BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, April 21, 2005

Soal Jawab Agama - Orgasme Tanpa Bersetubuh

Orgasme Tanpa Bersetubuh - Beza Antara Mani Dengan Mazi
Berdasarkan tulisan Syaikh Shalih Al Munajid - Soal No. 2458


Soalan :

Biasanya ketika bangun tidur pada pagi hari saya mendapati cecair membasahi seluar dalam. Tidak kira saya mimpi basah atau buang air kecil, akan tetapi saya biasa mengeluarkan mazi atau cecair kental setiap kali bangun daripada tidur pada pagi hari. Biasanya saya mencuci pakaian dan seluar dalam saya disebabkan cecair itu. Kemudian saya baca di dalam sebuah buku bahawa jika cecair itu tidak mengandungi sperma dan hanya sekadar mazi sahaja, maka tidak perlu mandi janabah, cukup berwuduk sahaja jika hendak shalat. Jika memang demikian, bagaimanakah dengan pakaian yang terkena madzi itu? Saya perhatikan mazi itu juga keluar pada saat sempit dan sibuk padahal saya telah menjauhi seluruh perkara yang dapat menyebabkan keluarnya mazi!

Jawapan :
Alhamdulillah, beza antara mazi dengan mani adalah sebagai berikut:

1. Bentuk dan sifatnya.
Mani lelaki berbentuk cairan pekat berwarna putih, adapun mani wanita cair berwarna kuning. Sebagaimana disebutkan di dalam hadits Ummu Sulaim Radhiyallahu ‘Anha bahawad ia bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam tentang seorang wanita yang bermimpi di dalam tidur sebagaimana yang dialami kaum lelaki (mimpi basah).

Rasul SAW bersabda: "Jika dia melihat keluarnya mani maka wajib mandi."

Dengan malu-malu Ummu Sulaim Radhiyallahu ‘Anha bertanya: "Apakah seorang wanita juga mengalaminya (mimpi basah)?"

Rasul SAW menjawab: "Kalau begitu bagaimana mungkin seorang anak boleh mirip ibunya? Sesungguhnya mani lelaki itu pekat berwarna putih dan mani wanita cair berwarna kuning, siapa saja di antara keduanya yang lebih awal atau lebih dominan maka kemiripan akan condong kepadanya."

Muttafaqun ‘Alaihi (Shahih Muslim No:469)

Dalam Syarah Shahih Muslim (III/222), berkaitan dengan sabda nabi: Mani lelaki pekat berwarna putih, mani wanita encer berwarna kuning, Imam An-Nawawi berkata:

"Hadis ini merupakan kaedah yang sangat mulia di dalam menjelaskan bentuk dan sifat mani. Itulah sifatnya di dalam keadaan biasa dan normal. Alim ulama berkata: “Dalam keadaan sihat mani lelaki itu berwarna putih pekat memancar sedikit demi sedikit di saat keluar. Biasa keluar bila dikuasai dengan syahwat dan sangat nikmat saat keluarnya. Setelah keluar dia akan merasakan lemas dan akan mencium bau seperti bau mayang kurma, iaitu seperti bau adunan tepung. Warna mani boleh berubah disebabkan beberapa hal di antaranya: saat sedang sakit, maninya akan berubah cair dan kuning, atau kantung testis melemah sehingga mani keluar tanpa dipacu oleh syahwat, atau kerana terlalu sering bersenggama sehingga warna mani berubah merah seperti air perahan daging dan kadangkala yang keluar adalah darah.

Beberapa ciri yang dijadikan panduan dalam mengenal mani adalah:
  1. Memancar akibat dorongan syahwat disertai rasa lemah setelahnya.
  2. Baunya seperti bau mayang kurma sebagaimana yang telah dijelaskan.
  3. Keluarnya dengan memancar sedikit demi sedikit.

Salah satu dari ketiga ciri tersebut cukupkah untuk menentukan apakah yang keluar itu mani atau tidak?

Jika tidak ditemui salah satu daripada ketiga-tiga ciri di atas maka tidak boleh dihukumi sebagai mani kerana dengan begitu hampir boleh dipastikan bahawa ia bukan mani. Ini berkaitan dengan mani lelaki. Adapun mani wanita warnanya kuning dan cair. Kadangkala warnanya putih bila kekuatannya melebihi kadar biasa.

Ada dua ciri yang jadi panduan dalam menentukan mani wanita.
  1. Baunya seperti bau mani lelaki.
  2. Nikmat saat mengeluarkannya dan merasakan lemah setelah itu.

Adapun mazi, hanyalah cecair lekat berwarna putih. Biasanya keluar disebabkan mengkhayalkan hubungan intim atau terlintas keinginan berhubungan intim. Umumnya keluar tanpa dorongan syahwat, tidak memancar dan tidak disertai rasa lemah setelah mengeluarkannya. Keluarnya mazi biasanya dialami kaum wanita dan kaum lelaki, namun dalam hal ini kaum wanita lebih sering mengalaminya."

Silakan lihat Syarah Shahih Muslim karangan Imam An-Nawawi III/213.


2. Hukum yang timbul kerana mengeluarkan mani atau mazi.
Orang yang mengeluarkan mani diwajibkan mandi janabah, baik maninya keluar saat sedar kerana bersetubuh atau sebab lainnya ataupun saat tidur (mimpi basah). Adapun orang yang mengeluarkan mazi cukup berwuduk saja.

Dalilnya riwayat Ali bin Abi Thalib Radhiyallahu ‘Anhu dia berkata:
"Saya adalah seorang lelaki yang sering mengeluarkan madzi. Sayapun menyuruh Miqdad untuk menanyakan hal itu kepada Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam."

Rasulullah berkata: "Cukup berwudhu’ saja!"

Muttafaqun ‘alaihi, matan di atas adalah riwayat Al-Bukhari.


Dalam kitab Al-Mughni (I/16 8) Ibnu Qudamah berkata:
"Ibnul Mundzir mengatakan: Ahli ilmu bersepakat bahawa keluarnya kotoran dari dubur, keluarnya air seni dari kemaluan, keluarnya mazi dan keluarnya angin dari dubur menyebabkan hadas serta membatalkan wuduk."


3. Hukum berkenaan dengan status thaharah dan status kenajisannya.

Menurut pendapat ulama yang terpilih mani statusnya suci. Dalilnya adalah riwayat ‘Aisyah Radhiyallahu ‘Anha ia berkata:

"Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam biasanya mencuci pakaiannya yang terkena mani baru kemudian berangkat menuju shalat dengan mengenakan pakaian tersebut sementara aku masih boleh melihat bekas bilasan pada pakaian tersebut."
Muttafaqun ‘alaihi.

Dalam riwayat Muslim disebutkan:

“Aku pernah menggesek bekas mani yang tersisa pada pakaian Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam lalu beliau kenakan untuk solat.”

Dalam lafaz lain berbunyi:

“Aku pernah menggesek mani yang mengering pada pakaian beliau dengan kuku.”

Bahkan diriwayatkan secara shahih bahawa baginda membiarkannya saja mani yang masih basah (belum mengering). Cukup beliau mengusapnya dengan batang kayu atau sejenisnya. Sebagaimana disebutkan di dalam riwayat Ahmad (VI/243).

Diriwayatkan dari ‘Aisyah Radhiyallahu ‘Anha bahwa dia berkata:

"Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam pernah menghilangkan bekas mani pada pakaiannya dengan kayu idzkhir kemudian mengerjakan shalat dengan mengenakannya. Bila mani itu mengering beliau gosok kemudian mengerjakan shalat dengan mengenakannya.”
H.R Ibnu Khuzaimah dalam kitab Shahih beliau dan dinyatakan Hasan oleh Syaikh Al-Albani dalam Al-Irwa’ I/197)

Adapun mazi statusnya najis berdasarkan hadits Ali Radhiyallahu ‘Anhu di atas tadi.

Dalam sebahagian riwayat disebutkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam memerintahkan beliau untuk mencuci zakar dan biji pelir lalu berwudhu’. Sebagaimana diriwayatkan oleh Abu ‘Awanah dalam Al-Mushtakhrij.

Dalam kitab At-Talkhis Ibnu Hajar Al-Asqalani berkata:
"Sanadnya bersih tidak ada cacatnya. Oleh sebab itu, mazzi statusnya najis wajib mencuci zakar dan buah pelir kerana mengeluarknnya serta membatalkan wudhu’."


4. Status pakaian yang terkena mani dan mazi.
Menurut pendapat ulama yang menyatakan mani itu suci maka pakaian yang terkena mani tidaklah najis.

Seseorang boleh mengerjakan solat dengan menggunakan pakaian tersebut.

Dalam kitab Al-Mughni (I/763) Ibnu Qudamah berkata:
"Dianjurkan agar menggesek mani yang melekat pada pakaian meskipun kita telah menyatakan bahawa mani itu suci. Namun tetap sah solat dengan mengenakan pakaian yang terkena mani sekalipun belum digesek."

Adapun madzi, maka cukuplah dengan memercikkan air pada pakaian yang terkena, kerana sangat menyulitkan bila harus dicuci.

Dalilnya adalah riwayat Abu Dawud dalam Sunannya dari Sahal bin Hanif Radhiyallahu ‘Anhu bahawa dia berkata:

"Saya merasakan kesulitan yang sangat disebabkan sering mengeluarkan madzi sehingga saya berulangkali mandi. Lalu saya tanyakan hal tersebut kepada Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam. Baginda SAW menjawab: "Cukup bagimu berwuduk!"

"Wahai Rasulullah, bagaimana dengan pakaian yang terkena madzi?" tanyaku lagi.

"Cukup engkau ambil seceduk air lalu percikkan tempat yang diyakini terkena madzi," jawab beliau.

H.R At-Tirmidzi, ia berkata: Hadits ini hasan shahih, kami tidak mengetahui hadis tentang madzi dari Muhammad bin Ishaq kecuali riwayat ini.

Penulis kitab Tuhfatul Ahwadzi (I/373) berkata: "Hadis di atas merupakan dalil bahawa apabila madzi mengenai pakaian maka cukup dipercikkan air pada bahagian yang terkena dan tidak perlu dicuci.

Wallahualam.


Sumber:
  • Islam Tanya & Jawab - Syeikh Muhammad Sholih Al-Munajid
  • http://groups.yahoo.com/group/assunnah/message/29943