Hujan Ribut Berterusan Hari Ini
Hujan dan ribut sungguh rancak beraksi pada hari ini. Sejak pagi tadi, perut aku belum terisi apa-apa. Maka, tengah hari ini, aku memasak sedikit air, menjerangnya dengan menggunakan cerek elektrik.
Kutabur beberapa serbuk coklat Milo ke dalam sebuah bekas gelas yang besar, dan menuangkan air secukupnya, lalu dapat kunikmati minuman coklat Milo yang suam pada suhu cuaca yang sejuk ini. Kuanggarkan suhu di sini ketika ini masih lagi sekitar 28 darjah celcius. Pakaian yang kujemur belum kering-kering lagi.
Bosan dengan keadaan ini, aku membelek-belek manuskrip novelku, untuk dikemaskini. Tidak lama lagi ada ujian, jadi aku perlu membahagikan masa untuk pelajaranku. Akademik nombor satu. Kempen gred E sifar. Semua ini bermain di kepalaku.
Sekarang, waktunya adalah sekitar jam 2.40 petang, hujan sudah makin reda. Masih ada titisan yang bersisa di kaca tingkap dan beranda. Novel yang akan kusemak ini adalah novel biasa-biasa untuk penerbitan sebuah syarikat yang mahukan novel biasa-biasa.
Manakala novel yang lain pula adalah dalam genre sains fiksyen, untuk sebuah lagi penerbitan. Aku memutuskan untuk menulis menggunakan cara aku sendiri, sebab ada kekuatan yang aku yakini. Bak kata, belum cuba, belum tahu. Aku cuma perlu menunggu komen pembacaku nanti. Sudah pastinya bukan calang-calang orang yang akan dijemput untuk memberi komen terhadap hasil karyaku itu. Namun komen pembaca biasa juga dialu-alukan.
Juga, gaya penulisan yang digunakan untuk menulis novelku tidak sama dengan gaya yang aku gunakan untuk penulisan di dalam blog ini. Pasti ada kejutan yang berbeza. Sebab itu adalah kaedah yang lain. Dunia penulisan penuh dengan gaya. Minda manusia, luas tetapi terbatas.
Aku mendapati, sejak kecil lagi, aku mempunyai keupayaan untuk membentuk sendiri teori-teori penulisan. Penemuan demi penemuan, yang kemudian aku bandingkan dengan apa yang aku lihat. Perlahan-lahan, keyakinanku terhadap kebolehanku untuk menulis, meningkat. Apa yang aku fikirkan berkaitan dengan penulisan, rupa-rupanya ada yang telah digunakan. Justeru, aku yakin, aku adalah orang dalam bidang ini.
Memiliki bakat tidak bermakna aku harus mengabaikan tunjuk ajar dan sumber rujukan yang ada. Pengetahuan dan pengalaman penulis-penulis lain sangat penting untuk dijadikan rujukan. Setiap manusia ada kelebihan dan ada kelemahannya. Kita boleh yakin, tetapi mesti dengan bukti. Jadi, pemerhatian yang telah kubuat akan membuktikan, apa yang akan aku tulis nanti, adalah penulisan yang bercirikan seorang penulis berjaya.
Kombinasi bakat semulajadi, keyakinan, pembuktian dan rujukan. Semua ini adalah perlu bagi seorang penulis berbakat besar untuk mencapai kejayaan dalam bidangnya. Aku maju dengan cara ini. Tanpa mengabaikan logik akalku, rasional berfikir, pengalaman dan pengetahuanku, aku akan terus menulis, menulis dan menulis sehingga ke titik kejayaan. Kemudian akan kuteruskan lagi!
Tuhan Maha Berkuasa menentukan segalanya. Moga Dia akan terus melindungiku di dunia dan di akhirat. Moga segala dosaku akan diampuninya, dan jalan hidupku dipermudahkan lagi, juga rezekiku ditambah lagi. Amin.
|