BLOG DUKE AMIENE REV

Rabu, Ogos 22, 2007

Merpati Bandar Di Jalanan

Zombi Merpati
Penulis: Amiene Rev
Hakcipta Terpelihara (C) 2007

Semasa berjalan di sebuah bandaraya, aku melihat sekumpulan merpati sedang sibuk mematuk lantai.

"Siapa kata kami mematuk lantai? Kami mematuk semut di lantai!" Marah benar merpati-merpati itu kerana aku telah tersalah memberi penerangan.

Oleh itu, berhati-hati apabila bercerita mengenai merpati.

Merpati-merpati itu merenungku. Dengan mata yang pelbagai warna, merah, kuning, biru dan hijau, mereka melangkah perlahan-lahan ke arahku, sambil menonjolkan wajah yang sungguh serius.

"Maaf ya, kami, merpati memang begini air muka kami. Bagaimana kami hendak menggerakkan otot-otot wajah kami? Kami juga tidak dapat melakukan senaman muka!" Merpati-merpati itu semakin panas dengan kenyataan yang telah kubuat di sini.

Merpati-merpati yang lain berhenti mematuk lantai. Terus melangkah mendekati aku. Semakin hampir, semakin dekat.

Aku pun memberanikan diri mendekati merpati-merpati tersebut. Aku tiba-tiba mendapati, bahawa merpati-merpati ini semuanya sudah mereput daging dan tulangnya. Namun, bulu-bulu yang tebal di badan merpati-merpati ini menyebabkan merpati-merpati ini kelihatan segar dan sihat.

"Aku mendekati merpati-merpati ini. Aku mahu merakam foto merpati zombi. Bangkai merpati hidup!"

Sebaik-baik sahaja aku mengangkat telefon berkamera digital Samsung SGH X-700, merpati itu pun terperanjat!

"Samsung! Samsung! Lari! Lari! Bertempiaran!" Maka semua merpati-merpati itu pun terbeliak wajahnya. Ternganga mulut dan muncungnya, malah ada yang terkoyak otot-otot mukanya, ada yang patah tengkuknya. Ada yang patah sayapnya dan ada yang tercabut bulunya.

Maka lantai jalanan itu menjadi lengang. Tidak ada lagi merpati zombi. Cuma beberapa helai bulu burung yang jatuh perlahan-lahan ke lantai.

"Sejinak-jinak merpati, kudekati, kau lari." Sambil berbisik, aku meneruskan perjalananku.