BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, Disember 31, 2009

Sajak Dialog Dengan Iblis

Dialog Dengan Iblis
Karya: Amiene Rev (C) 2009

Iblis
katakan kepadaku sebabnya
kau pernah mentaati Tuhan
tetapi kau derhakainya
kerana Adam

Kau diam

Iblis katakan kepadaku sebabnya
kau pernah berdendam
dengan Adam
dan kami sekalian keturunannya

Kau diam

Sesungguhnya
fitnahkan bila aku mengatakan
kau iblis
suka melihat kejatuhan manusia?

Kau diam

Rabu, Disember 30, 2009

Masalah Anda: Anak yang Lemah Dalam Pelajaran

Surat Pembaca: Anak lelaki saya sangat lemah dalam pelajaran. Keputusan PMR 2009 adalah seperti berikut:
  • A English
  • B Matematik
  • B Bahasa Melayu
  • B Pengetahuan Agama
  • C Kemahiran hidup
  • C Geografi
  • D Sains
  • D Sejarah
  • E Arab
Saya ingin minta pandangan, untuk ke tingkatan 4 ini, apakah subjek yang patut anak saya ambil berdasarkan kemampuannya.

Dia adalah satu-satunya anak saya. Sebagai anak tunggal, saya inginkan yang terbaik untuknya. Saya tahu dia tidak secemerlang anak rakan-rakan saya. Tetapi masih belum terlambat bagi anak saya. Terima kasih.
Maklum balas Amiene Rev: Anak anda mempunyai keputusan yang bagus dalam sesetengah subjek tetapi kurang bagus atau lemah dalam sesetengah subjek yang lain. Keputusan Matematik anak anda agak baik, tetapi anak anda lemah dalam sains, bidang yang mungkin sesuai dengannya ialah aliran perdagangan.

Kebiasaannya, semasa di tingkatan 4, pihak sekolah dengan kerjasama pihak kaunselor sekolah akan melakukan streaming untuk para pelajar yang bakal memasuki tingkatan 4 berdasarkan keputusan PMR. Streaming adalah proses untuk menentukan aliran akademik (pakej jenis-jenis subjek) yang sesuai untuk diambil oleh para pelajar tersebut. Kebiasaannya pakej yang ditawarkan di sekolah harian biasa adalah aliran sains, aliran perdagangan dan aliran kesusasteraan.

Anda boleh membuat temujanji dengan kaunselor sekolah anak anda, dan meminta panduan daripada kaunselor. Saya galakkan anak anda mengambil ujian personaliti, ujian aptitud dan sebagainya. Pihak kaunselor sekolah biasanya memiliki maklumat yang lebih berkenaan hala tuju akademik anak anda.

Bagi sesetengah pelajar, mereka mungkin rasa aliran yang mereka ambil semasa di tingkatan 4 tidak sesuai dengan kebolehan mereka, maka untuk kes seperti ini juga, elok diajukan kepada kaunselor. Biasanya selepas menemui anak anda, kaunselor akan memutuskan sama ada anak anda memiliki kelayakan, berminat atau pun tidak dalam aliran akademik yang bakal diambil. Kaunselor akan menulis surat pertukaran aliran untuk anak anda.

Sekian, terima kasih.

E-mel Pembaca: Ruangan Pos Masalah Anda
Sekiranya anda ada masalah untuk dikongsi dan mahukan pandangan daripada Amiene Rev, bolehlah menggunakan pautan di bawah untuk mengisi borang Pos Masalah Anda (Surat Pembaca). Anda diminta tidak menggunakan Bahasa SMS dan seangkatan dengannya. Setiap surat yang tersiar akan disunting terlebih dahulu.

Sajak 18 Kematian Dalam Seruan

18 Kematian Dalam Seruan
Karya: Amiene Rev (C) 2009

Aku meminta
cukup 40
tidak lebih 40
dalam seruanku

Dan orang datang mendengar
satu demi satu mati
sehingga 18 kematian
berbaki 22

Lalu kutegaskan
cukup 22
tidak lebih 22
dalam seruanku

Isnin, Disember 28, 2009

Adab Menghormati Tetamu

Menghormati dan memuliakan tetamu adalah sunnah rasul dan nabi. Malah, Nabi Ibrahim a.s adalah antara rasul yang amat memuliakan tetamunya. Baginda menerima tetamu dengan hati terbuka dan melayani mereka dengan baik.
Allah s.w.t merakamkan perihal Nabi Ibrahim a.s ini menerusi firman-Nya bermaksud: "Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Ibrahim yang dimuliakan? Tatkala mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: "Salam sejahtera kepadamu!'', Ibrahim menjawab: "Salam sejahtera kepada kamu!" (sambil berkata dalam hati): Mereka ini orang yang tidak dikenali. Kemudian ia masuk mendapatkan ahli rumahnya dan dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkan kepada mereka sambil berkata: "Silakanlah makan." (Surah adz-Dzaariyaat, ayat 24-27).
Hakikatnya, amalan menghormati tetamu bukan saja menunjukkan ciri-ciri perilaku terpuji, malah berkait rapat dengan tahap keimanan seseorang Muslim.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Barang siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menghormati tetamunya. Barang siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia menyambung silaturahim." (Hadis riwayat Bukhari).

Di antara adab memuliakan tetamu dianjurkan Islam ialah:
  • Menyambut tetamu dengan perasaan gembira dan wajah yang manis
  • Saling bertanya khabar berita serta bertukar-tukar cerita yang baik.
  • Sedaya-upaya menyembunyikan sebarang masalah keluarga agar tidak diketahui tetamu.
  • Menyajikan hidangan makanan kepada tetamu.
  • Menyediakan tempat tidur yang baik serta kemudahan yang diperlukan jika mereka bermalam di rumah.
  • Sediakan mengikut tahap kemampuan tuan rumah.
  • Tidak terlalu berkira, tak pula terlalu berlebihan dan bukan dengan niat untuk bermegah-megah dengan rezeki serta kemewahan yang ada.
Allah s.w.t berfirman di dalam al-Quran bermaksud: "Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu." (Surah al-Furqaan, ayat 67).
Rasulullah s.a.w bersabda: "Bertamu (menziarah) itu tiga hari dan selebihnya siang mahupun malam. Tidak halal bagi seorang Muslim menetap di rumah saudaranya sehingga saudaranya itu berdosa kerananya. Sahabat bertanya: Bagaimana caranya dia berdosa? Jawab Baginda: Orang itu menetap di rumah saudaranya, padahal saudaranya itu tidak mempunyai apa-apa lagi yang akan dihidangkan (diberikan) kepada tetamunya itu." (Hadis riwayat Bukhari).
Keadaan ini adalah bagi mengelak perasaan terbeban tuan rumah. Amalan yang pada awalnya dikira sebagai amalan yang mulia, tetapi jika ia berlarutan sehingga menyusahkan tuan rumah, ia dikhuatiri akan menimbulkan suasana tidak selesa malah boleh menimbulkan perbalahan dan persengketaan pada kemudian hari.

Dalam konteks yang lebih besar lagi, rakyat sebuah negara yang diiktiraf sebagai antara negara Islam contoh, seharusnya kita rakyat Malaysia sentiasa mempamerkan akhlak dan budaya yang terpuji kepada khalayak yang berkunjung ke negara ini.

Tanpa mengira agama dan budaya, mereka seharusnya diberi bantuan sewajarnya sepanjang di negara ini. Sifat ringan mulut memberi bantuan apabila diajukan soalan oleh tetamu negara dan disertakan dengan senyuman adalah antara cara bagi menunjukkan tatasusila dan budaya rakyat Malaysia.

Sesungguhnya tetamu mengundang rahmat daripada Allah s.w.t ,menghilangkan dosa penghuni rumah dan menjanjikan pahala sedekah buat tuan rumah yang berusaha sebaik mungkin memuliakan tetamu menurut tuntutan Islam.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud; "Tidak sempurna iman seseorang itu, sehingga dia mengasihi saudaranya, sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri." (Hadis riwayat Muslim).
Sumber: Harian Metro

Sajak Tamu Empat Bulan

Tamu Empat Bulan
Karya: Amiene Rev (C) 2009

Hari ini aku datang
kau berikan aku hidangan
semewah-mewahnya
kerana aku tetamu
alasanmu

Esok aku datang lagi
kau berikan aku hidangan
semewah-mewahnya
kerana aku tetamu
perlu yang terbaik
alasanmu lagi

Lalu aku nekad datang setiap hari
kau berikan aku hidangan
semewah-mewahnya
kerana aku tetamu
dan engkau tuan rumah
yang menjaga maruah
alasanmu lagi

Lalu aku nekad
jadi tetamu selama empat bulan
datang setiap hari ke rumahmu
tanpa henti

maka adakah kedatanganku membebankanmu?
dan pemergianku melegakanmu?
kerana aku tetamu
perlukan yang terbaik
dan engkau tuan rumah
yang menjaga maruah

Ahad, Disember 27, 2009

Sajak Bicaralah Dengan Lidahku

Bicaralah Dengan Lidahku
Karya: Amiene Rev (C) 2009

Harus aku sampaikan
setiap perkataanku
sedangkan tidak ada satu pernyataan
membenarkan aku
berucap
bersyarah
memberitahu
kalian semua

Sehingga aku menerima sinar-Mu
sehingga aku menerima pengampunan-Mu
sehingga aku menerima kalam-Mu
dan kitab itu kubaca

dan seruan itu
pasti harum
dengan bicara lidahku
diterima
dengan tiada penentangan

Sabtu, Disember 26, 2009

Sajak Dia Begitu Ramah Terhadapmu

Dia Begitu Ramah Terhadapmu
Karya: Amiene Rev (C) 2009

Dia begitu ramah kepadamu
Si kaya diminta mengeluarkan zakat
Si miskin diberi kebebasan
mahu terima atau pun tidak

Dia begitu ramah terhadapmu
kamu si miskin
bebas
dia si kaya
wajib memberimu zakat
sama ada suka
atau tidak suka

Dia, Tuhan
begitu ramah terhadapmu

Jumaat, Disember 25, 2009

Sajak Seketul Batu Di Tengah Jalan

Seketul Batu Di Tengah Jalan
Karya: Amiene Rev (C) 2009

Kata dukun
jika aku mahu hati gadis itu
aku harus tidak bersolat
40 hari 40 malam

Kata dukun
jika aku mahu hati gadis itu
aku harus meninggalkan kebaikan
40 hari 40 malam

Kata dukun
jika aku mahu hati gadis itu
aku harus tidak menyebut
nama Allah

dan syaitan akan bersekongkol denganku
mencipta jampi dan sumpah
mengikat hati gadis itu untukku

namun pada hari ke 40
aku melihat batu di tengah jalan
lalu kualihkan ke tepi jalan
maka terbatallah segala jampi
maka terbatallah segala sumpah
lerailah ikatan hati gadis itu terhadapku

lalu aku tertanya-tanya
jika satu kebaikan dapat meleraikan
39 hari penuh kejahatan

bagaimana pula satu pahala
dapat menyelamat aku dari api neraka?

ketika itu aku sedar
kasih sayang-Mu
Allah Tuhanku

Khamis, Disember 24, 2009

Sajak 77 Batang Lilin

77 Batang Lilin
Karya: Amiene Rev (C) 2009

77 batang lilin ini
kunyalakan dengan nama Allah
Tuhanku
Tuhanmu
Tuhan kami

77 batang lilin ini bersinar
seolah-olah cahaya iman
menyinari kegelapan

Rabu, Disember 23, 2009

Sajak Keluar Dari Cubaan Ini

Keluar Dari Cubaan Ini
Karya: Amiene Rev (C) 2009

Aku sakit dan miskin
berikan aku sekuntum doa
untuk aku amal
agar dapat keluar
dari cubaan ini

Ini doaku untukmu:
Jadilah perompak
Maka jadilah aku perompak

dan ketua perompak mahu membunuh
disuruhnya aku pergi membunuh
aku takut azab Allah

Aku tidak mahu membunuh
orang ini tidak berdosa
perompak inilah kaki pembunuh

Kupenggal kepalanya
ketua perompak
dan kemudian budiku dibalas
dengan emas

Selasa, Disember 22, 2009

Sajak Siapakah Engkau

Siapakah Engkau
Karya: Amiene Rev (C) 2009

Siapakah engkau
anak muda?
berbaju compang-camping
datang ke masjid ini
mengiringi kami
membaca ilmu
selekeh sekali

Siapakah engkau
orang tua?
berbaju compang-camping
meminta-minta
di depan pintu
memohon belas
selekeh sekali

Aku anak muda
cuma belajar surah Al-Fatihah
demi keampunan Tuhan
untuk bapaku
di luar sana

Isnin, Disember 21, 2009

Sajak Wang Emas Ini Dosaku

Wang Emas Ini Dosaku
Karya: Amiene Rev (C) 2009

Aku menabur budi
dengan izin Allah
Hasilnya masa depan
harapan orang tua

Aku berjasa
kerana rahmat Allah
Hasilnya pembangunan
dan kemajuan bangsa

Kemudian datang orang
dengan keping-keping wang emas
katanya untuk balas jasaku

Aku menitis air mata
wang emas ini dosa
kerana aku tidak impikan balasan
cuma kuinginkan maruah diri
kasih sayang
dan keredhaan Allah
di akhirat nanti

Ahad, Disember 20, 2009

Sajak Ketika Itu Aku Sedang Berpuasa

Ketika Itu Aku Sedang Berpuasa
Karya: Amiene Rev (C) 2009

Ketika itu aku sedang berpuasa
aku menuju ke medan perang
aku cari jalan kesyahidan

Perutku berkeroncong
pemikiranku masih kosong
kerana niatku berpuasa
ke jalan Allah

Ketika itu aku sedang berpuasa
aku menuju ke medan perang
lapar dan dahaga
mengiringi perjuangan

Aku ganti setiap cungap nafas
dengan zikrullah
aku tukar setiap lapar dan dahaga
dengan puji-pujian terhadap-Mu

Tuhanku
Tuhan kami
Moga puasa ini diterima rahmat-Mu
berkatilah kami
dalam perjuangan ini