Kesibukan Gambate
Malam ini sekitar jam 1 suku pagi. Aku baru ada masa lapang buat seketika. Malam tadi aku bertemu pengetua untuk peruntukan bagi membeli anak panah yang baru (menambah bilangan anak panah). Pengetua baru di kolej ini juga dari Fakulti Pendidikan. Bergiat dalam bidang Sains Sukan.
Selepas itu sambil makan malam, aku menghubungi pengurus pasukan memanah. Memberi tunjuk ajar kepada mengenai cara-cara membuat kertas kerja dan surat untuk meminta peruntukan dari pihak kolej. Aku juga telah menyerahkan senarai orang yang perlu dihubungi dalam proses mendapatkan anak panah, termasuk kenalanku di pusat memanah.
Pada masa yang sama, aku menyerahkan tugas-tugas menghantar kertas kerja kepada penasihat kepada timbalan pengarahku. Kertas kerja dan surat telah aku siapkan, dan aku berharap timbalan pengarah baruku ini akan dapat mencetak salinan kertas kerja dan surat untuk ditandangan oleh penasihat. Kemudian aku akan menurunkan tandatangan, dan seterusnya membuat salinan, dan kemudian menghantarnya kepada Dekan. Kemudian ke Pejabat HEP.
Juga malam tadi aku dapat bertemu dengan anak-anak murid aku. Juga aku sudah sangat penat pada hari ini. Esok pagi, rakan sepasukan mahu turun memanah seawal jam 7.30 pagi. Bersemangat sungguh dia! Aku harap dia akan benar-benar bangun awal. Untuk itu, aku telah memberi bahan-bahan untuk sarapan pada esok pagi sebab kafe belum tentu dapat menyiapkan makanan pada sekitar enam pagi. Kebiasaannya makanan akan siap untuk dijual sekitar jam 7.00 pagi. Masa suntuk.
Masa latihan esok adalah sekitar jam 7.30 pagi sehingga 10.30 pagi. Selepas itu aku akan balik dan berehat sehingga jam 11.00-11.30 pagi. Kemudian aku akan berangkat mengambil kertas kerja, dan menemui Dekan. Selepas itu terus ke Pejabat HEP.
Petang pula aku perlu turun untuk latihan memanah sesi petang sekitar jam 5.00 petang hingga jam 7.00 petang. Jadual minggu ini sangat padat. Pada waktu malam belum tentu aku dapat berehat. Baju-baju perlu dibasuh pada malam esok.
Esok, sekali lagi bakal menjadi hari yang sangat sibuk dan memenatkan, tetapi aku akan menghadapi rintangan ini.
Tunggu. Esok? Hari ini sudah menjadi esok. Sekarang sudah pukul 1.30 pagi. Aku sudah pun siap menyusun jadual harianku dalam kalendar telefon bimbitku. Telefon bimbit yang baru ini mempunyai banyak fungsi yang bagus, dan boleh memudahkan kerja-kerja harianku. Selain berfungsi sebagai alat komunikasi, telefon ini juga mampu berfungsi sebagai kamera digital dan rekod catatan harian untuk menyusun jadual waktu. Telefon bimbit ini sangat berguna untuk orang-orang yang sibuk dan harganya pula paling murah dari segi kategorinya. Tidak hairanlah apabila telefon ini menjadi mendapat bintang yang baik. SGH-X700.
Aku sudah mahu melelapkan mata. Selamat malam.
|