BLOG DUKE AMIENE REV

Rabu, Ogos 01, 2007

Menulis Sebelum Sibuk

Pagi tadi aku masuk ke sebuah laman web Maxis, untuk menyelesaikan masalah kenapa aku tidak menambah nilai untuk nombor Maxis pra-bayar aku. Setakat ini belum ada apa-apa reaksi daripada pihak pengurusan Maxis. Sedangkan dalam keadaan yang sangat sibuk ini, aku amat memerlukan penggunaan telefon bimbit.

Aku berlatih memanah dengan dua orang rakan (pasukan lawan) di lapang sasar. Sekitar satu jam sahaja hari ini. Kebiasaannya, aku pergi sekitar pukul lapan. Sebenarnya, pada masa yang sama pasukan memanah kolejku memerlukan peruntukan kewangan sekitar RM400 untuk menambah 10-12 bilangan anak panah lagi untuk mencukupkan syarat pertandingan memanah. Jika tidak, akan ada masalah dalam pemilihan anak panah. Anak panah yang sedia ada, ada yang perlu diperbaiki.

Semalam aku sudah membaiki beberapa batang anak panah. Hari ini semua anak panah sudah boleh digunakan. Namun bilangan anak panah belum memuaskan untuk kesemua pemain. Anak panah yang tidak berkeadaan baik, iaitu bengkok tidak sesuai untuk digunakan semasa pertandingan. Ini boleh menjejaskan peratus ketepatan. Sebabnya, ini adalah pertandingan memanah secara teknikal dan pada kadar jarak yang berpuluh-puluh meter, bukan memanah secara tradisional yang hanya meletakkan anak panah di depan mata. Sasaran akan ditetapkan secara kiraan. Kiraan melancarkan anak panah yang pasti tepat ke sasaran sebenar tanpa perlu memanah ke sasaran sebenar. Oleh itu anak panah yang bengkok akan mempengaruhi faktor ketepatan. Selain itu, faktor angin, perubahan ketegangan tali busur, perubahan jarak, geografi dan cahaya matahari turut mempengaruhi ketepatan memanah.

Sekejap lagi aku perlu menghantar kertas kerja. Semalam aku gagal menemui pensyarah kerana ada program di universiti. Pensyarah terlibat. Juga aku tidak dapat menghubungi Setiausaha Agung persatuan untuk penyelarasan nombor surat. Pada masa ini, telefon bimbit sangat diperlukan.

Aku rasa aku tidak perlu ke pejabat kolej untuk berbincang mengenai peruntukan pasukan memanah. Aku bukan pengurus pasukan dan pengurus pasukan seharusnya belajar mengenai perkara ini dengan sendiri. Tunjuk ajar telah diberikan. KITAB harus disempurnakan pada minggu yang sibuk ini. Hari ini juga!