BLOG DUKE AMIENE REV

Rabu, Ogos 15, 2007

Memikirkan Hari Esok

Malam itu, aku hampir dapat melelapkan mata. Embun sejuk mula terasa. Udara, suhunya makin rendah. Tiba-tiba sekitar jam 2 pagi, iaitu sekarang, aku dikejutkan oleh Ketua Penyelaras Tutor, iaitu salah seorang pembantu yang terpenting dalam program ini.

Aku bangkit membalas mesejnya, lalu kubuka kembali komputerku dan mula menaip sesuatu. Aku perlu membuat satu resolusi pada malam ini. Idea ini barangkali akan hilang esok, atau mungkin akan dianggap sebagai igauan pada malam hari.

Lalu aku tidak boleh berlengah-lengah lagi, harus menyiapkan sesuatu yang penting pada malam ini. Aku harus menyiapkan panduan dan risalah untuk edaran segera.

Hm. Sambil meneliti isi kandungan pembentangan taklimat malam tadi, aku mula membuat rumusan baru. Poster khas untuk program ini perlu dibuat.

Program ini merupakan satu usaha untuk meningkatkan keputusan akademik para mahasiswa. Berbeza dengan KITAB yang hanya menumpukan kepada anak-anak Desa Bakti, Program KBT-KITAB ini mensasarkan matlamat Keputusan Baik (iaitu lulus dengan baik) 100% untuk semester ini bagi semua mahasiswa di fakulti ini.

Kepercayaan yang telah diberikan oleh Dekan, para pensyarah dan staf-staf di fakulti merupakan satu tanggungjawab berat yang harus aku pikul. Apa sahaja permintaanku dipenuhi, dan apa sahaja peruntukan yang kuminta akan disediakan. Betapa besarnya tanggungjawab yang harus aku pikul kali ini.

Populariti Program KITAB pada semester lepas cukup tinggi. Reputasi aku sebagai seorang pengasas dan pengarah juga berada pada tahap kepercayaan yang dijulang tinggi. Semua ini secara tidak langsung memberi tekanan kepada diriku. Tanggungjawab. Beban, tidak, cabaran yang digalas. Amanah yang dipikul.

Kerana kejayaan pada semester lepaslah, program yang diasaskan oleh aku ini berjaya meloncat ke fasa ketiga. Ini adalah perkara yang menggembirakan tetapi pada hakikatnya, juga bermaksud tanggungjawab yang makin besar.

Loncatan saujana yang telah dilakukan ini sebenarnya banyak menuntut pengorbananku dan rakan-rakan seperjuanganku. Demi akademik, keringat, mental, emosi, derita, kepakaran, kebijaksanaan berfikir, kesetiaan, kesungguhan, darah dan nanah. Ya, darah dan nanah sebab hari itu, kaki aku berdarah, dan aku harus menjalankan tanggungjawab aku juga!

Seperti PTS yang dibangunkan dengan, ya, begitulah juga KBT-KITAB. Saya berharap Puan Ainon akan baca entri ini. Jika dia tidak baca, maka semoga entri ini sampai juga kepada Puan Ainon. Sesiapa yang baca entri ini juga harus menyampaikannya kepada Puan Ainon.