matanya yang sekali-kali berkilauan disinari cahaya kilat, dengan wajah yang serius berdiri di tengah hujan, menghadap pintu besar hotel berhantu itu.

"Ianya berlaku, sekali lagi. Sudah sah, khabar angin mengenai tempat ini benar belaka," kata lelaki itu kepada dirinya sendiri. Rupa-rupanya dia mahu menyiasat kewujudan hotel misteri itu, yang hanya akan muncul, pada waktu malam hujan lebat.

NOTA: Cerita ini sedang diproses sebagai sebuah novel. Dua entri ini adalah ringkasan bab pertamanya. Nantikan kemunculannya! Terima kasih atas sokongan yang telah para pembaca berikan. Selamat menyambut Hari Kebangsaan ke-51 dan Salam Ramadhan.