Ada Seseorang Yang Tidak Anda Kenali
Cinta Di Perhentian Bas
Hakcipta: Amiene Rev (C) 2007
"Adakalanya cinta itu akan berkesudahan dengan tragedi,
pandu cermat demi keselamatan orang tersayang."
Hakcipta: Amiene Rev (C) 2007
"Adakalanya cinta itu akan berkesudahan dengan tragedi,
pandu cermat demi keselamatan orang tersayang."
Seorang lelaki, berdiri menunggu bas di tepi jalan. Hujan turun lebat, dengan angin badai yang sungguh dahsyat. Pokok-pokok bergoyang, seolah-olah mengikut irama Hip Hop. Lelaki itu begitu khusyuk merenung ke tanah dan jalan raya yang dibasahi titisan air hujan. Melihat air hujan yang jernih bertukar menjadi keruh, lalu mengalir ke longkang yang terletak di belakang pondok menunggu bas.
"Hai!" Kedengaran suara gadis muda menyapa. Sebuah payung bulat berkembang, berwarna biru muda kelihatan di sudut kiri pondok menunggu bas. Apabila diteliti kasutnya yang berwarna biru bertumit tinggi, baju kurungnya yang berwarna putih kebiruan, dan selendang litup yang menutupi kepala si pemegang payung itu, si lelaki itu pun tersenyum.
"Sidek, apa kau buat di sini?" Gadis itu menegur lelaki yang dipanggil Sidik itu.
"Aku... kereta aku rosak." Sidek menjawab pendek.
"Hari ini, saya bertemanlah," Gadis itu tersenyum nakal. "Tak kisah kalau, Aida marah?"
Sidek tersenyum mendengar usikan gadis tersebut. Gadis serba biru itu melangkah dengan cermat ke dalam pondok menunggu bas, lalu meletakkan payungnya di pinggir pondok.
Sidek berjalan merapati gadis tersebut, yang ketika itu sudah berdiri berhampiran dengannya.
"Ayu, aku sebenarnya... mencintai kau."
Gadis berpakaian biru, itu terbeliak matanya.
-O-
Sementara, kira-kira 1 kilometer dari pondok bas itu, dengan suasana jalan yang kelihatan aman, ada sebuah bas sedang meluncur dengan kelajuan 60 kilometer sejam. Pemandunya, seorang India berbadan besar kelihatan begitu tenang. Air hujan yang bertitisan membasahi cermin depan bas itu, menjadikan penglihatan pemandu agak terlarang untuk melihat keadaan di hadapannya.
-O-
Dari arah yang bertentangan pula, di dalam sebuah kereta Proton Perdana merah, seorang wanita berpakaian korporat sedang memandu dengan laju. Radio terpasang di keretanya. Lagu yang agak rancak, Garasi - Hilang.
"Di sini agaknya," Wanita cantik, berambut pendek itu menjenguk-jenguk ke tepi jalan. Kelajuan kereta Perdana merahnya, diperlahankan sedikit.
"Pinn!!" Sebuah kereta memberikan hon kerana hendak memotong! Wanita itu tersentak. Lalu memusingkan sedikit keretanya ke kiri. Percikan air dari jalan mengenai keretanya.
Keretanya bergerak perlahan, skrin keretanya sekali-sekala dicuci, dengan wiper yang masih bergerak ke kiri dan ke kanan.
Dia terus merapati ke sebuah pondok bas. Samar-samar kelihatan sepasang manusia sedang berbual leka, kelihatannya seronok sehingga tidak menyedari kehadirannya. Tiba-tiba air mukanya berubah. Tidak senang.
"Ayu?!" Wanita itu mendengus marah. Menggigit bibir. Lalu, dia menekan pedal minyak dan terus menghala ke depan. Jiwanya tidak keruan.
"Hoonnkkkk!!!" Sebuah bas tiba-tiba berada di depan keretanya.
Krank!! Skreettt!!!! Brakk!! Sebuah kereta, bertembung dengan sebuah bas. Kereta itu hancur. Bas itu remuk di bahagian depan. Seorang lelaki India kelihatan tunduk di tempat duduk memandu.
Sidek dan Ayu terperanjat. Melihat sebuah kereta merah, Sidek mula berasa cemas. Degup jantungnya berentak kencang, memberontak agar apa yang dilihatnya sekarang adalah khayalan semata-mata.
"Aida!!!!" Jeritan Sidek, diiringi dengan dentuman guruh dan air hujan yang makin lebat dari langit yang makin mendung.
-Tamat-
Moral yang pelik: Berhati-hati Apabila Bercinta Di Perhentian Bas
Hakcipta Terpelihara (C) 2007 Amiene Rev
Moral yang pelik: Berhati-hati Apabila Bercinta Di Perhentian Bas
Hakcipta Terpelihara (C) 2007 Amiene Rev
|