Kisah Keperibadian Naruto dan Sasuke
Hari ini biar kita berbicara mengenai keperibadian Naruto dan Sasuke. Jika selama ini anda tersentuh hati dengan jalan ceritanya, dengan aksi watak-wataknya, dengan semangat dan azam Naruto, maka apa kata hari ini kita kenali pula Uzumaki Naruto dan Sasuke secara lebih mendalam. Saya, Amiene Rev, menerusi entri ini, akan membincangkan mengenai keperibadian kedua-dua watak kesukaan ramai ini.
Uzumaki Naruto adalah anak kepada Hokage Keempat, Namikaze Minato, yang bergelar Kilat Kuning (Yellow Flash).
Nama Uzumaki diambil bersempena keturunan sebelah ibunya, iaitu Uzumaki Kishina. Nama Naruto, diambil bersempena dengan sejenis bahan yang berbentuk pusar, yang biasanya diletakkan sebagai hiasan ramen (mi tarik), yang sangat disukai oleh Naruto. Uzumaki pula bermaksud pusaran atau putaran (spiral), yang mewakili puting beliung.
Kenapa bukan Namikaze Naruto dan sebaliknya Uzumaki Naruto? Untuk melindungi satu rahsia yang penting berkaitan dengan sejarah hidup Naruto dan masa depan Konoha, fakta ini dirahsiakan.
Naruto dilahirkan pada 10 Oktober, iaitu bersempena dengan tarikh Hari Kesukanan dan Kesihatan di Jepun yang dipanggil Taiiku No Hi. Tarikh lahir ini merujuk kepada sikap hiperaktif Naruto serta staminanya yang tinggi. Apakah hiperaktif? Hiperaktif merujuk kepada suatu kelakuan yang agresif dan sukar untuk dikawal.
Apa yang menyebabkan Naruto menjadi hiperaktif? Mungkin anda boleh katakan ini adalah kesalahan Namikaze Minato, yang mengurung Iblis Rubah Berekor Sembilan - Kyuubi, di dalam tubuh Naruto. Penduduk kampung telah tersalah anggap, mereka menyangka Naruto dan Kyuubi adalah satu jiwa yang sama. Mereka berfikir, Naruto itulah Kyuubi yang telah membuat kerosakan dan membunuh ramai saudara mara dan kawan-kawan mereka. Maka, Naruto dibenci dan sering disisihkan.
Kerana perasaan kesunyian, sentiasa dipinggirkan oleh orang ramai, Naruto berubah menjadi agresif. Dia berbuat nakal, mempermain-mainkan orang kampung, menimbulkan kemarahan Cikgu Iruka, dan melakukan vandalisme (menconteng dinding, patung dan sebagainya). Naruto tidak tahu kenapa orang ramai sentiasa menyisihkan dirinya, sehinggalah berlakunya pembongkaran asal-usul dirinya oleh Mizuki (tali barut Orochimaru).
Demi mendapat kembali perhatian orang ramai, Naruto berazam untuk menjadi Hokage. Dia tidak mahu dianggap lemah dan dipandang rendah. Untuk itu, Naruto telah berlatih dengan bersungguh-sungguh untuk menguasai ilmu ninja.
Naruto tidak faham kenapa semua orang membencinya, kenapa semua orang menganggap dirinya adalah Kyuubi, dan kenapa ramai orang suka melihatnya gagal. Naruto telah mengharungi penderitaan dan kesunyian kerana Kyuubi. Oleh kerana dia faham apa itu perasaan kesunyian, bagaimana rasanya disisihkan orang ramai, Naruto mula belajar menghargai persahabatan.
Cikgu Iruka dianggap sebagai ayahnya. Naruto suka makan ramen. Di gerai ramen, dia boleh berbicara dengan pak cik penjual ramen. Cikgu Iruka juga kadangkala belanja Naruto makan ramen. Gerai ramen ada kenangan manis untuk Naruto yang kuat makan. Dia boleh menghabiskan bermangkuk-mangkuk ramen.
Kerana pernah merasai betapa menderitanya kesunyian, Naruto sangat-sangat menyayangi kawan-kawannya. Dia tidak mahu kehilangan kawan. Dia sanggup mengorbankan nyawanya demi kawan-kawan. Kebenciannya terhadap kesunyian dan musibah Kyuubi, menyebabkan Naruto sentiasa mahu membela kawan-kawannya.
Naruto telah menganggap Uchiha Sasuke sebagai abangnya. Uchiha Sasuke yang bijak dan handal dalam ilmu ninja sentiasa menjadi matlamat kejayaannya. Naruto tidak mahu dikalahkan oleh Uchiha Sasuke yang dianggap sebagai Genin terhandal di Konoha pada ketika itu. Naruto juga berhasrat untuk mengalahkan Neji, Rock Lee dan Gaara.
Pengalaman yang dilalui Naruto sepanjang perjalanan hidupnya untuk memburu status Hokage, telah menjadikan Naruto seorang yang sedar erti menghargai kehidupan dan persahabatan. Naruto bertarung bukan untuk dirinya, tetapi untuk kebaikan kawan-kawannya.
Sasuke, juga menyedari kelebihan yang ada pada diri Naruto. Hal ini menyebabkan Sasuke, dalam diam, turut menyanjungi Naruto dan menganggap Naruto sebagai saudara kandungnya.
Sasuke dibesarkan dalam keluarga yang begitu mementingkan kejayaan. Ayah Sasuke sangat tegas dalam hal ini. Sejak kecil, Sasuke telah dilatih untuk sentiasa mencapai tahap kecemerlangan dalam ilmu ninja. Sasuke berlatih dengan tekun untuk mendapat pengiktirafan daripada ayahnya. Untuk menjadi seorang anak dalam keluarga Uchiha, Sasuke mestilah mempunyai potensi yang luar biasa dalam ilmu ninja.
Abang Sasuke, Uchiha Itachi telah meninggalkan sejarah hitam dalam dirinya. Sasuke memburu kekuatan dan kehandalan demi menewaskan abangnya. Apabila melihat Naruto dengan tiba-tiba mencapai kemajuan yang luar biasa dalam ilmu ninja, Sasuke mula berasa rendah diri dengan dirinya. Sekiranya Naruto pun tidak dapat dikalahkannya, bagaimana Sasuke boleh menewaskan abangnya dengan tangannya sendiri?
Sasuke tidak berhasad dengki dengan Naruto, sebaliknya merasa dirinya sudah merosot. Dipengaruhi rasa dendam terhadap abangnya, Sasuka mencabar Naruto. Sasuke mahu mengetahui sama ada benar dia lembab dalam ilmu ninja atau pun tidak. Hasil pertarungan di atas bumbung bangunan hospital itu sangat menggemparkan.
Sasuke teringat bahawa abangnya pernah memberitahu cara untuk menjadi kuat. Sesiapa yang berdarah puak Uchiha, mampu menguasai jurus Mangekyou Sharingan, iaitu jurus mata ninja yang terkuat dalam versi Sharingan. Tidak ada orang yang boleh berhadapan dengan jurus mata tersebut. Namun, syarat utama untuk menguasai jurus itu, adalah dengan membunuh saudara sendiri atau orang yang dianggap sebagai saudara kandung sendiri.
Sasuke sebenarnya tidak sanggup untuk berbuat demikian. Naruto bagaikan adik kandungnya sendiri. Oleh itu dia memutuskan untuk mencari Orochimaru sebagai jalan lain untuk membina kekuatan dan kehandalan bagi membunuh abangnya, Uchiha Itachi.
Peluang untuk menemui Orochimaru tiba apabila beberapa orang pengikut Orochimaru datang menemui Sasuke. Mereka memberitahu Sasuke, bahawa Orochimaru boleh memberikan kekuatan dan kehandalan dalam ilmu ninja kepada Sasuke, dengan syarat, Sasuke mesti bertemu dengan Orochimaru.
Namun, semasa dalam perjalanan menemui Orochimaru, Naruto dan kawan-kawannya telah datang dan menggagalkan usaha pengikut-pengikut Orochimaru. Naruto tidak mahu Sasuke mengorbankan dirinya, semata-mata untuk menjadi kuat.
Sasuke yang berasa geram dengan tindakan Naruto kerana mencampuri urusan peribadinya, bertindak melancarkan serangan balas terhadap Naruto. Sasuke beranggapan, sekiranya gagal menemui Orochimaru dan berguru dengannya, maka segala usahanya untuk membunuh Uchiha Itachi yang telah menyebabkan kematian semua ahli puak Uchiha termasuk ibu bapanya sendiri akan menjadi angin.
Tekanan dan dendam menyebabkan Sasuke bertindak mahu membunuh Naruto, namun pada masa yang sama hatinya tersentuh dengan semangat persaudaraan yang ditunjukkan Naruto. Naruto tewas kerana lembut hati. Sasuke tidak jadi membunuh Naruto. Masakan dia sanggup membunuh orang yang telah dianggap sebagai saudara kandungnya sendiri? Sasuke juga amat sayang kepada keluarganya. Keluarganya telah dibunuh. Sasuke tidak mahu membunuh Naruto.
Sekiranya dia membunuh Naruto, bermaksud dia telah mengikuti kehendak abangnya, Itachi. Sasuke tidak mahu mengikut telunjuk Itachi. Sasuke mahu mencari kekuatan dengan usahanya sendiri. Lalu dia pun meninggalkan Naruto, menjejaki Orochimaru.
Naruto tidak sedar, Sasuke sudah mempunyai rancangannya sendiri apabila menemui Orochimaru. Sasuke tidaklah bodoh mahu menyerahkan badannya untuk dirasuki oleh Orochimaru. Orochimaru mahu memindahkan rohnya ke tubuh Sasuke untuk menguasai jurus Sharingan. Ketika itu tubuhnya akan menjadi lemah. Sasuke akan mengambil peluang itu untuk membunuh Orochimaru. Tiga tahun kemudian, Orochimaru telah mati dibunuh oleh Sasuke, iaitu pada detik-detik Orochimaru mahu memindahkan rohnya ke tubuh Sasuke.
Sasuke tidak terus pulang ke Konoha, kerana dia tahu, dia pasti akan dijatuhkan hukuman. Sasuke menubuhkan Kumpulan Hebi atau Ular yang bermatlamat membunuh Uchiha Itachi. Undang-undang kumpulan itu ialah tidak boleh membunuh orang yang tidak berdosa. Hal ini telah terbukti, semasa berjuang di samping Orochimaru, Sasuke tidak pernah membunuh lawannya. Semua lawannya ditewaskan sehingga tidak mampu bangun, tetapi tidak mati. Orochimaru menegur kelembutan hati Sasuke.
Sasuke mahu membunuh Itachi. Dia tidak perlu membunuh Naruto untuk menjadi kuat. Sasuke tidak perlukan jurus Mangekyou Sharingan untuk mengalahkan Itachi. Naruto bagaikan adik kandungnya sendiri. Anda pula bagaimana? Adakah anda juga menghargai hubungan antara adik-beradik dan kawan-kawan? Naruto dan Sasuke, sama-sama menghargai hubungan persahabatan dan persaudaraan. Mereka tidak akan mengkhianati saudara dan kawan-kawan mereka. Ini adalah keperibadian yang sungguh menarik.
|