BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, Mei 05, 2011

Legasi Tidak Pernah Tamat - Amiene Rev

NOST 3 - LEGENDARIS - SKYHOPE
Sebuah karya Amiene Rev
Hakcipta Terpelihara (C) 2009-2011


Ini adalah permulaan. Permulaan bagi satu perjuangan. Nirwana dari pantai kepetangan. Seruan angkasa telah menyeru pahlawan-pahlawan dari Skyhope, turun dengan kuda-kuda putih, menuruni langit, menderap di atas angin, menjejakkan kaki ke bumi. Beratus-ratus pahlawan berkuda putih turun menjejaki bumi. Bumi yang terkenal dengan noda. Bumi yang masih ada perkataan simpati dan cinta. Bumi yang masih gah dengan impian dan cita-cita.

Lord Spektus, dari Barat Tiwiya, berdiri di barisan depan, mengetuai pahlawan-pahlawan Skyhope. Kuda putih tunggangnya kelihatan gagah berani, dengan mata biru berkilau, melangkah beberapa derap ke depan.

"Sekarang, di mana kau, empunya mimpi. Mimpimu kini jadi nyata. Beta telah datang ke alammu,"
Lord Spektus tersenyum sinis.

Hembusan badai petang menerbangkan debu-debu ringan. Dari celah-celah barisan pahlawan Skyhope, muncul seorang gadis berjubah labuh, bermantel putih, Actura namanya, dengan bibir bergincu hitam dan alis putih, menggerakkan kudanya ke sisi Lord Spektus.

"Legendaris, aku mendengar degup jantungnya dari sini."

NOST 3 - LEGENDARIS - SKYHOPE
Sebuah karya Amiene Rev 2011

Penipuan Panggilan Telefon Kad Bank

AWAS sekiranya anda menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa mereka adalah wakil Bank Negara Malaysia atau bank-bank tempatan yang meminta 16 digit nombor kad bank. Malah, orang ramai juga diminta berwaspada sekiranya dihubungi oleh sindiket yang sama, kononnya memaklumkan bahawa kad bank mereka sedang digunakan oleh individu lain.

Ini kerana semua panggilan itu adalah helah sindiket penipuan tersebut yang ingin mencuri wang simpanan anda.

Sindiket itu sebelum ini dikesan menghubungi mangsa dengan pelbagai alasan untuk mengetahui nombor kad bank.

Malah, ada di antara mangsa terkejut setelah dimaklumkan bahawa terdapat individu sedang menggunakan kad bank mereka dan meminta supaya penggunaan itu disekat serta merta.

Berikutan itu, si penipu yang membuat panggilan akan menyebut 12 digit pertama kad bank mangsa untuk memberi keyakinan bahawa mereka adalah wakil bank.

Kemudian panggilan kedua akan dilakukan oleh sindiket itu untuk meminta mangsa memberikan 4 digit terakhir kad bank.

Dengan memperoleh empat digit terakhir itu sindiket berkenaan berupaya memindahkan wang simpanan dari akuan mangsa ke dalam akaun mereka.

Pemindahan wang itu dipercayai dilakukan menggunakan rangkaian Internet.

Mengikut laporan yang pernah didedahkan akhbar tempatan sebelum ini, terdapat mangsa kehilangan wang simpanan berjumlah ratusan ribu ringgit akibat ditipu sindiket itu.

Oleh itu, bagi anda yang mendapat panggilan sama seperti di atas diharap mendapatkan nasihat dari bank-bank berdekatan terlebih dahulu bagi kejadian yang tidak diingini berlaku.

Rabu, Mei 04, 2011

Harga Petrol RON97 naik 20 sen

Harga petrol RON97 akan naik 20sen ke RM2.90 seliter berkuatkuasa tengah malam ini, demikian menurut Persatuan Penjual Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM).

Naib presiden PDAM Datuk Zulkifli Mokti berkata, peningkatan ini disebabkan kenaikan harga minyak mentah.

"Namun harga RON95 dan diesel kekal seperti sekarang," katanya ketika dihubungi Bernama.

Pada 2 April, harga RON97, yang diapungkan mengikut harga pasaran minyak semasa, naik 20 sen ke RM2.70 seliter ekoran krisis Timur Tengah.

Petrol RON95 kekal RM1.90 seliter.

Duta Pelancongan Malaysia

Rakyat Malaysia yang berada di luar negara diminta memainkan peranan sebagai duta pelancongan bagi mempromosikan Malaysia kepada rakyat asing. Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata bagi tujuan itu, mereka perlu faham dengan dasar pelancongan, produk pelancongan dan hala tuju industri pelancongan Malaysia.

Bahaya Pakai Topi Keledar Kura-kura

Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) negeri Sarawak melahirkan kebimbangan kerana masih ramai penunggang dan pembonceng motosikal masih menggunakan topi keledar 'kura-kura' yang hanya melindungi bahagian atas kepala sahaja. Pengarahnya, Rano Aylwino Akat sehubungan itu menyeru semua pengedar motosikal di negeri ini supaya hanya menjual topi keledar yang disahkan selamat oleh SIRIM Berhad (SIRIM).

Perompak Berkeliaran Di Lavender Heights Senawang

Penduduk taman perumahan Lavender Heights, Senawang dekat sini, dinasihatkan supaya berwaspada dengan kehadiran individu yang tidak dikenali terutamanya pada waktu siang. Wujud kumpulan tertentu yang menjadikan rumah kosong tanpa penghuni sebagai sasaran merompak dan pecah masuk.

Pembantu rumah yang kadangkala tinggal bersendirian bersama anak-anak dinasihatkan supaya tidak membuka pintu atau pagar dan membenarkan orang yang tidak dikenali memasuki rumah.

Penduduk di taman perumahan itu mengambil sikap berjaga-jaga dan segera menghubungi pihak polis jika terlihat sesuatu yang mencurigakan.

Berikutan banyak kerja pembinaan termasuk pengubahsuaian rumah di taman berkenaan, pemantauan juga perlu dibuat ke atas pekerja asing yang keluar masuk ke kawasan ini.

Rumah kosong, pagar yang bocor, kawasan tadahan hujan yang penuh dengan semak samun serta kealpaan penduduk, dikhuatiri menjadi pilihan terbaik kepada penjenayah untuk melakukan pecah masuk di rumah tanpa penghuni.

Dalam kejadian semalam, sebuah rumah di Fasa 1 di sini telah dipecah masuk perompak menyebabkan beberapa barangan elektrik, barang kemas dan wang tunai lesap akibat dikebas penyamun ketika penghuninya balik ke kampung pada hujung minggu.

Ibu Bapa Perlu Tahu Kemudahan Anak OKU

Dianggarkan terdapat dua peratus atau seramai 600,000 penduduk negara ini terdiri daripada orang kurang upaya (OKU) tetapi hanya sekitar 300,000 orang yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Punca utama ialah kerana ibu bapa merasa malu mempunyai anak OKU dan tidak mengetahui kemudahan yang disediakan oleh kerajaan kepada golongan istimewa itu.

Salah satu program yang disediakan oleh JKM kepada OKU adalah program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) melalui sebanyak 428 pusat PDK di seluruh negara.

Di pusat pemulihan harian itu, keluarga bersama tenaga pengajar memberi latihan kepada anak mereka dan setiap kanak-kanak berkenaan menerima elaun bulanan sebanyak RM150.

Kanak-kanak OKU perlu dibawa ke pusat untuk pemulihan kerana intervensi peringkat awal boleh meningkatkan keupayaan apabila remaja dan banyak kes menunjukkan mereka berjaya pulih.

Teknologi Maklumat Berisiko Terhadap Pembesaran Kanak-kanak

PERKEMBANGAN teknologi maklumat yang pesat menyebabkan pelbagai perkara disebarkan dengan lebih cepat lalu memberi kesan kepada pembesaran kanak-kanak. Betapa sukarnya ibu atau bapa yang terpaksa berdepan soalan anak berkaitan apa yang sampai ke telinga mereka daripada perbuatan sesetengah pihak yang ghairah menyajikan cerita sensasi.

Insuran Kenderaan Perlindungan Am Pos Malaysia

Bank Negara Malaysia (BNM) pada Selasa mengumumkan bahawa orang ramai boleh mendapatkan perlindungan kenderaan dari semua penginsurans am serta Pos Malaysia di seluruh negara serta merta.

Langkah ini adalah untuk memastikan semua pemandu mendapat akses kepada perlindungan kenderaan, kata BNM dalam satu kenyataan.

Semua penginsurans am bertanggungjawab untuk memberikan perlindungan kenderaan kepada semua pemandu termasuk 'kenderaan tersisih' yang kebanyakannya adalah kenderaan peribadi melebihi sepuluh tahun dan motorsikal yang ditaja jamin oleh Malaysian Motor Insurance Pool (MMIP), kata BNM.

"Perlindungan kenderaan itu boleh ditaja jamin oleh penginsurans atau diberikan bagi pihak MMIP.

"Mulai sekarang, kenderaan tersisih akan dikenakan caj yang sama dengan kadar premium semasa dan tidak dikenakan caj tambahan yang dikenakan kepada kenderaan berisiko tinggi," jelas kenyataan itu lagi.

Kenderaan tersisih juga hanya diperlukan untuk menjalani pemeriksaan tahunan di Puspakom jika ia disahkan berisiko tinggi.

Bank Negara juga menghalang penginsurans daripada mendesak pelanggan mereka untuk membeli produk bukan kenderaan sebagai syarat jualan perlindungan kenderaan untuk memastikan hak pengguna dilindungi.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai pembelian perlindungan kenderaan, BNM boleh dihubungi di talian 1-300-88-5465, katanya.

BNM berkata langkah ini adalah untuk memastikan orang ramai terus mendapat perlindungan kenderaan yang diperlukan dalam tempoh peralihan kepada Rangka Kerja Perlindungan Kenderaan Baharu.

Rangka kerja itu yang akan bermula pada Januari 2012 akan memberi penyelesaian menyeluruh kepada isu-isu pengstrukturan dalam sektor insurans motor dan takaful.

Bahagian pertama rangka kerja itu termasuk perlaksanaan langkah peningkatan keberkesanan terlaras untuk meningkatkan proses penyelesaian tuntutan keseluruhan, terutamanya bagi tuntutan kecederaan dan kematian.

Sementara itu, bahagian kedua adalah perlaksanaan pelarasan premium secara berperingkat sepanjang empat tahun.

Inisiatif ini adalah untuk memastikan orang ramai dan perniagaan boleh mendapat perlindungan kenderaan pada premium yang berpatutan dan supaya perniagaan insurans/takaful kenderaan berdaya maju pada jangka sederhana dan panjang.-BERNAMA

SMS Pemburu Organ Di Kuching - Sarawak

Kuching, Polis hari ini meminta orang ramai agar tidak panik dengan berita yang disebarkan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan laman sosial Facebook bahawa ada "pemburu organ" di bandar raya ini.

Ibu Bapa Mesti Ada Ilmu Dan Pengetahuan Asas

bu bapa harus mempunyai ilmu dan pengetahuan asas untuk membolehkan mereka mengesan kemungkinan berlakunya kecacatan pada anak-anak ketika masih di peringkat awal. - PM

Dengan adanya ilmu, ibu bapa juga boleh mengambil tindakan pencegahan yang perlu untuk mengelak kecacatan di kalangan kanak-kanak menjejaskan potensi dan kebolehan mereka.

Daripada segi tindakan pencegahan, ibu bapa mesti faham faktor-faktor yang membawa risiko tinggi yang boleh menyebabkan kanak-kanak mengalami kecacatan.

"Contoh punca besar yang sering dipandang ringan ialah bila anak-anak demam panas, ada ibu bapa yang tidak mengambil tindakan untuk menurunkan suhu badan mereka, terapinya cukup mudah iaitu dengan meletakkan ais di dahi mereka sudah memadai.

"Tetapi kerana tidak sedar dan tiada pengetahuan bahawa demam panas dengan suhu yang tinggi boleh menyebabkan kecacatan pada kanak-kanak, jadi dalam banyak kes tindakan mudah seperti ini pun tidak dilakukan oleh ibu bapa," katanya.

Makanan Kod E Tidak Halal? Kebenaran Di Sini

Pengguna dinasihatkan tidak percaya dengan khabar angin yang mendakwa semua produk makanan yang menggunakan bahan bermula dengan kod E adalah tidak halal. Ini kerana setiap kod bahan makanan yang bermula dengan E mewakili bahan tertentu dan sudah diklasifikasikan kepada kategori masing-masing iaitu pewarna, perasa dan pengemulsi.

Kod yang sering menimbulkan keraguan kepada pengguna adalah E471 dan E110 kerana didakwa mengandungi bahan meragukan serta tidak halal.

Sebagai contoh, bahan makanan yang bermula dengan kod E471 daripada kategori pengemulsi sering menjadi kontroversi kerana di luar negara sumber E471 datang daripada lelemak haiwan dan berkemungkinan lemak khinzir. Tetapi, di negara ini, lelemak tumbuhan digunakan untuk bahan E471 iaitu daripada kelapa sawit.

Penggunaan lelemak tumbuhan tidak perlu diragui kerana ia pasti halal dan kebanyakan produk menerima pengesahan daripada Jakim dan agensi halal yang diiktiraf. Bagi produk yang tidak mempunyai logo halal, boleh merujuk kepada sumber bahan itu sama ada berasaskan tumbuhan atau haiwan kerana ia tertera di setiap label produk. Selain itu, bagi bahan kod E100 hingga E173, Jakim telah mengklasifikasikan sebagai bahan pewarna, sama ada sumber semula jadi atau tiruan yang tiada kena mengena dengan penggunaan lemak atau minyak.

Pengguna perlu bijak menilai setiap maklumat dan merujuk kepada Jakim atau pihak yang berkenaan supaya tidak timbul salah faham di kalangan pengguna terhadap kandungan sesuatu produk makanan.

Pengguna boleh merujuk kepada laman sesawang Halal Jakim, www.halaljakim.gov.my dan Halal Malaysia www.halal.gov.my untuk mendapatkan keterangan lanjut atau mempunyai keraguan mengenai status halal sesuatu produk.

Selasa, Mei 03, 2011

Ulasan Filem SERU - Kisah Seram Di Lokasi Penggambaran Filem


Trailer Filem SERU

"Filem SERU memang sebuah filem seram yang hebat, jika ia dibikin khas dalam bentuk filem 3D, tentu kesannya ke atas penonton akan mencapai tahap seram magis! Saya menunggu filem SERU menembusi pasaran filem seram antarabangsa." - Amiene Rev.
Memandangkan filem SERU adalah sebuah filem yang amat menarik perhatian saya, maka saya menggunakan sedikit waktu saya untuk membuat sedikit ulasan mengenainya.

Jika anda pernah menonton filem Cloverfield, maka anda juga patut cuba tengok teknik rakaman yang sama dalam filem SERU. Filem SERU bukan berkenaan makhluk asing atau raksasa gergasi, filem SERU adalah berkenaan sekumpulan kru penggambaran filem yang dilanda kegemparan apabila mereka diserang oleh satu musibah yang menyeramkan.

Filem SERU membawa anda, bukan sahaja sebagai penonton, tetapi seolah-olah berada di dalam filem itu sendiri. Anda akan rasa seolah-olah diri anda diburu dan dikejar oleh pelbagai manusia yang dirasuk.

Filem ini memang sebuah filem seram Malaysia yang lain dari yang lain. Jika anda sudah biasa bermain permainan komputer first-person shooter seperti Half-Life, boleh kata begitulah keadaan anda apabila menonton filem ini.

Anda akan terbuai dengan jalan ceritanya, dan anda akan dihantui oleh perasaan takut, cemas, gelisah yang dilalui oleh para pelakonnya. Saya menggalakkan anda menonton filem SERU.

Adakah mereka bertiga ini pelakon utama? Adakah mereka bertiga juga akan terkorban?

PERSEDIAAN MENTAL bagi anda yang baru hendak menonton filem jenis ini, pastikan anda tidak muntah kerana filem ini bakal membawa anda masuk ke dunia filem, bukan lagi sekadar penonton biasa. Jika filem SERU dibuat dalam bentuk 3D, tentu kesannya sangat hebat!

Sinopsis Filem Seru

Cerita ini mengisahkan tentang sebuah syarikat produksi filem yang sedang membuat satu penggambaran filem seram. Semasa sesi penggambaran sedang berlangsung, pelbagai kejadian aneh seperti rasukan, dinding bertulisan darah, bekalan elektrik terganggu, lintasan bayang manusia dan sebagainya berlaku dan kemudian digemparkan lagi dengan kes-kes pembunuhan. Bermula dengan penolong pengarah (Sari) yang dirasuk semasa penggambaran sedang berlangsung, diikuti oleh jurumekap (Julia) yang rebah tidak sedarkan diri apabila bekalan elektrik terputus. Julia kemudiannya bangkit semula dalam keadaan yang menyeramkan dan terus menuju ke hutan dan menghilangkan diri.

Watak-watak mula berpecah. Kumpulan mana, atau individu, siapa yang akan selamat?

Jurukamera Sham dan Tony diarahkan ke hutan untuk mencari Julia. Pengarah (Sam) telah menghentikan penggambaran dan mengarahkan krew-krew pulang ke tempat khemas asas mereka untuk mengelakkan situasi menjadi lebih buruk. Penerbit (Lina) mengarahkan agar Sari dibawa mendapatkan rawatan di hospital.

Spoiler: Anda tidak perlu baca perenggan yang diwarna-putihkan di bawah ini jika anda mahukan lebih kejutan untuk filem SERU.

Selepas Sari dibawa pergi, satu demi satu pembunuhan berlaku yang menyebabkan keadaan menjadi tidak terkawal. Semua siri pembunuhan itu adalah disebabkan oleh sepasang suami isteri yang tidak dapat menerima kematian anak dan cucu mereka. Dan krew yang terlibat dalam penggambaran tersebut, terutamnaya Sari digunakan sebagai alat untuk mendapatkan kembali anak dan cucu

Senarai Pelakon:

Sharnaaz, Cut Mutia, Azman Hassan, Nora Danish, Awal Ashaari, Pierre Andre, Qhaud, Dazrin, Murshid, Nabila, Nursyarifatun, Dewa Sapri, Mona Majid, Nisha Dirr, Along, Sufian.

Pengarah:

Ming Jin, Pierre Andre.

Tarikh Tayangan:

28 April 2011


Qhaud dari Akademi Fantasia turut memegang salah satu watak penting yang menambahkan lagi kerumitan teka-teki dalam filem SERU, sama ada dia akan terselamat atau tidak. Atau sama ada dialah hero terakhir dalam filem ini yang akan membawa bukti-bukti pembunuhan kepada pihak berkuasa?

Filem ini banyak bermain dengan teka-teki. Penonton akan terkejut dengan jawapan akhir filem ini. Siapakah yang akan hidup? Atau semuanya bakal mati? Sebuah filem seram Malaysia yang hebat untuk ditonton. Terdapat beberapa watak yang berkemungkinan akan selamat di dalam filem ini, mereka berpecah kepada beberapa kumpulan. Anda tentukan sendiri siapa yang akan terselamat dan siapa yang bakal mati.



ULASAN HARIAN METRO MENGENAI FILEM SERU
SEPANJANG bulan ini empat filem seram dipertaruhkan bermula dengan Di Larang Masuk pada 7 April diikuti Senjakala (14 April), Penunggu Istana (21 April) dan Seru (28 April).

Bagaimanapun, Seru berbeza dengan filem seram lain kerana mempertaruhkan filem berbentuk ‘Slasher Horror Movie’ yang masih baru di negara ini sekali gus menampilkan kelainan untuk menarik penonton ke pawagam tanah air.

Seru, terbitan Tayangan Unggul Sdn. Bhd. (TUSB) dan Hanamia Services Sdn Bhd, menampilkan gandingan julung kalinya Pierre Andre dan Woo Ming Jin selaku pengarah lakon layar dan penulis skrip bersama filem ini.

Secara peribadi, Ming Jin mengakui peluang yang diberikan pihak TUSB untuk mengarahkan filem itu sangat berharga buatnya.


“Saya tidak berfikir panjang untuk menggalas tanggungjawab mengarahkan filem ini bersama Pierre. Idea asal untuk buat filem ini bermula apabila saya dan Pierre duduk bersama bagi menggarap filem berbentuk ‘slasher’ yang masih asing
di negara kita.

“Selepas mengadakan beberapa perbincangan dengan pihak TUSB, barulah mereka bersetuju untuk menjadi penerbit filem ini. Pihak kami menjadikan filem Quarantine sebagai salah satu filem yang menjadi bahan rujukan untuk Seru,” katanya.

Pemegang jurusan filem dan produksi TV yang mengarahkan filem Salon (2005) dan filem pendek Love For Dog ini berkata, gandingannya dan Pierre dapat menghimpunkan idea yang lebih kreatif. Ming Jin lebih menitikberatkan aspek teknikal manakala Pierre lebih banyak kepada aspek lakonan.

Pierre yang mula diberi peluang sebagai pengarah melalui filem Jangan Tegur berkata, dia sudah lama menanti peluang untuk bekerjasama dengan Ming Jin dalam filem sejak dulu.

“Saya adalah peminat filem seram dan sudah lama menanti peluang buat filem seperti ini. Terus terang, Ming Jin adalah idola dan sifu saya dalam bidang pengarahan. Saya juga serasi bekerjasama dengannya dan bersedia untuk bekerjasama dengannya lagi selepas filem ini,” katanya.

Apapun, kata Pierre, pihaknya berdepan dengan cabaran besar untuk mengarahkan filem itu. Cabaran ialah filem ini tidak banyak ‘cut’ seperti karyanya yang lain dan turut membuat penampilan khas memegang watak Bob untuk satu babak saja.

“Pemilihan Sharnaaz selaku watak utama dalam Seru dicadangkan Ming Jin sendiri. Saya juga berpuashati dengan komitmen yang diberikannya dan semua pelakon lain yang juga bakat baru ditampilkan dalam cerita ini.

“Saya berharap filem ini berjaya dan hasilnya boleh dibanggakan sekali gus mewarnai bidang perfileman kita,” katanya.

Diminta komennya mengenai babak orang asli yang memuja roh orang sudah mati dan boleh menjejaskan sensitiviti masyarakat, tegas Pierre, cerita itu hanya rekaan semata-mata dan objektifnya juga untuk menghiburkan penonton.

“Cerita ini tiada kaitan dengan mana-mana suku kaum Orang Asli di luar sana. Pakaian yang dipakai mereka juga tidak menggambarkan mana-mana suku kaum Orang Asli di negara ini.

“Dari segi potongan Lembaga Penapis Filem (LPF) pula, hanya satu babak potong kepala yang tidak dapat kelulusan LPF,” katanya.

Filem membabitkan bajet RM1.48 juta ini menjalani penggambaran selama 20 hari
di beberapa lokasi menarik sekitar Hulu Langat dan Lanchang, Pahang.

Cerita ini bermula dengan berlatarkan lokasi penggambaran sebuah filem produksi Jangan Bernafas. Pelbagai kejadian aneh berlaku apabila salah seorang daripada kru terbabit dengan kejadian histeria. Sesi penggambaran diganggu dengan pelbagai rasukan. Satu demi satu kejadian aneh berlaku menyebabkan penggambaran terganggu.

Dalam semua kejadian, kamera penggambaran sempat merakamkan semua aksi dan kejadian aneh itu. Hanya kamera itu mampu menjawab segala persoalan apakah punca sebenar kejadian aneh berkenaan.

Pada mulanya kru terbabit dalam set ini menganggap ia adalah satu bentuk promosi untuk filem Jangan Bernafas. Namun kejadian menjadi lebih kritikal apabila satu demi satu kru terbabit dirasuk dan hilang.

Menampilkan Shaarnaz Ahmad sebagai pelakon utama (watak Jeff), filem ini turut dibantu barisan pelakon seperti Katija @ Kat (Lina), Cut Mutia (Julie) dan Nisha Dirr (Sari), Azman Hassan (Azman), Along Ezzendi (Sam), Sufian Mohamed (Sham), Qhaud AF (Tony), Dazrin Kamaruddin (Budi), Murshid Anak Wayang (Murshid), Nabila Dally (Ain), Nursharifatun Najwa (Ira), Dewa Sapri (Ungkai) dan Aida Yuamanja (Isteri Ungkai).

Turut membuat penampilan khas dalam filem ini ialah Awal Ashaari (Zed), Nora Danish (Yana) dan Pierre Andre (Bob) sendiri.

Filem Seru...’Serukan Namaku...bangkitkan jasadku’ mula menemui penonton
di 54 pawagam seluruh tanah air pada 28 April ini.


Seru terpilih ke FEFF ke-13
BELUMPUN menjengah pawagam tanah air, filem Seru sudah melakar sejarahnya tersendiri apabila terpilih mewakili Malaysia ke Far East Film Festival (FEFF) ke-13 yang berlangsung pada 29 April hingga 7 Mei ini di Udine, Itali.

Festival ini mempunyai objektif untuk meningkatkan kefahaman dan memberi penghargaan kepada karyawan filem Asia oleh masyarakat di Eropah dan Itali sendiri.

Kewujudan festival ini juga untuk menjadi medan terbaik buat karyawan Asia dan Eropah bertukar pandangan dan idea bagi meningkatkan kualiti filem mereka.

Selain Seru, filem terbitan TUSB yang turut terpilih ke festival ini ialah Hantu Kak Limah Balik Rumah arahan Mamat Khalid. Selama 12 tahun, festival ini membawa filem popular Asia kepada penonton di Itali dan sebahagian Eropah