BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, Oktober 27, 2011

In Time Movie Review - Ulasan Filem

 Ulasan Filem In Time
Oleh Amiene Rev (C) 2011

Bagaimana jika pada suatu hari nanti, semua manusia akan kekal muda sebaik-baik sahaja mencecah usia 25 tahun. Bayangkan betapa tidak berbezanya antara ayah, emak, nenek, datuk, adik dan cucu apabila usia mereka semuanya adalah 25 tahun. Pada masa itu terdapat dua cara kiraan umur. Pertama, mengikut umur asal contohnya 50 tahun, 85 tahun, 110 tahun dan sebagainya. Kedua, menggunakan kiraan 1 tahun selepas 25 tahun, 3 tahun selepas 25 tahun dan sebagainya.

Satu perkara yang paling saya suka ulas tentang karya filem adalah apabila adanya elemen-elemen baru dan segar dalam filem tersebut. Pada dekad ini, Inception, Avatar, Repomen, Wanted, Gattaca, The Truman Show dan Matrix adalah antara filem-filem yang mengandungi unsur-unsur baru ini. Kini sebuah filem lagi, In Time, muncul dengan satu lagi idea baru. In Time sebenarnya adalah hasil buah tangan pengarah yang sama untuk filem The Truman Show dan Gattaca, iaitu Andrew Niccol yang dilahirkan di New Zealand. Filem In Time sebelum ini diberi judul I.m.Mortal dan Now pernah dianggap sebagai karya peniruan The Ticktockman karya Harlan Ellison.

Idea segar dalam In Time bukan sekadar kekal muda, tetapi disokong dengan satu idea segar iaitu apabila usia atau jangka hayat dianggap sebagai mata wang dunia. Sebarang urusniaga di dalam filem In Time ini adalah menggunakan jangka hayat. Contohnya, untuk membuat panggilan telefon, pengguna telefon awam mesti mendeposit sebanyak 1 minit daripada jangka hayatnya. Harga tambang bas pula ialah 1 ke 2 jam. Harga secawan kopi pula ialah 4 minit. Harga sebuah kereta mewah pula ialah 59 tahun.

Urusniaga dan mata wang usia dalam In Time juga boleh melibatkan pinjaman. Contohnya, ibu Will Salas yang berusia 50 tahun (tetapi masih kelihatan 25 tahun), membuat pinjaman usia selama 2 hari. Beliau perlu menjelaskan usia tersebut secepat mungkin sebelum faedahnya meningkat. Cara untuk melakukan urusniaga adalah dengan merapatkan nadi pada pergelangan tangan dari individu pertama ke nadi di pergelangan tangan individu kedua atau pada mesin atau pada satu jongkong logam yang berbentuk empat sig tepat dengan bahagian atasnya berbentuk lekuk ke dalam untuk disesuaikan dengan pergelangan tangan.

Filem In Time sebenarnya agak mencabar pemikiran kuasa dan ketuhanan. Dalam filem ini, orang-orang kaya mampu hidup lama, seolah-olah kekal abadi. Malah kebanyakan orang-orang kaya dalam filem In Time ini mempunyai usia sekurang-kurangnya 347 tahun. Walaupun usia mencecah ribuan tahun, manusia dalam filem In Time masih tidak dapat lari daripada kematian apabila mereka boleh dibunuh seperti manusia biasa.

Setiap manusia dalam filem In Time mempunyai jam digital bertulisan hijau bercahaya yang akan terpancar pada kedua-dua belah lengan mereka. Jam penunjuk hayat akan terpapar pada lengan kiri manakala, urusniaga dibuat dengan menggunakan tangan kanan. Apabila seseorang manusia dalam filem In Time dibunuh, mereka akan mati dengan menunjukkan baki masa yang tertinggal sebelum mereka dibunuh. Andai kata seseorang manusia dalam filem In Time gagal membeli atau mendepositkan masa ke lengan mereka ini, maka mereka akan mati seperti terkena serangan jantung.

Bayangkan manusia akan mati apabila 13 digit jam digital pada tangan mereka tinggal sifar, dan pada masa masa yang sama jangka hayat atau usia mereka inilah yang digunakan sebagai wang tunai. Manusia hidup dengan membeli masa.  Masa itu duit. Orang kaya akan terus hidup, orang miskin menyabung nyawa untuk terus hidup. Tidak ada emas, tidak ada wang kertas. Semua itu tidak setanding kehidupan.

Filem In Time ini sebenarnya mencetus rasa simpati kita terhadap golongan miskin. Dalam filem ini, terdapat diskriminasi atau jurang antara orang kaya dengan orang miskin. Orang kaya-kaya tinggal di New Greenwich, manakala orang miskin tinggal di Dayton Orang kaya-kaya makan sarapan pagi bernilai 8 minggu sedangkan orang-orang miskin di Dayton berhempas-pulas bekerja untuk mendapatkan masa. Orang-orang kaya berjalan-jalan dan memandu kereta dengan sangat perlahan kerana mereka ada banyak masa manakala orang-orang miskin berlari-lari untuk ke satu tempat ke satu tempat untuk menjimatkan masa.

Manusia di New Greenwich walaupun hidup mewah, tetapi tetap rasa kekosongan dalam hidup mereka, manakala manusia yang tinggal di Dayton akan berasa betapa berharganya masa. Jika mereka kehabisan masa, mereka akan mati. Terdapat ramai penduduk Dayton yang meninggal kerana gagal meminjam atau mendepositkan masa kerana kedai yang menjual masa telah tutup. Orang yang paling disayangi oleh Will Salas meninggal dunia dengan cara yang sama, kehabisan masa kerana gagal mendapatkan orang yang boleh mendepositkan masa.

Terdapat beberapa watak penting dalam filem In Time. Perompak atau gangster dalam filem ini dipanggil MinuteMen atau Lelaki Minit manakala polis atau FBI dipanggil Time Keeper atau Penjaga Masa. Time Keeper akan menyiasat sebarang kes penyelewengan masa. MinuteMen pula akan sentiasa memeras ugut dan menyamun masa daripada penduduk-penduduk di Dayton. Kehidupan di Dayton penuh pancaroba dan bahaya, mayat boleh ditemui di mana-mana, tak kira lelaki atau perempuan, semuanya berusia 25 tahun. Pada usia 25 tahun, gen penuaan berhenti, semua manusia akan diberi baki satu tahun. Bermula pada usia 25 tahun, semua manusia mesti bekerja dan berusaha untuk meneruskan hidup. Sesiapa yang malas bekerja, akan mati. Filem ini sememangnya sesuai untuk menegur orang-orang yang malas bekerja. Ini kerana setiap orang dalam filem In Time ini bekerja untuk dirinya sendiri.

Dalam filem ini, Will Salas telah dituduh membunuh seorang lelaki kaya dan mencuri masanya. Dalam masa itu, Will Salas bertemu dengan Sylvia Weis, anak kepada Phillip Weis yang merupakan jutawan masa. Will Salas dan Sylvia bagaikan Robin Hood pada zaman moden, mereka berdua merompak masa daripada orang kaya dan mendermakan masa tersebut kepada orang-orang miskin. Sebenarnya ada pro dan kontra perbuatan Will Salas dan Sylvia Weis ini, kebaikannya adalah semua orang berhak mendapat jangka hayat purata yang sepatutnya. Keburukannya ialah, kemungkinan jika ramai orang bergantung kepada derma usia, maka mereka tidak lagi akan rajin bekerja seperti dahulu.

Filem In Time yang dibintangi oleh Justin Timberlake dan Amanda Seyfried berjaya memupuk rasa kelakar, simpati dan cemas kepada para penonton. Bayangkan apabila seorang ibu sanggup memendekkan usianya setiap hari untuk diberikan kepada anak mereka sebagai wang belanja harian sedangkan jika ibu tersebut gagal mencari masa yang mencukupi maka dia boleh mati apabila jam masa usianya menunjukkan sifar. Itulah yang berlaku kepada ibu Will Salas, gara-gara tidak cukup masa untuk dibayar sebagai tambang bas, ibu Will Salas terpaksa berlari pulang, tetapi kerana perjalanan pulang ke rumah memakan masa dua jam, ibu Will Salas meninggal dunia sebelum sempat dia mengambil jangka hayat daripada anaknya Will Salas. Sebelum itu pada waktu pagi, beliau memberikan 30 minit kepada Will Salas untuk digunakan sebagai belanja makan tengah hari. Tragik bukan? 

Filem ini yang pastinya menimbulkan persoalan, sanggupkah anda memendekkan jangka hayat anda untuk diberikan kepada orang lain sedangkan anda tahu, bukan mudah untuk mendapatkan kembali jangka hayat tersebut dan anda boleh mati pada bila-bila masa? Itulah budaya hidup masyarakat di Dayton dalam filem In Time. Masa lebih berharga daripada emas, masa adalah nyawa! Tanpa masa, ada emas banyak pun tidak berguna lagi.

Directed by     Andrew Niccol
Produced by     Marc Abraham
Amy Israel
Kristel Laiblin
Eric Newman
Written by     Andrew Niccol
Starring     Amanda Seyfried
Justin Timberlake
Olivia Wilde
Johnny Galecki
Matt Bomer
Vincent Kartheiser
Elena Satine
Alex Pettyfer
Cillian Murphy
Music by     Craig Armstrong
Cinematography     Roger Deakins
Editing by     Zach Staenberg
Studio     Regency Enterprises
New Regency
Strike Entertainment
Distributed by     20th Century Fox
Release date(s)     October 28, 2011
Running time     115 minutes
Country     United States
Language     English