BLOG DUKE AMIENE REV

Jumaat, Ogos 10, 2007

Kawan Lama DAN Kesibukan Melayan Masa

Satu ketika, pada tengah hari, hari ini. Aku mendapat panggilan telefon daripada seorang sahabat lama. Berbangsa India. Seorang wanita. Seorang guru. Kini, dia mengajar di Johor Jaya.

Ya. Sudah lama, aku tidak mendengar khabar berita daripada dia. Sebaiknya, aku memanggil dia kakak kerana dia lebih tua berbandingku.

Namun, disebabkan faktor kebiasaan, mungkin kerana berlainan bangsa dan aku sering bercakap dalam bahasa asing dengannya, maka tidak kupanggilnya sebagai kakak.

Hm. Tadi aku sempat keluar ke bandar. Memburu buku-buku baru. Namun, agak kecewa kerana buku-buku dalam sasaran tidak ada di kedai buku. Hampir 3 buah gedung yang berlainan tempat dan jarak telah aku kunjungi. MPH dan POPULAR, juga kedai-kedai buku kecil yang lain.

Penat berjalan, aku membeli begitu banyak minuman. Pagi tadi aku meninggalkan satu contoh surat yang aku tulis untuk diedarkan kepada para pensyarah. Dalam surat itu aku meminta kerjasama para pensyarah untuk menyenaraikan nama-nama pelajar yang bermasalah dalam akademik, supaya dibawa masuk ke Program KITAB, untuk dibantu dari segi pembelajarannya.

Aku berharap isi kandungan surat itu memuaskan dan sekiranya ada apa-apa perlu diperbetulkan atau ditambah, maka aku berharap agar perkara ini dapat dipercepatkan. Masa semakin suntuk.

Program KITAB sudah meloncat ke fasa-3. Ini adalah satu perkembangan yang agak memuaskan, namun, hal ini juga menuntut banyak pengorbanan.

Masa... masa semakin lama, semakin berharga. Pendarahan di kakiku sudah berhenti. Cuma ada sedikit darah beku. Kaki aku agak kebas semasa berjalan sebentar tadi. Jauh juga berjalan. Banyak juga perkara yang sempat aku lakukan sepanjang minggu ini.

Disebabkan aku perlu memakai kasut untuk ke pejabat, untuk tugas-tugas penting, aku membawa selipar bersama, disimpan di dalam beg pikul, sebagai langkah berjaga-jaga. Sekiranya berlaku pendarahan lagi kerana memakai kasut, maka aku akan menukar kasut dengan selipar.

Program KITAB kali ini, memiliki elemen-elemen yang direstui oleh Bondaku. Aku berharap... semester ini akan penuh dengan keberkatan.

Ya, Tuhan Kami, Yang Maha Penyayang Lagi Maha Mengasihani, Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengetahui. Permudahkan urusanku, pecahkan segala kesulitan dan kebuntuanku, berikanlah aku petunjuk, moga selamat di dunia dan di akhirat. Amin.