Lagi Kisah Adiwira
Ketika itu aku dan Cik Wartawan sedang melalui sebuah jalan yang agak lengang, berhampiran dengan simpang tiga. Tiba-tiba sebuah motosikal meluncur laju di jalan lurus, dirempuh sebuah lori yang kebetulan hendak keluar dari simpang.
Penunggang motosikal itu melambung tinggi kira-kira 3 meter di udara lalu jatuh tergolek. Menggelepar kesakitan. Pemandu lori itu pula tidak berhenti, lalu memecut laju meninggalkan penunggang motosikal yang terbaring. Badannya masih menggeletar kesakitan. Helmetnya masih terpasang kemas di kepala.
"Langgar lari!" Jerit Cik Wartawan. Dia sempat menangkap gambar lori tersebut.
Kami berlari mendapatkan penunggang motosikal yang malang itu.
"Saya telefon ambulan." Maklum Cik Wartawan. Dia mengeluarkan telefon bimbit dari poketnya dan mendail nombor tertentu.
Jalan kelihatan lengang. Aku mendapati tulang-tulang rusuk penunggang motosikal itu sudah patah. Tangan dan kakinya juga barangkali sudah patah. Aku tidak boleh mengangkatnya sebarangan. Bimbang akan memburukkan lagi keadaan.
"Encik... ini... gambar..." Dia mengeluarkan dompet begnya.
"Jangan bergerak, awak cedera teruk!" Namun si penunggang itu bersungguh-sungguh mahu menunjukkan sekeping gambar. Seorang gadis.
"Beritahu gadis ini, dia tidak bersalah..." Dengan tangan yang menggeletar, si penunggang motosikal memegang dompetnya yang separuh terbuka.
Aku dan Cik Wartawan termangu. Dalam keadaan nazak, si penunggang ini masih mampu mengingati si gadis. Barangkali pemikirannya terganggu semasa menunggang motosikal, kerana hal gadis ini, lalu terbabit dalam kecelakaan ini.
Penunggang motosikal itu semakin lemah, dia pasti tidak akan dapat menanggung kesakitan ini dengan lebih maut. Ajal akan menjelang bila-bila masa.
"Kau harus selesaikannya sendiri," Aku meletakkan tanganku ke bahunya. Memberi tumpuan penuh terhadap kesakitan di badannya. Tiba-tiba badanku diserang rasa bisa kesakitan dan pedih yang sangat.
Aku beransur ke tiang lampu, kira-kira satu meter di belakangku. Bersandar. Berehat dengan nafas yang termengah-mengah. Menahan kesakitan.
"Awak okey?" Cik Wartawan terus mendapatkan aku. "My God! You're injured! How?"
Aku tidak menjawab. Aku percaya Cik Wartawan pasti mendapat jawapannya.
"Oh, my God!" Antara percaya dengan tidak, Cik Wartawan mula bergementar. Gadis Caucasian ini sebenarnya terlalu cantik untuk bergelar wartawan. Barangkali, sebagai aktres atau model lebih sesuai untuknya.
"Saya harap, awak, menjadi seorang model. Tugas wartawan, terlalu bahaya!" Aku tersenyum, cuba melupakan kesakitan. Perkara biasa yang aku lakukan selepas melakukan pemindahan kesakitan.
"Jangan mengarut! Saya telefon ambulan lagi." Cik Wartawan sudah mula menangis.
"Tak perlu, awak sudah pun menelefon ambulan." Aku semakin lemah. Kesakitan kali ini jauh lebih parah berbanding kesakitan yang pernah aku tanggung sebelum ini. Aku dapat merasai tulang-tulang di badanku sudah mula patah-patah. Nafasku semakin tercungap-cungap.
"Tetapi dia..." Cik Wartawan berpaling ke belakang. Dia terkejut. Mulutnya terlopong.
Si penunggang motosikal sedang bangkit sambil mengibas-ngibas bajunya. Si penunggang motosikal mengangkat kedua-dua lengannya ke paras dada, menggerak-gerakkan jarinya, dengan air muka yang terperanjat besar, kagum dan dengan mulut yang ternganga. Tidak percaya dia sudah sembuh!
Dia kemudiannya berpaling memandang motosikalnya yang sudah hancur teruk. Memerhati serpihan-serpihan motosikal yang berselerak di atas jalan dan tanah. Melihat minyak motosikal yang tumpah dan percikan darah di merata-rata tempat.
"Awak!?" Dia merenung aku dan Cik Wartawan.
Ambulan pun tiba.
"Siapa yang cedera!"
"Dia... dia..." Si penunggang motosikal menunjukkan jari ke arah aku.
"Sini! Sini!" Cik Wartawan yang sedang duduk bertinggung, melambai-lambai ke arah pihak ambulan.
"Angkat perlahan-lahan." Darah mula mengalir dari hidung dan mulutku. Aku semakin lemah. Sempat tersenyum memandang Cik Wartawan.
|