BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, Ogos 07, 2007

AAT ATA - Apabila Ajal Tiba - Adiwara Tetap Akur

Gelap. Gelap dan terus gelap. Aku dalam kegelapan. Tiba-tiba aku mendapati ada cahaya. Cahaya yang semakin terang. Tiba-tiba aku dapati, aku sedang memakai pakaian yang sama seperti penunggang motosikal tadi. Aku berada di tempat kemalangan itu tadi.

Aku sedang berjalan-jalan dalam keadaan termangu-mangu. Aku sedang merenung gambar si gadis.

"Zara. Tuhan telah menyelamatkan aku! Aku..." Aku dapat merasai perasaan kesal pemuda ini. Aku seolah-olah roh yang terperangkap di dalam badan penunggang motosikal ini.

Tetapi pemuda ini melakukan kesilapan. Berdiri di tengah jalan. Aku masih dapat merasai perasaan gementar dalam diri pemuda ini. Pemuda ini masih terpaku. Barangkali trauma. Barangkali kakinya kaku kerana telah mengalami suatu pengalaman yang luar biasa. Mistik.

"Aku bersalah. Zara. Maafkan aku." Pemuda ini beranggapan, apa yang berlaku tadi sebagai mimpi. "Aku sedang bermimpi barangkali. Mana boleh aku sembuh begitu sahaja?"

"Ini pasti mimpi! Zara! Zara!" Pemuda itu sedang mengimbas wajah Zara, dan kenangannya bersama gadis tersebut. Aku dapat melihat Zara sedang menangis, berpeluk tubuh, kemudian berdiri membelakangi pemuda ini. Berkata sesuatu kepada pemuda ini.

Tiba-tiba kedengaran hon kereta dibunyikan. Sebuah kereta meluncur laju. Aku dapat melihat kereta itu sekilas. Kereta berwarna merah. Sangat laju! Tidak sempat membrek!

Tiba-tiba kedengaran bunyi pelanggaran yang kuat! Terdengar jeritan mengaduh! Pandanganku kabur. Cahaya makin kurang. Gelap. Kembali gelap.

Beberapa detik selepas itu, aku dapat merasai bunyi tulang-tulang di badanku mula tersusun semula. Kesakitan di badanku mula menghilang. Bunyi pernafasanku yang dibantu oleh tangki oksigen kedengaran. Kekuatanku kembali semula.

Aku membuka mata perlahan-lahan. Nampaknya kuasa pemindahan kesakitan itu telah terbatal dengan kematian pemuda tadi.

"Ah?" Cik Wartawan terkejut. Staf-staf hospital di dalam van itu turut terperanjat.

"Patah balik!" Aku menjerit.

"Patah balik! Ke tempat tadi!"

"Kenapa?" Cik Wartawan dalam gembira dan terpinga-pinga. Dia memegang bahuku.

"Lelaki tadi dilanggar lagi..."