BLOG DUKE AMIENE REV

Jumaat, Ogos 22, 2008

PCS 010 - Hotel Hantu Hantu Hantu Hantu

PCS010: Parodi Cerita Seram - Siri 10
Hotel Hantu Hantu Hantu Hantu
Penulis: Amiene Rev (C) 2008

Sumber: http://dukeamienerev.blogspot.com

Hayakallah dan salam sejahtera. Dalam siri yang lepas, telah saya terangkan apakah maksud parodi cerita seram. Terima kasih kerana masih setia mengikuti siri kisah hantu ini. Semoga kisah-kisah seram yang dipaparkan di blog ini sedikit sebanyak dapat memberikan kepuasan kepada para pembaca dalam melayari blog ni.

Dan ceritanya pun bermulalah...

Cerita ini adalah mengenai sebuah hotel tinggal yang tidak dijaga atau dimiliki oleh sesiapa lagi. Hotel ini dikatakan sebagai kubu kuat sekalian hantu. Kononnya, pada setiap malam hantu-hantu akan berpesta di hotel tinggal ini.

Lokasinya? Ya, setiap hotel tentulah dibina di sekitar kawasan yang menjadi tumpuan pelancong. Sekurang-kurangnya ada kolam mandi. Iya, hotel ini ada kolam mandi, perkhidmatan limousin dan hidangan mewah pada waktu malam dan... mangsa, untuk diusik.


Encik John, Puan Maya dan dua orang anaknya.

Waktu itu malam gelap. Jam sekitar 11.40 malam. Encik John memandu kereta dalam kedinginan malam. Hujan turun mencurah-curah.

"Abang, bahayalah memandu malam-malam begini. Hujan pun begitu lebat. Tidak nampak jalan di hadapan. Silap-silap jatuh ke longkang," tegur Puan Maya.

"Nak berhenti di mana?" soal Encik John.

Sementara itu kedua-dua orang anak kembar mereka, Nuri dan Eja tidur lena di tempat duduk belakang. Kedua-duanya berpelukan kerana kesejukan.

"Oh, lihat di sana tu, Bang. Itu ada hotel. Hotel Han?"

"Iya itu sebuah hotel! Apa lagi, marilah kita berhenti dan bermalam di hotel itu," ujar Encik John.

Puan Maya ceria dalam kesejukan. Lalu mereka pun berangkat pergi ke hotel tersebut.


Gloris Yam dan Chow Eng Kiat. Pasangan kekasih berdarah panas.

Jam sudah menunjukkan tepat ke angka 11:45 malam. Lagi lima belas minit sebelum pukul 12 malam. Chow Eng Kiat, si jejaka tampan, memandu keretanya dalam keadaan jalan lebat. Gloris Yam, gadis berkulit seputih salji dengan rambut panjang dan lurus ke paras pinggang berpeluk tubuh, terketar-ketar kesejukan. Malam ini sungguh dingin.

"Gue rasa elok loe berhenti saja. Hujan makin lebat nich. Kita perlu cari tempat berteduh." Ya, pasangan kekasih ini berasal dari Indonesia, mereka datang merantau ke negara ini untuk bercuti.

"Tetapi di mana ya? Tidak ketahuan, tidak kelihatan apa pun di hadapan."

"Kok begitu, kenapa loe masih mahu memandu. Mari kita bermalam di hotel itu!" Gloris menundingkan jari telunjuknya ke sebuah bangunan kira-kira 50 meter dari jalan berbecak yang sedang mereka lalui. Sungguh aneh laluan ini, tidak ada sebarang lampu jalanan. Hendak bergantung pada lampu kereta dalam keadaan hujan lebat begini memang tidak memadai. Jawapan terbaik, ialah berhenti berteduh.


Vasantini. Pemberita Yang Baru Dipecat.

Jam ketika itu sudah mendekati sebelah lima puluh minit malam. Hujan lebat, jalan berbecak digenangi air, namun itu semua tidak menghalang gadis India berambut tocang itu daripada leka dibuai perasaan kesal dan kecewanya. Dia terus memandu dan memandu kereta.

Hajat asalnya melalui kawasan ini adalah untuk menenangkan pemikiran, tetapi entah bagaimana, sudah berapa kali dia berpusing-pusing di tempat yang sama. Vasantini tidak sedar akan hal itu, kerana asyik memikirkan nasib hidupnya.

Kereta Perodua Kancil itu terus bergerak perlahan-lahan. Tiba-tiba kilat menyambar, persekitaran menjadi terang seketika.

"Kreekk... Ptak! Ptak! Krakk! Gebumm!" Sebatang pokok Jati Mas tumbang dipanah petir. Lalu jatuh melintang di tengah jalan. Guruh kuat berdentum, Vasantini tersentak dan membrekkan keretanya secara mengejut. Bumper keretanya hampir melanggar pokok balak yang tumbang itu.

"Shit!" Vasantini menyumpah-nyumpah geram. Laluannya sudah terhalang. Mustahil Vasantini dapat mengalihkan pokok kayu balak yang tumbang itu seorang diri.

Tiba-tiba satu lembaga berpakaian ala-ala detektif muncul di hadapan kereta Vasantini. Lembaga itu bertopi koboi, topinya sangat lebar. Dia memakai kot jubah berwarna hitam gelap. Dia berdiri di atas kayu balak yang tumbang. Wajahnya sukar dilihat, yang kelihatan cuma kaca mata bulat dan klasiknya, yang bersinar-sinar diterangi cahaya lampu kereta, menyilaukan pandangan Vasantini.

Lembaga itu melompat dan menghilangkan diri seketika, lalu tiba-tiba dia muncul di cermin sisi pula, betul-betul rapat dengan cermin kereta di bahagian tempat duduk pemandu. Bersebelahan benar dengan Vasantini. Dia mengetuk cermin tingkap Vasantini beberapa kali. Laju. Bajunya basah disimbahi percikan hujan dari langit dan dari tanah. Air hujan menuruni dari beberapa bahagian topi hitam lebar yang kalis air itu.

Dalam keadaan bergementar, Vasantini menurunkan sedikit tingkap cermin kereta Perodua Kancilnya itu, lalu bertanya,"Siapakah encik ini? Apa yang encik mahu?"

Lelaki itu bercakap separa menjerit. Bunyi angin ribut yang kuat, titisan hujan dan guruh memaksanya bercakap dalam keadaan yang sedemikian rupa. Lelaki berpakaian detektif itu, seorang lelaki tua tanpa misai dan janggut memberitahu:

"Cepat! Cepat berpatah balik! Pergi menginap di hotel di belakang sana! Bahaya jika kamu terus menunggu di sini!"

"Kenapa?" tanya Vasantini.

"Jangan banyak tanya. Pergi cepat, sebelum kamu ditimpa bahaya!" tengking lelaki itu. Garang sungguh dia.

Vasantini keliru. Dia baru sahaja dibuang kerja. Baru sahaja cuba mengikis perasaan sedih, kecewa dan kesalnya. Sekarang tiba-tiba dia ditengking oleh seorang lelaki tua berpakaian detektif yang sungguh misteri.

"Cepat! Pergi!" Keras sekali suara lelaki tua itu.

"Encik tidak ikut?" tanya Vasantini lagi.

"Cepat! Pergi! Pergi!!!!!" Lelaki tua itu terus mendesak Vasantini.

"Ba.. baik," Vasantini akur. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia harus akur.

Selepas mengundurkan keretanya beberapa meter ke belakang, Vasantini membuat pusingan berbentuk U, dan terus memandu sehinggalah dia menemui sebuah bangunan besar yang bercahaya suram. Pada pintu besar bangunan itu tertulis: "Hotel Han."

Bersambung... mungkin esok, atau minggu hadapan. Cuba teka. Mengantuk amat. Penat. Kroh... kroh... kroh...

Sumber: http://dukeamienerev.blogspot.com


NOTA PENULIS: Nampaknya sudah lebih dua bulan setengah, entri bersiri parodi cerita seram ini disiarkan di blog ini. Sudah sepuluh minggu cerita kernit seram ini disiarkan di blog ini. Terima kasih di atas sokongan para pembaca semua. Saya juga meminta maaf sekiranya cerita ini tidak seram. Saya berharap tidak ada pihak yang menciplak atau menerbitkan cerita ini di tempat lain atas apa tujuan sekali pun. Sekiranya anda tertarik dengan cerita ini, beritahulah rakan-rakan, teman dan kenalan yang lain mengenai blog ini. Cerita kali ini bersambung, bersempena dengan... dengan... dengan... dengan... tik... tik... tik...