BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, Oktober 22, 2009

Ulasan Filem Surrogates - Mengorbankan Nikmat Sebenar Demi Keselamatan Jiwa

Surrogates - Cinta Benar Badan Palsu
Kebaikan dan Keburukan Teknologi Surrogates
Ulasan Filem Oleh Amiene Rev (C) 2009

Sanggupkah manusia mengorbankan kehidupan sebenar demi keselamatan jiwa? Sanggupkah manusia berpacaran, melakukan hubungan seks secara kawalan jauh, menerusi robot pengganti atau disebut juga dengan nama lain, iaitu 'surrogate' yang mampu menggantikan badan manusia untuk melakukan sebarang pekerjaan? Filem Surrogates yang divisualisasikan berdasarkan novel Surrogates, membawa topik perbincangan berkaitan jiwa benar dan badan palsu.

Filem Surrogates dihidupkan oleh watak Tom Greer, lakonan Bruce Willis yang amat terkenal menerusi filem-filem Die Hard, Twelve Monkeys, Fifth Element dan The Sixth Sense. Salah seorang pelakon filem aksi yang memiliki wajah yang selamba tetapi mampu menghidupkan pelbagai watak dengan jayanya.

Sekian lama, tidak ada kes pembunuhan berlaku, sejak penggunaan Surrogate. Tidak ada lagi kes penyebaran penyakit berjangkit dan wabak. Manusia pada zaman itu, tidak lagi keluar dari rumah. Mereka cuma berbaring di katil dan mengawal Surrogate masing-masing dengan menggunakan minda. Sekiranya berlaku kemalangan terhadap Surrogate, tuan punya Surrogate tetap akan selamat.
Mereka cuma perlu membeli atau membaiki Surrogate mereka.

Surrogates juga memberi kepuasan palsu terhadap rupa paras individu. Kalau seseorang itu berkulit putih dan rendah, dan mahukan penampilan dalam bentuk badan yang tinggi dan berkulit gelap, mereka boleh menjadikannya kenyataan. Ada orang yang berbadan gemuk, tetapi Surrogates mereka berbadan ramping. Untuk penambahbaikan seperti deria rasa, rupa paras yang menarik dan sebagainya, mereka cuma perlu membayar lebih. Surrogates juga perlu dicas baterinya dari semasa ke semasa. Dan kemudahan untuk mengecas semula bateri Surrogates boleh ditemui di kebanyakan tempat.

Namun, tidak semua orang menyukai Surrogates. Surrogates dianggap sebagai satu penipuan kehidupan. Golongan yang anti-Surrogates ini dikenali sebagai The Dreads. Mereka hidup seperti manusia biasa, dan diketuai oleh seorang lelaki kulit hitam yang dipanggil sebagai Nabi.

Tom Greer, seorang agen FBI telah ditugaskan untuk menyiasat kes pembunuhan pertama melibatkan Surrogate. Satu senjata yang mempunyai keupayaan untuk membunuh tuan punya Surrogate telah dicipta. Senjata ini akan menyebabkan otak tuan punya Surrogate menjadi cair, dan pada yang sama turut memusnahkan Surrogate tersebut.

Dalam usaha memburu Surrogate inilah, Tom Greer mengalami perubahan prinsip. Perlahan-lahan, Tom Greer menolak kehidupan berasaskan Surrogate. Tom Greer merindui jasad isterinya yang sebenar. Namun, isteri Tom Greer, iaitu Jennifer Peters, (lakonan Radha Mitchell) masih menyokong kuat penggunaan Surrogate kerana trauma terhadap peristiwa kematian anak mereka, suatu ketika dahulu. Hakikatnya Jennifer Peter cuma kelihatan sihat dan cantik menerusi Surrogate, sedangkan rupa paras sebenarnya dicacatkan oleh parut kemalangan, selain terpaksa bergantung kepada pelbagai ubatan untuk terus hidup.

Kes pembunuhan melibatkan Surrogate ini membuka peluang kepada Tom Greer untuk mengembalikan kehidupan manusia seperti sediakala, tanpa Surrogate.

Secara logiknya, penggunaan Surrogate sangat bermanfaat dalam dunia peperangan dan mungkin juga pada suatu ketika nanti untuk memudahkan manusia menerokai alam yang tidak mampu diterokai oleh manusia. Contohnya dasar lautan, kawasan berisiko atau di angkasa lepas. Menerusi filem Surrogate, idea ini disampaikan menerusi babak peperangan, di mana pasukan tentera Amerika menggunakan Surrogate untuk berperang.

Setiap kali Surrogate dimusnahkan sama ada menerusi bom atau roket di medan perang, tuan punya Surrogate boleh meminta Surrogate gantian untuk kembali ke medan perang. Keadaan ini sama seperti 'spawn' dalam kebanyakan permainan komputer atau multiplayer seperti Half-Life, Halo dan Counter-Strike.

Lebih menarik perhatian, apabila robot-robot yang mewakili pihak berkuasa seperti FBI dicipta dengan kekuatan yang luar biasa. Setiap agen FBI memiliki Surrogate yang mampu berlari laju, memanjat dengan tangkas dan melompat dengan amat tinggi selain susuk tubuh yang kebal. Biarpun terlibat dalam letupan atau kemalangan, robot Surrogate FBI mampu meneruskan misi memburu musuh.

Jenayah menerusi Surrogate boleh dikawal menerusi satelit. Terdapat pihak tertentu yang ditugaskan untuk memutuskan kawalan ke atas satu-satu Surrogate sekiranya tuan punya Surrogate cuba melakukan jenayah menerusi Surrogate tersebut. Hal ini juga membenarkan kehidupan privasi seseorang individu dicerobohi menerusi talian.

Salah satu risiko terburuk penggunaan Surrogate ialah penyamaran. Sekiranya Surrogate itu dikawal oleh orang lain, tidak ada sesiapa pun yang mampu membezakannya. Ini kerana suara Surrogate tetap sama, dan kelakuan robotik tanpa mimik muka yang jelas menyukarkan pengecaman. Pendek kata, penggunaan Surrogate juga memiliki kesan sampingan yang buruk.

Pengguna Surrogate juga biasanya memiliki tahap kesihatan badan yang kurang baik. Ada yang terpaksa bergantung kepada ubat-ubatan dan sebagainya. Semua ini dibincangkan menerusi filem Surrogate.

Adakah teknologi Surrogate akan direalisasikan? Kemungkinannya ada pada suatu hari nanti, tetapi pasti bukan untuk kegunaan umum. Ini kerana apa yang dibicarakan di dalam Surrogate adalah berdasarkan skop pemikiran penulis atau pengkarya sahaja, dan kita tidak boleh menjangka apa yang akan dilakukan oleh individu-individu lain sekiranya mereka memiliki Surrogate.

Selasa, Oktober 20, 2009

Inikah Dikatakan Rindu?

Bicara Kepada Jeane 2: Ini Dikatakan Rindu?
Amiene Rev Mulai Menulis Catatan Kisah Benarnya
Penulis: Amiene Rev (C) 2009

Jeane, bolehkah kau jelaskan apakah maksud rindu dalam aspek kemanusiaan? Aku sentiasa terbayangkan, di depan kamar mataku, ada bangunan-bangunan medieval berbatu-batu kelabu dan hitam, tanah coklat yang diliputi rumpai-rumpai hijau dan kuning. Di atasnya ada tompokan bunga-bunga pelbagai warna, dan awan-awan di atas langit yang mempersonakan mata yang memandang, apabila kapas-kapas putih gebu itu berarak ringan di awang-awangan.

Jeane, bolehkah kau jelaskan kepadaku, apakah maksud kampung halaman manusia dari aspek bahasa? Suatu ketika, aku mendapati diriku ditemani daun-daun rimbun dan pohon-pohon di hutan belantara. Aku termimpikan manusia-manusia bercawat daun dan kanak-kanak berbogel berkeliaran di dalam hutan. Ada lelaki dewasa yang memegang buluh runcing dan sumpit. Ibu-ibu sibuk menganyam bakul, sambil anak-anak perempuan mereka mendodoi bayi kecil. Juga, ada kanak-kanak lelaki yang berlari-lari di sekitar jerami-jerami yang memberi perlindungan kepada penduduk di hutan itu daripada terik matahari dan hujan.

Jeane, bolehkah kau jelaskan lagi satu perkara kepadaku, adakah manusia pada zaman ini terlalu rindu pada asal-usul mereka sebagai manusia lalu mereka ingin kembali ke zaman manusia bercawat daun dan kanak-kanak bogel? Mereka menghadiri manusia ini tanpa mengambil kisah tentang ilmu, tentang adab, dan juga tentang masa depan. Hidup mereka sekadar berseronok, mengadakan pesta apabila rezeki bertambah banyak dan mabuk tuak. Inikah yang dinamakan rindu?

Isnin, Oktober 19, 2009

Ulasan Filem Pandorum - Filem Fiksyen Sains Angkasa Lepas - Anggaran 97% Mencemaskan, 2% Kelakar, 1% Lega

Ulasan Filem Pandorum - Filem Aksi Dalam Kapal Angkasa Lepas
Pengulas Filem: Amiene Rev (C) 2009

"Jangan peluk tunang anda jika anda membawanya menonton filem ini. Ingat Tuhan, ingat hari kiamat. Filem ini menimbulkan rasa cemas yang berpanjangan sebelum berakhir dengan kesudahan yang boleh menyebabkan sesetengah penonton bertepuk tangan kerana berjaya diusik dan ditakut-takutkan. Suasana gelap di dalam koridor, manusia mutasi pemburu manusia, manusia yang tidak bersalah, belas kasihan terhadap anak manusia mutasi yang mirip toyol dan kemunculan lelaki psiko menyebabkan filem Pandorum menjadi lebih seram dan mencemaskan berbanding filem-filem Alien." - Amiene Rev


Poster-Poster Filem Pandorum

Suatu ketika dahulu, siri filem Alien menarik jiwa saya. Suasana di dalam koridor angkasa lepas yang menakutkan. Selepas itu, tidak ada filem seram berlatarkan kapal angkasa lepas yang melekat di dalam fikiran saya. Filem Alien Versus Predator yang melibatkan monumen lama juga tidak seseram filem Alien. Kini, ada sebuah filem yang saya rasa mampu mengatasi tahap keseraman filem Alien. Filem tersebut ialah filem Pandorum. Filem Pandorum dilabelkan PG13. Namun ada sesetengah babaknya kelihatan ganas, seperti menonton filem Lord of The Ring. Bagi penggemar babak bogel di dalam filem, harap maaf, filem ini tidak ada babak perempuan bogel, melainkan manusia-manusia mutasi bogel yang bertindih-tindih tidur di sekitar reaktor nuklear. Jika ada pun, cuma watak manusia separa bogel sahaja.

Sinopsis Filem Pandorum
Dua orang angkasawan telah melalui 'hypersleep' iaitu keadaan di mana seseorang itu tidur secara melampau lama, telah tersedar selepas kira-kira 8 tahun. Angkasawan itu ialah Bower, lakonan Ben Foster dan Payton, lakonan Dennis Quaid.

Bower tersedar dahulu, sebelum Payton. Mereka mendapati kapal angkasa itu telah kosong, dan kebanyakan penghuninya telah mati. Penghuni yang masih hidup pula ada yang hidup dalam ketakutan dan saling tidak mempercayai antara satu sama lain, lantaran diracuni perasaan takut yang melampau. Bagi mereka, untuk hidup tidak boleh percaya kepada sesiapa pun kecuali diri sendiri. Sesiapa yang baik hati, biasanya akan mati awal, namun apa yang saya suka tentang filem Pandorum ialah, jalan ceritanya membuktikan bahawa prinsip hidup seperti itu salah dan membawa padah pada akhirnya. Yang baik akan terus hidup dan membuka ruang kepada kehidupan yang baru di Planet Tanis.

Kapal angkasa Elysium ialah sebuah kapal penumpang yang mempunyai sistem hibernasi untuk manusia atau hypersleep, yang membawa enam puluh ribu manusia yang terdiri daripada pelbagai golongan cerdik pandai dan spesimen-spesimen makhluk bumi untuk memulakan hidup baru di sebuah planet baru yang dipanggil Tanis.

Dalam perjalanan yang memakan masa bertahun-tahun itu, satu tragedi telah berlaku, di mana seorang petugas atau kru kapal ketika itu sedang diamanahkan menjaga kapal angkasa (mengikut shif), telah menerima satu berita buruk yang menyedihkan daripada penduduk bumi, menyebabkan dia diserang sindrom Pandorum. Sindrom ini menyebabkan dia hilang harapan, rasa bebas dan mula menganggap dirinya sebagai tuhan manusia, dan bertindak mengikut nafsu kebinatangannya untuk memangsai kru-kru kapal yang sedang dalam keadaan tidur terlampau.

Sementara itu, sekumpulan manusia yang lain pula telah tersedar dari lena, dan berevolusi menjadi makhluk yang ketagih daging manusia. Hal ini berpunca daripada mutasi kerana kesan ubat-ubatan yang diambil beberapa tahun sebelumnya. Mereka bukan lagi manusia, tetapi adalah satu bentuk makhluk yang baru. Makhluk-makhluk ini akan menunggu mana-mana manusia yang tersedar dari hypersleep, dan tanpa belas kasihan terus membaham, menikam dan memakan daging manusia tersebut dengan gelojoh. Lebih teruk, apabila makhluk-makhluk ini beranak-pinak dan bilangan mereka semakin bertambah di dalam kapal angkasa penumpang Elysium.

Bower dan Payton yang pada mulanya hilang ingatan, secara perlahan-lahan mengingati semula misi mereka. Elysium ialah kapal penumpang yang memindahkan umat manusia ke dunia baru, iaitu Tanis. Bumi telah mengalami satu keadaan yang amat menyedihkan dan menimbulkan sejenis penyakit mental yang dipanggil sindrom Pandorum, yang menyebabkan penghidapnya menjadi gila dan melakukan sesuatu yang tidak masuk akal dan zalim. Sindorm Pandorum telah menyebabkan kematian beribu-ribu manusia yang sedang tidur terlampau di dalam kapal angkasa penumpang tersebut.

Adakah kapal Elysium akan selamat sampai ke Tanis atau gagal? Apakah yang sudah berlaku di bumi? Masih wujudkah bumi? Kenapa manusia perlu berpindah ke Tanis? Semasa keseorangan di salah sebuah bilik di dalam kapal angkasa Elysium, Payton telah menemui seorang lelaki lain bogel, dipenuhi dengan darah, menangis dan meminta dikasihani. Siapakah lelaki tersebut dan apakah kaitannya dengan Payton? Siapakah Payton yang sebenarnya?

Ulasan Filem Pandorum
Filem Pandorum nyata cuba mewujudkan perasaan cemas, panik dan takut di kalangan penonton secara berpanjangan dari mula hingga ke akhir cerita, sebelum mengalami satu kesudahan yang melegakan. Kemunculan Gallo menambahkan lagi kebimbangan penonton terhadap peratus peluang kejayaan Bower menyempurnakan misi perpindahan manusia ke Tanis.

Kemunculan watak seorang lelaki Asia bernama Manh, lakonan Cung Le, yang bercakap dalam bahasa yang pelik (mungkin bahasa dari negara Vietnam) tetapi masih boleh memahami percakapan Bower merupakan satu-satunya babak yang berjaya meredakan perasaan cemas di kalangan penonton. Perasaannya seperti menonton filem God Must Be Crazy yang melibatkan seorang asli dari padang pasir Afrika. Seorang lelaki bercakap dalam bahasa Inggeris dan seorang lagi menggunakan bahasa asing. Dua orang yang tidak memahami bahasa masing-masing tetapi mampu menyerap maksud menerusi apa yang dipanggil sebagai rasa saling mempercayai antara satu sama lain.

Watak-watak makhluk pemburu manusia di dalam cerita ini sekali imbas mengingatkan saya kepada bangsa Uruk-Hai dalam filem Lord Of The Ring. Bezanya, watak-watak tersebut berkulit putih pucat. Mereka menggunakan senjata-senjata yang diperbuat daripada besi, yang diasah tajam. Pergerakan makhluk-makhluk ganas ini diiringi dengan audio yang sesuai. Kesan audio meningkatkan lagi kadar keseraman filem ini.

Kemunculan watak Nadia, seorang saintis wanita yang menjadi liar kerana trauma terhadap keganasan yang berlaku di dalam kapal angkasa Elysium, lakonan Antje Traue memberi harapan baru terhadap cerita ini. Pada mulanya saya menganggap Bower dan Nadia akan menjadi Adam dan Hawa di planet Tanis, tetapi pada akhirnya tidak. Jangan kecewa dahulu, tontonlah filem ini dan kejutan pasti berlaku.

Detik-detik menggembirakan di dalam filem ini dipaparkan pada kadar masa yang sangat singkat. Namun, mesej dan kesudahan filem ini boleh dianggap sudah tercapai. Saya tidak pasti sekiranya ada sekuel untuk Pandorum, dan bagaimana agaknya penulis skrip filem Pandorum mahu melakukan 'twist' dalam filem sambungannya supaya mampu menjadi lebih mencemaskan, atau sekadar menghampiri tahap filem Planet of The Apes atau filem-filem lain yang biasanya menggambarkan kesusahan memulakan tamadun baru di planet baru.

Apa pun, hampir 97% jalan cerita filem Pandorum dilukiskan dengan pelbagai babak yang menyeramkan. Aksi berdarah boleh dilihat dalam beberapa babak di dalam filem ini, dan tahap keganasannya adalah hampir sama dengan filem Lord Of The Ring.

Namun ada satu dua babak yang mungkin akan menjadi babak yang paling diingati oleh kanak-kanak di dalam filem ini, iaitu babak di mana Bower, Nadia dan Manh sama-sama membelasah seekor makhluk mutasi sehingga mati, menimbulkan gelak ketawa di kalangan penonton. Barangkali kerana kesuntukan babak kelakar di dalam filem ini, menyebabkan itulah salah satu daripada dua babak yang melucukan di dalam filem ini, atau satu babak yang mampu meredakan rasa cemas di kalangan penonton. Melihatkan gelak ketawa kanak-kanak semasa menyaksikan aksi ganas manusia seperti itu, mencetuskan rasa tidak senang hati dan bimbang sekiranya babak tersebut menjadi ikutan.

Manakala babak di mana seorang lelaki yang baru tersedar dari hypersleep lalu dibaham oleh makhluk mutasi, dan Bower berasa amat kecewa kerana dihalang oleh dua Nadia dan Manh daripada cuba menyelamatkan lelaki tersebut menimbulkan perasaan yang sungguh mengharukan. Baru sahaja bangkit dari hypersleep, dengan keadaan hilang ingatan, seperti bayi yang baru lahir, dan dibunuh dengan kejam. Babak yang amat zalim seperti ini meninggalkan kesan yang berjaya menakutkan hati para penonton.

Kesimpulannya, filem Pandorum merupakan sebuah filem aksi yang padat dengan babak yang seram lagi mencemaskan. Penonton akan terpaku untuk menunggu apa yang akan berlaku seterusnya. Filem Pandorum yang memakan belanja sekitar 40 juta dolar Amerika ini berjaya melakukan kebanyakan muslihatnya untuk memberi kejutan terhadap para penonton. Apa yang penting dalam filem ini, niat yang baik dibalas dengan kejayaan, walaupun terdapat banyak kematian dan pengorbanan sebelumnya.

Menghilangkan Rasa Sedih - Mengatasi Rasa Sedih - Membuang Rasa Sedih

Bagaimana Amiene Rev Menghapuskan Rasa Sedih?
Penulis: Amiene Rev (C) 2009

Menghabiskan masa dengan orang-orang yang aku hargai sejak beberapa hari ini, sekurang-kurangnya dapat menghilangkan rasa sedih dan sunyi terhadap anak-anak didikku yang bakal pergi meninggalkan aku tidak lama lagi. Namun begitu, aku bagaikan terapung-apung dalam dunia yang lain, dan gagal menjejaki realiti. Realiti, dalam konteks hidup ini, bermaksud diri yang sebenar. Selama ini aku menganggap diri ini sentiasa berada di dalam balang kaca, yang dikawal dengan laser infra-merah dan sistem penggera keselamatan. Terkongkong dalam peradaban dan darjat kemanusiaan. Kini, aku bebas menyertai sesiapa sahaja, bergaul dengan sesiapa sahaja tanpa halangan. Maka, aku merasakan diri aku kini sebagai bukan aku.

Setiap hari, aku menghabiskan masa dengan mengunjungi rumah-rumah terbuka yang dianjurkan oleh teman-teman. Menghabiskan masa bersama-sama teman-teman memberi perasaan mendapat perhatian dan ini dapat membuatkan aku lupa akan kesedihanku. Hari ini, Hari Raya sudah tamat, Deepavali 2009, mengakhiri marhaban.

Kesedihan akan mewujudkan stres. Apabila apa yang kita harapkan tidak sama dengan kenyataan atau realiti, maka stres atau tekanan mampu wujud dan mencengkam emosi. Apabila hati dilanda perasaan sedih, fikiran manusia mugnkin tidak dapat berfikir secara matang. Fikiran negatif senang-senang sahaja timbul. Maka seeloknya semasa masih bersedih, jangan dibuat sebarang keputusan yang penting-penting atau yang besar-besar. Kerana kesedihan atau emosi ketika ini sedang mengepung akal supaya tidak dapat berfikir secara matang, rasional dan waras.

Sekiranya aku diserang perasaan sedih, maka selalunya aku akan mengadu kepada Tuhan. Berdoa dan berzikir. Namun, perasaan kehilangan atau memikirkan mereka yang bakal pergi meninggalkan kita memang amat-amat menyentuh hati. Maka aku menyerah sepenuhnya kepada Tuhan. Sesungguhnya Tuhanlah tempat pertama untuk aku sebagai manusia mengadu dan meluahkan segala kesedihan dan masalah. Kerana perasaan yang aku miliki ini, adalah diberikan oleh Tuhan, dan kehidupanku ini, adalah kehidupan yang diberikan oleh Tuhan.

Aku juga memiliki orang-orang kepercayaan yang menjadi tempat untuk aku berbicara dan meluahkan segala masalah aku sehingga puas. Kadangkala aku menulis segala luahan tersebut dalam bentuk tulisan. Dan kebanyakan tulisan tersebut memberi pulangan yang lumayan kepada diriku.

Kadangkala kesedihan dapat diatasi dengan cara menyertai kesibukan. Bukankah sebelum ini kita selalu dengar orang yang sibuk tidak ada masa untuk mengingati orang tersayang, sehingga dianggap lebih pentingkan karier dan mengejar kemewahan berbanding kemanusiaan. Ya, nilai-nilai kemanusiaan akan terhapus apabila manusia sentiasa berada dalam kesibukan. Dan, kesedihan aku kini kerana perasaan sayang dan rindu, maka kadangkala aku patut menjadi bukan manusia, menghapuskan nilai-nilai kemanusiaan dalam diri aku.

Sesetengah orang dapat menyibukkan diri dengan aktiviti seperti menonton wayang, bersukan, mendengar lagu yang dapat mewujudkan perasaan gembira atau bersemangat, meluangkan masa bersama teman-teman, memelihara binatang kesayangan, berjalan-jalan melihat dunia luar dan sebagainya. Namun aku selalunya ada satu cara yang mungkin unik untuk menghilangkan perasaan sedih.

Aku selalunya suka mendengar orang lain meluahkan kesedihannya, lalu aku bantu orang tersebut. Dengan mengetahui kesedihan orang lain, aku dapat membuat perbandingan dengan kesedihan diriku, dan seterusnya belajar untuk menghargai kehidupan yang telah diberikan Tuhan kepadaku. Cara ini juga dapat membantu aku untuk melihat kehidupanku dari sudut yang positif.

Banyak berfikir kadangkala boleh mendatangkan masalah, dan juga rasa sedih. Apabila kita memikirkan masa depan, tentang orang-orang yang akan meninggalkan kita, tentulah kita akan berasa sunyi lagi sedih. Kesedihan yang sedang aku alami sekarang ini adalah kerana aku terlalu memikirkan detik-detik perpisahan tersebut, sedangkan mereka kini masih ada di depan mata.

Semasa kecilnya, aku sering menghilangkan kesedihan diriku dengan berlari sejauh-jauhnya. Kepenatan kerana bersukan, akan mendatangkan rasa lelah, nafas yang tercungap-cungap dan keadaan ini mampu menghilangkan rasa sedih. Kerana itu, aku selalu menjadi atlet sprinter atau atlet olahraga yang hebat semasa usiaku masih amat muda. Namun kerana halangan ibu bapa yang tidak membenarkan anak-anaknya terpikat dengan dunia sukan, maka aku tidak dapat melibatkan diri dalam bidang sukan secara serius.

Satu lagi tingkah laku aneh yang sudah lama tidak aku lakukan untuk menghilangkan kesedihan ialah handstand atau berdiri dengan dua belah tangan. Taktik ini sering aku lakukan semasa usia kanak-kanak. Darah akan memberat ke kepala dan otak, lalu fikiran akal akan menjadi semakin aktif. Apabila akal menguasai diri dan emosi berjaya dibelakangkan, maka usaha untuk mengatasi rasa sedih menjadi lebih mudah.

Setiap kali aku berjaya menghilangkan rasa sedih, selalunya aku akan cepat-cepat mencari aktiviti yang berfaedah supaya kehidupan dan perasaanku tidak menyerap kesedihan itu lagi.

Sekiranya anda berminat dengan tulisan berkenaan kesedihan, kesunyian dan tekanan perasaan atau stress, anda juga mungkin berminat dengan tulisan-tulisan berikut:

Jumaat, Oktober 16, 2009

Hiba, Perasaan Seorang Pendidik Yang Bakal Ditinggalkan Oleh Ratusan Anak Didiknya

Kisah Seorang Pendidik, Seorang Pensyarah:
Hiba, Perasaan Seorang Pendidik Yang Bakal Ditinggalkan
Oleh Ratusan Anak Didiknya

Penulis: Amiene Rev (C) 2009

Ketika itu, anak angkat keluarga kami, berjalan dan mendaki anak tangga bas, untuk berangkat meninggalkan keluarga kami. Sebelum ini, ibu dan ayahku menjaga beliau sehinggalah tamat peperiksaan SPM. Ayahku memandu kereta, dan ada air mata yang bergenang. Kesedihan seorang bapa, berpisah dengan anak angkat. Kini aku merasai kesedihan ayahandaku, betapa sedihnya berpisah dengan anak-anak didik yang telah kuberikan tunjuk ajar, dan kuanggap sebagai anak kandung sendiri.

Walaupun sekadar anak didik, perasaan sebagai bapa atau penjaga atau pengasuh itu tetap wujud, dan perpisahan ini amat melukakan hati. Setiap malam, aku berharap pagi itu akan muncul, supaya aku dapat menemui anak-anak didikku lagi. Dan setiap masa, aku mengharap dapat bersama-sama dengan anak-anak didikku lagi, dan rasa kebimbanganku meningkat apabila waktu berlalu semakin hampir dengan penghujung kuliah. Dan apabila tiba waktu cuti, aku sangat-sangat berharap agar waktu cuti itu menjadi amat singkat, supaya aku tidak terlalu lama berpisah dengan anak-anak didikku. Tetapi mereka akan pergi juga, pergi meninggalkan aku, tidak lama lagi. Aku sedih, tetapi harus pasrah menerima kedatangan hari perpisahan.



Apabila cuti perayaan tiba, orang ramai pulang ke kampung. Aku, termangu di kediaman bangloku, meniti saat dalam hari seorang diri. Lalu, aku memikirkan apakah tindakan berfaedah yang boleh kubuat dalam masa yang bening ini.

Setiap kali, dalam keadaan sunyi seperti ini, aku memikirkan tentang teman. Aku pasti orang lain juga, apabila melalui keadaan seperti aku sekarang ini, maka mereka juga akan memikirkan tentang teman-teman.

Penghujung semester, mahasiswa dan mahasiswi tahun akhir pasti bergembira. Namun, bagaimana pula dengan orang-orang yang mendidik mereka. Setiap tahun, seorang guru kehilangan, berpuluh-puluh hingga beratus-ratus anak murid, sedangkan ibu bapa cuma kehilangan mungkin satu anak tunggal, dua, anak kembar, anak lelaki, anak perempuan, anak yang telah menjelang umur dewasa, dan anak yang telah menjadi isteri orang, lalu perasaan kehilangan, sedih dan terharu menguasai diri.

Sukar bagi kebanyakan orang yang baru dalam bidang pendidikan untuk menerima pemergian anak-anak didik mereka, kerana perasaan kasih dan sayang yang telah mekar mewangi dalam perhubungan antara pendidik dengan anak didiknya.

Beza antara anak murid dan anak kandung; walaupun guru menyayangi anak murid itu seperti anak kandung sendiri, suatu hari nanti anak murid itu akan pergi meninggalkan guru itu, selepas tamat persekolahannya, dan kembali dan pasti akan kembali lagi menemui ibu bapanya. Anak murid itu akan terus membesar, memburu cita-cita, dan kembali semula kepada ibu bapanya. Guru, pendidik? Guru terus merindui mereka. Guru, cuma tersemat dalam sampul kenangan. Tidak tahu bila lagi bekas anak murid akan membuka sampul itu, membongkar ingatan terhadap guru. Guru bukan ibu bapa mereka. Guru semakin jauh, semakin jauh. Ilmu pemberian guru, jadi pusaka untuk anak murid. Di mana guru di dalam hati dan rindu anak murid? Di mana?

Saat-saat seperti ini, aku seperti lemas dalam dakapan terharu, merasakan diri ini akan merindui beratus-ratus orang yang akan meninggalkan aku. Setiap hari, akan sentiasa ada anak-anak didik yang tersenyum menegur, mengucap khabar kepada diriku, dan mereka ini tidak lama lagi bakal meninggalkan aku seorang diri dalam dewan kuliah ini. Sunyi. Sunyilah perkataan yang paling tepat untuk menggambarkan perasaanku kini.

Selasa, Oktober 13, 2009

Bicara Kepada Jeane

Bicara Kepada Jeane
Amiene Rev Mulai Menulis Catatan Kisah Benarnya
Penulis: Amiene Rev (C) 2009

Kau tahu Jeane, aku merindui mata birumu. Aku merindui lipstik merahmu. Aku merindui kening hitammu. Aku ingin mengusapi rambut emasmu. Jika, kata-kata ini aku tuturkan di hadapan orang yang aku tidak kenal, pastilah mereka mengatakan aku ini gila.

Kau tahu Jeane, hari ini aku mengunjungi jenazah seorang budak yang meninggal. Hari ini, Jeane, hari Jumaat. Budak ini tinggal di rumah kosong yang buruk berdinding papan nipis putih, tanpa bekalan api dan elektrik. Budak ini cuma mengharapkan air perigi yang digali di belakang rumah, dan seterika panas dari rumah jiran untuk menggosok baju.

Kau tahu Jeane, malam itu selepas maghrib, budak ini pergi ke rumah jiran untuk menggosok bajunya, supaya dia dapat hadir dengan pakaian kemas pada hari Jumaat, untuk menghadapi peperiksaan PMRnya. Budak ini memandu motosikal tanpa lampu lalu kerana buta di dalam kegelapan malam, dia terlibat dalam kemalangan jiwa.

Kau tahu Jeane, betapa hati aku turut menumpang hiba, biarpun aku cuba menghilangkan duka ini, dengan mengharapkan lebih banyak anak-anak bangsa yang lahir pada kemudian hari akan lebih berdaya saing dan mampu mempertahankan kedaulatan bangsa.

Jeane, hati aku berdendam. Aku mendapati di dunia ini masih ada ketidakadilan. Ketika di sini masih ada budak yang lebih layak mengharapkan bantuan kewangan dan biasiswa daripada kerajaan. Ketika di sini masih ada budak yang bergelap di kediamannya selepas matahari terbenam, dan menggaru gatal di lengan dan peha kerana tusukan jarum darah nyamuk-nyamuk, dan mengambil wuduk dengan air yang berbau tanah, ada pula budak yang memiliki Play Station di rumahnya, telefon bimbit berjenama mahal dan mampu pula memandu kereta pada usia yang tidak sepatutnya, yang diberikan bantuan kewangan dan biasiswa. Adakah ini dinamakan rezeki?

Jeane, aku meragui kemuliaan rezeki. Aku tidak kenal lagi keadilan dalam dunia ini! Aku mahu membantah! Aku mahu, mengubah apa yang tidak adil! Tetapi bagaimana, Jeane?

Isnin, Oktober 12, 2009

Poster Filem Terbaik 2007 - Sweeney Todd 2007

Seorang tukang gunting rambut yang memegang pisau cukur perak yang tajam, duduk di atas kerusi kedai gunting yang berwarna merah darah. Pada riak mukanya tersirat niat jahat dan kejam, menunggu mangsa untuk disembelih. Poster kegelapan ini mampu menimbulkan kesan yang mengganggu emosi penghayat seni. Sebuah karya yang berkesan dan luar biasa.

Ahad, Oktober 11, 2009

Suara MPP: Pemberhentian RON92 sukarkan hidup mahasiswa

Pandangan Amiene Rev Terhadap Isu RON92 dan RON95
Suara MPP: Pemberhentian RON92 sukarkan hidup mahasiswa???
Kenapa budak sekarang semakin mengada-ngada?


Semasa di universiti, saya tidak memiliki sebarang kenderaan. Saya cuma menggunakan kaki. Peliknya, mahasiswa yang berkenderaan datang lebih lambat berbanding saya. Malah, mahasiswa yang berkenderaan juga ada yang masuk lewat ke kelas kuliah. Kuliah sudah bermula sekitar 5 minit, mereka baru terkedek-kedek masuk ke dewan kuliah.

Apabila ada mahasiswa mengatakan isu ketiadaan RON92 boleh mencacatkan pencapaian mereka, maka saya berasa sangat pelik. Kenyataan itu seolah-olah menunjukkan mahasiswa kita tidak fleksibel. Perspektif saya terhadap isu yang dibangkitkan kini, mahasiswa generasi lama tampak lebih berdaya saing dalam hal begini, manakala mahasiswa sekarang amat lemah, rapuh, manja dan tidak pandai berdikari.

Telefon bimbit, laptop, iPod dan banyak lagi barangan mewah mampu dimiliki rata-rata mahasiswa kini. Saya pernah melalui zaman mahasiswa, dan saya dapati kebanyakan mahasiswa manja terdiri daripada mahasiswa yang memiliki kenderaan. Malah ada seorang mahasiswa mengatakan rasa kagumnya kepada saya kerana mampu melalui kehidupan dengan tenang di universiti tanpa kenderaan, dan datang awal atau tepat pada masanya ke kelas kuliah atau pertemuan pelajar. Kata mahasiswa itu lagi, kalau tak ada kenderaan di kampus ini, dia rasa tidak boleh hidup. Saya tersenyum pahit mendengar ulasan mahasiswa tersebut. Kenapa tak boleh hidup? Kenapa? Saya boleh. Kuncinya terletak pada pengurusan masa dan kewangan.

Tidak adakah kemudahan bas di universiti? Bagaimana pula dengan sistem pengangkutan lingkaran kampus di kolej atau di asrama? Kenapa mahasiswa tidak mahu duduk di asrama? Adakah kerana tidak mahu terkongkong? Bagaimana pula dengan soal disiplin dan pengurusan masa?

Saya juga pernah bergelar mahasiswa dan mendapat ijazah. Saya melalui zaman mahasiswa saya tanpa sebarang pengangkutan. Pengurusan masa adalah perkara yang penting. Cuma orang manja sahaja tidak pandai menguruskan masa.

Saya sedang menanti kehadiran hidrofuel. Saya berharap dunia kini akan semakin sejuk dan pencemaran udara semakin berkurangan. Jika RON95 lebih mesra alam berbanding RON92, maka seeloknya RON95 menggantikan RON92.

Semasa di universiti, saya pernah melihat mahasiswa yang membuang sampah di merata-rata tempat dan sehingga kini saya tertanya-tanya, kenapa kebanyakan mahasiswa pada masa ini kurang mengambil berat soal isu alam sekitar. Vandalisme, biadab dan manja.

Apabila ada mahasiswa yang membantah soal pemberhentian RON92, maka saya cuma katakan satu perkara sahaja. Mereka tidak fleksibel. Barangkali mereka tidak pernah melalui zaman seperti senior-senior mereka, berpeluh-peluh untuk menghadiri study group, kuliah atau perbincangan tugasan. Saya sendiri dahulunya adalah mahasiswa yang telah berjalan berjuta-juta kilometer, (menurut kajian yang dijalankan oleh sekumpulan mahasiswa dari Fakulti Kejuruteraan Elektrikal dan Robotik). Saya tidak pernah merungut, saya tidak pernah menyusahkan orang, dan saya juga tidak pernah meminta-minta. Berat badan saya sentiasa 'fit' dan saya rasa setiap kali ke kelas kuliah, saya dapat bersenam, berjalan kaki ke kelas kuliah. Saya juga lebih tabah mengharungi panas terik matahari apabila pulang ke kuliah. Pengurusan masa yang bijak menjadikan saya lebih tenang menghadapi hari-hari saya bergelar mahasiswa.

Saya lebih mengutamakan isu alam sekitar berbanding isu RON92 untuk mahasiswa. RON95 lebih mesra alam, justeru eloklah RON92 yang kurang mesra alam dimansuhkan. Mahasiswa harus diajar berdikari. Saya sudah muak melihat sifat manja dan biadab sesetengah mahasiswa di universiti. Saya rasa tanpa kenderaan pun mereka masih boleh hidup. Pandai-pandailah berjimat cermat jika mahu menggunakan motosikal atau kereta.

Saya menyokong keputusan kerajaan memberhentikan RON92, melainkan ada bukti-bukti saintifik yang mengatakan RON92 lebih mesra alam berbanding RON95. Mahasiswa perlu mengubah sikap manja mereka, dan belajar mengurus masa dan kewangan dengan lebih bijak tanpa mengarah-arah orang yang lebih tua untuk mengikut pemikiran mereka. Cuba berdikari dahulu, jangan cepat merungut. Saya pun pernah melalui zaman mahasiswa, tanpa kenderaan dan penuh cabaran dan tekanan. Kenapa saya boleh berjaya dan kenapa anda tidak boleh? Jangan mengada-ngada. Cuba dahulu sebelum merungut itu dan ini. Baru lalui satu cabaran berat, sudah mahu merungut. Saya kecewa dengan sikap sebilangan besar mahasiswa sekarang.

RUJUKAN BERITA 1:
HARIAN METRO: Suara MPP: Pemberhentian RON92 sukarkan hidup mahasiswa

KEPUTUSAN kerajaan memberhentikan RON92 bakal merumitkan lagi keadaan dan mengasak kehidupan. Ini kerana kebiasaannya mereka yang menggunakan kenderaan ringan adalah dari golongan pendapatan rendah.

Pemberhentian itu turut memberi beban kepada golongan pelajar dan mahasiswa sehingga mencacatkan peningkatan penggunaan kenderaan di kampus.

Naib Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Abu Qassim Nor Azmi, berkata daripada tinjauan rambang mendapati nisbah kepenggunaan kenderaan adalah 1:4:5 iaitu seorang berkereta, empat orang bermotor, dan bakinya menggunakan perkhidmatan awam.

Beliau berkata, dengan nisbah itu, kira-kira 50 peratus mahasiswa tahun akhir bakal terjejas dengan penyelarasan terbaru harga minyak ini dan tidak mustahil ia akan memberi kesan kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di Malaysia.

"Keadaan ini pasti menyukarkan mahasiswa yang terpaksa berhadapan kenaikan kos sara hidup yang tinggi dan keperluan pembelajaran yang semakin meningkat.

"Walaupun ia resam kehidupan mahasiswa, faktor kewangan memainkan peranan besar merencatkan pencapaian mereka," katanya.

Katanya, tidak dapat dinafikan, tekanan menjadikan kita lebih kreatif dan inovatif tetapi tekanan yang terlalu menekan juga tidak baik dalam hal ini.

"Justeru, saya menyeru tindakan menghentikan pengeluaran RON92 itu dikaji semula di samping penstrukturan semula penjualannya di tempat-tempat yang strategik khususnya di pinggir kota.

"Saya mencadangkan kuota penjualan yang lebih kompetetif dirumus untuk menguntungkan ketiga-tiga pihak iaitu kerajaan, pengusaha stesen minyak dan pengguna.

"Ini penting bagi memastikan tidak ada pihak yang ditindas seterusnya memangkin pertumbuhan ekonomi yang mapan," katanya.

Qassim berkata, amalan berkongsi kenderaan di kalangan masyarakat perlu disemarakkan supaya ia dapat meringankan beban peruntukan subsidi petrol yang menjangkau RM500 juta setahun.

"Amalan itu turut mengurangkan beberapa masalah seperti kesesakan lalu lintas dan pencemaran udara.

"Perkongsian kenderaan dapat menyuburkan perpaduan di kalangan rakyat," katanya.


BERITA RUJUKAN 2:
New RON95 Will Replace RON92 At All BHPetrol's 300 Over Stations

PETALING JAYA, Aug 6 (Bernama) -- BHPetrol will make available RON95 fuel at all its over 300 petrol stations nationwide starting Sept 1.

Named "infiniti95", it will be priced at RM1.75 per litre. It will replace its RON92 fuel, said managing director Tan Kim Thiam to reporters at the launch of the new fuel Thursday.

"RON92 will be replaced by RON95 in accordance with the government policy," he said. The government had asked oil companies to come up with environment-friendly fuel to preserve the environment from air pollution.

The new petrol is also called "double performance fuel" as it cleans and protects engines while giving extra mileage and power.

Tan said Infiniti95 will offer unparallel performance with its 800ppm additives which is twice the manufacturer's recommended minimum treat rate.

"This will allow Malaysians to try out our new fuel. We are confident they will feel the difference," he said.

Tan said the new fuel has been engineered to enhance performance by using a specially-formulated additive package from one of the world's leading chemical company in Germany.

He also said BHPetrol plans to open 12 new petrol stations annually. So far, six have been opened.

-- BERNAMA

Jika benar IPT di Indonesia henti ambil pelajar Malaysia - Cari saja universiti lain - Khaled Nordin

Pandangan Amiene Rev Terhadap Isu
IPT Indonesia Berhenti Ambil Pelajar Malaysia

Entah bagaimana, polisi terbaru pihak universiti di Indonesia yang menghentikan pengambilan ppelajar Malaysia menimbulkan rasa tersinggung di hati saya terhadap Indonesia. Saya masih, dan sedang cuba bersangka baik, dengan menganggap tindakan ini sebagai satu cara pihak universiti di Indonesia untuk melindungi pelajar Malaysia daripada menjadi mangsa pihak fanatik lagi terlampau dari Indonesia.

Sejak akhir-akhir ini, isu yang dicetuskan oleh Indonesia terhadap Malaysia sering mengundang rasa tersinggung terhadap diri saya, selaku salah seorang warga di negara Malaysia. Tulisan ini bukan untuk mencetuskan konflik, malah jauh sekali untuk tujuan provokasi. Tulisan ini adalah sekadar pendapat saya sebagai warga Malaysia yang tersinggung dengan sikap Indonesia. Boleh dikatakan media Indonesia semakin kuat membuli imej negara Malaysia, maka kali ini saya ingin benar meluahkan pandangan saya terhadap isu yang semakin kuat membara ini.

Menolong Indonesia umpama melepaskan anjing tersepit. Kita rakyat Malaysia sudah sekian lama bersabar dengan karenah sebilangan besar pendatang-pendatang dari Indonesia yang langsung tidak tahu menghormati penduduk tempatan.

Semasa saya masih belajar di universiti dahulu, setiap kali saya ingin menaiki bas, pasti akan ada beberapa orang warga Indonesia yang dilihat enggan beratur dan terus dengan lagak samsengnya meluru terus ke pintu masuk hadapan bas dan menolak warga Malaysia yang sedang beratur. Cukup biadab. Saya tahu, pasti ramai rakyat Malaysia yang memendam rasa kerana tidak mahu membesar-besarkan hal ini.

Satu lagi perkara yang menyakitkan hati ialah sikap warga Indonesia yang tidak berpuasa di kawasan-kawasan setinggan. Islam tetapi tidak berpuasa. Hal ini menyakitkan hati penduduk-penduduk setempat.

Pada ketika itu, perspektif saya terhadap warga asing dari Indonesia yang berkelakuan biadab ini cuma satu. Mereka ini, bukanlah golongan yang berpelajaran tinggi. Barangkali ada yang tidak tamat persekolahan atau diberhentikan. Barangkali mereka ini pelajar-pelajar yang dilabelkan sebagai berkelakuan buruk, sering menimbulkan masalah di sekolah, biadab terhadap guru, lalu memiliki keputusan peperiksaan yang teruk, dan kini kerana gagal mendapat pekerjaan di negara mereka, mereka terus datang ke Malaysia.

Maka kerajaan Malaysia yang terlalu baik hati lalu menerima warga asing seperti ini dan memberi mereka pekerjaan dan peluang untuk tinggal di Malaysia. Maka, kerajaan Indonesia pasti berasa sangat sukacita kerana warga-warga Indonesia yang bermasalah sudah 'dibuang' ke negara Malaysia. Maka biarlah warga-warga asing yang biadab seperti ini membuat kacau di Malaysia dan jangan di Indonesia. Indonesia cukup bernasib baik.

Namun pernyataan di atas tidaklah begitu adil untuk melabelkan semua warga Indonesia. Saya yakin ada warga Indonesia yang insaf dan baik hati, bekerja dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh di Malaysia. Cuma bilangan warga Indonesia yang berhati mulia seperti itu amatlah kecil jumlahnya di negara ini.

Media Malaysia selama ini tidak membesar-besarkan isu jenayah dan masalah sosial yang dicetuskan oleh pendatang dari Indonesia di Malaysia. Hal ini mungkin telah menyebabkan pihak Indonesia berasa rakyat mereka jauh lebih baik berbanding rakyat Malaysia. Tambahan pula yang kuat menghentam Malaysia ialah media Indonesia dan bukannya media Malaysia. Mungkin sudah tiba masanya untuk media Malaysia mendedahkan semua keburukan yang dilakukan oleh rakyat Indonesia di Malaysia supaya Indonesia buka mata dan sedar bahawa sikap sebilangan besar rakyat mereka di negara ini sudah lama menyinggung perasaan rakyat Malaysia. Cuma, rakyat Malaysia yang terlalu bertolak ansur dan mengalah, masih sanggup bermurah hati memberi peluang kepada rakyat Indonesia, atas dasar rasa hormat 'adik' terhadap 'abang'. Cuma, Indonesia sebagai 'abang' tidak sedar betapa besarnya pengorban Malaysia sebagai seorang 'adik'.

Satu demi satu sikap dingin Indonesia terhadap Malaysia tercetus. Saya kini semakin tersinggung dan terus tersinggung dengan sikap Indonesia. Namun ini tidak bermaksud bahawa saya akan membenci atau menganak-tirikan rakyat Indonesia atau sesiapa pun yang berketurunan Indonesia di Malaysia. Saya akan tetap melayan mereka sama seperti saya melayan warga Malaysia. Cuma, hati yang tersinggung jika tidak diubati, pasti pada suatu ketika nanti, akan menyebabkan tuannya bertindak tegas dan keras.

PETIKAN KOSMO! MENGENAI TINDAKAN TERBARU INDONESIA TERHADAP MALAYSIA
TAJUK BERITA: Jika benar IPT di Indonesia henti ambil pelajar Malaysia - Cari saja universiti lain - Khaled

SEMANGAT pelajar Malaysia menjadi sukarelawan membantu mangsa gempa di Padang, Sumatera tidak mempengaruhi polisi beberapa universiti di republik itu untuk menghentikan pengambilan pelajar Malaysia.

SERDANG - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan mencari universiti di negara lain yang bersedia memberikan ruang dan peluang kepada penuntut Malaysia ekoran terdapat dakwaan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Indonesia enggan menerima lagi penuntut negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu perlu diberi perhatian oleh semua penaja pendidikan di Malaysia seperti Mara, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan yayasan pendidikan.

"Penaja utama seperti JPA, Mara dan yayasan perlu mengambil kira perkara ini sebelum menghantar penuntut mereka.

"Kementerian sedia membantu mencari negara lain yang membuka ruang dan peluang kepada pelajar Malaysia,'' katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan dan penyerahan Resolusi Mahasiswa 1Malaysia di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini semalam.

Cuti! Cuti! Cuti! Mencuit Hati!

Setiap minggu, setiap hujung minggu, jadual sosial saya amat penuh bersama kawan-kawan. Minggu ini, hari ini, sekejap lagi, saya mahu pergi menggolek bola boling bersama teman-teman di tengah-tengah kota metropolitan. Juga, setiap kali tiba hari Sabtu dan Ahad, saya tidak mengeluarkan wang untuk makan. Perut sentiasa kenyang dengan memenuhi jemputan kawan-kawan ke rumah terbuka.

Kemudian saya teringat, kuih raya yang diberikan orang hari itu, masih tersimpan baik dalam peti simpanan saya. Mungkin saya patut merasainya, selepas menikmati burger kambing sebentar lagi.

Poster Paling Menarik Perhatian - Cloverfield 2008

Apa perasaan anda apabila barang kesayangan anda atau barang kebanggaan anda dimusnahkan? Apa perasaan anda apabila Menara Petronas hancur di depan mata anda? Apa perasaan anda apabila melihat Jeremy Klarkson menghancurkan kereta kesayangan anda? Filem Cloverfield menjadikan persoalan ini sebagai idea untuk menghasilkan poster filemnya. Filem ini pasti mencetus sensitiviti, kontroversi dan persoalan di kalangan penghayat seni.

Sabtu, Oktober 10, 2009

Ulasan Filem Papadom - Filem Terbaik dan Menyentuh Hati Untuk Tahun Ini

Ulasan Filem Papadom
Sebuah Filem Komedi/Drama Yang Agung
Pengulas Filem: Amiene Rev (C) 2009

"Apabila anda menonton filem ini, anda akan mengalir air mata kerana dua sebab Pertama kerana komedinya. Kedua kerana babak yang mengharukan." - Amiene Rev

Tidak syak lagi, inilah filem terbaik untuk tahun 2009. Filem ini bukan sekadar menyentuh hati, malah turut mencuit hati. Filem ini berjaya menggabungkan elemen kelakar dan terharu, dan seterusnya memberi satu estasi baru dalam jiwa penonton seperti saya. Filem sebagus ini bukan sahaja menggeletek hati orang dewasa malah, berbelas-belas kanak-kanak lelaki yang berusia sekitar 10 hingga 14 tahun yang secara kebetulan turut sama menonton filem ini. Dari cara gelak ketawa kanak-kanak, pasangan kekasih dan lain-lain penonton sudah cukup membuktikan betapa Filem Papadom ini mencuit hati mereka.

Fakta Filem Papadom

Judul Filem: Filem Papadom

Tagline: Sebuah kisah mengenai seorang bapa, seorang anak dan Papadom.
Genre: Drama / Komedi
Pengarah: Afdlin Shauki
Penerbit: Tayangan Unggul Sdn. Bhd.
Kos penerbitan: RM1.44 juta

Pelakon:
Afdlin Shauki (Saadom)
Noorkhiriah (Munira)
Liyana Jasmay (Miasara)
Vanidah Imran (Profesor Balqis)
Farid Kamil (Hisham)
Scha (Shasha)
Chelsia Ng (Yvonne)
Que Haidar (Mat)
Harun Salim Bachik (Hussin)
Pete Teo (Alan)
Adham Malek (Ali)

Tarikh tayangan: 8 Oktober 2009

Sinopsis Ringkas Filem Papadom
Filem Papadom mengisahkan seorang ayah yang bernama Saadom, yang dahulunya merupakan seorang Penjual Nasi Kandar yang enak. Papadom yang dibuat oleh Encik Saadom sangat sedap dan akhirnya berjaya dipasarkan hingga ke luar negara. Sejak itu keluarga Saadom hidup mewah. Dahulunya Saadom merupakan seorang suami dan seorang ayah yang sangat sibuk. Selepas kematian isteri beliau, Saadom mula berubah sikap. Setiap jam yang ada dalam sehari, dihabiskan Saadom untuk menemani anaknya, tidak kira semasa anaknya di sekolah, atau menghadiri parti di rumah rakan, atau semasa perkhemahan pengakap atau semasa latihan silat. Pendek kata, dari seorang ayah yang terlalu sibuk dengan kerjayanya, Saadom berubah menjadi seorang ayah yang terlalu mengambil berat dan mengongkong anaknya.

Namun pengorbanan itu berbaloi apabila anak tunggal Saadom itu, iaitu Miasara berjaya mendapat 20A dalam SPM. Maisara melanjutkan pengajian di UiTM Shah Alam dalam bidang Seni Perfileman. Pada masa yang sama Miasara meminta ayahnya, iaitu Saadom supaya berjanji untuk tidak mengongkongnya lagi. Namun, Saadom mempunyai cara lain untuk melindungi dan menjaga anaknya. Saadom memohon jawatan sebagai tukang kebun kampus, dan pada masa yang sama dapat berkenalan dengan Profesor Balqis. Hubungan darah antara Saadom dengan Miasara langsung tidak diketahui oleh sesiapa.

Filem Papadom bukanlah skrip yang mudah. Dilonjakkan lagi dengan ugutan Shasha yang mahu memerangkap Saadom dan Miasara, kerana dengki Shasha terhadap Miasara, menjadi kemuncak dalam filem ini. Namun, adakah Shasha berjaya memerangkap kedua-duanya? Di panggung, akan terlontar segala jawapan dan kesudahan.

Ulasan Filem Papadom
Filem Papadom merupakan sebuah filem yang berjaya mencantumkan unsur komedi dengan mesej 1Malaysia. Hubungan baik antara Saadom dengan dua orang sahabatnya yang berbilang bangsa dipaparkan pada permulaan filem. Gaya pengolahan skrip seperti ini, nyata memberi kesan dan imej filem yang baik di kalangan penonton.

Pete Teo (Alan) merupakan watak pembantu dalam cerita ini, memainkan peranannya sebagai sahabat Saadom. Ketika itu, Alan mengunjungi gerai nasi kandar Saadom dan memesan satu set hidangan tengah hari. Alan mula mengambil sekeping Papadom dan mengigitnya. Keenakan rasa Papadom terserlah menerusi mimik para pelakonnya, dan secara tidak langsung, filem ini mempromosikan makanan Papadom dengan jayanya. Saya rasa selepas ini, permintaan terhadap makanan Papadom tentu akan melonjak naik.

Bermula dari situ, cerita Filem Papadom dilakarkan. Filem Papadom membawa dua maksud. Pertama, makanan. Kedua Papa Saadom iaitu panggilan Miasara terhadap ayahnya, Saadom. Semasa Pete Teo atau Alan sedang asyik menikmati nasi kandar dan Papadom, isteri Saadom tiba-tiba berasa sakit hendak bersalin. Pete Teo atau Alan lantas membantu Saadom, memanggil teksi dan meminta Saadom dan isterinya bergegas ke hospital. Babak humour 1Malaysia dipaparkan di sini apabila Alan menggantikan tempat Afdlin Shauki, atau Saadom, untuk menjual nasi kandar.

Hubungan 1Malaysia diperluaskan lagi dengan wujudnya watak Ali, seorang India Muslim yang menjadi rakan kongsi Saadom dan Alam. Dengan bantuan kedua-dua orang rakan berbeza kaum ini, Saadom berjaya membuka beberapa cawangan Restoran Nasi Kandar Saadom di beberapa tempat di Malaysia. Babak-babak pembukaan cawangan baru Restoran Nasi Kandar diselangi dengan kisah Miasara menyambut hari jadinya. Satu gabungan babak dan cerita yang amat baik. Semakin meningkat usia Miasara, semakin banyak cawangan yang dapat dibuka.

Teknik penggambaran filem ini juga amat baik. Kamera diletakkan pada beberapa sudut yang sukar dicapai menerusi pandangan mata yang biasa. Babak-babak awal filem ini divisualisasikan dengan indah biarpun cuma bertempat di sekitar bangunan buruk dan bersemak.

Antara babak yang turut mencuit hati, ialah babak tarian, di mana babak ini melibatkan kemunculan para penari dan penyanyi kacukan Melayu-India yang seperti sering dipaparkan dalam filem-filem Prof. Madya Abdul Razak Mohaideen yang bertemakan kehidupan anak mami di Utara Semenanjung Malaysia.

Munira atau Mun, lakonan Noorkhiriah pula dihidupkan dengan amat baik. Selepas meninggal dunia, Mun yang juga merupakan arwah isteri Saadom, sering mendampingi Saadom dan memberi nasihat dan idea. Mun wujud sebagai hantu. Saya rasa kanak-kanak paling suka dengan watak Mun selepas menjadi hantu. Kemunculan Mun sering mengundang gelak ketawa kanak-kanak di panggung.

Filem Papadom arahan Afdlin Shauki ini telah saya anggap sebagai filem paling menarik setakat ini berbanding filem-filem sebelumnya. Tahniah, buat Afdlin Shauki dan sekalian individu yang terlibat dalam penghasilan filem ini. Tidak syak lagi, inilah filem bertemakan 1Malaysia terbaik yang pernah saya tonton untuk tahun 2009.

Kepada ibu bapa yang berada di rumah, jika anda mempunyai masa untuk membawa anak-anak ke panggung, pastikan Filem Papadom menjadi pilihan anda. Filem ini pasti membuatkan anda merenung semula peranan anda sebagai ahli dalam keluarga anda.

NOTA: Oleh kerana semalam saya sibuk berhari raya, maka saya terlupa menyunting perkataan Papadom dan Filem hingga menimbulkan sifat kelakar dalam ulasan filem Papadom kali ini. Nampaknya review filem Papadom saya berjaya menggeletek hati Afdlin Shauki.

Tagline Poster Paling Tajam - My Kid Could Paint That (2007)

My Kid Could Paint That (2007)
"innocence is priceless"

Ringkas, tetapi maksudnya amat jelas. Budak yang masih kecil ini berjaya menghasilkan lukisan yang tidak terhingga nilainya. Tagline ini mampu membuatkan penghayat seni merenung jauh untuk menghayati maksudnya secara mendalam.