BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, Februari 13, 2007

Ini Adalah Masa Depan

Hari ini...
Adakah ini yang dipanggil dejavu...?

Semua perkara berlaku dalam jangkaan.
Telah dijangka dan telah dirancang.

Adakah sebab ini, semua soalan yang ditanya oleh
Penasihat PMP, semuanya tertulis dalam kertas kerjaku?

Kertas kerja yang menjawab 100% setiap soalan yang dikemukakan
oleh pensyarah tersebut. Seolah-olah soalan itu pernah ditanya
sebelum ini. Namun tidak, kerana itu adalah pertemuan pertama
untuk perbincangan ini.

Barangkali, sebab hari ini telah dijangkakan akan tiba
pada suatu masa silam, tidak lama dahulu
atau
kertas kerja itu sememangnya sebuah hasil
karya yang sememangnya sempurna.

Pilih salah satu...

Bukan, semua ini adalah kebetulan.
Kitab dapat dilaksanakan pada tahun ini juga satu kebetulan.
Rentetan peristiwa menunjukkan semua ini adalah kebetulan,
aku cuma berniat dan terfikir,
kemudian selepas itu,
benar-benar berlaku.

Barangkali ini adalah satu bentuk doa juga?
Ada orang kata mulut aku masin,
dan banyak kali masin.

Aku patut menjaga mulutku apabila bercakap lain kali.
Tidak-tidak... itu semua kehendak Tuhan.
Ini adalah bukti kekuasaan-Nya.

KITAB sedang memasuki fasa pertama,
Gagasan Amiene Rev tujuh tahun lalu...
sekarang seperti sudah ada
biarpun sebutir garam atau gula
di dalam segelas air.

KITAB: Bangkit dari lena

Hujan sudah jarang-jarang kelihatan.
Matahari panas memancar.
Di sebuah padang pasir, sebuah buku yang tersimpan,
tiba-tiba terbelek-belek muka suratnya gara-gara angin.
Kamera difokuskan dengan lebih dekat terhadap buku itu,
menatap jelas muka suratnya yang berwarna putih bercahaya.
Tiba-tiba angin berhenti bertiup.

Kelihatan pada muka surat yang terpapar itu:

Program Khidmat Tutor Percuma
untuk Anak-anak Desa Bakti
K.I.T.A.B

Perbincangan dengan pensyarah sudah selesai,
seterusnya ialah sesi taklimat,
dan tapak program,
dan...
fasa pertama akan terlaksana.

Amin.

Isnin, Februari 12, 2007

Kita Bukan Tuhan

Hari ini, balik dari kuliah, aku sempat menjenguk blog Kak Sera. Melihat dia menghidupkan 'anaknya'. Teringat pula beberapa tahun yang lalu. Aku pernah mencuba cara yang sama, tetapi perisian dan enjin yang berlainan. Menghidupkan 'dia'.

Aku kecewa. Sebab, biar serupa walau bagaimana pun, 'dia' tetap tidak akan ada gantinya.

Kita bukan Tuhan.


pst:
Ini entri untuk esok. sebab aku tidak pasti, sama ada esok ada ruang untuk mengisi blog ini.

Ahad, Februari 11, 2007

Teori Darwin Dalam Abjad

Cuba lihat abjad-abjad ini:

M -> W -> H -> A

Huruf-huruf ini sedang berevolusi.
Gunakan imaginasi...

Cuba ini pula:

N -> Z


Sekian sahaja untuk hari ini.
Saya mahu menyambung
penulisan tesis.


Sabtu, Februari 10, 2007

Aktiviti sekolah di England boleh dimodifikasi pada UPSR

Kebetulan hari ini saya berpeluang membaca Utusan Malaysia Online. Saya tertarik untuk mengulas idea yang diberikan oleh En. Menhat Abdul Rahman, dari Port Dickson, Negeri Sembilan. Beliau ingin berkongsi pengalamannya, semasa tinggal di England bersama keluarganya dan pada ketika itu anaknya turut bersekolah rendah di sana.


Aktiviti sekolah di England boleh dimodifikasi pada UPSR

AKTIVITI 1: Kelas selalu adakan drama bertujuan supaya anak-anak boleh berkomunikasi.

ULASAN: Satu idea yang menarik. Anak-anak boleh digalakkan untuk melakonkan watak-watak yang bermoral, contohnya seperti tokoh-tokoh kemerdekaan dan sebagainya. Saya menjangkakan akan ada kesan positif dari segi pembentukan keyakinan diri, kemahiran berkomunikasi antara pelajar.


AKTIVITI 2: Sesi membaca buku cerita cara individu diadakan masa sekolah. Pelajar yang lambat atau kurang tahu membaca dibantu oleh sukarelawan yang diimport dari luar sekolah.

ULASAN: Aktiviti seperti ini seperti sudah pernah dibuat di sesetengah sekolah. Apa yang menarik di sini, adalah adanya penglibatan sukarelawan yang diimport dari luar sekolah. Sokongan sukarelawan boleh membantu meringankan beban guru-guru di sekolah. Bercakap mengenai sukarelawan, teringat pula konsep Program KITAB yang saya asaskan. Harap-harap pada minggu depan, sudah boleh bertemu kembali dengan penasihat untuk perbincangan selanjutnya.


AKTIVITI 3: Pelajar diminta membawa dari rumah sedikit bahan membuat kek - misalan 100 gram gula atau 200 gram tepung. Pelajar diminta patuh dengan membawa tepat berat bahan ini - ada unsur kefahaman matematik dalam kepatuhan ini.

ULASAN: Ringkas. Salah satu cara untuk meningkatkan kepercayaan kepada diri murid-murid, juga melatih sifat amanah dalam memberi komitmen terhadap pihak sekolah.


AKTIVITI 4: Masa waktu rehat sekolah, ada petugas wanita digelar ‘Miss’ oleh para pelajar. Tugasnya ialah berjalan sekeliling sekolah menggalakkan pelajar bergaul dan berinteraksi. Jika terdapat pelajar keseorangan, Miss akan carikan kawan. Jika bertemu pelajar bersedih, Miss akan berbual mencari punca kesedihan.

ULASAN: Sangat bagus. Kes buli, tidak mendapat perhatian ibu bapa, masalah pembelajaran, masalah pergaulan dan sebagainya boleh didiagnosis dan dicari jalan-jalan penyelesaiannya. Pihak "MISS" boleh merekodkan apa maklumat yang diperolehi untuk diberikan kepada pihak sekolah. Ini adalah salah satu elemen terawal yang akan dilaksanakan menerusi Program KITAB (Fasa 1). Saya sangat bersetuju. Ini berdasarkan kajian berbentuk pemerhatian yang saya lakukan pada bulan Ogos 2006, didapati aktiviti ini boleh meningkatkan motivasi belajar di kalangan para pelajar.

Nota: Program KITAB yang diasaskan pada awal tahun 2007, diilhamkan berdasarkan Gagasan Amiene Rev yang dibentuk pada tahun 2000. Ketika berusia sekitar 17 tahun, dan ketika kali pertama menjejakkan diri dalam bidang pendidikan. Namun projek ini dihentikan atas sebab-sebab yang rahsia. Buat masa ini, gagasan ini masih terus diperbaiki sebelum tiba masa yang sesuai untuk dilaksanakan, fasa demi fasa.

Pada masa akan datang, jika dengan izin Tuhan, sebuah institusi khas untuk anak-anak yatim akan diwujudkan dan Gagasan Amiene Rev akan dapat dilaksanakan. Di bawah konsep Amienatorium, Amienations dan De Originz (idea pertama pembentukan Institusi Amiene Rev - 1995, 1998) yang diubahsuai, projek ini bertujuan untuk memaksimumkan potensi anak-anak Malaysia, seterusnya melahirkan golongan generasi pemimpin berilmu yang terbilang, gemilang dan cemerlang, selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Malaysia. Pembaikpulih idea dan pelaksanaan gagasan diatur daripada corak idealis kepada lebih realistik, sejajar dengan kematangan usia.

Jika benar gagasan ini terlaksana, maka kenapa 'takdir' telah memilih aku untuk memasuki bidang pendidikan, sudah dapat difahami dan dihayati... sepenuhnya. Jika tidak dapat dilaksanakan pada hayatku, maka akan ada sesiapa daripada keturunanku akan melaksanakannya pada kemudian hari. Suatu hari, catatan-catatan ini akan ditemui.

Nama aku Amien, yang bermaksud Pemimpin Berilmu. Tanam dalam hati, ini hasrat kedua-dua orang tuaku. Aku akan cuba yang terbaik. Dengan izin dan bantuan daripada-Nya. Tidak ada apa yang mustahil... jika Dia, mengatakan... ini tidak mustahil.

Khamis, Februari 08, 2007

Berehat Lebih Baik


Aku ingin pergi ke satu tempat semulajadi, untuk menenangkan fikiran. Persisiran pantai yang indah atau di kawasan air terjun. Oh, ya. Aku suka ikan lumba-lumba.

Aku mungkin akan mencari air terjun atau pantai dalam masa terdekat. Barangkali sudah sampai masa untuk bercuti.

Sementara itu, aku terjumpa beberapa laman web menarik berkaitan dengan pembentukan air terjun. Laman-laman web tersebut adalah School Portal UK, E-Learning Place dan Class Zone.

Rabu, Februari 07, 2007

Aku Tidak Ada Masa Depan, tetapi...

Hai, nama saya Amiene Rev. Oh, tidak. Sepatutnya aku menulis begini...

Yo! Sayalah Amiene Rev. Juga kelihatan kurang sopan.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Nama saya, Amiene Rev. Ini pula, ialah suatu cara pengenalan yang dipanggil orang sebagai skema.

Bagaimana mahu kumulakan kisah hidup ini? Aku Amiene Rev. Berasal dari Timur, dan merupakan seorang detektif yang tidak diiktiraf. Tugas aku mengkaji manusia, dan menegakkan keadilan. Juga membakar kejahilan moral, supaya kembali kepada kebenaran. Sekarang aku sedang menempuhi alam yang baru. Hm, kelihatan pengenalannya agak keterlaluan. Kalau begitu biar aku cuba cara yang lain.

Dalam dunia ini, ada seorang insan, yang kesunyian. Saban hari, dia menantikan seorang teman, untuk dijadikan pembuka bicara. Bukan sebarang bicara, tetapi bicara masa depan. Namanya Amiene Rev, yakni penulis tulisan ini. Salam hangat dan biarkan kuperdengarkan perkhabaran bahagia untuk sekalian pembaca. Ah, kelihatannya agak romantis, kata-kata seperti ini. Malu saya. Biar aku cuba cara yang satu lagi.

Hari ini engkau menghadap di depan komputer engkau. Engkau buka blog engkau dan mula menulis mengenai diri engkau. Engkau dipanggil Amiene Rev. Engkau rasa, tidakkah ini agak kasar bunyinya? Engkau tidak boleh menulis dengan cara begini. Faham tak? Berhenti sekarang dan siapkan tesis engkau itu!

Kata-kata seperti ini, telah menyedarkan aku. Masih ada kerja yang harus aku utamakan... dan oh, ya. Aku sudah dapat dua novel baru daripada seorang penulis Top 10, dari PTS Publication. Dia terkenal dengan novel Oren. Siapa dia? Biar aku rahsiakan dahulu.

Perbezaan antara Amiene Rev dengan Tiger Woods

Oh, ya. Kebetulan hari ini aku melihat iklan berkaitan dengan golf di universiti. Ditulis dalam Bahasa Inggeris berbunyi: "_____ GOLF RANGE. OPEN FROM 3.00PM - 7.00PM. FREE BASIC LESSON"

Lokasi padang golf itu sudah semestinya sangat-sangat berhampiran dengan Desa Bakti. Namun begitu, aku tidak suka permainan golf. Ini adalah satu perbezaan antara aku dengan Tiger Woods. Tiger Woods berdarah campuran, aku juga daripada sebelah ayahku berdarah campuran kerana moyang sebelah ayahku berasal dari Tanah Ratu Elizabeth. Namun, aku tidak ada darah Negro seperti Tiger Woods. Oleh itu kami berbeza.

Hm... hm.. hm... Hari ini sambil membawa sebuah novel pergi bersiar-siar di sekitar kampus. Selepas puas membaca iklan di dinding bangunan, aku pergi pula ke sebuah kafe untuk membeli air minuman. Tiba-tiba aku terlintas untuk menggunting rambut. Agak panjang walaupun ramai orang kata rambut aku masih pendek. Aku tidak suka berambut panjang.

Dan tiba-tiba datang seorang pelajar daripada negara asing, barangkali seorang Pakistan atau seorang Bangla, bertanyakan sesuatu dalam Bahasa Inggeris. Walaupun agak berterabur, tetapi aku dapat menangkap dia ingin mengunting rambut. Oh, ya di sana di sini dan di situ. Pelajar asing itu faham dan terus pergi ke arah yang dimaklumkan. Wah, wah, wah! Hidup ini agak membosankan kalau terlalu banyak kebetulan.

Sebenarnya aku nak cakap apa hari ini? Ya...

Er... aku patut sambung menulis tesis. Bercakap soal tesis, aku rasa tidak begitu senang sebab ada seseorang mahu membeli buku tesis tulisan aku. Katanya mahu dibuat simpanan. Dia sanggup keluarkan wang untuk membeli buku tesis aku. =.="

Bentang pun belum. Markah pun belum. Belum tentu aku dapat gred yang baik.

Apa lagi yang mahu aku tulis? Oh, ya... aku mahu pergi ke pantai...

Ehem. Sepatutnya topik ini harus berkaitan perbezaan antara aku dengan Tiger Woods.

Tetapi aku tetap mahu pergi ke pantai. Atau sekurang-kurangnya air terjun. Pukul 3.00 petang ada menu RM3.15 di McDonald dan menu RM3.50 di KFC. MarryBrown patut ambil langkah yang sama.

Hari ini aku menghabiskan membaca novel di tasik dan di taman yang indah. Namun privasinya cuma sementara sebab tiba-tiba ramai orang duduk-duduk di situ. Mungkin aku patut bertemu dengan kuda yang bernama Tommy itu. Bersiar-siar sambil menunggang kuda. Itu pun cukup menarik untuk dilakukan. Sebenarnya aku sudah lama ingin berlumba lari dengan kuda.

Semasa zaman sekolah dahulu, aku merupakan seorang sprinter yang tidak ternama. Cuma ternama di sekolah aku sahaja. Hari ini aku membuang masa dengan berlari secepat yang mungkin menaiki tangga blok asrama yang sekitar 5 tingkat itu. Tiba-tiba sahaja secara tidak sengaja aku telah menarik perhatian beberapa orang pelajar. Ya... ya... aku tahu... aku cukup bosan dengan bilangan anak tangga yang banyak. Dulu, catatan kelajuan aku dalam acara 100 meter ialah 10.22 saat. Aku selalu dipanggil menyertai acara olahraga dan merentas desa walaupun diserang selsema. Sebab aku selalu mendapat mata untuk rumah sukan aku. Orang kata larianku seperti seekor kijang. Jadi antara seekor kijang dan seekor kuda, siapakah yang lebih laju? Naruto episod 101. Oak. Oak. Burung gagak berbunyi. Aku teringin makan ramen. Adakah ramen dapat menandingi kehebatan bistik daging?

Ya. Aku tetap merasa bosan, jadi hari ini aku mengira jumlah gigi yang aku ada. Sebab seminggu yang lalu seorang rakan aku kata ketinggiannya makin bertambah dan jumlah giginya ialah 30. Oh, tidak, jumlah gigi aku tidak mencapai 30 dan aku rasa entri ini sungguh merepek dan aku patut makan kerepek ubi. Ya, kerepek ubi yang dibungkus di Rumah Barkat diimport dari Batu Pahat.

Sekian sahaja entri yang cukup merapu ini. Aku mahu tidur. Idea untuk menulis tesis perlu datang dan jangan pergi!

Isnin, Februari 05, 2007

Persamaan Amiene Rev Dengan Tiger Woods

Semalam saya terbaca berita mengenai Tiger Woods. Saya dapati ada beberapa persamaan dan perkara ini sungguh mengejutkan saya.


1. Saya seorang yang kedekut. Baju yang saya pakai untuk bersiar-siar ada yang telah berusia 12 tahun. Kebanyakannya berusia 7-10 tahun:
“Saya mengawal perbelanjaan,” katanya. “Saya kedekut. Maksud saya kerana saya tidak mempunyai banyak wang ketika membesar, saya selalu mengutamakan simpanan.


2. Saya sukakan privasi, tidak suka orang lain melakukan sesuatu yang boleh mendedahkan identiti saya, atau kedudukan saya. Pendek kata, saya tidak suka orang banyak bercakap atau bertanya mengenai soal diri saya. Apa yang saya dedahkan, itu sahaja yang orang boleh tahu:
Begitupun, dia tidak mahu memperbesar-besarkan soal pendapatannya, sebaliknya lebih gemar jika kehidupan peribadinya tidak diketengahkan, Malah, dia sengaja menamakan botnya ‘Privacy’ bagi membayangkan betapa dirinya tidak suka diganggu.



3. Anak adalah anugerah, pemimpin masa depan:

Woods mengakui dia mahukan anak...


4. Saya juga ada cita-cita begini, membina institusi pendidikan percuma, Program KITAB adalah salah satu usaha ke arah ini:
BIAR sekuat mana komitednya Tiger Woods kepada golf, jaguh dunia itu berkata, dia memperolehi lebih kepuasan menerusi aktiviti kebajikan terutamanya berkaitan kanak-kanak.

“Saya terfikir bahawa usaha yang ada tidak mencukupi. Saya mahukan sesuatu yang lebih baik, sesuatu yang kanak-kanak boleh rasai, sentuh dan menganggap kepunyaan mereka,” katanya.

Pusat itu memberikan pelajar dari gred empat hingga 12 pengalaman pembelajaran yang tidak pernah dinikmati di sekolah, mempersiapkan mereka untuk kolej dan kerjaya.

Pusat di kawasan seluas 35,000 kaki persegi itu lebih kepada rumah pendidikan yang penuh keseronokan lengkap dengan komputer, televisyen papan rata, kemudahan produksi video dan muzik, lapang sasar golf dan putting green.

Kanak-kanak boleh mengambil kursus robot, sains forensik, penulisan kreatif dan roket atau apa sahaja kursus yang mereka kehendaki secara percuma.

“Kami membina pusat ini untuk mereka. Jika mereka mahu belajar dan berkembang, kami akan menyediakan suasana yang menyeronokkan untuk mereka. Kami membiarkan mereka menjadi bos untuk menentukan segala-galanya,” kata Woods.



5. Anak-anak murid saya sangat penting bagi diri saya, mereka pelapis masa depan. Saya sedih apabila mendengar masih ada anak-anak yang tidak dapat pergi ke sekolah:
Ditanya mengapa kanak-kanak amat penting kepada dirinya, Woods berkata: “Hidup saya dipengaruhi ramai orang. Saya mahu pusat ini mampu menjadi mentor dan membimbing mereka.

“Lagipun, kerana bimbinganlah saya berada di tahap sekarang.”

Setakat ini, dia sudah membelanjakan lebih AS$5 juta untuk operasi pusat itu. Sambutan yang diberikan kanak-kanak juga amat menggalakkan sekali gus membuatkan hati Woods berasa puas kerana dapat menyumbang kembali kepada masyarakat.


6. Isteri saya pastilah seorang yang bukan calang-calang orangnya. Setia. Patuh. Bijaksana. Matang. Bersopan santun. Pandai mendidik dan memotivasikan anak-anak. Pandai masak bistik daging. Kurang Bercakap. Berdikari. Indah bahasanya. Menyokong cita-cita saya. Berani. Lasak, kuat semangat dan tidak manja. Saya paling tidak suka wanita yang materialistik. Keperibadian Angelina Jolie menepati 70% ciri-ciri wanita pilihan, sayang sekali dia bukan beragama Islam, berpakaian seksi dan lebih tua daripada saya. Ceh! Saya mencemburui Brad Pitt. Ha! Ha!
Begitupun, apabila bercakap mengenai isterinya, dia membuka sedikit isi hatinya.

“Saya menemui pasangan hidup sepanjang hayat, kawan baik. Anda tahu, Elin wanita yang hebat.

“Dia membawa kegembiraan dan keseimbangan dalam hidup saya. Kami gemar melakukan sesuatu perkara bersama-sama.

“Anda fikir saya kompetitif? Dia jauh lebih kompetitif daripada saya,” katanya.


Sumber: Harian Metro

Ahad, Februari 04, 2007

Voodoo - Kempen Makan Budu bersama Amiene Rev. Ha! Ha! Ha!

Pada suatu hari seorang Mat Saleh datang melancong ke Kelantan. Dia melihat botol-botol berisi sesuatu yang kelihatannya aneh sekali.

"What is that thing in the bottle?" Betul atau tidak tatabahasa orang putih itu bercakap, kita lupakan dulu, yang penting anda faham mesejnya.

"Oh, ini budu," jawab penjual budu.

"Voodoo!" Mat Saleh itu kelihatan terkejut. Dia menunjukkan reaksi yang membawa maksud dia berasa gerun.

"Ya. Budu." Dalam hati, penjual budu tu ketawa kerana mendengar sebutan budu yang tidak betul. Lidah Mat Saleh memang macam tu, fikirnya.

"You want to try it?" Penjual budu itu mengucapkan ayat yang sudah terbiasa disebutnya. Salah satu perbualan asas bagi seorang penjual budu.

"Oh... no! no!" Mat Saleh itu menjauhkan dirinya. Penjual budu berasa agak lucu. Barangkali Mat Saleh itu ingat rasa budu ini teruk. Belum cuba belum tahu!

Penjual budu itu pun menghulurkan satu botol budu kepada Mat Saleh itu.

"Eeewww! Owww! Watch out!" Mat Saleh melompat-lompat ketakutan. Semua orang yang berada di sekitar tertarik dengan babak yang agak aneh dan kreatif itu. Belum pernah dilihat seorang pelancong takutkan botol budu.

Kemudian, penjual budu itu mencapai satu bungkus nasi kerabu. Mat Saleh itu pun kembali menjenguk ke dalam gerai. Melihat apa yang dibuat oleh penjual budu itu.

Penjual budu menuangkan sedikit budu ke atas permukaan nasi kerabu yang berwarna kebiruan itu. Lalu menambah beberapa keping keropok ikan yang masih segar digoreng. Telur masin, lada solok, bawang jeruk dan dengan enaknya dia memakan nasi kerabu itu.

"Nyam! Nyam! Enaknya nasi kerabu bersama budu!" Penjual Budu bercakap sambil menunjukkan ibu jarinya kepada si Mat Saleh.

"Wow! That Voodoo must be neutralized." Mat Saleh itu terlopong.

"Kelantanese is so fantastic. Malaysian people are incredible! A very dangerous black magic like Voodoo has been turn into a delicious food!" Mat Saleh bertepuk tangan. Orang ramai yang mengelilingi Mat Saleh itu juga turut bertepuk tangan. Mereka berpaling-paling sesama mereka. Sambil bertepuk tangan.

"From the latest study about Budu by American and Japanese Scientist, budu can help to increase a person IQ." Penjual Budu itu memberitahu satu fakta yang dihafalnya. Fakta yang agak terkini, sekitar beberapa tahun dulu. Ini penting untuk menaikkan imej budu di mata dunia.

"Now Orang Putih should not avoid to eat budu."

"Yeah!" Sambil mencapai sebotol budu.

"Let's Voodoo!" Mat Saleh itu membuka penutup botolnya dan meneguk budu di dalam botol itu sepertimana yang biasa dilihat di dalam iklan Coke dan F&N. Orang ramai bertepuk-tepuk sambil tersengih-sengih, dan ada juga yang melopong kehairanan. Apa pun, ini sudah pasti suatu pertunjukkan yang sungguh unik bagi mereka. Pengalaman ini akan diingati sampai bila-bila. Jangan lupa, budu diperbuat daripada ikan. Budu adalah sos ikan.

Apa yang akan jadi kepada Mat Saleh itu, silalah fikirkan sendiri. Tamat entri pada hari ini.

Sebab itu saya kata sebelum ini, tak salah untuk gunakan Bahasa Asing di dalam penulisan, tidak kiralah Bahasa Inggeris, Jepun atau Arab, tetapi mestilah menghormati penggunaan bahasa tersebut, dari segi ejaan terutamanya.

Apa nak buat ya? Cuti semester dah bermula. Saya masih tercari-cari di mana pantai yang paling sesuai untuk menimbulkan ekspresi yang indah nian.

Jumaat, Februari 02, 2007

Indera Hati

Indera Hati
Hakcipta Amiene Rev

Nampaknya penat aku masih belum-belum hilang. Barangkali sebab pemakanan yang tidak seimbang? Sebenarnya aku tidak suka atau pernah menyukai mi segera sebelum ini. Perut aku tidak mesra mi segera. Perut aku bukan saudara mi segera. Bukankah mi segera berasal daripada tepung gandum? Apa pun bahan yang menjadikan mi segera itu, sudah pasti berasal daripada tanah. Maka aku juga berasal daripada tanah. Kalau begitu, bagaimana dapat aku nafikan bahawa mi segera itu saudara aku? Sudah ternyata, apa pun zat-zat yang akan aku bicarakan di sini, jawapannya tetap tertakluk kepada Al-Kitab. Maka sudah tertera jawapan itu, dan tiada perlu aku perbahaskannya tanpa adanya masalah yang wajib diselesaikan.

Malam ini yang penat adalah jasad aku. Panca indera aku. Otak aku. Namun jasad rohani aku belum Jasad rohani belum pernah kepenatan. Jika jasad ini kepenatan, maka itu tandanya kematian. Apa yang penting dalam hidup ini bukan kematian, atau memikirkan soal-soal kematian atau soal-soal selepas mati. Apa yang penting sekarang adalah kehidupan kini. Kalau hidup itu tidak ke arah kesempurnaan, maka ketika itu kita akan berharap terhadap kematian. Itu nyata, pandangan yang silap sama sekali.

Hari ini aku akan menulis, dengan jari-jari yang kepenatan. Mi segera itu adalah racun yang telah membinasakan banyak sel-sel badanku. Namun kuasa rohani masih belum terpadam. Sekalipun sudah hilang semua tenaga yang tersembunyi dalam sendi-sendi jari-jemariku. Maka aku akan biarkan jari-jari ini terus menari-nari biarpun aku sudah lena. Indera berlima sudah tidur, namun Indera Hati belum terlena dan akan terus mengisi ruang-ruang ini tanpa henti.

Maka di sini akan bermulalah satu episod. Episod yang dikarang dalam keadaan jasad yang sedang lena dan jiwa yang terus jaga.

Ada pun kisah ini bermula di sebuah lautan yang sangat gelap. Ada satu makhluk Tuhan yang bersembunyi sekian lama di dalam lautan itu. Laut itu tidak bernama, kerana sesiapa pun belum pernah menerokai laut ini.

Suatu hari, makhluk itu ingin keluar, lalu dia bertanya kepada seekor penyu.

“Dan hari ini telah genap umurku 170 tahun. Aku ingin meneliti dunia luar, selain lautan yang dalam ini. Bolehkah Puan Penangis Pasir membawa aku keluar dari tempat ini?”

Lalu penyu betina yang dipanggil Puan Penangis Pasir itu pun menjawab.

“Di luar sana, di daratan sana. Ada sejenis daging merah yang sentiasa akan menyebabkan pemiliknya berpenyakit gundah-gulana. Aku bimbang, kau juga akan dijangkiti penyakit itu, selepas kau menjejaki dunia itu.”

“Biarpun begitu katamu, Puan Penangis Pasir, bawakan aku biar sekali cuma. Aku mahu melihat alam itu buat mengisi perasaan naifku.”

“Maka apabila kau berdegil, tidak dapat aku melarangmu. Kerana setiap makhluk itu punya hati yang pasti akan memberontak.”

“Dan kau akan membawa aku?”

“Sudah... pasti...” Dan Puan Penangis Pasir, terus menguak arus lautan, terus membawa makhluk itu menuju ke daratan.

“Inikah alam daratan yang indah itu?” Air laut semakin cetek. Ombak terus memukul makhluk itu ke daratan.

“Sesungguhnya kau telah menemuinya. Maka aku akan beransur kembali ke lautan.” Penyu itu terus hilang dalam cermin muka laut yang bergelora.

Melihat alam yang serba hijau dengan pasir yang memutih. Makhluk itu tidak sabar-sabar lagi hendak menjejakkan kakinya ke daratan.

“Dan betapa udara di sini sungguh hangat. Dan tumbuhan-tumbuhan yang meninggi ini begitu indah melambai-lambaiku.”

Tiba-tiba satu objek bulat gugur, nyaris-nyaris menimpa makhluk yang nyaris-nyaris tenggelam dalam pesonanya terhadap daratan.

“Awas!” Makhluk itu menjerit. “Jaga-jaga apa yang kau jatuhkan.”

Makhluk itu merenung tumbuhan yang sangat-sangat tinggi itu. Dia berfikir dan terus berfikir. Kemudian dia teringatkan sesuatu, lalu bertanya terhadap tumbuhan yang tinggi itu.

“Tadi kau menyambutku dan sekarang kamu mengusirku. Adakah kau ini Pemilik Daging Merah?”

Tumbuhan itu enggan menjawab. Diam dan terus melambai-lambai.

“Adakah kau ini Pemilik Daging Merah?” Tumbuhan itu tidak menjawab lagi. Lalu makhluk itu berfikir lagi. Barangkali tumbuhan ini bisu.

“Jika kau Pemilik Daging Merah, maka segeralah berhenti melambai.”

Tumbuhan itu terus melambai-lambai. Oh, barangkali tumbuhan ini pekak dan bisu.

Makhluk itu cuba menggaya-gayakan tangannya, dengan harapan tumbuhan itu akan faham.

Tumbuhan itu terus melambai-lambai. Oh, barangkali tumbuhan ini buta, pekak dan bisu.

Makhluk itu belum putus asa. Dia terus pergi ke arah tumbuhan itu, lalu menggoyang-goyangkannya. Tiba-tiba gugur lagi beberapa butir bulat.

“Wah! Wah! Wah!” Makhluk itu menjerit-jerit. Nampaknya tumbuhan itu sedang marah.

“Sudah pasti, kau ini Pemilik Daging Merah. Hatimu tidak tenteram. Perasaanmu jauh lebih bergelora dari lautan pada waktu ribut malam.” Makhluk itu berasa geram, marah dan sedih.

“Aku... aku mahu kembali ke lautan. Tidak ada apa yang menarik lagi di sini. Kau telah menjangkiti aku dengan penyakitmu.”

Lalu makhluk itu perlahan-lahan menghirup udara panas di daratan itu. Sambil memandang ke arah lautan, dia berkata:

“Langit di daratan berwarna biru. Permukaan lautan itu pula terdampar bayangnya. Sebelum ini aku membayangkan daratan itu lebih baik daripada lautan.”

Makhluk itu melangkah perlahan-lahan menuju ke lautan. Terus memijak air laut. Terus berjalan dan berjalan ke lautan hingga ke separuh badan.

“Tolong! Ada orang mahu bunuh diri!” Makhluk itu terperanjat. Dia menoleh ke belakang, ke daratan. Kelihatan beberapa makhluk yang lain, rupanya kaget, pucat dan terkejut.

Makhluk itu berasa sangat takut. Dia terus melangkah laju ke tengah lautan.

“Dan sekarang, mereka mahu memerangiku...” Makhluk itu terus berenang ke dasar lautan. Makin dalam, makin kelam, meninggalkan daratan dengan hati yang sangat hiba. Tidak disedari masinnya air mata yang mengalir, kerana lautan itu ternyata lebih masin, lebih baik daripada daratan yang pernah dikenalinya, sebentar tadi.

KITAB: Malam Tadi

Malam tadi, aku sempat menjamah makan nasi. Badanku masih lemah sejak akhir-akhir ini. Jarang aku mengalami keadaan seperti ini. Barangkali, sebab aku menggunakan kudratku terlalu banyak daripada sebelum ini. Dengan sumber makanan yang sangat terhad, kekurangan air dan aktiviti yang banyak menyebabkan badan aku tidak mudah untuk segar kembali.

Sambil membaca sebuah novel, aku menonton satu cerita yang menarik. Kyle XY. Sambil makan. Tiga perkara dalam satu masa. Selepas sudah mengisi perutku, tiba-tiba datang sang Presiden. Dia meminta YM aku. Ya, aku sudah menukar YM baru. Sebenarnya aku pun masih baru dalam dunia YM ini. Banyak fungsi yang aku tidak sempat terokai. YM menjadi alat untuk aku berbincang mengenai KITAB. Sebelum ini pun begitu.

Ada sesuatu yang menarik perhatian sang Presiden. Ahli-ahli yang sebelum ini berpandangan negatif telah menemuinya, meminta maaf disebabkan pandangan mereka sebelum ini. Mereka memberi alasan untuk menyokong diri mereka. Nampaknya, aku dapati, di kalangan ahli-ahli yang berpandangan negatif sebelum ini, sudah ada keyakinan dalam diri mereka untuk program KITAB ini. Mereka mahu... mahu... kembali...

Impak pemergian ibu mertua sang Penasihat boleh dikatakan ada hikmahnya. Aku akan mengambil peluang ini untuk menumpukan pada hal-hal yang berkaitan dengan akademik. Penulisan tesis dan, oh ya... ujian pada minggu depan. Sementara itu, aku meminta sang Presiden supaya menghantar SMS kepada Penasihatnya yang sangat-sangat sibuk itu. Agar boleh dapatkan kelulusan daripada pihaknya.

Apa pun program KITAB terpaksa bergerak lambat memang tidak boleh dielakkan. Aku sekarang, berurusan dengan sekumpulan orang yang tidak berpengalaman, tidak berkemahiran dan kurang pengetahuan dalam selok-belok persatuan. Program KITAB ini akan menjadi mudah apabila sudah melalui rintangan dari dua perkara, kemudahan tapak program dan kelulusan HEP. Itu sahaja rintangannya. Sekarang sedang menunggu penasihat PMP itu kembali. Segalanya sudah selesai.

Ini adalah satu cabaran. Aku harus mengendalikan orang-orang yang baru, dengan bergantung 100% idea aku sendiri. Perancangan aku sendiri. Cuma, kematian ibu mertua sang Presiden itu sahaja, adalah perkara di luar dugaan. Hidup mati seseorang itu, bukan kuasa manusia untuk menentukannya.

Aku ini bukan Tuhan. Cuma seorang hamba.

Khamis, Februari 01, 2007

California

Aku rasa hari ini aku tidak keluar langsung dari bilik kolejku.
Mengisi masa lapang di dalam bilik, tanpa makan dan minum.
Ya. Aku belum minum apa-apa lagi.
Sekarang sudah jam 8.59 malam.
Cuma, pagi tadi aku sempat makan mihun segera.

Malam ini, aku mahu makan.
Makan apa ya?
Semalam anak murid aku menelefon aku.
Ya, maafkan gurumu ini.
Semua nombor yang jarang dihubungi sudah dipadamkan.
Sebab sekarang ada komitmen penting untuk mengisi ruang-ruang di dalam telefon bimbit ini.
Memori sudah penuh.
Tadi, bondaku menelefonku.

Katanya telefonku berbunyi.
Ya, telefon ini sudah nazak.
Asalnya adalah pemberian bondaku sebagai hadiah hari jadi, beberapa tahun dahulu.
Sebab aku tidak mahu memakai telefon bimbit.
Jadi sempena hari jadiku yang jatuh pada hari pertama Aidil Fitri, bondaku membeli telefon bimbit terpakai daripada sepupuku.

Dan, sampai ke hari ini, aku masih menggunakannya. Ketika ini, kalau dinilai kembali harganya, barangkali dalam RM30.

Ah, ya... Kenapa entri ini aku namakan California. Itu, sempena asal usul selonggok kismis yang terdampar di bilik aku. Makanan asasi aku.