Between Devil Philosophy and Life Is A Struggle For Success - They Said
"Jangan peduli betapa dunia itu akan musnah pada akhirnya, kerana kau belum tentu menemui kiamat. Maka, kau harus mengejar kejayaan dunia, mendahului orang-orang lain. Kejarlah kejayaan dunia! Jadilah yang pertama! Jadilah yang termuda! Jadilah yang terkaya! Jadilah yang paling berkuasa! Jadilah yang manusia duniawi yang terunggul!" - Pemikir Syaitan (Barangkali)
Kehidupan. Kembali aku dengan topik kehidupan. Kenapa aku, kenapa tidak kita? Sebab kali ini aku mahu bercakap mengenai kehidupan aku.
Persoalan? Adakah kehidupan aku menarik? Kehidupan aku penuh dengan plot-plot yang berkesudahan dengan keputusan-keputusan yang, adakalanya tidak akan diikuti oleh kebanyakan orang.
Sebab, aku melihat sesuatu berbeza dengan apa yang biasa orang lain lihat. Ini adalah kehidupan aku. Aku juga tahu betapa Tuhan sangat menyayangi aku.
Ramai orang menganggap hidup ini satu perjudian. Betulkah? Menonton cerita The Pursuit of Happyness, banyak memberi inspirasi kepada aku. Penamatnya, merupakan satu kejayaan.
Dalam hidup ini, manusia, kadangkala berkejar-kejar dengan perkara yang tidak ada maknanya. Maksud aku, persaingan. Aku semakin lama, semakin tidak mengerti adakah persaingan itu perkara yang baik?
Persaingan adalah elemen syaitan. Persaingan seperti serbuk belerang yang boleh mencetuskan hasad dengki, khianat dan rasuah. Syaitan bersaing dengan manusia, syaitan mahu memusnahkan manusia.
Persaingan adalah satu taktik syaitan untuk menyesatkan manusia ke alam immortalisme duniawi. Syaitan mahu manusia menanam satu macam idea yang berbunyi:
"Jangan peduli betapa dunia itu akan musnah pada akhirnya, kerana kau belum tentu menemui kiamat. Maka, kau harus mengejar kejayaan dunia, mendahului orang-orang lain. Kejarlah kejayaan dunia! Jadilah yang pertama! Jadilah yang termuda! Jadilah yang terkaya! Jadilah yang paling berkuasa! Jadilah yang manusia duniawi yang terunggul!"
Kejayaan demi kejayaan yang berlaku, menyebabkan manusia mula menanam rasa bimbang dalam diri mereka. Perpecahan, kemusnahan, mengkhianati kerjasama, mencari peluang untuk mempergunakan orang lain. Manusia mula memperalatkan manusia demi mencapai populariti, demi mencapai kuasa, demi mencapai kekayaan, demi mencapai kepuasan hidup di dunia.
Aku, aku tahu, KITAB dan KBT tidak menguntungkan aku. Aku tahu, aku mengasaskan sesuatu yang tidak menguntungkan aku. Aku adalah pengasas kepada KITAB dan KBT. Tujuan aku, aku mahu, semua manusia mencapai kejayaan dan pada masa yang sama belajar mengenang budi, belajar menghargai kehidupan yang dikongsi sesama manusia. Sebuah keluarga.
Ini adalah perjuangan yang berterusan. Biar pahit cabaran yang dihadapi. Ini adalah perjuangan aku!
Ya Allah, berikan aku kemenangan! Limpahkan aku dengan ilmu pengetahuan yang berguna. Berikan aku kesihatan, kekuatan rohani dan jasmani. Murahkan rezekiku, sinarilah aku dengan cahaya yang akan membawa aku ke arah kebahagiaan dan kejayaan hidup di dunia dan akhirat. Aku mohon keredhaan-Mu. Ampunilah segala dosa-dosaku, bersihkan jiwaku. Tuluskan hatiku dan tetapkan niatku. Moga perjuanganku ini akan menjadi jalanku untuk menemuimu dengan keredhaan-Mu.
Amin.
|