BLOG DUKE AMIENE REV

Jumaat, Ogos 31, 2007

Apabila Penderitaan Dapat Difahami, Maka Akan Wujud Ketenangan

"Memahami penderitaan, akan mewujudkan ketenangan." - Amiene Rev
Apabila ada penderitaan untuk difahami, kemudian kita akan dapat menerima erti ketenangan. Dunia ini lahir dengan serba-serbi cabaran. Manusia hidup, oleh itu manusia berjuang. Manusia berjuang, dengan itu melalui pelbagai penderitaan. Kerana kehidupan itu sendiri adalah perjuangan, maka manusia mengharungi pelbagai penderitaan, memijak kaca-kaca rintangan, merempuh duri-duri dari ros yang mewangi, mengatur jejak langkah, mencari jalan mencapai matlamat. Kerana hidup kita ini adalah perjuangan, dan penderitaan itu juga harus ditempuhi, maka apakah dalam dunia ini tidak ada tempat untuk ketenangan?

Jalur Gemilangku Sentiasa Satu
Hakcipta (C) 2007 Amiene Rev

Pada malam yang serba kabur,
Jalur Gemilang cuma bertemankan cahaya bulan
dan bendera sebuah negeri di bawah naungannya.

Jalur Gemilang sudah sekian lama
merasai dirinya dijulang,
setiap 31 Ogos, sejak 50 tahun lalu.
Dijulang dengan rasa kegembiraan,
seolah-olah pesta.

Kemudian, Jalur Gemilang mendapati,
rupanya dirinya adalah simbolik,
panji kemerdekaan yang dicipta
oleh Allahyarham Mohamed Hamzah.
Jalur Gemilang, adalah untuk negara ini
Malaysia.

Biarpun di dunia ini
ada banyak Jalur Gemilang,
biarpun di dunia ini,
sudah jauh beribu-ribu batu,
Jalur Gemilang mengembara.
Ke Gunung Everest,
Ke Antartika,
dan suatu hari nanti,
pasti juga ke bulan.

Biarpun sudah tegak di merata medan,
biarpun berkibar di pelbagai kenderaan,
biarpun menjadi jaga hormat di pintu gerbang,
Jiwa Jalur Gemilang tetap satu.

Satu yang membawa banyak makna.
Nombor satu dunia!
Kesatuan rakyat!
Kesetiaan.

Jalur Gemilang akan terus berkibar,
mencari kejayaan.