Kaedah Menghindari Histeria dan Stres Di Kalangan Pelajar
Petua Mencegah Histeria dan Stres
Menerusi Kaedah Menulis Blog
Penulis: Amiene Rev (C) 2008
Sumber asal: http://dukeamienerev.blogspot.com
Histeria. Satu penyakit lama, tetapi kini sudah menjadi satu budaya di kalangan warga sekolah. Baru-baru ini dilaporkan, gangguan histeria ini bukan sahaja berlaku di kalangan pelajar wanita, malah turut dialami oleh pelajar lelaki dan guru-guru wanita.
Histeria pada asasnya dikatakan berpunca daripada tekanan perasaan. Apabila fikiran negatif menguasai mental seseorang itu, maka daya penaakulan logik seseorang insan itu akan lemah, lalu mencetuskan pelbagai persepsi yang mungkin dianggap luarbiasa, menakutkan dan aneh.
Ceramah, kursus atau bimbingan berkaitan dengan pengawalan emosi berkaitan dengan tekanan perasaan dan kemarahan perlu diwujudkan. Ini kerana, tidak mustahil ada di kalangan kita yang tidak tahu cara untuk meredakan tekanan. Akibatnya, orang lain mungkin menjadi mangsa melepas geram.
Aktiviti yang dapat menggerakkan mental dan fizikal seperti berjalan-jalan, melancong, pergi ke tempat yang baru, bermain dan sebagainya mampu meredakan tekanan. Adakalanya kita tidak perlu mengambil sesuatu perkara itu sebagai suatu yang serius. Permusuhan, hasad dengki, dendam, benci, khianat, zalim dan pelbagai lagi sikap mazmumah atau penyakit hati harus dijauhi.
Terapi Jiwa Menerusi Penulisan Blog
Budaya meluahkan perasaan perlu diwujudkan. Bukan sekadar meluahkan perasaan, tetapi juga berkongsi masalah peribadi, dan menyelesaikannya bersama orang-orang yang dipercayai. Blog atau weblog merupakan satu cara yang ajaib untuk menawar tekanan perasaan. Seseorang itu boleh menyamar atau menggunakan nama samaran untuk meluahkan segala tekanan di hati. Pendek kata, seseorang itu boleh menjadikan blog sebagai satu medan menulis bahagian kehidupan negatif atau sisi gelapnya, meluahkan segala derita, kesedihan dan rasa tidak puas hati terhadap satu-satu perkara.
Namun, seeloknya selepas meluahkan segala-galanya sisi gelap itu, si penulis blog wajar membaca semula apa yang ditulis, bermuhasabah diri dan kemudian menulis kesimpulan atau cadangan-cadangan yang dapat membantu diri sendiri. Ini kerana blog kebiasaannya dapat dibaca umum, maka segala tulisan yang pada awalnya ditulis dengan penuh perasaan dan melepas geram kemungkinan boleh mempengaruhi sesetengah pembaca.
Justeru setiap tulisan yang dibuat itu hendaklah ditambah dengan kesedaran atau kesimpulan yang baik-baik. Sekiranya penulis gagal mencari penyelesaian, maka wajarlah menulis sesuatu yang dapat membolehkan para pembaca memberikan cadangan, sokongan moral dan sebagainya.
Saya menyokong penuh usaha membuka blog beramai-ramai oleh kaunselor-kaunselor dari sekitar negeri Selangor. Semoga anda semua dapat membantu para penulis blog, dan pengguna internet untuk menghilangkan tekanan, membantu menyelesaikan masalah peribadi dan sebagainya. Siapa tahu, mungkin usaha anda itu dapat menyelamatkan satu nyawa?
Histeria kerana buatan jin dan bunian?
Sementara itu, histeria yang dialami oleh para pelajar dan guru di sebuah sekolah yang berkenaan tempoh hari dikatakan disebabkan oleh gangguan Nenek Kebayan atau bunian. Mungkin orang bandar ada yang kurang percaya dengan kisah bunian ini, tetapi bunian atau makhluk halus ini wujud.
Memandangkan kaum bunian ini mungkin sesuatu yang luar biasa dan aneh, maka tidak menghairankan apabila ada di kalangan manusia, generasi hari ini, mudah terkena histeria kerana takut. Ini sifat semula jadi kebanyaan benda hidup, akan berasa takut apabila bertemu dengan sesuatu yang pelik.
Apa yang boleh saya sarankan kepada para pembaca sekalian, jangan berasa takut terhadap bunian. Mereka juga adalah makhluk seperti kita. Mungkin kita tertidur di masjid pada waktu pagi, sebelum subuh dan dikejutkan oleh bunian-bunian yang mahu solat berjemaah, maka jangan pula kita menjerit atau terlaung-laung. Hormati mereka kerana mereka juga adalah bangsa yang boleh berfikir seperti kita.
Kadangkala kita ternampak di sebelah bilik kita, lembaga berbentuk manusia sedang menunaikan solat, maka janganlah kita berasa takut kerana itu makhluk halus yang beragama seperti kita.
Manusia pada zaman ini harus diajar supaya dapat menerima kewujudan bunian. Kadangkala bangunan-bangunan yang kita bina di kawasan hutan yang telah diteroka itu dulunya adalah perkampungan bunian, dan kita boleh dianggap sebagai bangsa yang 'menceroboh' tapak kediaman mereka. Maka hendaklah kita berkelakuan baik dan jauhi sikap kurang ajar, biadap dan sebagainya supaya tidak menyinggung perasaan jiran-jiran ghaib kita itu.
Mungkin ramai di antara kita yang pernah melihat iklan surat khabar rekabentuk baru Berita Harian. Ya, zaman dah maju, dunia dah berubah. Manusia pada hari ini semakin biadab. Maka tidak mustahillah kita menimbulkan kemarahan jiran-jiran ghaib kita. Menurut Muhammad Isa Dawud di dalam bukunya mengenai kaum jin, dikatakan bahawa jin yang berusia 150 tahun masih dianggap remaja.
Bayangkan dalam tempoh 150 tahun itu, pelbagai perubahan yang telah dilihatnya. Perbandingan budaya dan adat antara manusia dahulu dan sekarang, pasti adakalanya boleh menyinggung perasaan. Manusia generasi dahulu tahu menghormati orang tua, tetapi manusia pada masa kini, boleh dikatakan ramai yang tidak lagi tahu cara-cara menghormati orang tua.
Bak kata, seekor kerbau membawa lumpur, habis semuanya terpalit. Seorang manusia menyinggungkan perasaan jiran bunian kita, maka semua manusia dianggap sama. Kemungkinan seperti ini boleh berlaku.
Kebiadaban kebanyakan generasi muda hari ini juga boleh menjadi punca tekanan atau stres kepada manusia hari ini. Guru stres di tempat kerja. Pelajar stres dengan sikap kawan-kawan. Semua ini boleh menjadi faktor histeria.
Maka, salah satu cara terbaik untuk menghindari stres dan histeria adalah kita berusaha untuk menghormati orang lain. Seseorang yang mahu dirinya dihormati hendaklah menghormati orang lain. Budi bahasa jambatan kedamaian.
Kesimpulannya, stres dan histeria ini boleh jadi berpunca daripada sikap manusia itu sendiri. Akibat perubahan budaya dan sikap yang semakin negatif, manusia kini terpaksa menanggung akibatnya melalui pelbagai penyakit mental. Stres masih boleh dihindari asalkan manusia mahu mengikuti disiplin, tahu cara meluahkan perasaan dengan betul dan saling hormat-menghormati sesama makhluk.
Sumber asal: http://dukeamienerev.blogspot.com
NOTA: Idea dan cadangan yang terdapat di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi Amiene Rev. Sekiranya ada percanggahan pendapat, maka eloklah kiranya pandangan alternatif itu dibincangkan dengan baik di sini. Anda juga tidak dibenarkan menciplak atau menerbitkan mana-mana penulisan Amiene Rev di blog ini, untuk tujuan apa sekali pun. Seelok-eloknya anda memberikan alamat blog ini kepada teman-teman supaya mereka dapat membaca dan menerokai ilmu dan pandangan yang ada di blog ini.
Sekiranya anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai stres, tekanan perasaan, tekanan jiwa atau tekanan mental, anda juga boleh mendapatkan maklumat-maklumat berkaitan menerusi entri-entri yang dicadangkan di sini. Selain itu anda juga boleh menggunakan enjin carian Google yang terdapat di dalam blog ini. Pastikan anda menandakan bulatan pilihan dukeamienerev.blogspot.com yang terdapat di bawah kotak carian Google tersebut sebelum memulakan carian.
- Stres: Cara Menghilangkan Tekanan Jiwa Dengan Berkesan
- Stres: Marah, Punca Kemarahan dan Kaedah Mengatasi Rasa Marah
- Kaedah Menghindari Histeria dan Stres Di Kalangan Pelajar
- Apakah Maksud atau Definisi Buli dan Bagaimana Buli Berlaku?
- Hantarkan Luahan Perasaan atau Rahsia Terpendam Yang Menyeksa Jiwa Anda Secara Misteri