BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, Oktober 18, 2011

FILEM SERAM CERITA POPULAR SEPANJANG ZAMAN?

Antara filem seram yang pernah menjadi sebutan ramai ialah filem Misteri Rumah Tua, lakonan Noorkumalarsari yang ditayangkan pada tahun 1987 dan Main-main Hantu. Dengar kata, ada pihak dari Itali yang berminat dengan filem Misteri Rumah Tua ini.

INFORMASI BERKENAAN FILEM SERAM DI MALAYSIA

Sepanjang tiga tahun lalu, jumlah filem seram yang ditayangkan mengikut Skim Wajib Tayang (SWT):

2009: 8 filem (1 komedi seram) daripada 27 filem ditayangkan
2010: 7 filem (3 komedi seram) daripada 29 filem ditayangkan.
2011: 18 filem (6 komedi seram) daripada 42 ditayangkan.

Antara filem seram terawal yang pernah diterbitkan;
i) Serangan Orang Minyak (1958)
Pengarah: Datuk L Krishnan
Pelakon: M Amin, Nordin Ahmad, Latifah Omar, Udo Omar

ii) Sumpah Orang Minyak (1958)
Pengarah: Tan Sri P Ramlee
Pelakon: Tan Sri P Ramlee, Daeng Idris, Ali Rahman

iii) Sumpah Pontianak (1958)
Pengarah: BN Rao
Pelakon: Datuk Maria Menado, Datuk Mustafa Maarof

Media membantu kekalkan momentum, sambutan dan kutipan box-office

KALAU meneliti pandangan rasmi mengenai ahli Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) mengenai isu filem seram, ia kelihatan memang kontradik atau bertentangan dengan kenyataan Presidennya, Datin Paduka Shuhaimi Baba yang menyalahkan media kerana memberikan publisiti besar-besaran kepada filem genre sedemikian. Menurutnya, sebelum tahun 2004 filem seram di Malaysia tetapi apabila penggiat filem berusaha untuk genre ini dibenarkan (ditayangkan), lonjakan jumlah penonton dan pungutan box-office terbukti. Genre ini (filem seram) memulakan momentum filem Malaysia sehingga membawa kepada pengiktirafan anugerah pengarah, penerbitan, pelakon terbaik di persada festival antarabangsa dan peningkatan jumlah penerbitan.

Jelas sekali genre ini juga membuka ruang kreatif seni reka dan teknologi baru VFX sambil membenarkan penerbit meningkatkan pelaburan kerana yakin dengan pulangannya.

“Atas keterbukaan dan budi bicara Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) dalam memberi nasihat yang baik sebelum menerbitkan filem seram terus membawa impak peningkatan penonton filem genre seram, jumlah skrin pawagam dan juga pungutan box-office.

“Hari ini, jumlah filem tempatan meningkat pesat. Ia juga pantas mencabar kedudukan box-office filem antarabangsa di Malaysia. Ini perkara sihat dan belum pernah berlaku. Sebarang langkah untuk menyekat semula filem genre ini perlu dilihat secara rasional dan dari sudut kemajuan perniagaan dan perkembangan industri filem,” katanya.

Shuhaimi berkata, PFM menerima pandangan penonton yang memberi maklum balas, ada pengisian cerita yang keterlaluan tetapi dalam ini LPF yang mempunyai kepakaran pelbagai bidang harus dibenarkan menjalankan tugas.

“Sekiranya perlu berbincang, penerbit tempatan sentiasa bersikap terbuka dan sedia menerima pandangan masyarakat demi penambah baikkan. Kami meminta supaya masyarakat memahami trend semasa di bidang perfileman kerana sesuatu genre itu muncul secara bermusim. Sesuatu yang dihasilkan bermusim tidak semestinya mendatangkan pulangan yang baik kerana untung rugi adalah perkara subjektif,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi Diskusi Isu Filem Seram: Kreativiti Perlu Ruang, Bukan Sekatan anjuran PFM di Pawagam Mini P Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Rabu lalu.

Hadir sama ialah barisan EXCO Tertinggi PFM seperti Timbalan Presiden, Ahmad Idham; Setiausaha Kehormat, Norman Abdul Halim dan Bendahari, Pansha serta ahli persatuan yang terdiri daripada penerbit filem utama di negara ini.

Cerita hantu Asia diminati

SHUHAIMI juga menegaskan, penerbitan filem seram di Malaysia bukanlah perkara baru dan ia adalah salah satu genre yang popular dikalangan masyarakat bukan saja di negara Malaysia malah di seluruh dunia termasuk negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Korea Selatan, Thailand dan Indonesia.

“Hakikatnya orang asing paling berminat dengan filem seram Asia dan ia juga antara sebab mengapa filem dari Jepun, Korea dan Thailand mendapat sambutan. Jika kita ingin membawa Malaysia ke pentas dunia, dua genre iaitu seram dan aksi adalah genre utama,” katanya.

Kebanyakan filem seram atau seram komedi ini bukan saja menduduki tempat lima terbaik dalam carta filem popular tetapi mencatatkan kutipan tertinggi seperti Ngangkung, Hantu Kak Limah Balik Rumah, Khurafat dan Hantu Bonceng.

“Lambakan yang berleluasa adalah di kaca TV, bukan di pawagam.

“Terdapat filem seram atau komedi seram yang dihasilkan penerbit tempatan masih menunggu tarikh tayangan dengan jumlah pelaburan sekitar RM1.5 juta setiap satu termasuk di bawah pembiayaan Dana Industri Kreatif oleh Bank Simpanan Nasional (BSN). Sebarang perubahan dasar bagi penapisan filem adalah penganiayaan besar kepada usahawan filem.

“Filem seram adalah karya yang paling banyak menonjolkan unsur keagamaan dan menyelitkan mesej kemenangan iaitu kebaikan mengatasi kejahatan. Walaupun banyak menghasilkan filem seram, negara seperti Jepun, Indonesia dan Korea tidak menunjukkan wujudnya kemunduran pemikiran di kalangan masyarakatnya,” katanya.

Tambah Shuhaimi lagi, masyarakat yang gemar menonton filem seram juga mempunyai hak sebagai pengguna untuk mengikuti filem kegemaran mereka mengikut klasifikasi yang ditetapkan oleh LPF.

Pengguna berhak mendapatkan kepelbagaian genre hiburan mengikut garis panduan sedia ada. Di dalam Pelan Transformasi Ekonomi, Industri Kreatif bakal menjadi antara penyumbang terbesar bagai ekonomi negara. Karyawan memerlukan ruang untuk berkarya.

“Sebarang sekatan adalah langkah ke belakang dan boleh membantutkan pertumbuhan industri kreatif. Tuduhan berkali-kali terhadap industri kreatif sebagai punca bagi kepincangan masyarakat adalah tidak tepat. Industri memerlukan kerjasama media dalam membina persepsi yang positif terhadap pembangunan industri filem tempatan,” katanya.

Berdasarkan kepada pandangan Shuhaimi, kedudukan filem genre seram tentulah tidak menonjolkan tanpa sokongan daripada media. Ini kerana media bukan sekadar memberikan promosi dan publisiti berterusan, tetapi turut memainkan peranan filem genre ini dapat terus mengekalkan momentumnya iaitu dari segi sambutan penonton sehingga mencatatkan kutipan box-office.

Bayangkan kalau media membuat pusingan U iaitu membuat laporan bersifat negatif dengan menghentam dan sentiasa mengkritik kemunculan filem genre seram, menyebabkan kerajaan memberi reaksi di atas desakan media, pastinya tidak ada atau mungkin tidak banyak filem genre itu berada di pasaran sekarang.