BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, Ogos 12, 2008

PENGUMUMAN PENTING Buat Para Pengunjung Blog Duke Amiene Rev

NOTA: Entri-entri terbaru akan disiarkan secara automatik di bawah entri ini:

Hayakallah,


Terlebih dahulu, saya mengucapkan terima kasih buat semua penyokong, peminat, pengunjung dan kenalan sepanjang saya berada di alam blogger. Kewujudan blog adalah sesuatu yang istimewa buat umat manusia. Blog boleh jadi senjata yang terhebat, menyuarakan suara kebebasan manusia menerusi alam siber.

Saya mungkin tidak dapat aktif di blog ini, membalas komen dan sebagainya buat sementara waktu (bermula 12 Ogos 2008), tetapi sudah ada beberapa entri tertentu yang akan disiarkan secara automatik untuk tatapan pembaca. Entri-entri terbaru akan disiarkan secara automatik di bawah entri ini:

Sejarah Blog Duke Amiene Rev
Sejak dilancarkan sejak 12 Ogos 2006 (Entri Pertama) dan sehingga sekarang bilangan pengunjung blog ini sudah pun sekitar 200,000 orang atau lebih. (Statistik Cluster Map yang dipasang sekitar 20 Februari 2007 mencatatkan jumlah bilangan pengunjung melebihi 170,00 orang). Entri yang tersiar sebelum tarikh 12 Ogos 2006 adalah entri atau nota simpanan semata-mata yang ditambah kemudian pada tahun 2006, 2007 dan 2008.

Jumlah ini walau bagaimana pun belum dapat menandingi jumlah pengunjung di Forum Dragonizer yang memiliki jumlah pengunjung sekitar 1,110,000 (satu juta, satu ratus sepuluh ribu), sejak dilancarkan pada 6 Oktober tahun 2004.

Blog Popular
Blog Duke Amiene Rev pernah beberapa kali mengungguli carta Blog Paling Popular di MSJBOX.COM sekitar tahun 2006, dan pernah beberapa kali berada di carta Top Malaysia Website. Selepas mengalami 'crash', saya tidak lagi memasang apa-apa kotak mesej atau shoutbox di blog ini, dan cuma bergantung kepada input komen sebagai ruang maklum balas utama.

Pendirian Blogger
Sebenarnya terdapat banyak ideologi blogger mengenai cara berinteraksi di internet. Antara idealogi yang paling utama ialah, blogger berfahaman kotak mesej itu penting, blogger berfahaman kotak mesej itu tidak penting, blogger berfahaman blog adalah diari peribadi, blogger berfahaman blog adalah satu bentuk terapi diri, blogger berfahaman blog sebagai medan suara bebas, blogger berfahaman blog sebagai alat keusahawanan, blogger berfahaman blog sebagai medan intelektual, blogger berfahaman blog sebagai ruang kebebasan mutlak untuk diri sendiri (egosentrik: ini blog aku, ikut suka hati aku hendak tulis apa) dan sebagainya.

Forum Dragonizer
Duke Amiene Rev adalah kesinambungan daripada Forum Dragonizer. Forum Dragonizer muncul sebagai satu eksperimen bermotifkan akademik dan kaunseling. Tanpa diduga, forum tersebut mendapat perhatian daripada ramai pengunjung, lalu beberapa orang yang aktif dan berkelayakan dipilih sebagai moderator. Forum Dragonizer mewajibkan ahli-ahlinya menggunakan Bahasa Melayu Standard atau Bahasa Melayu Rasmi atau apa-apa bahasa dengan struktur ejaan yang betul. Forum Dragonizer juga tidak menggalakkan ahli-ahlinya bercakap mengenai benda-benda yang sia-sia, selain daripada perkara-perkara yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan, motivasi dan kaunseling.

Namun, saya mendapati satu keburukan atau kesan negatif dalam dunia siber, iaitu ketagihan internet atau penglibatan sosial secara siber sebagai satu beban kepada ahli-ahlinya. Terdapat beberapa ahli yang didapati terlalu fokus terhadap aktiviti internet dan susah untuk mengasingkannya daripada kehidupan realiti. Lalu, saya mengambil langkah segera dengan menetapkan peraturan bahawa ahli-ahli tidak boleh melayari Forum Dragonizer jika tidak ada apa-apa perkara penting untuk dibicarakan. Perubahan ini kelihatan dingin, tetapi wajar supaya ahli-ahli lebih fokus kepada tugasan-tugasan hidup di dunia realiti. Saya tidak berbangga jika Forum Dragonizer dikunjungi orang, pada masa yang sama menjadi beban kepada kehidupan nyata.

Lalu sejak itu, semua orang pun berusaha mengejar cita-cita masing-masing. Namun, Forum Dragonizer masih menerima kunjungan sehingga ke hari ini biarpun sudah lama mengalami proses pembekuan. Barangkali cuma proses pembekuan separa yang berlaku.

Tujuan Penulisan Blog
Saya berpendapat internet sebagai medan paling berguna untuk berkongsi pandangan, kemahiran dan ilmu pengetahuan. Oleh sebab fokus utama lebih kepada perkara-perkara yang lebih berkaitan dengan intelektual, maka pengisian entri di blog ini kadangkala agak berat. Mungkin ramai yang tidak sedar kebanyakan entri karya kreatif di blog ini sebenarnya menerapkan pelbagai unsur latihan secara individu. Dalam erti kata lain, blog ini juga medan belajar menulis dan mengkaji.

Blog sebegini biasanya kurang mesra. Mengikut struktur piramid, kita dapat lihat kehendak manusia apabila melayari internet. Bilangan populasi cerdik pandai adalah umpama keluasan bahagian teratas bucu piramid; kecil dan sedikit, manakala bilangan orang biasa-biasa adalah umpama keluasan dasar tapak piramid; luas, sesak dan ramai.

Setiap orang mempunyai tujuan dan pendirian sendiri dalam penulisan blog, tetapi saya berpendapat blog sebagai medan ilmu. Mungkin tidak lama lagi saya akan kerap menulis jurnal ilmiah di blog ini. Bak kata, blog adalah diari. Diari hidup saya boleh dilihat menerusi entri-entri yang mengisi blog ini mengikut kalaan waktu dan usia yang meningkat hari. Dinyatakan secara tersirat untuk difahami oleh orang-orang tersayang, yang sedia mengenali sifat semula jadi saya; dingin tapi prihatin, diam tapi mesra, tidak suka menonjol diri di dunia nyata tetapi masih mampu meraih anugerah tertinggi fakulti dan organisasi, tidak suka menunjuk pandai di dunia nyata tetapi suka menyebarkan ilmu dan kemahiran menerusi internet, tidak suka bercakap perkara-perkara yang merapu tetapi suka bercakap mengenai perkara-perkara yang bermesej, suka berterus terang apabila bersuara dan kadangkala pahit didengar tetapi disayangi dan dihormati oleh ramai kelompok orang di dunia nyata, dan terakhir sekali...

yang terakhir sekali itu... tidak dapat diceritakan di sini, untuk sementara waktu, sebab ia perlu dibuktikan dalam dunia nyata.

Dalam dunia ini saya memegang satu prinsip, generasi muda, generasi akan datang perlu lebih hebat daripada generasi lama. Saya memiliki seorang adik kandung, dan saya berpendapat, adik saya harus menjadi lebih hebat daripada saya, harus mengatasi kebolehan saya... maka itulah kebanggaan saya sebagai seorang abang. Dan jika saya memiliki anak, maka anak itu harus menjadi lebih hebat daripada saya, maka itulah kebanggaan saya sebagai seorang ayah. Sebab, jatuh atau bangunnya sesuatu tamadun bangsa itu ditentukan oleh generasi muda bangsa itu sendiri. Jika generasi muda tidak dapat mengatasi kehebatan generasi lama, maka itulah petanda awal bagi kejatuhan tamadun tersebut pada masa akan datang.

Dan... saya pergi dulu... ini adalah satu pengembaraan. Pengembaraan hidup Amiene Rev. Sampai jumpa lagi!