Amien, Awak Seorang Hero! Dia Kata.
Perkataan hero yang dilabelkan kepada diriku itu menyebabkan aku mula memberontak. Kenapa pula mereka memanggil aku sebagai hero? Aku cuma seorang yang melakukan apa yang aku fikirkan betul dan sepatutnya dilakukan. Aku cuma buat perkara yang belum pernah sesiapa fikirkan. Apakah perkara ini menyebabkan aku boleh dipanggil hero. Kelakar.
"Saya belum layak menjadi hero. Saya tidak menyelamatkan sesiapa."
"Bagaimana pula dengan mangsa kemalangan yang awak selamatkan tempoh hari. Dia tidak kenal pun awak. Itu bukankah sama seperti watak superheroes dalam mana-mana filem?" Nampaknya dia cuba menyamakan aku dengan Wira Bertopeng. Apa kata jika aku menyilangkan tangan dan membuat bunyi "Beep! Beep! Beep!" Maka rentunglah dia.
"Itu perkara biasa. Sesiapa pun akan menelefon ambulan apabila melihat keadaan itu, apatah lagi di depan mata." Jelasku. Pujian merupakan racun buat diriku. Aku tidak mahu dia terus melabelkan aku sebagai hero atau wira kerana perkara yang sememangnya sepatutnya menjadi tanggungjawab sosial. Orang dalam bahaya harus diselamatkan.
"Bagaimana pula dengan program-program yang awak buat selama ini. Ah, ya... program..."
"Cukup! Apa tujuan awak sebenarnya? Apa yang awak mahu? Tak perlu membodek saya." Barangkali manusia ini seorang wartawan yang cuba mencungkil maklumat mengenai diriku. Rupanya kelihatan seperti seorang pelajar UTM, tetapi dia mungkin memakai topeng.
"Maafkan saya. Saya cuma mahu menulis mengenai diri awak. Awak orang yang saya kenal dan saya rasa saya patut menulis mengenai awak. Program awak. Kisah hidup awak." Mukanya kelihatan mengharap, tetapi aku masih terus prejudis terhadap dirinya.
"Tidak ada apa-apa yang menarik mengenai diri saya. Saya juga tidak suka rupa saya dikenali ramai. Saya boleh buat sesuatu yang saya rasakan betul, tetapi untuk menonjolkan diri, itu di luar skop kehendak dan niat saya. Biar orang terus mengenali saya menerusi apa yang saya tulis dan perkatakan, tetapi tidak diri saya yang sebenar. Awak boleh terima pendirian saya?" Aku merenung mukanya dengan cahaya mata yang berharap dia tidak akan mengganggu aku lagi.
"Maksudnya awak pernah menulis? Menulis di mana?" Wah! Nampaknya begini rupanya cara wartawan mencungkil maklumat. Patutlah mana-mana artis dinasihatkan mengeluarkan perkataan penamat seperti, "Tiada komen".
"Umur awak belum mencecah 25 tahun. Saya mahu menulis mengenai hero-hero muda tempatan. Awak salah seorang yang berada dalam senarai. Berilah saya peluang."
"Tidak ada komen."
"Beginilah... kalau begitu, apa kata..."
"Tidak ada komen."
Baru-baru ini telefon aku berdering. Nampaknya ada seseorang cuba mendekati aku menerusi telefon. Aku tidak melayannya lagi...
Harap-harap dia tidak tahu aku menulis blog ini. Nasib baik aku memakai nama samaran. Namun, aku rasa manusia ini mempunyai kebolehan menyiasat yang hebat juga. Aku mesti berhati-hati.
Hari ini, dalam keadaan ibu jari kaki yang berdarah, aku menjalankan aktiviti yang berkaitan dengan persediaan awal Program KITAB 2. Darah tidak berhenti-henti pada waktu tengah hari tadi, selepas aku memberi taklimat tidak rasmi kepada Ketua Penyelaras Tutor yang baru dilantik. Usianya setahun lebih tua daripadaku, namun dia memiliki personaliti yang sesuai untuk memikul tanggungjawab tersebut.
Juga, petang tadi, selepas pertemuan dan perbincangan mengenai Program KITAB 2 dengan Timbalan Pengarah Operasiku, sekali lagi ibu jari kakiku berdarah. Mak Cik di Mini Mart kolej dan pak cik serta mak cik yang lain bersepakat meminta aku berehat. Aku tidak dibenarkan berjalan kerana pendarahan mungkin akan berulang lagi.
Jadi, aku tidak ada pilihan lain, selain meminta Timbalan Pengarah Strategik untuk mendapatkan kertas kerja yang disahkan di Pejabat Dekan, dan menghantarnya ke Pejabat HEP. Masa sudah suntuk. Aku harap aku boleh berjalan lagi...
Darah mengalir agak banyak pada tengah hari tadi. Kakiku agak sejuk hari ini. Barangkali aku sudah kekurangan darah. Pening-pening lalat.
Aku mahu berehat lagi. Esok, jika tidak ada apa-apa, aku mahu bertemu dengan para sukarelawan junior.
|