BLOG DUKE AMIENE REV

Sabtu, Ogos 30, 2008

6 Panduan Harus Diikuti Berkenaan Cari Kawan Di Internet, Chatroom dan Laman Web Sosial


Tips Hubungan Sosial Di Internet
Panduan Menghindari Mangsa Jenayah Internet
Penulis: Amiene Rev (C) 2008
Sumber: http://dukeamienerev.blogspot.com

Internet seperti laman web sosial dan bilik sembang atau chatroom adalah sebuah tempat yang terbaik untuk bertukar-tukar pandangan, mencari pengetahuan dan berita terbaru, tetapi pada masa yang sama boleh mendatangkan keburukan sekiranya pengguna tidak berhati-hati dalam mencari kawan. Berikut adalah sedikit petua untuk para pengguna internet mengenai cara-cara mencari kawan di internet.


1. Jangan memberikan nama penuh, fakta peribadi atau identiti asli.

Memberikan informasi berkaitan maklumat peribadi kepada orang yang belum anda kenal di internet sebenarnya cukup bahaya. Sekiranya anda fikir dengan mengucapkan salam perkenalan itu membawa maksud anda boleh mendedahkan segala-galanya tentang diri anda terhadap seorang kenalan di internet, anda tersilap langkah dan kemungkinan berisiko untuk menjadi mangsa untuk dianiayai.

Dalam dunia internet terdapat ramai pemangsa atau pemburu orang-orang dengan ciri-ciri tertentu, dan lebih teruk mereka memiliki komuniti atau kumpulan sendiri di alam siber untuk memudahkan mereka mencari mangsa. Mereka ini mungkin terdiri daripada penagih seks, pengamal ajaran sesat, scammer, pengugut atau peminat fanatik yang akan cuba sedaya upaya untuk mengenali dan mendekati anda, sebelum melunaskan niat jahat mereka. Berhati-hatilah.


2. Sekiranya perlu berurusan, maka adakan pertemuan di tempat ramai orang.

Mungkin ada di kalangan anda yang merupakan seorang peniaga atau ahli perniagaan yang memerlukan anda bertemu dengan pelanggan atau prospek anda. Dalam kes ini anda perlu berhati-hati supaya tidak mengadakan pertemuan di tempat-tempat yang sunyi. Sekiranya prospek atau orang yang akan anda temui itu menukar tempat pertemuannya ke tempat yang sunyi, maka awas, kerana anda mungkin sedang masuk ke dalam perangkapnya.

Tidak semua orang yang kelihatan baik dan boleh dipercayai di internet benar-benar baik di dunia nyata. Seelok-eloknya elakkan pertemuan tanpa sebab atau pertemuan kerana mahu menjalinkan hubungan semata-mata kerana ini adalah salah laku yang boleh membawa anda ke kancah kegelapan.

Jangan mudah terpedaya dengan hubungan internet sehingga merancang pertemuan di dunia nyata kerana nafsu atau cinta internet, kerana kelak anda mungkin menyesal apabila mendapati orang yang anda bayang-bayangkan selama ini tidak menepati ciri-ciri yang anda kehendaki. Lebih teruk, anda bukan sahaja melukakan hati orang-orang tertentu, bahkan melukakan hati anda sendiri kerana tindakan yang tidak kukuh yang telah anda ambil.


3. Berhati-hati dengan profil yang memaparkan personaliti atau ciri fizikal yang terlalu sempurna.

Ramai pengguna internet yang menggunakan laman web sosial seperti Friendster, MySpace dan sebagainya bertujuan untuk mencari teman baru atau pasangan hidup. Mungkin ada antara anda yang menemui profil personaliti yang sangat menarik. Bentuk fizikal yang amat menarik dan sikap yang sangat romantis atau menarik hati.

Dalam dunia sekarang, bukan sahaja terdapat orang yang pandai memujuk rayu, malah mengumpan dengan fakta-fakta peribadi dan fizikal yang sempurna sebagai promosi mudah untuk memerangkap mangsanya.


4. Sekiranya anda sudah berkahwin, elakkan menjalin sebarang hubungan rapat; mesra, teman bergurau atau intim di internet.

Sekiranya anda sudah berkahwin, elakkan diri anda daripada mencari teman untuk bermesra di internet. Luangkan masa bersama teman hidup anda. Walau pun anda bertegas, "hanya kawan" tetapi tindakan anda itu akan mengundang rasa cemburu apabila ada masa yang sepatutnya anda luangkan untuk teman hidup anda tetapi dihabiskan dengan bersenda gurau atau berbual perkara-perkara yang tidak menjamin masa depan atau ekonomi keluarga atau bidang pekerjaan anda.


5. Gunakan bahasa diri seperti seorang yang sudah berkahwin atau membahasakan diri seseorang itu agar dia sentiasa sedar bahawa dia sudah berkahwin.

Kadangkala ada antara kita atau kenalan kita di internet yang sudah berkahwin tetapi masih mahu menggunakan nama gelaran yang tertentu. Seelok-eloknya bagi yang sudah berkahwin terus membahasakan diri atau menggalakkan kenalannya menggunakan nama panggilan terhormat, Tuan atau Puan.

Dan sekiranya anda tahu bahawa kenalan anda itu sudah berkahwin, maka bahasakan dirinya sebagai Puan atau Tuan supaya dia sedar bahawa dia sudah berkahwin. Namun sebaik-baiknya, elakkan diri daripada berbincang perkara-perkara yang tidak berkaitan dengan pekerjaan.


6. Jika anda sudah bertunang, berkahwin atau sudah memiliki pasangan, elakkan daripada mendaftar di mana-mana laman web sosial tanpa sebarang sebab yang khusus.

Sekiranya anda bukan bermatlamatkan perniagaan, promosi atau apa-apa pekerjaan yang melibatkan internet, maka elakkan diri daripada mendaftar di mana-mana laman web sosial dan sebagainya.

Begitu mudah internet boleh mendatangkan fitnah. Contohnya apabila seseorang mengirimkan kata-kata cinta yang mungkin bermaksud gurauan kepada anda, dan kemudian dibaca oleh orang lain, maka fitnah boleh berlaku.

Jika anda sudah memiliki teman hidup di dunia nyata, kenapa harus mencari-cari teman yang lain lagi. Untuk tujuan ALUMNI atau sebagainya mungkin boleh tetapi biarlah secara terhormat, iaitu perbincangan mesti merujuk kepada perkara-perkara reunion atau urusan pekerjaan atau perniagaan sahaja.

Sumber: http://dukeamienerev.blogspot.com