BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, April 18, 2005

Petua Penulisan Karangan Bahasa Melayu Sekolah Rendah UPSR

NOTA: Beberapa isi kandungan di dalam artikel ini telah diubahsuai dan dipermudahkan oleh Cikgu Amiene Rev berdasarkan sumber asal yang diperolehi menerusi: http://members.tripod.com/~skdarau/petua.html

PENGENALAN KARANGAN ( PENULISAN )
  1. Lazimnya , dalam ujian penulisan Bahasa Melayu adik-adik dikehendaki menulis dua buah karangan, iaitu soalan satu dan soalan dua.
  2. Dalam soalan 1, adik-adik diberi dua tajuk karangan , oleh itu pilihlah salah satu daripada dua tajuk tersebut sama ada soalan 1(a) atau soalan 1(b). Soalan 2 tiada pilihan dan merupakan soalan wajib.
  3. Masa yang diperuntukkan untuk menjawab kedua-dua soalan itu ialah satu jam.
  4. Bagi tiap-tiap soalan, panjang karangan mestilah tidak kurang daripada 80 patah perkataan dan tidak melebihi 120 patah perkataan.

Jenis-Jenis Karangan Karangan Berformat:
  1. Jenis Surat Kiriman Rasmi
  2. Jenis Surat Kiriman Tidak Rasmi
  3. Karangan jenis Ucapan
  4. Karangan jenis Syarahan
  5. Karangan jenis Dialog / Temuramah / Perbualan / Wawancara
  6. Karangan jenis Berita
  7. Karangan jenis Catatan Diari
  8. Karangan jenis Laporan
  9. Karangan jenis Perbahasan
  10. Kad Jemputan

Jenis-Jenis Karangan Tidak Berformat
  1. Karangan Rangsangan Bergambar / Rangsangan Kata
  2. Karangan Jenis Pengalaman / Cerita / Gambaran / Situasi
  3. Karangan Jenis Fakta / Penerangan
  4. Karangan Jenis Perbincangan
  5. Karangan Jenis Melengkapkan Cerita
  6. Karangan Jenis Autobiografi / Biografi
  7. Karangan Jenis Peribahasa



TUJUAN ANDA MENGARANG
  • menguji kefahaman anda mengenai tajuk karangan itu.
  • menguji kebolehan, kemahiran dan keupayaan anda menarik minat pembaca.
  • menguji fikiran, pendapat, dan idea-idea anda.
  • menguji tentang sejauh mana pembacaan anda.


PANDUAN MENGARANG / MENULIS

Sebelum membuat sesuatu karangan , kita hendaklah memilih dan memahami tajuk atau kehendak soalan karangan itu. Selepas itu kita fikirkanlah pula tentang :
A. Pengenalan
B. Isi-isi dan
C. Penutup

A. Pengenalan
Setiap karangan mestilah mempunyai pembukaan atau pengenalan. Dalam pengenalan kita hendaklah memperkenalkan sesuatu perkara atau tajuk yang mungkin pembaca tidak tahu atau faham. Kita hendaklah menarik perhatiannya supaya ingin membaca karangan itu.

Pengenalan ini dibuat secara ringkas dan am sahaja, memadai tiga atau empat ayat. Pembukaan karangan yang menarik akan meninggalkan kesan yang positif dan mendalam pada pemeriksa. Oleh itu pastikanlah terlebih dahulu pembukaan karangan hendaklah bersih daripada kesalahan tatabahasa atau ejaan.


B. Isi
Isi hendaklah mengikut kehendak tajuk karangan itu. Karangan perlu mempunyai empat isi. Isi yang lebih tidak mengapa tetapi mungkin menyebabkan kekurangan masa. Isi hendaklah disusun dengan teratur dan berkait di antara satu dengan lain.

Isi-isi itu dipecahkan dalam perenggan-perenggan. Isi yang utama didahulukan. Sebaik-baiknya satu isi, satu perenggan kecuali jika isi pendek-pendek dan berkait rapat. Tiap-tiap perenggan tidak semesti sama panjangnya. Mungkin sesuatu perenggan itu lebih panjang daripada perenggan yang lain. Ini kerana sesuatu isi utama yang ingin ditekankan oleh murid-murid biasanya lebih panjang daripada perenggan yang lain.

Jaga isinya supaya tidak terkeluar dari tajuk yang dikehendaki. Elakkan menyertakan isi yang bercanggah dengan tajuk. Isi karangan hendaklah asli tidak ditiru bulat-bulat dari karangan lain. Untuk mendapat isi yang baik dan banyak, kita hendaklah banyak membaca surat khabar, majalah-majalah, makalah-makalah, rencana-rencana, buku-buku cerita, mendengar sesuatu, menyaksikan sendiri dan dari pengalaman sendiri.

Jangan campur adukkan isi. Elakkan daripada menulis sesuatu isi dalam perenggan yang sama. Catatkan setiap isi sebelum menulis.


Panduan mencari isi-isi berdasarkan peta minda:
Cara terbaik mencari isi adalah dengan menggunakan kaedah membuat peta minda. Kemukakan pertanyaan kepada diri anda dan fikirkan jawapannya sama ada menerusi logik akal atau berdasarkan bahan rujukan seperti buku, majalah, surat khabar, ensiklopedia atau kamus bagi fakta. Antara lima pertanyaan paling utama dan popular ialah:
  • Apa?
  • Siapa?
  • Bila?
  • Mengapa?
  • Di mana?
  • Bagaimana?


C. Penutup
Kalau pengenalan dapat mempengaruhi atau menarik minat pembaca untuk mengikuti karangan tersebut maka penutupnya juga hendaklah memberi suatu kepuasan kepada pembaca. Penutuplah yang menjadi kesimpulan / rumusan atau akhiran sesuatu karangan.

Dalam penutup digambarkan juga pendapat kita dengan ringkas tentang sesuatu perbincangan atau tajuk. Elakkan menamatkan karangan secara mengejut atau tergantung. Oleh itu penutup juga adalah penting dalam tiap-tiap karangan.




CARA-CARA MENGARANG / STRATEGI MENULIS

1. Sebelum menulis perkara yang dilakukan seperti di bawah :

a. Memilih tajuk atau soalan 1 (a) atau 1 (b) dan soalan 2
  • Baca dan fahami setiap tajuk / soalan yang diberi.
  • Fahami bentuk soalan sama ada jenis berformat atau tidak berformat.
  • Kamu mesti memilih soalan / tajuk yang benar-benar boleh dikuasai
  • Memahami benar-benar kata kunci atau kehendak soalan


Bagaimana hendak memahami kehendak soalan supaya tidak terkeluar daripada tajuk?



Kehendak soalan biasanya berada di akhir arahan seperti contoh-contoh di bawah:

CONTOH 1:
Sekolah anda telah mengadakan "Hari Sukan".
Tuliskan sebuah karangan mengenainya.

CONTOH 2:
Sekolah anda telah mengadakan "Hari Sukan".
Tuliskan laporan mengenainya untuk dimuatkan dalam majalah sekolah.


Komen: Tajuk karangan di atas adalah sama, tetapi dari segi formatnya berbeza. Soalan satu merupakan karangan biasa , manakala soalan 2 berformat.

Tips: Adalah lebih baik jika adik semua menggariskan perkataan-perkataan yang menjadi kata kunci dalam soalan itu. Ini mengelakkan karangan daripada terpesong atau terkeluar daripada tajuk sebenar.


b. Menyusun rangka karangan
  • Pilih mana-mana kaedah yang mudah bagi anda mencari isi
  • Senaraikan semua isi penting secara ringkas yang mungkin.
  • Susun isi mengikut urutan kepentingannya.
  • Masukkan huraian serta contoh yang sesuai bagi setiap isi yang akan dihurai.
  • Isi penting jangan diulang-ulang


c. Menulis karangan
  • Semasa menulis karangan kamu mulakan dengan menulis pendahuluan terlebih dalu satu perenggan.
  • Setiap isi yang dihurai perlu ditulis dalam satu perenggan berserta dengan contohnya. Bahagian-bahagian karangan yang ideal:
  1. Perenggan Pendahuluan
  2. Perenggan isi pertama dengan contoh berkaitan isi pertama
  3. Perenggan isi kedua dengan contoh berkaitan isi kedua
  4. Perenggan isi ketiga dengan contoh berkaitan isi ketiga
  5. Perenggan isi keempat dengan contoh berkaitan isi keempat
  6. Perenggan Penutup
  • Tulislah mengikut urutan rangka yang telah dibuat selain menjaga kekemasan tulisan.

d. Menyemak karangan
  • Setelah habis menulis karangan kamu perlu menyemak bagi memastikan jika ada tulisan anda yang kurang jelas, kesalahan ejaan, tanda baca, penggunaan imbuhan, struktur ayat yang salah dan aspek tatabahasa yang lain.
  • Baca berulang kali bagi memastikan ketepatan karangan kamu.


e. Secara umum peruntukan masa untuk sebuah karangan
  • 4 minit mencari isi
  • 24 minit menulis karangan
  • 2 minit menyemak semula karangan
  • Jumlah = 30 minit
Tips Pengurusan Masa: Jika tidak faham soalan satu, cubalah jawab soalan lain
  • Kamu mesti menepati masa yang ditetapkan.
  • Adalah diingatkan jangan terlalu leka menjawab satu soalan. Jika masa telah melebihi 30 minit beralih kepada soalan yang kedua pula. Ini kerana adalah lebih baik menjawab dua soalan daripada menjawab satu soalan yang baik.



Tips Menulis Ayat: Ayat biarlah ringkas tetapi padat.
  • Kamu digalakkan menulis ayat yang pendek , ringkas dan padat berbanding yang panjang. Ini kerana ayat yang panjang biasanya terdedah kepada kesalahan tatabahasa.
  • Biasakan diri kamu mengolah ayat daripada isi yang telah disenaraikan.
  • Satu perenggan biasanya mengandungi 3, 4 atau 5 ayat sahaja bagi huraian satu isi.


Panduan Menulis Dialog: Bagaimana hendak menulis dialog dengan baik?
Di bawah ini adalah contoh yang baik untuk menulis dialog dalam karangan anda. Mulakan setiap dialog di baris baru. Ini mengelakkan kekeliruan pemeriksa. Lihat contoh:



Contoh Penulisan Dialog Yang Bagus

"Kamu baru pulang ?"

"Baru sebentar tadi." Jawab saya. "Tentu Kamu tertunggu kepulangan saya."

"Memang saya tertunggu-tunggu," luah Jamal, lembut.


Contoh Penulisan Dialog Yang Teruk

"Kamu baru pulang ?" "Baru sebentar tadi." Jawab saya. "Tentu Kamu tertunggu kepulangan saya." "Memang saya tertunggu-tunggu," luah Jamal, lembut.




PETUA BILA MENULIS KARANGAN
  • Perlu memahami betul-betul kehendak soalan.
  • Catatkan apa sahaja isi-isi yang terlintas di fikiran, kemudian susun mengikut mana yang lebih penting.
  • Tuliskan karangan berdasarkan rangka yang kamu sediakan.
  • Karangan mestilah mempunyai pendahuluan, isi-isi dan penutup.
  • Bagi karangan meminta fakta, sekurang-kurangnya mempunyai empat isi ( seelok-eloknya cari lima isi ) dan setiap perenggan mengandungi satu isi.
  • Gunakan ayat yang pendek dan bahasa yang mudah.



PEMARKAHAN PENULISAN

A. Pemberian Markah

Soalan 1 = 25 markah
Soalan 2 = 25 markah
Soalan 1 + Soalan 2 = 50 markah
Jumlah keseluruhan =
50 X 2 = 100 markah


1. Penilaian aspek isi ( 10 markah )

Isi mestilah terdiri daripada 4 atau 5 isi penting:
Setiap isi memerlukan HURAIAN, KETERANGAN dan CONTOH yang sesuai. Huraian isi perlu jelas dan tepat. Contoh yang diberikan mestilah bersesuaian dengan isi atau tema yang hendak ditulis.
2 markah x 4 isi yang lengkap = 8 markah
1 markah pendahuluan = 1 markah
1 markah penutup = 1 markah
Jumlah markah isi
= 10 markah


2. Penilaian aspek Bahasa ( 15 markah )

Aspek bahasa terbahagi
a. Perbendaharaan kata = 3 markah
b. Struktur ayat = 3 markah
c. Imbuhan = 3 markah
d. Tanda baca = 3 markah
e. Ejaan = 3 markah


  • Jadi jumlah markah keseluruhannya ialah 15 + 10 = 25 markah untuk satu soalan.
  • Markah penuh diberi untuk satu-satu isi yang dapat disampaikan dengan baik iaitu pengolahannya menarik dan sangat berkesan.
  • 1 markah diberi untuk satu-satu isi yang pengolahannya kurang menarik. Maksudnya tidak dapat markah penuh.
  • ½ markah pula untuk satu-satu isi yang pengolahannya lemah.
  • Penulisan yang kemas, bersih, teratur serta senang dibaca juga mempengaruhi markah.
  • Pembahagian markah adalah sama banyak bagi kedua-dua soalan tersebut. Adik-adik mesti menjawab kedua-dua soalan untuk lulus dengan gred yang baik.

* Peringatan:
  • Karangan yang terpesong, markah yang diberi tidak melebihi 5 markah daripada 25 markah. Ini bermakna walau baik sekali pun karangan tersebut , jika terpesong, markah tertinggi hanyalah 5 markah sahaja.
  • Isi yang berunsur negatif tidak akan diberi markah. ( ukuran nilai ialah yang berteraskan budaya Melayu / Islam )


Tahukah kamu?
  1. Ada markah tambahan (bonus) diberikan untuk karangan yang mempunyai susunan isi dan jalinan idea yang baik.
  2. Kata aluan dan ucap terima kasih bagi karangan berbentuk surat kiriman dan ucapan adalah dikira sebagai format.
  3. Markah tambahan juga mungkin akan diberikan bagi karangan yang bertulisan cantik.



B. Potong Markah: Perkara yang perlu dielakkan semasa menulis karangan.

1. Bilangan perkataan tidak mencukupi:
  • kurang daripada 40 perkataan ( markah penuh tidak melebihi 10 )
  • 41 hingga 50 patah ( tolak 3 markah )
  • 51 hingga 60 patah ( tolak 2 markah )
  • 61 hingga 70 patah ( tolak 1 markah )


2. Bagi setiap satu kesalahan:
  • imbuhan tolak ½ markah
  • tanda baca tolak ½ markah
  • ejaan tolak ½ markah

3. Karangan yang terpesong langsung:
  • markah yang diperolehi tidak melebihi 10 markah

4. Format:
  • salah format tolak 3 markah daripada jumlah markah (markah keseluruhan) yang diperolehi untuk soalan itu.

Contoh pemotongan markah surat kiriman:
  • tiada alamat = tolak 1
  • tiada nama pengirim = tolak 1
  • tiada tanda tangan = tolak 1
  • tiada tarikh tolak = ½
  • tiada kata panggilan hormat = tolak 1
  • tiada ucapan terima kasih = tolak 1
  • Salah letak format = tolak ½
  • tiada tajuk bagi surat rasmi = tolak ½


Tahukah kamu ?
  • Kesalahan yang melebihi enam (6) kali bermakna anda tidak mendapat sebarang markah, (0 markah) bagi setiap satu aspek tatabahasa.
  • Tiada potongan bagi kesalahan ejaan yang berulang.
  • Potongan keseluruhan bagi tiap-tiap 5 aspek tatabahasa tidak lebih daripada 3 markah.




TANDA MEMERIKSA

isi ΓΌ

salah guna perkataan _____________________

kesalahan struktur ayat /\/\/\/\/\/\/\/\/\/\/\/\

kesalahan ejaan /

kesalahan ejaan yang berulang //

tanda yang tertinggal /

kesalahan imbuhan

kesalahan tanda baca O

isi yang tidak berkaitan ( )



Tips : Cara membilang perkataan
Nama khas yang terdiri daripada beberapa patah perkataan dikira sebagai satu perkataan saja contoh 'Bahasa Melayu Tahun Enam'




BAGAIMANA MENDAPAT MARKAH TINGGI ATAU GRED A DI DALAM PENULISAN KARANGAN BAHASA MELAYU?

1. Baca semua soalan yang diberi:
  • Fahami arahan kehendak soalan.
  • Kenal pasti format yang perlu digunakan.
  • Karangan yang tidak terlalu panjang atau pendek mengikut jumlah perkataan yang ditetapkan.

2. Guna isi yang berlainan:
  • susun isi secara berturutan
  • letak isi mengikut perenggan
  • memberi huraian yang tepat kepada isi.
  • sebaik-baiknya karangan mengandungi nilai-nilai murni.

3. Penggunaan perkataan yang pelbagai:
  • ada menggunakan perkataan yang terkini
  • elak penggunaan perkataan sama yang berulang / kerap
  • penggunaan perkataan teknikal dengan tepat
  • elak perkataan dialek atau daerah yang tidak diterima.

4. Susun ayat dengan kemas:
  • elak pengaruh struktur ayat percakapan daerah / dialek
  • guna ayat yang pendek tetapi lengkap
  • kebolehan menggunakan rangkai kata / ungkapan yang menarik

5. Penggunaan tanda baca pada tempat yang betul:
  • gunakan tanda baca pada tempat yang diperlukan
  • gunakan huruf kecil dan huruf besar pada tempatnya.

6. Dapat membezakan antara kata depan dan kata imbuhan:
  • dapat membezakan imbuhan an dan kan
  • guna imbuhan yang pelbagai - awalan / akhiran / sisipan / apitan ( sekurang-kurangnya 5 imbuhan yang berbagai jenis )

7. Tulis mengikut ejaan yang betul:
  • elak mengikut sebutan dialek / daerah
  • elak menulis huruf yang mengelirukan / cermat dalam bentuk tulisan


Tahukah kamu ?
Hanya terdapat 29 perkataan sahaja menggunakan ejaan yang disatukan. (contoh keretapi, jawatankuasa, dan lain-lain )





PUNCA-PUNCA PENULISAN KARANGAN MENJADI LEMAH DAN DIPOTONG MARKAH

A. Kesalahan memilih tajuk
  • Kesalahan memilih tajuk biasanya berlaku kerana calon tidak memahami apa yang dikehendaki oleh soalan. Keadaan ini terjadi mungkin calon terburu-buru menyiapkan karangan. Mereka menulis karangan asalkan siap sahaja.

B. Kekurangan isi
  • Oleh sebab kekurangan isi, sesetengah calon menghuraikan isi secara mendatar atau meleret-leret. Ini juga boleh menyebabkan terjadinya pengulangan isi yang sama. Hal ini berlaku kerana calon kurang membaca dan terhadnya pengetahuan.

C. Pembahagian perenggan
  • Ada calon meletakkan beberapa isi dalam satu perenggan. Ini menyebabkan sesuatu isi tidak dapat dihurai secara mendalam. Malah ada calon menulis hanya satu perenggan untuk satu karangan!

D. Tidak merangka karangan
  • Ada calon yang terus menulis tanpa mencari isi terlebih dahulu. Calon yang tidak merangka bererti calon tersebut tidak menyusun isi. Ini menyebabkan karangan tidak kemas dan bercelaru. Ia juga menyebabkan susunan isi tidak berturutan.
  • Terdapat juga isi yang sama diulang. Malah ada calon yang menulis sambil mengharapkan isi datang kemudian ( terlintas di fikiran ).

E. Kesalahan tatabahasa
  • Calon perlu tahu , penguasaan bahasa terkini amat penting bagi memastikan karangan mendapat ‘A’.
  • Pada tahap Tahun 6 , sepatutnya masalah kesalahan ejaan tidak lagi timbul. Masih ada calon yang tidak dapat membezakan antara "pada" dengan "di", "dari" dengan "daripada", "bila" dengan "apabila" dan pelbagai lagi. Ramai yang tidak menggunakan imbuhan dengan betul. Lebih malang lagi calon tidak menggunakan imbuhan langsung untuk karangannya.

F. Kesuntukan masa
  • Masa membina karangan sangat terhad. Pengurusan masa memainkan peranan penting. Calon yang tidak peka akan terburu-buru menyiapkan karangan. Ini menyebabkan tiada masa untuk menyemak kesalahan tatabahasa. Malah nombor soalan pun tidak sempat ditulis.
  • Terdapat kes calon yang cemerlang, hanya menjawab satu soalan sahaja dengan baik dan mendapat markah penuh. Tetapi tidak menjawab satu soalan lagi. Akibatnya beliau hanya mendapat 50 % ( ‘C’ ) sahaja.

G. Kesalahan lain
  • Tidak mengikut jumlah perkataan yang ditetapkan.
  • Tidak dapat mengenal pasti format yang diperlukan.
  • Masih ada yang menggunakan bahasa dialek daerah ( bahasa kampung / bahasa Kelantan / bahasa Utara / bahasa Jawa / bahasa Bugis / bahasa SMS )



Di bawah ini adalah contoh kesalahan tatabahasa dan pembetulannya.


A. Penggunaan Perkataan Yang Berulang Dalam Suatu Ayat.
  • SALAH: Selepas mandi Yusri bersarapan, selepas itu dia memakai baju, selepas itu dia pergi ke sekolah pula dengan menaiki basikal.
  • BETUL: Selepas mandi, Yusri bersarapan dan memakai baju. Kemudian Yusri pergi ke sekolah dengan menaiki basikal.



B. Salah Menggunakan Perkataan

dari dan daripada

SALAH: Kain batik itu datang daripada Terengganu.
BETUL: Kain batik itu datang dari Terengganu.

Nota Cikgu Amiene Rev: Perkataan 'dari' digunakan untuk tempat.


SALAH: Saya baru terima surat itu dari kakak.
BETUL: Saya baru terima surat itu daripada kakak.

Nota Cikgu Amiene Rev: Perkataan 'daripada' digunakan untuk orang.



untuk , supaya dan selama
  • SALAH: Jenna Bush pergi ke pasar untuk membeli sayur.
  • BETUL: Jenna Bush pergi ke pasar membeli sayur.
  • SALAH: Steve McNair menjerit untuk meminta tolong.
  • BETUL: Steve McNair menjerit meminta tolong.
  • SALAH: Rihanna bercita-cita untuk menjadi doktor.
  • BETUL: Rihanna bercita-cita hendak menjadi doktor.
  • SALAH: Siti Nurhaliza belajar bersungguh-sungguh untuk lulus dalam ujian.
  • BETUL: Siti Nurhaliza belajar bersungguh-sungguh supaya lulus dalam ujian.
  • SALAH: Kami akan tinggal untuk dua minggu.
  • BETUL: Kami akan tinggal selamadua minggu.
  • SALAH: Ujian mata pelajaran Bahasa Melayu itu berlangsung untuksatu jam.
  • BETUL: Ujian mata pelajaran Bahasa Melayu itu berlangsung selama satu jam.


adalah dan ialah
  • BETUL: Adalahdengan hormatnya dimaklumkan ………….
  • SALAH: Denganhormatnya dimaklumkan ……………….
  • BETUL: Tuduhan itu adalah fitnah belaka.
  • SALAH: Tuduhan itu fitnah belaka.
  • SALAH: Keperluan asas manusia adalah makanan, perlindungan dan pakaian.
  • BETUL: Keperluan asas manusia ialah makanan, perlindungan dan pakaian.



bila dan apabila
  • SALAH: Zainal pun bangun bila namanya dipanggil.
  • BETUL: Zainal pun bangun apabila namanya dipanggil.
  • SALAH: Bila dimarahi ayah, adik menangis tersedu-sedu.
  • BETUL: Apabila dimarahi ayah, adik menangis tersedu-sedu.


ramai, banyak, semua dan para
  • SALAH: Ramai murid-murid menonton pertandingan bola sepak itu.
  • BETUL: Ramai murid menonton pertandingan bola sepak itu.
  • SALAH: Banyak pakaian-pakaian terpakai dijual oleh Ali.
  • BETUL: Banyak pakaian terpakai dijual oleh Ali.
  • SALAH: Semua guru-guru Sekolah Kebangsaan Darau diberi penghargaan.
  • BETUL: Semua guru Sekolah Kebangsaan Darau diberi penghargaan.
  • SALAH: Para-para jemputan dipersilakan masuk ke dewan.
  • BETUL: Para jemputan dipersilakan masuk ke dewan.
  • SALAH: Guru Besar tampil ke hadapan untuk menyampaikan hadiah-hadiah pemenang-pemenang.
  • BETUL: Guru Besar tampil ke hadapan untuk menyampaikan hadiah pemenang-pemenang.

yang dan bahawa
  • SALAH: Hasri memberitahu yang dia tidak dapat hadir ke sekolah.
  • BETUL: Hasri memberitahu bahawa dia tidak dapat hadir ke sekolah.
  • SALAH: Mereka memberitahu yang tindakan itu tidak adil.
  • BETUL: Mereka memberitahu bahawa tindakan itu tidak adil.


kata ganti nama
  • SALAH: Ambil lauk-pauk itu dan hidangkan di meja sini.
  • BETUL: Ambil lauk-pauk itu dan hidangkan di meja ini.
  • SALAH: Entah siapa yang difikirkannya, sejak tadi asyik termenung.
  • BETUL: Entah apa yang difikirkannya, sejak tadi asyik termenung.


kata ganti "dia" dan "ia"

Nota : kata ganti
"dia" ialah kata ganti nama untuk manusia sahaja. Kata ganti nama "ia" ialah untuk binatang, benda, pokok masalah dan sebagainya.
  • SALAH: Pokok bunga itu tumbuh dengan subur. Dia dijaga dengan rapi oleh Sani.
  • BETUL: Pokok bunga itu tumbuh dengan subur. Ia dijaga dengan rapi oleh Sani.
  • SALAH: Perut Rosli memulas. Ia memulas sejak malam tadi lagi.
  • BETUL: Perut Rosli memulas sejak malam tadi lagi.


apa, mana dan bagaimana
  • SALAH: Baju apa yang kamu pakai ?
  • BETUL: Baju mana yang kamu pakai ?
  • SALAH: Mana katanya betul belaka.
  • BETUL: Apa katanya betul belaka.
  • SALAH: Apa pendapat tuan mengenai soal itu ?
  • BETUL: Bagaimana pendapat tuan mengenai soal itu ?



penjodoh bilangan
  • SALAH: Ibunya seorangyang baik hati.
  • BETUL: Ibunya baik hati.
  • SALAH: Amran pulang ke rumah dengan sebuah bas sekolah.
  • BETUL: Amran pulang ke rumah dengan bas sekolah.


Pada dan kepada

SALAH: Beri surat ini pada Hasrul.
BETUL: Beri surat ini kepada Hasrul.

Nota Cikgu Amiene Rev: Gunakan perkataan 'kepada' untuk orang.


Di dan pada

SALAH: Di masa rehat saya ke kantin.
BETUL: Pada masa rehat saya ke kantin.

Nota Cikgu Amiene Rev: Perkataan 'pada' mewakili masa.


C. Kesalahan Struktur Ayat (ayat bercelaru dan berbelit-belit)

  • SALAH: Dengan cepat berjalan adik kerana mengikut emak hendak ke pasar.
  • BETUL: Adik berjalan dengan cepat kerana hendak mengikut emak ke pasar.
  • SALAH: Semua kuih di atas meja itu telah dimakan oleh saya.
  • BETUL: Semua kuih di atas meja itu telah saya makan.
  • SALAH: Bila bangun tidur saya mandi dan makan pagi lepas itu pergi ke sekolah
  • BETUL: Apabila bangun tidur saya mandi dan bersarapan. Kemudian, saya pergi ke sekolah.
  • SALAH: Mamat kelihatan muram ibunya meninggal dunia
  • BETUL: Mamat kelihatan muram semenjak ibunya meninggal dunia.
  • SALAH: Saya tidak akan melupai peristiwa itu sampai selama-lamanya.
  • BETUL: Saya tidak akan melupai peristiwa itu sampai bila-bila.
  • SALAH: Apakah nama kamu?
  • BETUL: Siapakah nama kamu?


D. Tanda baca

Menggunakan tanda baca pada tempat yang salah

  • SALAH: Rahman pandai bermain pelbagai alat muzik, gitar, piano dan, dram.
  • BETUL: Rahman pandai bermain pelbagai alat muzik; gitar, piano, dan dram.


tidak menggunakan tanda baca pada tempat yang betul
  • SALAH: Jangan bergerak Kalau bergerak kamu akan ditembak, jerit polis kepada perompak itu.
  • BETUL: "Jangan bergerak! Kalau bergerak kamu akan ditembak," jerit polis kepada perompak itu.



Penggunaan huruf kecil / besar tidak pada tempat

  • SALAH: Siapakah pemenang dalam Pertandingan Syarahan anjuran berita harian itu?
  • BETUL: Siapakah pemenang dalam pertandingan syarahan anjuran Berita Harian itu?
  • SALAH: Jarak rumah saya dari Bandar Jerteh ialah 2.5 Kilometer.
  • BETUL: Jarak rumah saya dari bandar Jerteh ialah 2.5 kilometer.



E. Imbuhan

Tidak dapat membezakan antara kata depan dengan.imbuhan "di" dan "ke"
  • SALAH: Masukkan buku ini didalam beg.
  • BETUL: Masukkan buku ini ke dalam beg.
  • SALAH: Semua murid di kehendaki beratur dipadang sebelum masuk ke dewan.
  • BETUL: Semua murid dikehendaki beratur di padang sebelum masuk ke dewan.



Tidak dapat membezakan imbuhan "an dan "kan"
  • SALAH: Masakkan ibu sungguh lazat.
  • BETUL: Masakan ibu sungguh lazat.
  • SALAH: Masukan buku ini ke dalam almari.
  • BETUL: Masukkan buku ini ke dalam almari.


Lain-lain kesalahan
  • SALAH: Kejayaan Najib membanggakan dan mengembirakan ibu bapanya.
  • BETUL: Kejayaan Najib membangga dan menggembirakan ibu bapanya.
  • SALAH: Pasar Besar Jertih mempunyai tempat meletak kereta yang menyelesa.
  • BETUL: Pasar Besar Jertih mempunyai tempat letak kereta yang selesa.