BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, Ogos 30, 2007

Malaysia Book Of Records - Larian 100 jam tanpa henti

Sejak 26 Ogos 2007 yang lalu, seramai 42 orang pelajar Universiti Teknologi Malaysia telah menyahut cabaran untuk berlari 100 jam tanpa henti. Aktiviti ini akan dimasukkan ke dalam Malaysia Book of Records. Aktiviti ini Larian 100 Jam ini merupakan satu cara mengaplikasikan ilmu Sains dan Matematik yang dipelajari di universiti. Kejayaan menyempurnakan Larian 100 Jam sudah pasti mempunyai nilai yang sangat tinggi. Semoga berjaya, para peserta Larian 100 Jam, Universiti Teknologi Malaysia.

Gambar: Para peserta dan jawatankuasa Larian 100 Jam sedang menyusun strategi untuk peserta larian.


Larian ini juga merupakan satu usaha yang akan memecahkan rekod larian sejauh 1035 kilometer yang dibuat oleh para pelajar dari Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) yang dahulunya dikenali sebagai ATMA, pada Julai 2005.

Setiap tiga orang peserta akan berlari mengelilingi Lingkaran Ilmu (jarak satu pusingan = 2.5 km) sebanyak dua pusingan sebelum menyerahkan baton kepada tiga orang lagi peserta. Mengikut anggaran masa, setiap peserta akan berlari selama 1 jam setengah, sejauh 5 kilometer.



Gambar: Sementara menunggu giliran pada waktu malam, para peserta Larian 100 Jam berehat dan menenangkan fikiran dengan menonton rancangan sukan di televisyen.




Semasa larian dilaksanakan, para peserta juga akan membawa bendera Jalur Gemilang, bendera Negeri Johor dan bendera UTM.

Larian ini dijangka tamat pada 30 Ogos 2007, bertempat di Padang Kawad UTM. Pada masa yang sama sambutan Ambang Kemerdekaan akan diadakan.


Gambar: Peserta sedang memanaskan badan sebagai persediaan untuk berlari sebaik-baik sahaja peserta-peserta sebelum ini tiba.


Tidak kira hujan atau panas, tidak kira embun yang menitis pada pagi hari, atau langit gelap tanpa bulan pada malam hari, para peserta larian 100 jam meneruskan larian mereka, untuk memberi satu lagi kejayaan yang bakal menaikkan nama Universiti Teknologi Malaysia.

Ilmu pengetahuan dalam Sains Sukan digunakan dalam Larian 100 Jam. Kejayaan larian ini nanti adalah bukti para pelajar telah berjaya mengaplikasikan teori-teori yang dipelajari dalam bidang-bidang berkaitan, di universiti selama ini. Para peserta terdiri daripada para pelajar dari pelbagai fakulti, pelbagai bidang dan jurusan, termasuk pelajar di peringkat Sarjana.