BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, Ogos 16, 2007

Apa Lagi Perkara Penting Pada Ketika Ini?

Sudah sekitar jam 12:48 minit pagi. Sudah pagi. Sudah 48 minit, hari ini bermula. Aku sudah pulang ke bilik. Ke kamarku. Ke tempat peraduanku. Ke tempat rehatku.

Memikirkan lagi hari esok. Esok masih ada tugas-tugas penting untuk dilaksanakan. Esok juga masih ada perkara-perkara penting untuk dibincang dan dirancang lagi dengan lebih jelas dan terperinci. Apabila seseorang itu berada di tingkat teratas dalam suatu pucuk pimpinan, masa malamnya akan sentiasa menjadi siang.

Namun pada malam ini, oh tidak, pada pagi-pagi buta ini, apakah pekerjaan yang harus aku lakukan? Baru Maghrib tadi, aku mendapat idea untuk menyusun semula organisasi untuk Fasa Ke-3, organisasi yang barangkali akan dibentuk pada tahun hadapan.

Juga aku harus menyusun isi kandungan panduan program untuk dicetak pada esok hari. Aku sebagai pengasasnya, sebagai penulisnya. Ah, ya. Apa kata aku senaraikan dulu perkara-perkara terpenting pada saat ini? Maka, perkara-perkara penting yang akan tersenarai itu adalah seperti berikut. Semua ini barangkali perkara dunia:

1. Akademik - Aku selaku pelajarnya.
2. Program KBT - Aku selaku pengasas dan pengarahnya.
3. Program KITAB2 - Aku selaku pengasas dan pengarahnya.
4. Penulisan novel.

Tiga perkara teratas, merupakan perkara yang memerlukan perhatian istimewa. Sekali lagi, penulisan novel dianaktirikan. Namun, aku sedang menyusun plot-plot untuk novel biasa-biasa yang akan diterbitkan tidak lama lagi. Temanya yang mudah, tidak memerlukan aku merujuk banyak bahan-bahan sebagaimana dua novel yang pernah aku sebutkan di blog ini pada suatu ketika yang tidak berbeza jauh jaraknya dengan hari ini.

Selamat pagi, dan selamat tidur! Barangkali aku belum lelap, kerana tugasku belum selesai. Namun, esok awal-awal pagi aku perlu menemui seseorang, jadi, oleh itu, aku harus tidur awal juga. Selepas itu berpatah balik untuk menyelesaikan tugas-tugasku sebagai seorang pemimpin.

Bukankah, semua manusia dilahirkan sebagai pemimpin? Bukankah semua orang adalah pemimpin? Bagaimana pun pemimpin itu adalah hamba.

Hamba itu adakah seorang yang merdeka? Merdekakah aku? Anda pula?