BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, Oktober 22, 2007

Tahukah Anda? Penyanyi Yang Mampu Menghayati Lagu Memiliki Ciri-ciri Seorang Pelakon Yang Baik

Semasa menulis skrip dan novel, saya mendapat ilham mengenai hubungan penyanyi dengan pelakon. Hasilnya dapat diterjemahkan seperti catatan di bawah:

Kadangkala, populariti seorang penyanyi menyebabkan penyanyi itu boleh dipilih untuk berlakon di dalam filem. Pun begitu, apakah ciri-ciri untuk memilih pelakon yang baik daripada kalangan penyanyi? Carilah penyanyi yang boleh menghayati lagu-lagunya. Lihat pada nada suaranya, cara dia mengalunkan sesuatu lagu itu.

Contoh-contoh penyanyi yang boleh berlakon adalah seperti berikut:

Ziana Zain terkenal dengan vokal lantangnya. Dia boleh membawa watak-watak beremosi.

Amy Mastura juga terkenal dengan kehebatan vokalnya. Lagu-lagu yang mampu dibawanya adalah berentak lantang dan lembut. Oleh itu Amy Mastura mampu membawakan watak-watak antagonis dan protagonis.

Ning Baizura mempunyai suara soprano. Menerusi lagu Awan Yang Terpilu, dapatkah anda bayangkan watak-watak yang boleh dilakonkan oleh Ning Baizura? Ning Baizura boleh membawa watak seorang kakak, seorang ibu atau watak-watak feminis yang mendorong kasih sayang.

Misha Omar juga mempunyai potensi dalam bidang lakonan. Cuba dengar lagu-lagu nyanyiannya dan bagaimana dia menghayati lagu-lagu tersebut.

Saya rasa Nora juga berbakat dalam bidang lakonan. Ogy Ahmad Daud juga mampu berlakon dan menyanyi. Jadi, ini juga menjawab persoalan kenapa P.Ramlee boleh berlakon dan menyanyi.

Kesimpulannya. Seorang pelakon boleh dilahirkan dari kalangan penyanyi yang mampu menghiburkan peminat-peminatnya menerusi cara dia menghayati lagu (nada suara, mimik muka dan gerak badan).

Siapa tahu Faizal Tahir suatu hari nanti mampu meletup sebagai seorang pelakon handalan?


Panduan Untuk Penerbit atau Produksi Kecil:

Sebagai seorang penerbit kecil, anda mungkin mencari pelakon-pelakon tidak ternama untuk produksi anda. Barangkali anda adalah sekumpulan remaja yang mahu menggunakan kamera digital untuk merakamkan filem pendek atau drama suka-suka untuk sambutan Hari Guru di sekolah, Hari Kemerdekaan di Universiti atau untuk rakaman drama atau sketsa untuk kempen-kempen tertentu di institusi anda.

Jadi bagaimanakah caranya anda boleh mencari pelakon yang baik? Carilah pelakon yang boleh menghayati nyanyiannya. Cuba minta dia menyanyi dan dengarlah bagaimana dia mengalunkan nada suaranya. Tidak perlu mempunyai nafas yang panjang atau vokal sehebat Anuar Zain dan Adibah Noor. Paling penting dia memiliki keupayaan untuk memaparkan perasaan sedih, gembira, ganas, lembut dan sebagainya menerusi nada suaranya.

Ini adalah salah satu ciri yang penting untuk menjadi seorang pelakon drama, pelakon filem, atau voice actor. Juga merupakan ciri asas yang perlu diambil kira oleh produksi baru.

Ena Almaiti Ya La Sahabat

Malam tadi aku bermimpi sesuatu yang aneh. Aku bermimpi aku sebagai seorang pelajar semasa zaman persekolahanku. Aku bermimpi mengenai peneutralan asid dari air sungai dan lautan garam. Aku melihat rakan-rakan persekolahanku yang dahulu aku mengenali mereka semua sebagai pemalas, muncul sebagai manusia-manusia yang rajin. Mimpi ini aneh.

Kajian yang mereka lakukan ternyata tidak berhasil. Mimpi ini berkaitan dengan zaman silam, tetapi penuh dengan bencana alam. Maka tercetuslah kisah ini, yang secara rawak datangnya dari hati, dan tercoret di sini juga dari hati. Bacalah kisah yang mengarut yang lahir dari hati yang kusut mengenangkan mimpi terbalik malam tadi:


Ena Almaiti Ya La Sahabat
Hakcipta Amiene Rev (C) 2007

Ketika itu di satu tempat di Kazakhstan, Louis Scarphael Stamford telah bertemu dengan seorang Jamaica yang bernama Ena Almaiti. Lalu berdialoglah kedua-duanya.

"Saya percaya, kehadiran Wanita Hijau akan dapat menyelamatkan Lautan Aral, tetapi saya tidak percaya Kod Caspian dapat menentukan hala tuju ekosistem dunia kita." Ena Almaiti meluahkan pendapatnya.

Louis Scarphael Stamford pun berfikir sejenak. Lalu dia mengemukakan pandangannya pula secara provokasi,"Saya tidak faham apa yang anda bicarakan. Setahu saya, sisa-sisa nuklear yang berada di Kazakhstan kini merupakan satu isu."

Ena Almaiti menggeleng. Dia meletakkan jari telunjuk yang terpasang di tangan kanannya ke sebelah sisi dahi kanannya. "Ah, anda mengingatkan saya mengenai Baikanur. Ada sebuah cosmodrome. Bukankah sisa toksis pelepasan roket dan missile juga sesuatu yang mengancam ekologi kita?"

"Mentaliti masyarakat dunia mengenai ekologi perlu dipertingkatkan. Perjuangan kita harus bernilai positif!" Bersemangat sekali, Louis Scarphael Stamford menuturkan kata-katanya kali ini.

"Misi Wanita Hijau bermula!" Jerit Ena Almaiti. Maka berhimpunlah tokoh-tokoh ekologi yang berhimpun di Bandar Abad 21. Mereka semua mara sambil melaung kata-kata positif mengenai ekologi.

Ahad, Oktober 21, 2007

Tabung Bantuan Perubatan - Tabung Penyakit Kronik

Hari ini aku terbaca kisah dua orang pesakit yang memerlukan dua jenis pendermaan. Satu memerlukan organ paru-paru baru daripada penderma berdarah B+ manakala yang seorang lagi memerlukan wang sejumlah RM128,000 untuk memindahan tulang sumsum.

Jaringan terus ke laman web berkaitan:
Pusat Maklumat Rakyat: http://pmr.penerangan.gov.my/
Malaysian Medical Resources: http://medicine.com.my/wp/?p=680

Penjelasan untuk entri kali ini:
Tiba-tiba aku teringatkan isu Tabung Penyakit Kronik dan Tabung Bantuan Perubatan. Lalu aku segera mencari laman web yang berkaitan dan hasilnya beberapa maklumat penting ditemui.

Berdasarkan sumber dari http://www.moh.gov.my, aku mendapatkan maklumat berikut:

Tabung Bantuan Perubatan (TBP)


KRITERIA KELAYAKAN

a.

Warganegara Malaysia yang mempunyai kad pengenalan Malaysia yang sah.

b.

Pesakit miskin / kurang mampu yang disokong oleh Pegawai Kerja Sosial Perubatan atau Jabatan Kebajikan Masyarakat.

c.

Pesakit yang dirujuk oleh Hospital Kerajaan

d.

Pesakit perlu dirujuk dari Hospital Kerajaan.

e.

Orang Kurang Upaya (OKU) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

JENIS-JENIS BANTUAN YANG DIPERTIMBANGKAN

a.

Membiayai sepenuhnya atau sebahagian kos rawatan perubatan yang kemudahan tersebut tidak terdapat di Hospital Kerajaan;

b.

Membiayai sepenuhnya atau sebahagian kos pembelian ubat-ubatan yang tidak dibekalkan oleh Hospital Kerajaan tetapi telah berdaftar dengan Biro Farmasutikal Kebangsaan; dan

c.

Membiayai sepenuhnya atau sebahagian kos pembelian peralatan perubatan serta peralatan untuk tujuan rehabilitasi dan meningkatkan kefungsian yang tidak dibekalkan oleh Hospital Kerajaan.

KONSEP BANTUAN

a.
Bantuan hanya dipertimbangkan sebelum rawatan dibuat. Permohonan bagi rawatan yang telah dibuat tidak akan dipertimbangkan.
b.
Bagi rawatan yang diperolehi di dalam negara sahaja.
c.
Rawatan mesti mematuhi garis panduan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh Majlis Perubatan Malaysia.
d.
Bantuan yang dipertimbangkan adalah bantuan rawatan perubatan sahaja (lain-lain bantuan seperti sara hidup dan pengangkutan tidak dipertimbangkan).
e.
Pesakit/ Keluarga pesakit perlu menyumbang wang yang mereka mampu bagi membiayai kos rawatan.

PESAKIT YANG TIDAK LAYAK


Kakitangan kerajaan atau pesara kerajaan atau anggota keluarga kakitangan Kerajaan yang mendapat faedah perubatan di bawah Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2001, Perlaksanaan Kemudahan Perubatan (JPA).

JENIS-JENIS BANTUAN YANG TIDAK DIPERTIMBANGKAN

Bantuan bagi tujuan-tujuan seperti di bawah tidak dipertimbangkan:


a.
Pembayaran ujian-ujian makmal dan diagnostic;
b.
Rawatan bagi masalah kemandulan (infertility);
c.
Kaedah rawatan yang baru dan belum terbukti keberkesanannya;
d.
Rawatan bagi pembedahan plastik untuk tujuan meningkatkan atau mengembalikan kefungsian akan dipertimbangkan tetapi bantuan untuk pembedahan estetik tidak dipertimbangkan; dan
e.
Rawatan berterusan yang mana sebahagian dari kos rawatan sedang dibiayai oleh badan-badan lain.

TEMPOH BAGI RAWATAN BERTERUSAN


Sekiranya rawatan yang berterusan diperlukan, maka bantuan akan dipertimbangkan untuk tempoh maksima dua tahun sahaja. Selepas tempoh tersebut, pemohonan boleh dikemukakan semula jika pesakit masih memerlukan rawatan

KAEDAH PEMBAYARAN


Pembayaran bagi bantuan yang telah diluluskan dibayar terusepada pusat rawatan / pembekal peralatan.

PEMBATALAN PERMOHONAN

Semua permohonan adalah terbatal jika:


a.
Jika maklumat yang diberikan didapati tidak benar.
b.
Pesakit yang mendapat tajaan daripada pihak lain atau rawatan tidak diperlukan lagi.

JENIS-JENIS PENYAKIT YANG MEMERLUKAN RAWATAN YANG BERTERUSAN YANG BOLEH DIBERI BANTUAN

a.

Blood Disorders – all blood disorders excluding

i. Thalassemia for relevant age groups
ii. Factor V111 deficiency
iii. Factor 1X deficiency
iv. Von-Willebrands’
v. And others where treatment is available at the Government hospitals.

b.
Bone and joint disorders.
c.
Ear and hearing disorders
d.
Endocrine disorders
e.

Eye disorders

i. Age Related Macular Degeneration
ii. Photo Dynamic Therapy
iii. Glaucoma
iv. Anisometropia
v. Corneal Opacities

f.

Genetic and metabolic disorders

i. Special diets (as adviced by medical specialists)
ii. Medications
iii. Other proven interventions (as adviced by medical specialists)

g.

Heart diseases

i. Congenital
ii. Acquired

h.
Immune disorders
i.
Long term care following surgical intervention
j.
Neurological and neurodegenerative disorders
k.
Orthopaedic conditions requiring surgical interventions
l.
Renal disorders
m.

Respiratory disorders

i. Chronic respiratory failure requiring home ventilation, home oxygen therapy
ii. Other chronic conditions

Nota:

Penyakit yang tidak disenaraikan boleh dipertimbangkan untuk bantuan secara ‘case to case basis’ jika diperakukan oleh Jawatankuasa Teknikal Perubatan.

DOKUMEN SOKONGAN

Permohonan juga perlu disertakan dengan dokumen-dokumen sokongan seperti berikut:
a.
Salinan kad pengenalan / surat daftar kelahiran (bagi kanak-kanak) yang jelas dan terang.
b.
Laporan doktor yang merawat. Laporan perlu menyatakan tentang penyakit yang dihidapi, rawatan yang diterima, rawatan yang disyorkan, tempat dan anggaran kos rawatan. Laporan tersebut perlu mendapat pengesahan daripada Ketua Jabatan.
c.
Laporan sosioekonomi (Borang B) yang disediakan oleh Pegawai Kerja Sosial Perubatan di Hospital-hospital Kerajaan atau Jabatan Kebajikan Masyarakat.
d.
Salinan penyata gaji dan penyata KWSP terkini (bagi pemohon yang bekerja / pernah bekerja).

PROSEDUR UNTUK MEMOHON

Permohonan juga perlu disertakan dengan dokumen-dokumen sokongan seperti berikut:

Semua permohonan adalah terbatal jika:



Pesakit boleh mendapatkan borang permohonan daripada: Urusetia Tabung Bantuan Perubatan (TBP) di alamat seperti berikut:

Kementerian Kesihatan Malaysia,
Bahagian Kewangan,
Aras 7, Blok E7, Parcel 7,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62518 Putrajaya.
Tel : 03-8883 3888 / 3100 / 3105
Fax : 03-8883 4389 / 8883 / 4364

borang boleh boleh dimuat turun dari web site ini

muat turun borang - Borang A / Borang B


Borang permohonan ini juga boleh didapati daripada mana-mana Hospital Kerajaan (Unit Kerja Sosial Perubatan / Unit Kebajikan Perubatan) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat..

Pemohon hanya perlu mengisi borang A, manakala borang B akan diisi oleh Pegawai Kerja Sosial Perubatan daripada Hospital-hospital Kerajaan atau Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Borang yang telah lengkap hendaklah diserahkan kepada Pegawai Kerja Sosial Perubatan di Hospital-hospital Kerajaan atau terus ke alamat di atas.

PERTANYAAN


Sebarang pertanyaan berkaitan dengan garis panduan ini boleh dikemukakan terus kepada pihak urusetia TBP di alamat di atas ataupun menghubungi Tel: 03-8883 3888/ 3100/ 3105


Aku juga cuba mencari maklumat-maklumat berkaitan dengan Tabung Bantuan Perubatan ini di laman web berikut: http://pmr.penerangan.gov.my/

Selain itu, ada satu lagi jaringan yang mungkin dibuat secara bebas: http://medicine.com.my/wp/?p=680

Trilema Seorang Penulis

Dalam mengejar cita-cita sebagai seorang penulis. Ada tiga perkara yang yang menyebabkan aku sering bermain tarik tali dalam dunia penulisan. Ketiga-tiga perkara ini berkaitan dengan soal darah, cita-cita dan berkat.

Antara darah, cita-cita dan berkat, di manakah destinasi terakhir yang menjadi pilihan? Lalu aku pun mengembara, dan terus mengembara, dengan berbekalkan buah tangan dari hulu dan Ramento.

Semasa di hilir, aku mencipta sejenis kuih yang dipanggil buah tangan dari hilir. Lalu terciptalah Kuih Bailir. Namun, penemuan ini langsung tidak penting. Jadi aku mengembara lagi.

Mengembara dan terus mengembara, hinggalah pada suatu hari aku bertemu dengan seorang nenek tua bernama Moyang Enon. Kata Moyang Enon, "Tulislah dan nescaya tulisanmu akan seperti angin yang menjadi nafas manusia, dan seperti cahaya matahari, rembulan dan bintang yang sentiasa menerangi siang dan malam."

"Kalau mendung macam mana?" Sepantas itu juga aku bertanya. Kemudian aku mengembara lagi. Mengembara dan terus mengembara. Dalam pengembaraan ini pelbagai manusia yang telah ketemui. Nagastua, Irani, Neefal dan ramai lagi.

Namun satu lagi penemuan terpenting berlaku. Aku bertemu dengan pari-pari yang dipanggil Samira. Maka kerana aku ini orang yang jenis tidak suka berhutang budi, maka aku pasti akan membalas budi.

Suatu hari, aku menerima satu antologi dari langit. Mesejnya kutafsirkan begini, tidak ada kaptiva mento yang harus dipatuhi. Lalui kehidupan dengan krestivas fristo, maka misterapisco akan lahir, menjelma dalam tamadun ini.

Percaya! Percaya! Aku mengangguk sambil menyindir...

Kau harus percaya, jika tidak...

Bila agaknya semua orang mahu balik ke kampus? Aku sudah bosan menunggu dan menulis entri-entri bebas seperti ini. Harap-harap hari ini ada kedai makan yang buka, atau aku harus mengembara ke luar kampus sekali lagi.


"Jika tidak ada musim bunga, maka kita harus mencarinya." - Arwah Monyet Gunung Salji (menerusi Tajima Shinji).

Sabtu, Oktober 20, 2007

Asal Usul Kuih Baulu - Kuih Baulu ini sungguh sedap

Hari ini dan semalam, aku menjamu perut dengan kuih baulu. Di Brunei, kuih ini dipanggil Kuih Buah Ulu, ada yang memanggilnya Bahulu.

Sebenarnya kesemua nama untuk kuih ini ada saling kaitnya. Singkatan nama.

Baulu - Ba Ulu - Buah Hulu
Bahulu - Buah Hulu
Buah ulu - Buah Hulu

Jadi baulu, bahulu dan buah ulu ini kenapa namanya berbeza? Inilah revolusi perkataan dan istilah. Pada masa dahulu, nenek moyang orang Melayu ada yang tinggal di hulu sungai dan ada yang tinggal di hilir sungai. Sungai itu bukankah salah satu sistem pengangkutan orang-orang zaman dahulu?

Orang-orang yang berada di hulu sungai, dipercayai adalah orang yang pertama yang mencipta kuih baulu ini. Kuih baulu ini selalunya dijadikan buah tangan. Orang-orang pada masa itu menyebut kuih ini sebagai buah tangan dari hulu. Lama-kelamaan sebutannya diringkaskan menjadi, baulu.

Oleh itu kuih baulu adalah ringkasan daripada kuih buah tangan dari hulu.

Semasa H.M. Tuah Iskandar mengembara ke luar negara, dia juga ada membawa kuih baulu bersama-sama dengannya sebagai alas perut. Aku juga mengisi perutku untuk sehari dua ini dengan kuih baulu dan mi segera.

Bersabarlah, kedai itu pasti akan buka. Jika tidak ada musim bunga, kita mesti mencarinya, kata seekor monyet gunung di dalam sebuah karya Tajima Shinji. Jika tidak ada kedai makan yang buka, maka kita mesti mencarinya.

Kau Atau Aku Sedang Main Tarik Tali - Tarik Tali

Semua orang tahu, kau dan aku, masing-masing punya rasa, rasa ego. Masing-masing main tarik tali. Kau dan aku, sama saja, masih menunggu siapa mulakan dulu. Kemudian aku berasa bosan, lalu aku menarik tali dalam pertandingan tarik tali, ada faedahnya. Aku memenangi pertandingan tarik tali tersebut. Kau datang bertepuk tangan. Aku senyum, senyuman aku pahit dan kelat.

"Biar saja aku terus terang kepadamu," kata Elyanak. Dia nampaknya sudah semput, selepas berlari beratus-ratus tapak sulaiman, kerana mahu mengejar aku

"Jadi siapa yang mahu mulakan dulu?" Soal Faisal Mahir. "Kasih diciptakan untuk kita, manusia."

"Apabila bersamamu, debaran jantungku, mengalirkan darah cinta. Berilah kucupan sayang kepadaku, biar kasih itu tercipta." Tutur Elyanak.

"Maaf, kita bukan muhrim." Balas Faisal Mahir. Ternyata, kata-kata itu telah mematikan impian Elyanak.

Wisel ditiup. Air yang dijerang sudah masak. Pak Hassan mengambil cerek yang dijerangnya tadi lalu mencurahkan ke dalam dua cawan plastik mi segera.

"Anak-anak berdua di sana, kembalilah, kembalilah ke warung pak cik ini! Sejuk hati pak cik apabila perut kalian berdua kekenyangan dengan mi segera masakan pak cik ni." Kedua-dua belah tangan Pak Hassan masing-masing memegang secawan plastik mi segera.

"Aduh!" Tangan Pak Hassan melecur.

"Pak Hassan!!!" Faisal Mahir dan Elyanak segera berlari mendapatkan Pak Hassan. Elyanak tiba-tiba tersungkur ke tanah, tapi dia bingkas bangun dengan wajah yang comot. Kedua-dua orang muda itu berasa cemas melihat kecederaan Pak Hassan.

"Pak Hassan tak apa-apa. Makanlah. Makanlah mi segera ini." Elyanak berlinangan air mata. Dia berasa terharu dengan kasih sayang Pak Hassan. Faisal Mahir segera mendapatkan cawan-cawan mi segera lalu meletakkan di atas meja.

"Itadakimasu!" Ketika Pak Hassan, Faisal Mahir dan Elyanak menjamu selera, aku pula sedang berfikir, berfikir mahu makan apa pada malam ini. Kampus masih lagi agak sunyi. Masih ramai lagi yang belum pulang.

"Aku... aku terkenangkan Ramen." Tiba-tiba aku berbisik sendirian.

Artikelku Mencatat Jumlah Pembaca Tertinggi!

Sehari yang lalu, aku menerima e-mel dari sebuah hos, memaklumkan artikel yang aku tulis (intenational publisher) mencatat jumlah pembaca tertinggi. Artikel tersebut ditulis dalam Bahasa Inggeris dan menggunakan nama samaran yang lain.

Sebagai seorang yang low profile, aku tidak suka dikenali. Malah, aku sendiri telah memberi amaran kepada sesiapa yang mengenali diriku supaya tidak mendedahkan nama-nama samaran yang pernah aku gunakan.

Setiap nama samaran mewakili identiti dan genre yang berbeza. Apa yang aku kejar bukan populariti, tetapi penghargaan terhadap karya-karya yang kutulis. Sungguh kelakar, apabila kita mendapati ada sesetengah orang begitu meminati karya-karya kita, tetapi dia tidak sedar bahawa penulis karya-karya tersebut ada berdekatan dengannya. Pada masa yang sama, dialah orang yang mengutuk, mengkritik dan memandang rendah terhadap kita.

Kejutan demi kejutan, sehingga kemudian aku mendapati sesetengah manusia itu terlalu hina, sombong dan angkuh. Mereka menjerit seakan-akan histeria, bahawa orang yang mereka sangkakan tidak ada kepentingan untuk diperalatkan itu sebenarnya adalah orang yang mereka 'buru' kerana 'faedahnya'. Lalu datanglah mereka dengan senyuman hipokrit, menjilat tapak kasut kita tanpa segan silu. Kelakar bukan?

Mereka lupa, bahawa setiap ilham dan rezeki itu datangnya daripada Tuhan. Mereka lebih suka mengotori lidah-lidah mereka dengan kotoran daripada menyusun lidah-lidah mereka untuk memohon keampunan kepada Tuhan. Sesungguhnya mereka ini orang-orang yang rugi.

Sejak akhir-akhir ini aku sudah mula meninggalkan status pengemis. Baju-baju yang berusia sekitar 8-12 tahun itu sudah jarang-jarang kupakai apabila berjalan-jalan di luar. Baju-baju itu semakin mereput dan dengan status sebagai seorang yang penting di universiti, aku perlu pergi ke pejabat dengan pakaian yang kemas. Hal ini meningkatkan rasa hormat orang lain terhadapku.

Imej seorang pengemis yang miskin, yang selalu kubawa, kini jarang-jarang dapat dilihat. Apabila kita berpakaian seperti itu, sesetengah orang akan memandang rendah terhadap kita, melainkan orang-orang yang mengenali diri kita.

Aku membeli telefon bimbit yang mewah untuk kegunaan kemasyarakatan. Aku membeli komputer riba untuk kegunaan projek (yang melibatkan internet) secara wireless dan mudah alih, bermaksud aku boleh menggunakan banyak masa, tidak kira tempat dan masa. Setiap barang yang aku memiliki memiliki manfaatku.

Namun, ada juga orang yang sering bertanya kenapa aku tidak membeli motosikal atau kereta. Seolah-olah satu kelemahan atau kesalahan pula. Lalu aku bertanya kepada mereka, "Dengan duit siapa engkau membeli semua itu?"

Duit kerajaan, duit emak bapak engkau, atau duit engkau? Kalau kau ada masa untuk mencari duit, maka sepatutnya engkau mendapat keputusan cemerlang juga.

Mereka semua terdiam. Manusia, selalunya mudah lupa daratan. Mereka lupa kesenangan yang mereka perolehi itu berasal daripada siapa.

Nota:

Aku pulang ke kampung sehari sebelum Hari Raya. Tiket bas pasti sudah habis, tetapi aku tidak risau. Sebab, aku seorang jurnalis. Seorang pengembara. Hidup dengan advencer. Aku suka menaiki bas lompat. Untuk ke kampung, aku menaiki lima buah bas awam (bas berhenti-henti). Dari Johor Bahru, aku menuju ke Air Hitam. Dari Air Hitam, aku ke Batu Pahat. Dari Batu Pahat, aku ke Muar. Dari Muar, aku ke Melaka Sentral. Dari Melaka Sentral, aku berangkat ke kampung bonda. Harga tambang keseluruhan adalah sekitar RM16. Masa perjalanan keseluruhan adalah sekitar 6 jam.

Perasaannya adalah seperti Jason Bourne aka David Webb yang mengembara dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Jika dahulu aku suka filem-filem aksi Bruce Willis, kini aku tertarik dengan filem-filem aksi Matt Damon. Sebelum itu, aku juga suka aksi Brad Pit dalam Mr. Smith. Filem-filem aksi memang hebat. Catatan ini sungguh kelakar. Aku perlu menamatkannya segera! Selamat pagi!

Jumaat, Oktober 19, 2007

Kontroversi Pemandu Teksi dengan Pelajar Universiti

Jika tadi aku menyatakan mahu memberi anugerah terhadap skrip filem Bridge To Terabithia dan The Pursuit Of Happyness, sekarang aku mahu menyatakan perasaan (seolah-olah memberi anugerah) kepada seorang pemandu teksi dari Kota Kinabalu.

Kisahnya begini. Seorang pemandu teksi membawa seorang penumpang ke Lapangan Terbang Terminal 2 Kota Kinabalu. Penumpang tersebut perlu menaiki kapal terbang yang dijangka bertolak pada pukul 6.35 pagi dari Kota Kinabalu ke Pulau Pinang. Sayangnya, penumpang tersebut disekat daripada menaiki kapal terbang kerana dia tidak mampu membayar baki RM150 (seratus lima puluh ringgit) untuk lebihan berat bagasi sebanyak 10 kilogram.

Pemandu teksi tersebut membuat keputusan meminjamkan wang sebanyak RM150 kepada penumpang tersebut supaya penumpang tersebut dapat menaiki bas. Alangkah bagusnya pemandu teksi seperti ini. Pemandu teksi yang berjiwa perwira ini bernama Lasius atau Aloysius. Kisah benar ini berlaku sekitar bulan 10 tahun 2007.

Ada satu lagi kisah pemandu teksi yang baik hati di Johor. Namanya En. Sauli. Suatu ketika seorang pelajar universiti (bukan aku), mahu menaiki bas tetapi belum menempah tiket. Maka En. Sauli menempah tiket untuknya dengan menggunakan duitnya sendiri. Malangnya si pelajar ini yang sikapnya tidak tetap pendirian telah menyusahkan pemandu teksi ini. Pelajar tersebut tidak jadi menaiki bas, dan si pemandu teksi terpaksa membayar nilai harga untuk tiket tersebut.

Kebaikan pemandu-pemandu teksi seperti ini walau bagaimana pun sedikit sebanyak telah dicemari oleh sikap segelintir pemandu teksi yang mementingkan diri sendiri dan keluarga sendiri. Harga tambang teksi yang diletakkan sesuka hati menyebabkan timbulnya rasa kurang percaya di kalangan pelajar dan orang lain terhadap mereka.

Contohnya, harga untuk destinasi yang sama dari A ke B, didapati berlainan mengikut pemandu teksi. Beza harga sekitar RM1 ke RM2. Ada yang kata RM5 dan ada yang kata RM6. Sebaliknya, apabila mengikut meter teksi, harga tambang cuma sekitar RM3.80. Namun meter cuma hiasan bagi majoriti pemandu teksi. Nilai RM5 boleh diterima oleh kebanyakan pelajar, tetapi RM6 itu dianggap sebagai satu ketidakjujuran dan ketidakikhlasan dalam memberi perkhidmatan.

Apabila kisah ini dikemukakan kepada beberapa pemandu teksi yang pro-RM5, mereka kata, kalau ada pemandu teksi yang meminta lebih daripada nilai itu, maka penumpang tidak perlu bayar. Ada juga penumpang yang berdebat dengan pemandu teksi di dalam teksi sebelum pemandu teksi akhirnya menekan pedal, memecut laju meninggalkan penumpang.

Dalam kebanyakan kes, bagi penumpang yang berpengalaman, mereka selalunya menang berdebat. Belitan lidah pemandu teksi yang meminta tambang teksi berlebihan selalunya lemah. Hujah mereka cuma lebih kepada ekspresi suara dan emosi yang dibuat-buat yang semestinya tidak dapat mengalahkan pengalaman penumpang yang biasa menaiki teksi. Namun ada juga penumpang yang kurang berkeyakinan tertindas jua.

Nilai tambang yang berbeza harga menimbulkan persoalan. Petang tadi, semasa hendak pulang ke kampus, aku terdengar suara-suara tidak puas hati seorang pemandu teksi terhadap sekumpulan pelajar universiti. Halnya berkaitan dengan soal tambang juga. Aku tidak tahu bila agaknya masalah harga tambang jujur dan khianat ini akan berakhir. Sebab itu, aku lebih suka berjalan kaki atau menaiki bas sahaja untuk keluar dari kampus.

Namun kepada Lasius AKA Aloysius dan En. Sauli, aku berharap dua orang ini dimurahkan rezeki. Kejujuran anda sebagai pemandu teksi sepatutnya menjadi teladan kepada pemandu-pemandu teksi yang lain.


"Memandu dan menumpang teksi adakalanya ibarat berjudi. Kita tidak tahu berapa kita perlu bayar untuk ke satu-satu destinasi." - Amiene Rev

Dua Filem Barat Pilihan Amiene Rev - Bridge To Terabithia dan The Pursuit Of Happyness

Petang tadi, selepas Solat Jumaat, aku keluar mencari makanan dan bahan bacaan di luar kampus. Hujan sekarang makin kerap turun pada waktu tengah hari dan menyebabkan ramai orang terbatuk-batuk kerana perubahan suhu dan penyebaran virus batuk secara promosi.

Sempat juga aku menonton cerita The Seeker - The Dark Is Rising. Watak utamanya, Will Stanton memperlihatkan ekspresi muka yang agak jahat ketika berjaya menewaskan antagonis. Ini mengingatkan aku kepada watak Anakin Skywalker.

Aku rasa setakat ini tidak ada cerita yang benar-benar menarik minat aku selain trilogi Bourne (The Bourne Identity, The Bourne Supremancy dan The Bourne Ultimatum), Bridge To Terabithia dan The Pursuit Of Happyness.

Menerusi filem-filem Bourne, aku tertarik dengan manipulasi plotnya. Aku rasa manipulasi plot-plot ini juga terserlah dalam skrip drama remaja terbitan anak-anak tempatan iaitu "KAMI". Filem yang mengisahkan mengenai gejala sosial remaja yang semakin berbau dalam nafas budaya tempatan.


Filem Pilihan Amiene Rev - Bridge To Terabithia

Filem Bridge To Terabithia juga agak menarik kerana mengingatkan aku pada zaman kanak-kanak aku. Benar-benar seperti zaman kanak-kanak aku. Watak yang paling menarik(dan kasihan) dalam filem ini ialah Maybelle (adik perempuan Jess) dan Janice (gadis pembuli - watak makhluk gergasi troll amat mirip dengan Janice). Benar-benar mirip dengan zaman kanak-kanak aku. Persahabatan yang sangat dirindui antara seorang budak lelaki dan seorang budak perempuan. Aku tidak tahu sama ada aku akan dapat menemui dia lagi...

Perasaan menyentuh hati menguasai diri apabila menonton filem nostalgia ini. Aku berasa simpati dengan watak Maybelle dan Janice. Bagi aku skrip cerita ini memiliki kekuatan dan sekiranya aku ini adalah seorang penganjur majlis penyampaian anugerah, maka skrip cerita ini pasti akan menerima anugerah.

Lihatlah bagaimana imaginasi kanak-kanak diserlahkan dalam filem ini. Aku teringat juga, bagaimana pada zaman kanak-kanak, kami pernah melakukan perkara yang sama, bermain dengan imaginasi. Mewujudkan suasana cemas, watak-watak antagonis, raksasa dan sebagainya. Suatu advencer silam yang kini dibangkitkan semula secara memori menerusi filem Bridge To Terabithia.

Cerita ini berjaya memaparkan kisah kanak-kanak secara nyata dari sudut pandangan kanak-kanak itu sendiri. Kanak-kanak yang memiliki kecerdasan spatial. Daya imaginasi dan kreativiti yang tinggi.

Kehebatan Jess Aaron sebagai kanak-kanak yang memiliki kecerdasan spatial terserlah pada awal penceritaannya. Pengarah bercerita mengenai kebolehan Jess pada permulaan cerita menerusi bahagian kreditnya. Lihat sahaja lukisan kanak-kanak yang bergerak-gerak sudah memberikan mesej kepada aku, pasti jalan ceritanya berkisarkan imaginasi atau kreativiti seorang kanak-kanak.

Lagu tema filem Bridge To Terabithia juga sangat menarik. Lagu temanya hidup dan mewakili simbolik kecerdasan yang diluahkan dalam melaksanakan erti kehidupan seorang kanak-kanak berbakat spatial. Lagu tema filem tersebut boleh didengari (format Flash) sebaik-baik sahaja laman web di bawah dilayari:



Untuk filem The Pursuit Of Happyness, aku rasa tidak perlu aku mengulas lagi keseronokan menonton cerita ini. Aku sudah mengulas filem ini secara ringkas di entri yang lain. Aku ada menyelitkan ulasan-ulasanku dalam entri yang ini dan yang ini.

Resident Evil - Extinction kurang menyengat (dari aspek debaran) biarpun ada pembaharuan. Namun penamatnya ada tarikan, iaitu di mana Alice bersatu dengan klon-klonnya untuk menentang antagonis.

Apabila Bridge To Terabithia menimbulkan kerinduan pada masa silamku, The Pursuit Of Happyness pula mengingatkan aku mengenai cabaran masa kini dalam usaha mencari masa depan yang terbaik. Dan aku, seperti Jason Bourne, memburu kehidupan yang nyata dengan jiwa yang tabah dan tegas.

Jadi aku mengumumkan filem-filem dari Barat iaitu Bridge To Terabithia dan The Pursuit Of Happyness sebagai dua buah filem menyentuh hati yang menjadi pilihan untuk dijadikan koleksi filem 2007. Manakala trilogi Bourne sebagai pengikat antara kedua-duanya. Kemunculan Die-Hard 4.0 (lakonan Bruce Willis, yang aku suka melihat filem-filem aksinya) dan Transformers, turut memeriahkan suasana.

Khamis, Oktober 18, 2007

Setiap Permulaan Pasti Ada Penamatan

Epilog

Pulangnya aku pada hari ini adalah untuk mengumumkan, bahawa, aku, telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa, mencatat rekod best-seller dengan menggunakan nama sebenar. Aku akan berpindah ke luar negara dalam masa terdekat dan memulakan kehidupan sebagai penulis universal.

Pun begitu, karya-karya aku akan mengiringiku kembali ke sini.

Orang Menulis Untuk Berbicara

Apabila kita menulis buku, bermaksud kita sedang bercakap dengan seseorang. Pembaca kita adalah pendengar. Mereka mendengar dengan suara hati mereka yang membaca tulisan kita dengan mata mereka.

Setiap orang, ada gaya masing-masing untuk berbicara. Ini diri sebenar penulis. Penulis menyusun kata-katanya dalam bentuk bertulis. Sekiranya kita suka hasil tulisan penulis tersebut, kita, secara automatik akan menyukai penulisnya, meminatinya.

Sekiranya kita mahu mengukur berapa ramai orang yang sukakan cara pergaulan kita, maka tulislah dengan jujur, novel-novel dan buku-buku kita.

Sekiranya buku-buku tersebut lingkup di pasaran... Astagfirullahalazim! Bermaksud, cara penulisan kita tidak menyenangkan. Topik yang kita bualkan, tidak menarik. Barangkali, apa yang kita tulis itu cuma leteran sahaja. Kritikan sahaja tanpa komen membina.

Mengenai soal pujian. Saya sebenarnya lebih suka pandangan membina. Pujian sahaja tidak bermakna. Pujian mesti disertai dengan pandangan membina.


Contoh pujian tidak bermakna:

"Saya suka baca cerita awak." Apa yang menyebabkan pemuji suka baca karya tersebut?

"Blog awak ni cantiklah." Apa yang cantik?

Pujian-pujian seperti di atas adalah racun yang boleh membunuh jika penulis atau blogger tidak sedaya upaya mengesan kelemahan di dalam blognya.


Contoh pujian bermakna:

"Hasil tulisan awak menyentuh perasaan saya. Apabila awak mengkritik sesuatu isu, kritikan awak boleh menyebabkan siapa yang termakan cili dia terasa pedas. Apabila awak menyokong sesuatu perkara, tulisan awak membuatkan saya rasa saya juga patut menyokong kebenaran yang awak paparkan."

Pujian bermakna biasanya memakan sedikit masa, dan pemikiran kritis para pemuji bermakna. Pemuji-pemuji ini telah mengemukakan pandangan terhormat.

"Rekabentuk blog awak kelihatan cantik dengan warna latar biru dan putih yang menyejukkan mata. Susunannya kemas. Setiap kali saya datang ke sini, saya pasti akan berasa tenang. Saya suka blog awak."

Pujian seperti di atas barulah membawa makna. Penulis atau tuan punya blog baru akan dapat menafsir apa yang baik di dalam blognya.


Contoh-contoh kritikan yang tidak bermakna (atau komen sampah):

"Warna yang awak gunakan dalam blog awak tidak sesuai."

Apa yang menyebabkan warna yang digunakan tidak sesuai? Pengkritik seolah-olah mati akal untuk mengkritik dan ayat kritikannya tersungkur di tengah jalan.


"Saya tidak suka blog awak."

Apa yang menyebabkan pengkritik tidak suka blog tersebut? Komen, pujian dan kritikan yang tidak ada harga untuk membantu penulis mengenalpasti kelemahan diri seperti ini biasanya tidak diluluskan dan ditendang keluar dari blog.

Kebiasaannya penulis atau blogger yang tidak suka dengan kehadiran pengkritik seperti ini akan menyatakan ayat-ayat seperti berikut: "Ini blog saya!" atau "Suka hati akulah nak tulis apa dalam blog aku."


Menilai karya-karya sendiri:

Bagaimana hendak menilai karya-karya tulisan kita sendiri? Setiap manusia memiliki naluri yang istimewa. Naluri untuk mengesan bahaya, mengesan perubahan emosi dan sebagainya. Kita lihat bagaimana penulis-penulis berjaya biasanya mengharungi zaman sukar pada mudanya. Setiap nama-nama besar dalam arena penulisan, akan mengharungi pelbagai tentangan, pembulian dan penindasan yang disebabkan oleh faktor manusia, wang dan takdir. Kejayaan akan datang kemudian. Mereka berdikari, maka mereka berjaya.

Menerusi penindasan, pembulian dan tentangan yang diterima, penulis mula menghayati erti kemanusiaan yang sebenar. Ketika inilah mereka mencapai tahap tertinggi dalam menilai karya-karya mereka sendiri, dan mereka akhirnya memiliki naluri best-seller.

Dunia penulis berbeza dengan dunia perniagaan. Penulis yang ditindas, dibuli dan ditentang akan menjadi semakin kuat. Semakin hebat. Semakin mereka dianiayai, semakin mereka dapat meningkatkan potensi mereka.

Kerana apa? Kerana penulis adalah pendidik. Mereka menyebarkan kebenaran. Ini adalah suatu keberkatan. Mereka menggunakan anugerah Allah ke jalan yang benar. Pembuli, penentang dan penindas tidak akan berjaya. Cubalah, cabarlah kekuasaan Allah, mereka tidak akan berjaya. Penulis yang menulis mengenai kebenaran akan menang!


Kesimpulan:

"Pujian yang tidak membina umpama kabus dingin yang mengganggu pandangan mata pada waktu pagi, manakala kritikan yang tidak membina umpama jerebu yang menyakitkan mata pada siang hari yang panas." - Amiene Rev

Khamis, Oktober 11, 2007

Web, Video dan Gambar Program Angkasawan Negara


Sesiapa yang terlepas peluang untuk menyaksikan detik-detik bersejarah Angkasawan Pertama Malaysia ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) bolehlah melihat gambar, video dan berita di laman web ini. Nampaknya keberangkatan Dr Sheikh Muszaphar Shukor ke Stesen Angkasa Antarabangsa ini memberi kesan yang sangat besar terhadap mentaliti rakyat Malaysia.

AKU sendiri, ada semacam perasaan yang aneh, seperti satu semangat atau azam baru, menyerap ke dalam badanku. Barangkali inilah perasaan rakyat Malaysia!

Rabu, Oktober 10, 2007

Bunyi-bunyian - Sunyi-sunyian - Buni-bunian - Jadi-jadian

Kadangkala Ini Pun Dikatakan Puisi
Hakcipta (C) Amiene Rev

Bunyi-bunyian
kedengaran
ruang kosong bergema

Sunyi-sunyian
khalwat
bertemankan syaitan dan malaikat

Buni-bunian
kehalusan
tidak dilihat kadangkala bertandang

Jadi-jadian
khurafat
menjelma bila bulan mengambang penuh

Kadangkala ini pun dikatakan puisi
Apabila ilham tipis tersenyum sinis
menyerap ke minda ingatan seniman

Adakah aku Sang Pencinta Seni?
Sanggup atau tiada pilihan